Meskipun sudah empat bulan berlalu, Kilafairy masih lagi dalam fasa menjalani kehidupan tanpa kelibat mama tersayang, Allahyarhamah Rohana Jalil yang menghembuskan nafas terakhir pada 20 Jun lalu.
Kilafairy atau nama sebenarnya, Syakila Nisa Jaghir Khan, 31 ketika ditemui pihak media di majlis pelancaran koleksi A Decade of Wows & Veils dari pereka fesyen Shanell Harun hujung minggu lalu berkata hanya video lama nyanyian ibu tersayang menjadi pengubat rindunya di samping azimat untuk dirinya bangkit untuk meneruskan kehidupan serta mencontohi kehidupan mama tersayang.
“Meskipun beberapa bulan sudah berlalu, Kila masih rasa ‘kosong’. Ada ketikanya Kila mengukir senyuman, tapi Kila sendiri tidak boleh melepaskan kesedihan selepas pemergian mama.Tiada hari yang tidak dipenuhi rasa rindu,” ujar Kilafairy yang menjadikan kebaikan ibunya sebagai inspirasi untuk dirinya merubah diri menjadi lebih baik.
Menyarungkan busana milik arwah ibunya di majlis pelancaran koleksi A Decade of Wows & Veils dari pereka fesyen Shanell Harun hujung minggu lalu, busana rekaan Shanell Harun itu mempunyai nilai sentimental untuk dirinya apatah lagi pakaian tersebut merupakan antara busana kegemaran mama tersayang yang digayakan ketika membuat persembahan tahun lalu.
Juga Baca: https://www.mingguanwanita.my/?s=kilafairy#google_vignette
“Ramai di kalangan rakan-rakan mama yang meminta unruk mendapatkan manna-mana baju mama sebagai kenang-kenangan. Tidak dinafikan susah untuk saya gayakan baju arwah kerana masih ada bau dan kenangan bersama dia. Saya dan adik beradik sememangnya merancang untuk memberikan sedekah pakaian arwah, tetapi ia belum dapat dilaksanakan memandangkan kami adik-beradik perlu berbincang mengenai perkara tersebut,” ujar Kilafairy lagi.
Menjawab pertanyaan pihak media mengenai barangan peribadi Allahyarhamah yang terdapat di kediaman, Kilafairy berkata di rumah masih banyak koleksi baju arwah. Malah, barang-barang mama pun tidak banyak yang diusik kerana terlalu sukar untuk dirinya mengubah apa yang sedia ada di kediaman keluarga tersebut.
Menyingkap tentang kebaikan ibu tersayang, Kilafairy berkata dia merasa sungguh terharu terhadap kebaikan yang diterima oleh dirinya sekeluarga sebaik ibu tersayang meninggal dunia.
“Selepas mama meninggal dunia, banyak perkara yang berlaku. Bayangkan, beberapa hari selepas arwah pergi, ada insan yang menempah dan memasang batu nisan di kuburnya selain ada yang datang membersihkan kuburnya. Alhamdulillah, mama disayangi ramai. Mama sememangnya seorang yang baik dengan semua orang, tak kira siapa sahaja. Saya sendiri tak tahu boleh atau tidak menjadi seperti dia,” ujar Kilafairy mengakhiri perbualan.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.