Min Yasmin, isteri kepada komposer terkenal Julfekar ini belum cukup kuat namanya untuk dikenali di negara sendiri. Tapi semua itu tak mematahkan impian Min Yasmin atau nama sebenarnya Nurul Yasmin Abdul Aziz, 28. Sebab dirinya di Filipina cukup dikenali dan dihargai oleh para peminatnya yang ada di negara itu.
“Saya tak sangka akan tembusi pasaran di negara orang. Peminat industri muzik mereka sememangnya sangat sukar nak terima orang luar. Dah rezeki, saya terima dengan tangan terbuka. Mungkin tuah kerana orang di Filipina menerima saya seadanya.
“Saya akui nama saya di Malaysia memang kurang dikenali. Walaupun dah lama bertapak di industri muzik tempatan. Saya tak kisah popular atau tak. Sebabnya benda ini pun satu yang positif. Saya buat apa yang termampu dan tak sangka tembusi pasaran luar negara. Ini sebab saya sangat hargai bakat yang ada dalam diri saya.”
Nama Min Yasmin mula disebut-sebut peminat-peminat Filipina selepas album duetnya dengan penyanyi negara itu, Nikki Bacolod, berjudul 2 Voices menjadi hit pertengahan tahun 2015 lalu.
“Saya sendiri terkejut. Tak sangka single Sa Iyo bertahan lama dalam carta Top 10 di stesen radio nombor satu negara itu. Ketika persembahan jelajah Filipina untuk mempromosikan 2 Voices, penerimaan peminat pun sangat luar biasa.”
Min Yasmin Terima 2 Anugerah Di Filipina
Rentetan kejayaan itu, Min dan suami sedang dalam proses menyiapkan album ketika solo Tagalog. Mereka gunakan strategi promosi album di pusat membeli belah di Filipina. Dalam masa sama, akan mencuba nasib dengan album penuh bagi pasaran Malaysia.
“Biarpun dikenali di Filipina, saya tetap rindukan Malaysia. Berulang ke Filipina adalah kerana kerjaya, saya tetap selesa tinggal di negara sendiri.”
Hebat tak hebatnya Min Yasmin di Filipina, konsertnya selama 3 jam mendapat sambutan lebih 60,000 peminat. Dia juga pernah memenangi 2 kategori pada Anugerah Gawad Sulo Ng Bayan pada 2015.
“Alhamdulillah, titik peluh saya selama hampir lima tahun dibalas dengan pengiktirafan berkenaan. Biarpun pengiktirafan itu dari negara luar, tidak mengapa.”
“Saya tetap bersyukur sebab ada juga pihak yang menghargai bakat saya. Saya jadikan kemenangan tersebut sebagai pembakar semangat buat saya untuk merancang dan melangkah lebih jauh dalam bidang nyanyian.”
Ini Rancangan Julfekar
Min Yasmin juga berasa sangat bertuah kerana suaminya, Julfekar merupakan orang yang sangat memberi sokongan dalam kerjaya seni terutamanya di Filipina.
“Semua ini adalah rancangan Julfekar kerana dia sangat arif dalam selok belok hiburan. Saya bersyukur kerana mempunyai suami yang berbakat dalam dunia penciptaan lagu dan memberi semangat dalam kejayaan seni saya,” akhiri Min Yasmin.
FOTO: Nadia (Pelatih Industri) & KOLEKSI PERIBADI MIN YASMIN
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kasihan Dia Mama.. Tak Dapat Ambil Keputusan UPSR Sebab Tak Bayar Yuran
Ingatlah ketika kita lelah, penat, pintalah pada Allah. Tentu saja dia akan memberi tapi jalan untuk mendapatkannya.. BENAR.. berliku-liku. Kerana syurga itu MAHAL.
Inilah yang dialami Puan Dzul Faa ketika mengambil keputusan peperiksaan UPSR untuk anaknya. Allah mengujinya dengan bertembung dengan situasi seorang anak yang tidak dapat mengambil keputusan peperiksaan UPSR kerana tidak menyelesaikan bayaran yurannya.
Dan dalam kesukaran, ibu ini gigih memberikan pertolongan. Baca dengan tenang, dengan vibe yang amat positif. MOHON YA!
Kerana di hujung kisah, anda akan temui. Apa yang sedang Allah ajarkan kepada kita semua.
Ya.. catatan ini panjang. Tapi perkongsian ini memberi seribu satu macam rasa. Tahan air mata. Moga anda kuat menghabiskan bacaan sampai ke hujung. Dan seperti yang saya khabarkan tadi, anda akan lihat INDAHNYA perancangan Ilahi
Mahalnya Nilai Sekeping Kertas UPSR
Tak tau nak mula ayat macam mana tapi nak juga berkongsi cerita lepas.
Seawal pagi saya bersiap ke tempat kerja. Mengenangkan berkali-kali pesanan anak ke-2 saya agar tidak lupa ke sekolah hanya untuk ada bersamanya menerima keputusan UPSR. Saya sekadar akur.
Terbayang-bayang akan post-post yang sering di kongsi di laman-laman sosial amanah para ilmuan, saranan kepada para ibu ayah, agar memeluk anak-anak, walau apa pun keputusan yang anak perolehi. dDn saya berkali-kali mengingatkan diri sendiri agar tidak lupa melakukan itu.
Dari jauh jelas kelihatan anak saya duduk di kerusi bersama teman-temannya. Menggosok kedua tapak tangannya berkali-kali lalu menyapu muka. Diulang perbuatan sama beberapa kali. Mungkin ketakutan. Dia menoleh mencari saya agaknya, saya melambai tangan isyarat bahawa ‘Yes mama datang’, saya tersenyum lucu.
Saat satu persatu nama dipanggil ke atas pentas sekolah, menerima slip keputusan masing-masing. Ada drama suka dan duka. Itu mungkin pemandangan biasa bagi orang macam saya.
Namun bila mana nama anak saya disebut, hati saya berdebar-debar. Dari jauh saya lihat anak saya menerima slip keputusannya sambil mata menjeling sejenak. Wajah yang redup sedari semalam semakin suram merenung lantai. Langkahnya perlahan.
Sekeping kertas dihulur. Saya hanya tersenyum dan ucap tahniah sambil merangkul bahunya (reaksi yang terbawa-bawa di Facebook. Dalam hati ini hanya Allah yang tahu). Tapi bukan itu yang hendak saya kongsikan di sini.
Usai majlis penyerahan masing-masing bersuafoto. Kenangan sebelum meninggalkan sekolah rendah tak kurang waris merakam kenangan gelagat suka-suka anak masing-masing. Guru-guru merakam ucapn tahniah dan kata-kata semangat.
Saya? (Ah.. tidak gemar merakam, bersuafoto atau apa-apa yang berkaitan) Saya berjalan pulang, ingin segera kembali ke tempat kerja. Anak meminta izin untuk pulang bersama-sama saya. Anggukkan saja sambil menjeling angka jam di tangan. Saya melangkah mendahuluinya.
Beberapa langkah diatur, mata saya menangkap satu sosok melintas di hadapan saya sambil menahan tangis teresak-esak, mata merah berkaca, tubuh itu mengambil tempat di satu sudut ruang kosong di dalam kelas tidak berpenghuni.
Menarik kerusi dan duduk sambil menundukkan kepalanya di lengan dan sekali lagi jelas kedengaran dia menangis (dalam hati saya bersangka ah.. mungkin sedih tidak lulus agaknya dia)
Saya ingin cepat, maka saya rasakan biarlah sosok itu melepaskan rasa yang membelenggu dengan caranya sendiri. Bukan urusan saya pun untuk ambil tahu.
Tiba-tiba saya disapa seorang guru bertanyakan keputusan anak saya perolehi dan saya sekadar menjawab “boleh la.. ” sekadar senyum.
Langkah diatur lagi namun kali ini anak saya memanggil dari belakang minta tunggu sebentar gurunya ingin melihat slip keputusannya. Saya akur lagi. (dalam hati.. apa yang cikgu tu nak tengok lagi? keputusannya biasa biasa saja kot ).
Mama.. Amir Nak Tolong Dia
Sedang saya berdiri di satu laluan di kaki lima sosok yang saya lihat tadi muncul lagi dia melintas di hadapan. Saya dapat lihat dia sedang merenung kawan-kawan dari jauh sambil tangan mengesat mata, dan jelas itu air mata.
Tanpa sedar anak saya muncul. Mungkin dapat dibaca apa yang saya sedang fikirkan. “Kesian dia mama, tak dapat ambil keputusan sebab tak bayar yuran“.
Saat mendengar itu entah apa yang saya rasa, keliru.. mana mungkin anak itu dinafikan haknya hanya kerana masalah orang-orang dewasa.
Sebentar tadi saya merasa lega dengan arahan tidak ada majlis untuk meraikan dan pengumuman pelajar-pelajar cemerlang di hadapan semua pelajar lain, kerana tidak mahu ada rasa kecewa di hati ini.
Tapi di waktu yang sama di hadapan saya ada satu sosok yang langsung tidak dipanggil namanya naik ke pentas walau hanya sekadar menerima se”SALINAN” keputusan untuk dibawa pulang bagi tatapan ibunya.
“Mama.. Amir nak tolong dia, tapi tak tau nak buat apa ? Kesian dia mama, kesian dia“.
Aduh anak oi…mama pun dah cukup gawat ni. Mana nak kisah hal anak orang lain pula lagi. Tapi malu kat anak pula kalau tak cuba buat sesuatu. Saya langsung menghampiri anak itu bila mana dia kembali duduk di dalam kelas kosong itu.
Saat bahunya dipegang dia menoleh dengan satu pandangan yang sukar untuk saya terjemahkan dengan perkataan. Hanya Allah saja yang tahu betapa naluri seorang mak-mak ini memahami gelodak hatinya, remuk jiwanya, celaru mindanya.
“Kenapa menangis? Boleh mak cik tolong?” Dia sekadar menggeleng
“Dah dapat tahu keputusan?” dia menggeleng lagi.
“Jom Kita p ambik keputusan.”
Saya cuba menarik tangannya tapi dia menolak dengan baik.
“Tak pa mak cik esok mak saya mai ambik”. anak itu bersuara perlahan dan sayu.
“Jom ikut mak cik jumpa cikgu” (sebenarnya saya dah tak tau nak cakap apa lagi)
Dia geleng lagi “Saya tak bayar yuran lagi”
Anak itu bersuara dalam esak, air matanya laju ketika menyebut perkataan (tak bayar yuran) itu. Sungguh hati saya sebak melihatnya begitu.
“Tak apa, mak cik bayarkan, jom kita pi ambil sekarang.”
Ini memang betul-betul gila, entah dari mana datangnya kekuatan itu sedangkan dalam poket betul-betul ada RM10 saja (dalam hati mana nak cari duit ni)
“Tak apa la makcik.. banyak.” Dia menolak lagi.
“Mama ada duit 200 lebih dak?”. Anak saya entah muncul dari mana. Saya menarik tangan anak saya dengan isyarat ‘kita sembang kat luar’. Nanti budak tu dengar.
“200 lebih?” Saya menelan liur.
“Ha.. Yuran dia RM249, amir pi tanya dah.”
Dia merenung saya minta ihsan, matanya penuh harapan “Tolong la ma.. nanti Amir bayar balik “. (Dia mempertaruhkan sesuatu yang mungkin mustahil bagi umurnya iaitu bayaran balik.).
Tangannya menghulur sekeping wang kertas mungkin kecil nilainya di luar sana.
“Mana dapat duit? “.
“Cikgu bagi sebab sains dapat elok “.
Mulianya hatimu cikgu.
Kertas Keputusan UPSR Itu, Saya Lipat, Biarlah Penghormatan Itu Jadi Milik Ibunya
Kali ini saya pula yang panik, bagi saya ibu kepada anak-anak yang masih kecil, jumlah itu agak banyak dan sukar untuk dicari dengan kadar segera. Saya buntu seketika. Tapi anak ini tidak boleh dibiar pulang hampa.
Saya masuk ke kelas semula, Allah, anak itu sudah tiada. Saya fikir dia mendengar perbualan kami, mungkin juga tidak mahu menyusahkan orang lalu dia pergi.
“Mana dia, mana dia?, cari cepat ” Saya menjerit pada anak saya.
Tanpa jawapan saya lihat anak saya berlari entah ke mana.
Seketika berlaku anak saya muncul dengan seseorang di belakangnya. Saya menghela nafas lega.
Benarlah Allah itu Maha Pengasih Lagi Penyayang. Di saat kita ingin membantu Allah jua sedang membantu.
Dengan bantuan dari seorang rakan saya dapat jelaskan bayaran tertunggak (anak) tersebut dan.. ya anak sayalah yang bersungguh-sungguh bantu menguruskan hal-hal itu.
Saya sekadar memandang dari jauh anak tadi menerima slip keputusannya berserta sijil-sijil berkaitan. Saat dia memegang itu saya telah hilang kawalan air mata, mencurah-curah tanpa berselindung lagi.
Anak tadi menghampiri saya, menghulur salam dan mengucapkan terima kasih. Tangannya menghulur slip keputusannya kepada saya entah mengapa dia berbuat demikian.
Saya sambut sekeping kertas itu dan saya lipat.
“Balik tunjuk kat mak. Jadi anak yang baik, usaha bersungguh-sungguh”.
Hati ini ingin sangat melihat apa keputusannya, tapi biarlah penghormatan itu diberikan kepada ibunya. Kalau dirakam percakapan kami mungkin orang tak akan faham, kerana saya bercakap dalam nada sendu, buruk bebenar dan aneh bunyinya, tapi anak itu seolah olah mengerti pula.
Hanya sebentar tadi, sekadar permainan psikologi saya mengucapkan tahniah kepada anak saya atas pencapaian UPSRnya. Tapi saat dia mempamerkan ihsan kepada rakan sebayanya saya jadi kagum dan bersyukur kerana nilai insan yang dimiliki mengatasi nilai gred yang diperolehinya.
Tahniah anakku.
Juga sebentar tadi saya sekadar merangkul bahunya mengucap tahniah. Kini ingin sekali saya memeluknya sepenuh hati menyatakan rasa syukur dan terima kasih kerana menyedarkan saya setiap anak ada istimewanya dan nilai yang tersendiri.
Anak Kecil Ini Teguran Buat Saya
Tidaklah saya bercerita untuk bangga diri semata. Tidak juga menonjolkan diri sebagai wira. Saya manusia biasa yang masih berusaha melakukan 3 hingga 4 kerja sehari.
Siang malam hanya untuk keluarga say. Saya tidak peduli urusan orang lain dan orang sekeliling. Kerana saya merasakan kehidupan saya sudah cukup-cukup sukar. Tapi Allah telah perlihatkan masih ada yang lebih sukar.
Syukur saya banyak dibantu keluarga.
Hari ini anak kecil ini menjadi teguran buat saya. Sebelumnya saya bekerja, berniaga sekadar niat hanya untuk keluarga semata. Kini saya akan betulkan kebiasaan itu. Pada rezeki saya mungkin ada bahagian orang lain. Dalam duit saya mungkin ada nama orang lain. Begitu juga pada harta saya mungkin ada hak-hak orang lain.
Saya menunggu ada untuk memberi sehingga saya lupa kepada yang Maha kuasa memberi.
Saya mempersiapkan anak-anak sedaya mungkin, namun masih ada anak-anak di luar sana yang tercicir.
Jangan lah dikecam anak ini, keluarganya, guru-gurunya mahupun sekolahnya.
Saya sendiri tidak pasti apa sebenarnya masalah mereka hingga hal ini berlaku, biarlah kita menjadi sebahagian warga yang membantu tanpa syarat.
Mungkin ada yang tertanya tanya, kenapa tidak anak itu saya ikut pulang untuk melihat keadaan rumahnya dan keluarganya mungkin masih ada yang perlu dibantu.
Jujurnya saya baru terfikir akannya setelah sampai di tempat keja dan dalam tempoh itu saya hanya bermain emosi yang tak keruan hingga gagal berfikir dan bertindak ke arah itu.
Terima kasih tak terhingga kepada guru-guru yang mendidik anak saya dan anak itu hingga menjadi seorang insan. Saya hanyalah seorang ibu kepada 8 orang anak yang sibuk berusaha bekerja mencari rezeki, saya percaya sedikit sebanyak nilai-nilai murni itu datangnya dari pendidikan di sekolah.
Apa yang saya kongsikan sekadar hanya untuk peringatan diri sendiri agar lebih mengambil peduli akan warga sekeliling. Saya tidak kaya harta, Saya juga dibantu untuk membantu.
Mohon di doakan agar kita semua dimurahkan rezeki agar dapat bantu membantu sesama kita tanpa perlu menunggu para “Gergasi” mainkan peranan.
Allah Bayar Berganda
Sesungguhnya Allah Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Ketika menulis entri ini saya menerima perkhabaran 2 anak saya melepasi ujian kelayakan yang sukar dan telah diterima masuk ke sebuah maahad setelah hampir 2 tahun mencuba.
Syukur padamu ya Allah, sedikit yang diberi dibayar berganda. Alhamdulillah. Penilaian saya pada kehidupan kini berbeza. Pengajaran yang saya dapat sangat berharga.
Hingga saat ini, bila ditatap gambar ini, air mata saya mengalir lagi.S ungguh Saya terkesan.
Sumber/Foto : Dzul Faa
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ayah Durjana, Tergamak Cabul Anak Perempuannya Sendiri Yang Baru Berumur 12 Bulan!
Durjananya perlakuan seorang ayah yang tergamak mencabul anak perempuannya sendiri, lebih menyedihkan bayi tersebut yang baru berumur 12 bulan!.Hinanya seorang ayah yang sepatutnya melindungi anaknya sanggup melakukan tindakan keji lagi terkutuk ini.
Kejadian yang berlaku di Kuala Terenganu,seorang bapa berhati binatang ditahan apabila disyaki sanggup melakukan perbuatan terkutuk dengan mencabul bayi perempuannya berusia 12 bulan.
Anak Kerap Menangis
Tindakan terkutuk suspek berusia 36 tahun terbabit terbongkar apabila ibu mangsa menyedari perubahan anak perempuannya itu yang kerap menangis ketika kemaluannya dicuci, Isnin lalu.
Mengesyaki ada yang tidak kena dengan anaknya, ibu berusia 28 tahun ini membuat laporan di Balai Polis Manir, Kuala Terengganu di sini, sebelum merujuk anaknya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan.
Dalam Proses Penceraian
Menurut sumber, bayi terbabit dijaga secara bergilir-gilir oleh pasangan berkenaan yang kini menetap secara berasingan berikutan dalam proses perceraian, sejak November lalu.
“Suspek menghantar pulang anaknya itu ke rumah isterinya di Kampong Manir, di sini, pada jam 12 tengah malam, Isnin lalu, dan bayi itu dalam keadaan baik pada mulanya dari segi fizikal luaran.
“Bagaimanapun, ketika menukar lampin bayi berkenaan, ibunya mendapati terdapat kesan kemerah-merahan di kemaluan anaknya itu selain kerap menangis setiap kali bahagian sulitnya dicuci.
“Curiga dengan keadaan bayinya, ibu mangsa yakin suspek ada melakukan perkara yang tidak baik terhadap mangsa sepanjang menjaganya sebelum ini.Wanita berusia 28 tahun terbabit membuat laporan polis berhubung perkara itu sebelum bayi berkenaan dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abdul Rafar ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki terbabit dan kes masih dalam siasatan.
Susulan laporan diterima, suspek ditahan dan hari ini, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/ Majistert, Noradila Abd Latiff membenarkan suspek direman empat hari untuk disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.
Sumber/Foto:bharian & Sinar Harian
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Terkini: Keluarga Arwah Thaqif Kecewa & Sedih!
Sekian lama menanti jawapan, akhirnya kematian pelajar tahfiz, adik Muhammad Thaqif Amin Mohd Gaddafi pada 26 April lalu di maklumkan berpunca daripada Leptospirosis atau kencing tikus.
Memetik kenyataan dari Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, bedah siasat yang dijalankan pada hari sama pelajar itu meninggal dunia menggunakan sampel tisu dan darah sebelum dihantar ke Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Jabatan Kimia bagi dianalisis.
Langsung tidak dimaklumkan hal ini dan hanya mengetahui apabila ada wartawan menghantar kenyataan akhbar itu kepadanya petang tadi, bapa arwah, Mohd Gaddafi berkata, jauh di sudut hatinya, dia berasa kecewa.
“Keluarga kami memang tak tahu apa-apa. Tak dimaklumkan apa-apa mengenainya. Kami jadi emosi dan sedih. Kalau kencing tikus, kenapa ambil masa berbulan begini untuk mencari jawapannya. Kenapa perlu gali kubur semula? Kenapa semasa di hospital doktor memaklumkan adanya darah beku di kaki anak?
“Saya dapat tahu berita ini sekitar jam 3.45 petang tadi. Wartawan WhatsApp bertanya pendapat saya. Kalau kencing tikuslah penyebabnya, susah nak percaya. Isteri saya, Felda Wani jadi sedih dan menangis sayu. Saya sendiri pun jadi sukar mempercayainya.
“Sekian lama kami redha dengan kematian anak kerana dia anak syurga. Sebagai ibu bapa kami berhak mengetahui punca kematiannya tetapi agak sukar hendak menerimanya hanya disebabkan oleh kencing tikus,” kata Mohd Gaddafi ketika dihubungi.
Kenyataan Penuh Ketua Pengarah Kesihatan Berhubung Laporan Bedah Siasat
Kementerian Kesihatan ingin merujuk kepada kejadian pelajar tahfiz yang telah meninggal dunia pada 26 April 2017 di Hospital Sultan Ismail, Johor Bharu.
Proses bedah siasat bagi mengetahui sebab kematian telah dilakukan pada jam 6 petang hari yang sama. Beberapa sampel tisu dan darah telah diambil dan dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan juga ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisa.
Susulan daripada kejadian tersebut juga, satu Jawatankuasa Khas Siasatan telah ditubuhkan bagi menyiasat kes ini. Jawatankuasa ini terdiri daripada Pakar Perunding Forensik yang mahir dan berpengalaman luas dalam pengendalian kes-kes rumit.
Hasil keputusan bedah siasat yang dijalankan didapati pelajar tahfiz tersebut meninggal dunia disebabkan oleh penyakit dan bukannya trauma atau kecederaan seperti yang ditularkan.
Penyebab kematian adalah Leptospirosis (kencing tikus) dan dirumitkan dengan keadaan kulit nekrosis (Purpura Fulminans)dan pembentukan bekuan darah mikro (microthrombi) di seluruh saluran darah yang mengakibatkan perubahan warna kulit dan seterusnya melibatkan kegagalan organ untuk berfungsi.
Laporan bedah siasat dikemukakan kepada pihak Polis DiRaja Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
10 Julai 2017
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI