ibu mertua

Hubungan diantara menantu perempuan dan ibu mertua seringkali di tafsirkan seperti ‘love-hate relationship’.Perselisihan faham,rasa cemburu dan memendam perasaan sering dialami dalam perhubungan ini terutamanya jika anda bukan menantu pilihan.

Jika keadaan ini berterusan berlaku,suami pasti rasa tersepit dengan ketaatan pada ibu dan rasa cinta pada isteri. Sekaligus, perkara ini mampu menggugat menggugat keharmonian dalam rumahtangga dan keluarga yang dibina.

Oleh yang demikian, bersyukurlah andai dikurniakan ibu mertua yang sporting dan memahami keadaan menantu. Namun begitu, jika mendapat mertua yang cerewet dan tidak mesra, berusahalah untuk menambat hatinya.

Meskipun bukan menantu pilihan, ada caranya untuk pikat hati ibu mertua agar dapat menerima kita sebagai menantu;

1. Selalu Hubungi

Andai tinggal berjauhan,selalu hubungi ibu mertua melalui telefon sekadar untuk bertanya khabar keadaannya, kesihatannya dan sebagainya. Namun, apabila tibanya hari-hari penting seperti Hari Ibu dan Hari Lahir, jangan lupa menelefon mengucapkan sesuatu. Lebih baik jika anda berkunjung ke rumahnya dengan membawa hadiah atau, anda juga boleh membuat kejutan dengan mengadakan majlis untuk mereka.

Ads

2. Bawa Buah Tangan

Tiada salahnya jika anda melawat ibu mertua tanpa membawa buah tangan. Namun, pasti ibu mertua berasa lebih gembira jika berusaha untuk menceriakan hatinya dengan membawa buah tangan setiap kali berkunjung ke rumahnya.Jika punyai masa, boleh cuba memasak makanan kegemarannya.Dia pasti suka.

3. Kenali Sikap Mertua

Jika ibu mertua seorang yang suka bercakap atau berkongsi pengalaman, pastikan anda juga terlibat sama dalam perbualan tersebut. Bersikap ramahlah dengan mereka. Namun jika dia seorang yang pendiam, cuba berinteraksi dengan mereka dengan bertanyakan soalan-soalan yang mudah contohnya resipi kegemaran anaknya dan sebagainya.

Ads

4. Jangan Marah Suami Depan Mertua

Hati mana yang tidak tersentuh apabila melihat anak yang mereka sayangi disakiti. Meskipun pada saat itu anda perlu menegur suami, cuba untuk menahan perasaan itu sementara semasa berada bersama ibu mertua. Elakkan bertindak kasar atau memarahi suami dihadapan ibu mertua, ini kerana situasi ini akan memberikan gambaran sebenar sikap anda terhadap anaknya.Sekaligus mungkin akan menimbulkan kebencian di hati mentua.

5. Kongsi Minat

Salah satu cara mudah untuk mendekati dan ‘membeli’ jiwa ibu mertua adalah dengan berkongsi minat yang sama.Sebagai contoh,kalau ibu mertua gemar memasak, tidak salah anda cuba belajar memasak daripadanya. Tunjukkan yang diri anda betul-betul berminat dengan apa yang disukai.

Ads

Namun demikian,jika ibu mertua suka memasak dan anda juga gemarkan memasak, boleh luangkan masa bersama-masa, mencuba resipi-resipi baru dan bertukar-tukar resipi.Berkongsi minat yang sama memudahkan menantu untuk serasi dan bercampur gaul dengan ibu mertua.

6. Jaga Tutur Kata

Ini yang paling penting.Ketika bersama mertua, bercakap dan bertuturlah dalam sebaik-baik bahasa dan tingkah laku. Jangan sesekali mengungkapkan perkataan yang boleh mengguris hati.Orang yang lebih tua pasti mempunyai perasaan sensitif,agak cerewet dan mudah berkecil hati.Namun, hormatilah mereka, bersabar dan berusahalah untuk bercakap hanya perkara yang baik-baik kepada ibu mertua.

7.Sayang Seperti Keluarga Sendiri

Perlu ingat, walaupun dia adalah ibu mertua namun darjatnya setaraf dengan ibu kandung yang melahirkan kita. Tidak ada salahnya melayan ibu mertua seperti ibu sendiri. Kasih sayang yang anda berikan pasti akan diingati dan dihargai.Anggaplah ibu mertua sebahagian daripada darah daging sendiri supaya hubungan akan bertambah mesra dan berkekalan hingga ke akhir hayat.

Semoga tip-tip ini memberi panduan berguna buat anda dalam membina hubungan mesra bersama ibu mertua sekaligus buat hati suami bertambah sayang.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI