Lepas seronok dapat peluang beraya dengan mak ayah di kampung, sambung pula penuhi rumah terbuka di musim raya. Ya, Syawal masih berbaki. Tentu tak menang tangan untuk memenuhi undangan ke rumah terbuka.
Untuk keluarga kecil saya, kami tak pernah adakan rumah terbuka tapi kami sentiasa berbesar hati untuk menerima kedatangan saudara mara dan rakan taulan yang sudi berkunjung. Kata orang, tetamu datang bawa rezeki untuk tuan rumah, takkan mahu tolak kan?
Ramadan dan Syawal 2018 berbeza buat saya dan adik beradik apabila mak dan ayah kami diuji dengan masalah kesihatan. Ayah hampir kehilangan ibu jari kaki akibat kencing manis. Alhamdulillah, semakin sembuh.
Sakit ayah belum pulih sepenuhnya, kami diduga pula dengan masalah kesihatan mak yang diserang strok untuk kali kedua. Tiga tahun lepas, ketika serangan strok pertama, mak hanya tak mampu bertutur dengan jelas, tapi fizikalnya masih kuat. Boleh uruskan diri sendiri. Tapi serangan strok kali kedua ini, separuh badan (sebelah kirinya) lumpuh dan terpaksa berkerusi roda. Tak mampu untuk uruskan diri sendiri.
Tiga hari mak berada di hospital sebelum dibenarkan pulang. Ketika itu, sehari sebelum pilihan raya. Dari awal mak sakit, salah seorang makcik telah berpesan kepada kami supaya menjaga solat dan aurat mak. Katanya, apabila pesakit sudah tak mampu menguruskan diri, tanggungjawab penjaga untuk membantu pesakit berwuduk dan solat. Mungkin solat mereka tak sempurna, tetap kena bantu mereka solat macam biasa. Jangan jadikan alasan mereka sakit, maka mereka tak perlu solat.
Selepas strok, mak tidak ingat bacaan solat dan setiap kali solat, kami perlu ada di sisi untuk bacakan setiap bacaan dalam solat, daripada niat hinggalah doa selepas solat. Mak solat sambil duduk, hanya akan mengikut bacaan di dalam hati saja.
Berwuduk juga mudah, gunakan spray (semburan) saja dan tak perlu bawa ke tandas setiap kali nak berwuduk. Tapi pada mulanya sukar juga nak pujuk mak yang tiap kali nak solat, dia hendak ambil wuduk di tandas seperti biasa. Mungkin rasa tak yakin ambil wuduk dengan menggunakan semburan air saja. Tapi bila dipujuk dan diterangkan, mak akur. Susah juga kerana tiap kali hendak ke tandas, kami kena angkat dan tolak kerusi roda ke tandas.
Begitu juga bila tetamu datang ziarah, tak kira di hospital atau di rumah. Anak-anak yang menjaga perlu ambil berat soal aurat walau pun pesakit sedang berbaring sekali pun. Pastikan kepala mereka ditutup sempurna. Kadangkala perkara ini sering kali ‘terlepas pandang’ oleh penjaga.
Sepanjang Ramadan lalu, kami bawa mak ke Selangor. Untuk hari bekerja, dijaga adik di Klang. Pada tiap hujung minggu, mak akan dibawa ke rumah saya di Shah Alam dan dua orang adik juga akan berkampung di rumah saya untuk menjaga mak bersama-sama. Ya, bukan mudah hendak menjaga orang sakit yang memerlukan bantuan kita untuk setiap perkara. Sabar kena sangat tinggi. Tapi, bahagia tetap memenuhi ruang hati bila dapat menjaga orang yang kita sayang. Semoga Allah SWT memberikan kesembuhan sepenuhnya untuk mak dan ayah saya.
Aamiin.