Sedari kecil agama bukanlah subjek utama buat dirinya. Meletakkan diri di kedudukan tanpa agama atau free thinker menjadikan dirinya terapung-apung bak belon yang beriisi gas helium. Hanya ketika usianya mencecah 12 tahun, baru dia berjinak-jinak mengikuti kelas agama Kristian. Setiap Ahad rutinnya ke gereja berdekatan untuk mendalami lebih mendalam tentang agama itu.

Seiring dengan peningkatan usia dan nalurinya masih lagi longgar tentang agama yang dianuti. Dia kemudian dikejutkan dengan satu mimpi yang aneh lagi luar biasa. Malam itu, kebetulan ketika umat Islam sibuk menjalani ibadah di bulan Ramadan, wanita berdarah kacukan Cina dan Kadazan ini mengalami satu keanehan luar biasa yang mengubah persepsinya terhadap Islam. Ikuti kisah selanjutnya mengenai perjalanan Jeannifer Sudian Abdullah, 35 mengenai kisah pengislamannya.

“Masih segar diingatan, satu malam ketika di bulan Ramadan saya mengalami mimpi pelik yang aneh. Pada tahun 2005, ketika saya berusia 21 tahun saya bermimpi menyaksikan satu perhimpunan manusia dan ada satu sosok yang tidak jelas kelihatan, seperti kepulan asap mengetuai kumpulan itu. Saya tak faham tiap butir perkataan yang dipertuturkan.

“Apa yang saya lihat kumpulan itu berada dalam suasana ketakutan seolah-olahnya hari itu hari penamat. Saya kemudian diajukan dua soalan; apa yang saya takut dan siapa yang saya takut. Saya tidak ada jawapan untuk soalan itu, sebaik melihat sekelompok orang menunaikan solat buat kali terakhir, saya hanya memandangnya dengan perasaan takut kerana tak tahu solat. Saya yakin mimpi ini membawa makna yang besar dan ketika itu saya tidak tahu mimpi itu sebenarnya satu bentuk hidayah untuk saya lebih mengenali Islam,”cerita ibu kepada sepasang cahaya mata kembar Naura Auni dan Mohammad Emyr Zareed enam tahun.

Bermulanya pencarian

Kepada teman sebilik, Norashikin Mohd Dini berkongsi cerita mengenai mimpi itu. Kemudian wanita ini berkesempatan menjadi Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di SMK Abdullah (2), Semporna selama setahun pada tahun 2010. Kesempatan yang ada memberi saya lebih ruang untuk mengenali Islam lebih mendalam.

IKLAN

“Kisah mengenai mimpi itu sudah saya rujuk kepada mereka yang arif dalam Islam dan Kristian. Masing-masing punya pendapat sendiri. Saya kemudiannya membuat hipotesis sendiri dan meneruskan pencarian. Alhamdulillah atas bantuan teman-teman Muslim dan guru di sekolah tersebut, saya akhirnya terbuka untuk melafazkan syahadah dengan bantuan Ustaz Burari Ungsurani. Setahun kemudian saya mendaftar pengislaman saya di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEINS).

“Lima tahun pertama selepas memeluk Islam, sejujurnya saya mendapat tentangan dari keluarga. Persekitaran di kampung saya menjadi contoh kes terdekat, ramai diantara wanita yang memeluk Islam kemudiannya diabaikan suami dan ditinggalkan. Orang tua saya cukup skeptikal dengan isu menukar agama dan diabaikan bila berkahwin dengan lelaki Muslim. Mereka bimbang saya juga bakal melalui pengalaman yang sama,”kongsi wanita daripada tiga bersaudara yang kesemuanya perempuan.

Janji bapa mertua di hari pernikahan

IKLAN

Selaku anak yang baik dan matang, Jeannifer mengakui dia tidak memberontak dan melarikan diri dari keluarga. Dia tahu hal itu bakal memburukkan lagi keadaan. Hal menjadi lebih serius apabila dia bertemu dan menjalin hubungan dengan seorang lelaki Muslim. Kesungguhan suaminya memenangi hati ibu bapa Jeannifer dan usaha itu turut dilakukan oleh seluruh keluarga pihak lelaki memberi kekuatan buatnya.

“Saat paling mengharukan apabila bapa mertua saya sendiri mengeluarkan kenyataan tegas sewaktu hari pernikahan kami. Menurutnya anak lelakinya takkan mempersiakan saya sebagai isteri dan dia berjanji tidak ada isu menduakan atau mengabaikan saya. Dia benar-benar menerima saya sebagai menantu. Momen istimewa yang menjadi sejarah penting dalam permulaan perkahwinan kami kekal menjadi memori termahal dalam momen pengislaman saya. Dengan sekali lafaz saya menjadi suri halal buat Mohamad Syahrizal Izhar,”ceritanya yang terharu dengan penerimaan bapa mertuanya, Drs Hj Izhar Husin.

Tidak terhenti disitu, keluarga pihak suami Jeannifer terus menerus memelihara hubugan silaturahim dengan keluarga besannya. Apabila ada majlis keraian dan perayaan, mereka pasti datang menyambutnya sebagai tanda menghormati hubungan kekeluargaan ini.

IKLAN

“Saya bersyukur dikurniakan keluarga mertua yang begitu memahami. Mereka juga tidak skeptikal dan sama-sama melapangkan diri meraikan hari perayaan keluarga saya. Apabila melibatkan hal makanan, awal-awal lagi keluarga saya peka mengenainya. Bagi saya dikurniakan mertua yang baik adalah satu bentuk rezeki juga.

Rezeki yang mengalir bak air

Usai melepasi fasa penolakan dari keluarga sendiri, wanita ini perlahan-lahan mengutip manisnya Nur Islam itu. Mengakui masih lagi dalam proses mendalami Islam, dalam nada merendah diri dia mensyukuri tiap keajaiban yang sentiasa hadir dalam hidupnya.

“Sesungguhnya Allah S.W.T maha kaya. Selaku seorang Islam, kita ikut dan laksanakan tiap suruhannya dan meninggalkan larangannya. Saya juga bersyukur kehidupan kami lebih baik, ada sahaja rezeki yang tak diduga hadir dan membuatkan saya cukup mensyukuri kurniaanNya. Sejujurnya, masih banyak lagi yang perlu pelajari.

“Skop kerja saya juga membuka ruang untuk saya mendekati lebih ramai kelompok mualaf. Disamping membantu mereka, sama seperti mereka kami juga sama-sama dalam usaha mengenali Islam. Terima kasih Allah S.W.T diatas kurniaan yang luar biasa hebat ini,”tuturnya menutup bicara.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI