Anak-anak kita adalah pinjaman. Begitu juga perkahwinan. Keluarga kita. Entah bila Allah akan beri atau sampai bila Dia mahu pinjamkan, tiada siapa tahu. Sebab itu kita perlu selalu beringat, supaya bila tiba masanya pinjaman-pinjaman itu ditarik balik, fikiran dan tingkah laku kita masih waras, dan kita reda dengan ketentuan-Nya.
Sedari sejak semalam, dinding Facebook saya dihujani posting pilu tentang kes adik Adam Rayqal, bayi lima bulan yang ditemui mati dalam peti sejuk beku di rumah pengasuhnya. Saya sendiri tersentak dengan kegilaan ini, sampaikan nak buka freezer pun saya terbayang bagaimana kalau ada mayat budak disorokkan di situ.
Kebiasaan saban malam, berkali-kali saya akan usap kepala anak-anak yang tidur. Saya pandang wajah Mimi dan Hfiy yang kosong tanpa emosi. Kucup dahi dan telinga-telinga kecil berbau bedak bayi. Diam-diam saya panjatkan doa, ‘Ya Rabbi, mudah-mudahan walau apa terjadi sekali pun, biarlah Mommy yang pergi dulu sebelum anak-anak Mommy.’
Ya, mak mak semua pun begitukan? Dan kalau kita ditakdirkan menjadi ibu Adam, kita juga pasti tak sanggup melihat jenazah anak sendiri. Apa lagi untuk memangku sekujur tubuh yang pernah dikandung 9 bulan, sudah keras dan membiru. Kerana logiknya orang tualah yang akan terlebih dulu meninggalkan anak sehinggakan kita lupa untuk bersedia, bagaimana jika suatu hari nanti Allah mengambil mereka kembali sebelum kita.
Peristiwa yang menimpa adik Adam Rayqal membuat saya mula berfikir, bagaimana jika diduga kehilangan anak secara tiba-tiba. Mungkin ada segelintir mak mak yang pernah melalui pengalaman menyedihkan ini juga boleh berkongsi, barangkali baik untuk dijadikan persiapan diri jika seandainya kita diuji pengalaman pahit seperti ini.
5 ikhtiar yang boleh diusahakan:
(a) Terima ketentuan takdir dan percaya bahawa anak yang meninggal dunia itu akan menanti di syurga. Cuba beribadah dengan lebih khusyuk untuk melupakan kesedihan.
(b) Ambil masa untuk bertenang. Banyak orang yang mengaku faham tapi sebenarnya tidak tahu makna satu kehilangan. Tidak salah untuk kita berkabung di rumah beberapa hari.
(c) Berkongsilah perasaan rindu dan kesedihan terhadap anak itu dengan pasangan atau ibu bapa kita. Lupakan kenangan lalu secara perlahan, luah dan peluklah seseorang.
(d) Cipta suasana baru di rumah. Hilangkan bayangan si manja yang sudah meninggal dunia dengan mengubah dekorasi sedia ada. Dermakan barang permainan dan baju-bajunya kepada golongan yang memerlukan supaya kita tak teringat-ingat pada arwah.
(e) Sibukkan diri dengan kerja atau hobi baru. Memang betul kita tak mungkin dapat melupakan kenangan dengan anak tersayang tapi perasaan sedih akan berkurang seiring dengan masa yang berlalu dan kesibukan ini.
Harapan saya semoga ibu Adam Rayqal dan seisi keluarga mangsa tenang menghadapi dugaan ini. Kuatkan hati Puan, insyaAllah saya percaya ada hikmah dan rezeki lain yang menanti di depan. Sehingga itu, salam takziah daripada kami di meja Mingguan Wanita… Norzalina Mohd Alias.