‘Mertua duduk dengan anak menantu, mulut kena jaga.’ Jangan cerita hal menantu pada orang! Tidak semua sikap mertua itu betul, ada kalanya ada jugak salahnya.
Setiap wanita ingin dan idamkan hubungan yang baik dengan mertua apatah lagi bila tinggal sebumbung.
Hidup sebumbung dengan mertua bukan sesuatu yang mudah jika masing-masing ego dan tidak mahu beralah. Tidak kiralah sama ada menantu atau mertua.
Bagi mengekalkan hubungan yang baik memerlukan kerjasama dua hala baik dari menantu perempuan dan juga mertua. Jika menantu saja berusaha untuk menambat hati mertua, kemudian mertua remehkan sudah tentu ianya tidak akan berjaya.
Pengguna TikTok Nur Lysa telah memuat naik sebuah video iaitu tips untuk mak mentua bila tinggal dengan menantu yang dikongsikan oleh neneknya.
Nasihat ikhlas dari nenek ini telah menjadi amalannya sejak dahulu lagi bila tinggal bersama anak, menantu. Katanya dalam menjaga hubungan yang baik, mulut kena jaga.
Ads
‘Mulut kena jaga sebab kalau mulut jahat menantu benci. Saya tak pernah cerita dengan orang tentang hal menantu. Tak pernah cerita dia tak pandai masak ke, tak pandai berkemas ke,’ jelas nenek ini yang dikenali dengan panggilan Tok Pah.
Tambah nenek lagi, oleh sebab itulah bila tinggal dengan menantu, menantu tak benci dan tak marah. ‘Ini tidak menantu masak tak sedap cerita dengan orang, serba serbi cerita dengan orang. Bila orang sampaikan pada menantu, marahlah dia.’ Ujarnya.
Nasihatnya lagi, mak mertua ini jika duduk bersama anak, menantu terutamanya dengan menantu perempuan, mulut kena betul-betul jaga. Jangan nak bercerita dengan orang.
Sikap nenek ini membuatkan dia bahagia saja tinggal dengan anak menantu hingga ke saat ini dan tiada masalah yang timbul antaranya dengan anak, menantu
Kesimpulannya, baik menantu perempuan atau mertua masing-masing kena jaga mulut agar hubungan baik dapat dikekalkan. Menantu pun anak juga dan janganlah dianggap menantu itu orang luar.
Komen Netizen:
Rata-rata netizen berkongsi rasa bagaimana layanan mertua masing-masing dan bersyukur masih ada orang yang membela nasib menantu perempuan yang sering diabaikan.
Bila lepas bersalin ramai yang cukup teruja nak ziarah bayi tanpa ambil kira bab pantang larang yang patut diikut. Haa… tak boleh main redah ya sebab bayi boleh terdedah dengan banyak risiko penyakit malah kadang si ibu masih perlukan rehat..
Sebenarnya tak salah nak bagi orang datang ziarah tetapi anda patut ambil tahu beberapa pantang larang jaga bayi baru lahir, jom semak..
1.Jangan Bagi Orang Cium Bayi
Seeloknya pada minggu pertama kehidupan seorang bayi, pendedahan pada bakteria dan kuman boleh beri masalah serius. Ini kerana sistem imunisasi mereka masih belum berfungsi sepenuhnya. Mencium dan memegang bayi tanpa mencuci tangan boleh menyebabkan bayi terdedah kepada pelbagai penyakit kerana sistem imunisasi bayi masih belum dapat melindungi badan mereka daripada ancaman bakteria dan kuman.
Kalau takut orang terasa hati, anda sebagai ibu ayah boleh jelaskan dengan cara paling ‘manis’ pada pelawat supaya tidak mencium bayi anda pada minggu pertama kelahirannya. Jika pelawat tersebut dalam keadaan tidak sihat, nasihatkan mereka supaya pastikan diri mereka betul-betul sihat. Tak perlu rasa bersalah sebab kesihatan bayi lagi penting!
Jangan bawa atau dedahkan bayi anda di khalayak ramai kerana bayi yang masih belum mempunyai sistem imunisasi yang kuat boleh mendapat penyakit dengan mudah. Bersabarlah seketika sehingga bayi itu betul-betul bersedia untuk mengahadapi pelbagai lagi dugaan dan keadaan di dunia ni.
2. Jangan Cipta Suasana Sunyi Sebab Nak Bagi Anak Lena
Ada sesetengah mak suka biasakan bayi tidur dalam keadaan sunyi, konon nak bagi anak lena dan senanglah ibu nak rehat. Tak perlulah sampai mengubah tak boleh pasang TV, sentiasa menutup pintu dan langsir kerana bimbang suasana menjadi bising untuk bayi tidur. Suasana yang sedikit bising tak beri masalah, biarkan bayi terbiasa dengan suasana itu supaya sampai satu masa bayi mudah tidur walau keadaan bising.
3. Jangan Malas Tukar Lampin
Kalau pun nak jimat, janganlah sampai bayi jadi mangsa. Sila tukar lampin lebih kerap sebab kulit bayi lagi sensitif. Jadi jangan biarkan bayi memakai lampin yang telah kotor terlalu lama. Ingat, bayi yang baru lahir lebih kerap membuang air berbanding bayi yang berusia 6 bulan dan ke atas. Terlalu nak jimat pun jangan sampai bayi jadi mangsa kena ruam gatal!
4. Jangan Nak Ajar Puting Terlalu Cepat
Mungkin anak suka ‘bergayut’ di badan dan ini kadang menyukarkan ibu nak buat makan atau nak buat kerja lain. Haaa… janganlah kejam sangat, baru seminggu bayi lahir, anda dah beri dia puting! sudah beri puting? Kasihan pada bayi, waktu ini gusi dia lembut lagi. Bayi dilahirkan memang dengan sifat semulajadi untuk menghisap susu badan ibu kerana mengandungi zat yang terbaik yang bayi perlukan. Memberi puting pada peringkat awal boleh menggangu jadual pemakanan bayi. Kalau rajin beri susu badan, bayi akan rasa selesa dengan ibunya dan akan menghasilkan satu ikatan kasih sayang antara ibu dan anak. Itu bonus, bukan?
5. Jangan Pandang Remeh Soal Anak Demam
Haaa… jangan menganggap demam itu perkara kecil sebab demam yang terlalu tinggi boleh membahayakan bayi kena sawan. Paling penting, jangan sesekali pakaikan selimut, ini akan menyebabkan suhu badan naik. Sila bawa anak terus ke klinik berdekatan untuk rawatan.
6. Jangan Excited Gayakan Pakaian Bayi
Bukan main syok kalau dapat anak perempuan, ibu mulalah nak gayakan bayi ikut hati sendiri. Ya, zaman sekarang ni kalau klik online… macam-macam jenis headband akan keluar. Manalah ibu tak tergoda! Ada ibu yang terlalu teruja mahu memakaikan baju cantik pada bayi. Boleh, tapi jangan sampai ‘meranakan’ bayi sendiri. Kadang dipakaikan headband yang ketat, baju renda-renda sampai bayi rimas! Tak perlulah over excited nak gayakan bayi, pilih pakaian yang selesa dan paling penting baju yang tak terlalu panas. Anak tu kecil lagi, esok-esok dah besar bolehlah pakaikan baju yang sesuai.
7. Jangan Bagi Makan Bayi 6 bulan Ke Bawah
Walau macam mana lapar pun anak, tolonglah jangan bagi bayi makan terlalu awal. Nampak lapar pun, jangan pandai-pandai ya! Nak beri makan pada bayi, disarankan doktor bermula pada umur 6 bulan dan ke atas. Makanan yang dibenarkan pula hanya bubur atau nestum sahaja. Jangan memandai lenyek nasi pula, kalau tetiba kena sembelit kasihan anak yang masih tak tahu apa-apa.
8. Jangan Abai Temu Janji Doktor
Perkara ini cukup penting untuk memastikan yang bayi sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat. Sibuk macam mana pun, janganlah sampai skip temu janji dengan doktor. Kalau was-was bab penjagaan anak, ibu boleh kongsi dan terus tanya nurse atau doktor. Ini penting demi kesihatan bayi anda.
9. Jangan Terus Share Gambar Di Media Sosial
Masih ramai yang pandang remeh soal upload gambar di media sosial, mungkin nak kongsikan perasaan gembira tetapi anda patut tahu bayi yang baru lahir dan berumur di bawah 40 hari mengalami dua jenis gangguan iaitu gangguan fizikal dan juga gangguan rohani. Kita perlu mengambil berat mengenai gangguan rohani yang terdiri daripada Ain (sihir tanpa jin) dan Ummu Sibyan (sejenis jin yang membawa penyakit).
Kalau kita upload atau share gambar bayi yang baru lahir ni (bawah 40hari) di laman sosial, dikhuatiri bayi ini akan terkesan dengan Al-Ain iaitu sihir tanpa jin atau mata jahat yang memerhati.
10. Jangan Lupa Azan & Iqamat
Tak pelik, ada sesetengah ibu ayag excited sangat nak ambil gambar bayi sampai lupa nak buat benda paling penting ini. Tolong ya, ini adalah adab dalam menyambut bayi baru lahir dalam Islam. Rahsia azan dan iqamah pada bayi yang baru lahir ini ialah syaitan akan lari daripada kalimah azan itu, walaupun sebelum itu dia ternanti-nantikan saat kelahiran bayi tersebut. Azan dan iqamat ini merupakan seruan yang mulia kepada bayi yang beru lahir yang mengandungi kebesaran Allah dan kata-kata dua kalimah syahadah. Perkara ini diibaratkan sebagai mentalkin pada si bayi yang baru lahir mengenai kebesaran yang maha Esa dan kebesaran syiar Islam yang bakal di pikul oleh bayi berkenaan. Kesan azan dan iqamat ini akan sampai terus ke lubuk hatinya dan akan kesan ini akal kekal di dalam jiwa bayi tersebut. In Shaa Allah.
Hanya itu yang anda patut tahu bila anda bertukar status jadi ibu dan ayah, masih belum terlambat untuk anda amalkan semoga bermanfaat buat anda semua!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Selepas 40 hari istiqamah bangun awal solat subuh, 22 kanak-kanak teruja dapat hadiah basikal setiap seorang.
Ternyata ganjaran yang diberikan secara tak langsung dapat memupuk minat anak-anak kecil ke masjid.
22 Kanak-Kanak
Seramai 22 kanak-kanak peserta Program Istiqamah Subuh Berjemaah 40 Hari di Kampung Pengkalan Batu, Melaka, tersenyum girang apabila menerima hadiah basikal.
Selepas 40 hari ‘bangun awal’ mengikuti program anjuran Biro Pendidikan, Agama, Dakwah dan Ziarah Kasih, Masjid Nur As-Sa’adah bermula 2 Februari lalu, mereka akhirnya disahkan lulus dan layak mendapat basikal setiap seorang.
Menurut salah seorang peserta, Muhammad Qairul Aziz Rosdi, 10, dia bersyukur mendapat basikal bukit yang diidamkannya sejak mendaftar untuk program itu.
“Mula-mula hadir solat Subuh berjemaah pada Februari lalu, saya lebih tertarik untuk menang basikal.
“Namun lama-kelamaan timbul pula rasa minat untuk ke masjid setiap hari bersama-rakan-rakan. Alhamdulillah syukur atas hadiah basikal ini dan terima kasih kepada masjid serta pihak yang menganjurkan program ini,” katanya.
Selepas 40 Hari Istiqamah
Sementara itu jelas murid Tahun 3, Muhamad Tarmizi Faezal, 9, dia gembira kerana dapat datang ke masjid dengan berbasikal bersama kawan-kawan selepas ini.
“Seronok datang ke masjid ini kerana bukan saja dapat solat, malah ada makanan disediakan dan dapat bermain dengan ramai kawan.
“Lepas ini tidaklah rasa bosan lagi duduk di rumah kerana dapat main basikal bersama sama-sama,” katanya.
Tambah Pengerusi Masjid, Datuk Amzah Osman, keseluruhannya pihak masjid menerima 45 penyertaan bagi program itu
Menurutnya, program itu bermatlamat mencari dan membimbing pelapis muda bagi mengimarahkan institusi masjid pada masa depan.
“Namun, pada hari ini (semalam) penyerahan basikal dibuat kepada 22 kanak-kanak saja dan bakinya seramai 23 orang lagi akan diserahkan pada fasa kedua.
“Ini disebabkan ada peserta masih belum lengkap program selama 40 hari atau menjalani kuarantin akibat kontak rapat Covid-19,” katanya.
Beliau ditemui pada majlis penyampaian itu yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Datuk Mohd Arif Yusa.
Menurut Amzah, beliau optimis bahawa peserta terbabit dapat dibentuk menjadi pelapis dalam mengimarahkan masjid di kampung itu pada masa depan.
Katanya, bagi tujuan itu pihaknya akan sentiasa membabitkan kanak-kanak terbabit dalam pelbagai program direncanakan masjid termasuk bacaan Yasin.
“Selepas ini kita akan jadikan anak-anak ini sebagai sukarelawan masjid, menganjurkan bengkel kerohanian buat mereka dan memastikan usaha istiqamah subuh berjemaah selama 40 hari ini terus dijadikan amalan,” katanya.
Mingguan Wanita : Program sebegini bukan saja memupuk minat anak-anak ke masjid malah menjadikan masjid sebagai tempat mesra kanak-kanak. Syabas buat anak-anak yang telah berjaya.
ZAMAN DAHULU BOLEH LAH NAK PERMAINKAN WANITA. SEKARANG ‘BIG NO’ Wanita hari ini PANTANG DICABAR!
Pernah diperlekehkan? Dipijak kepala? Buli atau takut berdepan masalah hidup? Dengar apa nasihat pakar. Jom sertai webinar sehari, AURA: Wanita Pantang Dicabar ini.
Berbuat baik dengan jiran tetangga sangat digalakkan. Tapi kena tahu batasan, jangan sampai terjadinya skandal dan jatuh cinta dengan jiran sendiri!
Puan Hajah Maimunah Haji Muhamad, kaunselor dan penulis bebas serta kolumnis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan Wanita, menjawab permasalahan daripada seorang wanita yang terjebak dalam hubungan cinta terlarang dengan jiran sebelah rumahnya sendiri.
Seorang Isteri Dan Ibu
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya seorang isteri dan ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan sembilan tahun. Bekerja sebagai seorang guru dan begitu juga dengan suami. Tinggal di sebuah kawasan perumahan di pinggir kota.
Kebanyakan yang tinggal di situ adalah ibu bapa muda yang usianya lebih kurang saya dan suami. Saya juga jenis yang gemar mengikuti apa-apa kegiatan di kawasan perumahan tak kira anjuran surau atau sebagainya. Manakala suami pula agak ‘culas’, pada masa terluang lebih dengan hobi memancingnya hingga saya sering kali ‘naik angin’.
Tapi bagi saya, perlu untuk mengenali jiran tetangga kerana jika ada kecemasan, boleh juga meminta pertolongan.
Gemar Masak
Pada masa terluang, saya gemar memasak kerana bagi saya itulah terapi untuk melepaskan tekanan bahkan minat itu memang hadir sejak kecil kerana suka membantu mak yang merupakan pengusaha kantin.
Memandangkan anak-anak masih kecil dan tidak terlalu banyak makan, saya sering kali berkongsi makanan yang dimasak dengan jiran tetangga. Maklumlah, dah terbiasa masak dalam kuantiti yang agak banyak. Daripada membazir, lebih baik sedekah pada jiran tetangga. Secara tak langsung makanan itu penyambung silaturahim antara jiran. Di sebelah kiri rumah saya tinggal keluarga berbangsa Cina dan suka dengan masakan saya terutama kek keju hasil air tangan saya. Malah acap kali mereka menempah jika ada keraian di rumah atau di pejabat mereka.
Manakala jiran sebelah kanan rumah pula pasangan Melayu dan punya tiga orang anak. Dengan mereka saya paling rapat malah anak-anaknya yang berkawan dengan anak-anak saya sering ke rumah. Malah kata mereka, seronok bila ke rumah saya kerana boleh makan macam-macam.
Rapat
Pasangan jiran saya itu, isterinya, saya kenalkan sebagai K juga guru seperti saya manakala suaminya, M, seorang pensyarah. Namun si isteri memang jarang masak, itu pun saya ketahui menerusi anak-anak mereka. Malah M pula yang suka memasak dan sering kali memasak.
Dipendekkan cerita, saya dan M sering bertukar resipi menerusi whatsApp. Entah bila bermula, kami juga mula berkongsi tentang masalah masing-masing seperti masalah kerja, dan anak-anak. Dan tanpa disedari, kami telah menjalinkan kemesraan di luar batas antara jiran!
Puan, kami berdua saling menyayangi. Pernah kami cuba tepis perasaan itu namun tak berjaya. Ia tidak diketahui oleh pasangan kami. Bahkan tak dapat dibayangkan apa akan jadi kalau mereka tahu.
Saya sendiri sedar saya berdosa kerana menduakan suami. Tapi bagaimana saya boleh tepis perasaan ini sedangkan setiap hari kami akan bersua muka? Perlukah saya berpindah tapi saya tak mampu untuk membeli rumah lain ketika ini. Saya ingin keluar dari perangkap cinta terlarang ini tapi tak mampu…
Isteri Berdosa.
Jawapan:
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Imam Ghazali pernah bertanyakan lima persoalan kepada anak muridnya, antara satu soalan yang ditanya apakah yang paling besar dalam dunia ini? Pelbagai jawapan diberikan oleh anak muridnya.
Nafsu
Tiada satu jawapan yang betul. Maka Imam Ghazali memberitahu jawapannya kepada anak muridnya bahawa yang paling besar dalam hidup ini adalah nafsu. Apakah yang dimaksudkan dengan besar?
Besar di sini bermaksud manusia tidak pernah puas dengan apa yang ada…apa yang Allah telah kurniakan senantiasa rasa tidak cukup. Mungkin pada ketika itu manusia rasa cukup dan tiada kekurangan dalam dirinya, namun apabila ada sesuatu yang menarik di mata dan di hatinya, atau lazat atau menimbulkan kesukaan dan kegembiraan yang teramat sangat, maka dia akan mudah terpaut dengan apa yang sedang dirasainya dan keinginan memilikinya amat tinggi. Tidak kira dalam apa jua bentuk sehingga dia terlupa adakah kenikmatan dan kegembiraan yang sedang dirasainya ketika itu memberi kebaikan atau keburukan kepada dirinya.
Apabila kenikmatan yang sedang dikecap itu dibiarkan untuk sekian lama tanpa berusaha secara bersungguh-sungguh mengatasinya, melayan perasaan dan fikiran ketika itu dengan apa yang dikecap, maka lama kelamaan kenikmatan itu menjadi “ketagih” yang apabila tiadanya benda, item, manusia, perkara atau peristiwa itu menjadikan hidupnya tidak tenteram, tidak boleh fokus, perasaan yang tidak tenang, fikiran yang kacau, hidup kurang bermaya, tiada motivasi, malah sebahagian besar aktiviti seharian akan terjejas.
Sukar Dikawal
Bercinta juga merupakan nafsu yang susah dikawal, walaupun bercinta itu indah dan jika dikuti dengan landasan yang betul dari segi adat dan agama maka ianya akan menjadikan hidup ini lebih bermakna. Bermakna dalam erti kata ia menyambung hubungan dengan manusia lain yang boleh dikongsi masalah dan hidup serta melahirkan zuriat yang perlu dididik dengan baik hingga berjaya.
Namun jika sudah lari landasan yang sebenar, ianya bukan lagi cinta tetapi nafsu syaitan yang dituruti. Bercinta yang melampaui batas adat dan agama juga antara nafsu yang tidak dibendung. Disebabkan asyik dan indahnya berada dalam alam khayalan fatamorgana yang dinamakan “cinta” itu, sebenarnya telah ditipu oleh syaitan hanya kerana nafsu yang tidak dikawal. Nafsu yang tidak boleh dikawal, tidak diurus dengan baik, malah dibiarkan sehingga melampaui batas akan memberi kesan yang amat buruk, kepada diri, keluarga dan masyarakat, apatah lagi terhadap Pencipta.
Keburukan mungkin tidak nampak ketika itu, tetapi dalam jangka masa panjang ianya akan memudaratkan diri, malah mendatangkan kemurkaan Allah. Manusia tidak mampu berfikir apakah kenikmatan yang dirasai itu diredai Allah atau mendatangkan kemurkaan Allah. Malah kesannya nanti azab yang bakal diterima di neraka kelak. Nikmat yang dirasai tidak sepadan dengan azab yang bakal diterima di akhirat kelak…nauzubillah….
Manusia sering kali pendek akalnya…hanya memikirkan keseronokan yang dirasai ketika itu sahaja. Dia tahu bahawa itu sesungguhnya tidak baik untuknya, untuk keluarganya, malah mendatangkan kemurkaan Allah, namun dia belum berusaha bersungguh-sungguh untuk “meninggalkan” keindahan dunia yang sedang dikecapinya
Dosa Dan Pahala
Puan yang dirahmati Allah. Cuba tanya pada diri, adakah puan bercinta seperti yang saya nyatakan di atas, atau puan mengikut hawa nafsu hingga sudah tidak boleh membezakan antara dosa dan pahala? Tidak boleh membezakan mana yang baik dan mana yang buruk?
Jika puan sudah menyedari ianya dosa besar yang puan lakukan terhadap diri puan sendiri, terhadap suami, terhadap anak-anak dan keluarga puan, malah manusia lain iaitu isteri kepada jiran puan dan anak-anaknya, maka mahukah puan berusaha bersungguh-sungguh untuk “membasuh” dosa yang puan lakukan? Dosa yang belum tentu diampunkan Allah hanya dengan tidak lagi berhubung dengannya?
Puan tahu kan besarnya dosa isteri yang berzina dengan lelaki lain? Nauzubillah… Puan seorang guru…seorang pendidik…perlu berusaha keras untuk “membasuh” dosa itu, tidak kira sama ada ianya akan jadi bersih atau tidak, namun usaha puan mesti berlipatkali ganda untuk membasuh dosa itu, mesti berusaha…ada kesungguhan, komitmen, ketahanan dan sanggup mengawal nafsu yang senantiasa mengajak kepada tuntutan syaitan.
Sebagaimana puan mendidik para pelajar puan agar belajar bersungguh-sungguh untuk cemerlang dalam peperiksaan, malah cemerlang akhlak dan cemerlang dalam kehidupan, maka puan juga perlu ada keinginan dan keazaman yang kuat. Saya rasa puan sendiri tahu caranya…namun saya hanya mengulangi petua dan panduan untuk membantu puan melupakan sejarah hitam yang memberi kemurkaan kepada Allah dan kedukacitaan kepada ahli keluarga puan, khususnya suami puan.
Elakkan
Pertama, putuskan terus hubungan dengannya. Tukar no telefon. Kedua, jika ada keramaian dengan keluarganya atau masyarakat setempat, seboleh mungkin elakkan. Elakkan bertentang mata dengannya, walaupun berselisih atau terserempak dengannya. Jika puan tahu dia berada di luar rumah dalam waktu tertentu, cuba jauhi daripadanya.
Jika dia minta untuk berjumpa buat kali terakhir untuk jelaskan segalanya, lupakan…itu adalah ajakan syaitan…. bukannya kebaikan. Setakat nak bertukar-tukar masakan dan berkongsi hobi, banyak lagi cara yang dibolehkan. Ketiga, tumpukan kepada kerjaya membina anak-anak. Kerjaya puan adalah kerjaya yang murni. Tugas seorang pendidik mendidik manusia untuk jadi lebih baik.
Jangan hanya kerana mengikut nafsu, maka puan sanggup “mencalarkan” kerjaya seorang pendidik. Seterusnya bina cinta dengan suami, bukan lelaki lain. Belajar mencintai suami dan anak-anak. Penuhi masa dengan perkara yang berfaedah untuk melupakan apa yang puan telah lakukan yang menimbulkan kemurkaan Allah. Bertaubatlah sementara pintu taubat masih diterima Allah. Banyakkan solat malam mohon keampunan atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Banyakkan membaca Quran, ikuti majlis ilmu agama. Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa puan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.