Kehidupan berpoligami boleh menjadi harmoni ada kejujuran dan persefahaman yang tinggi daripada semua pihak. Ini kerana ia bukan sahaja berkongsi kasih malah turut berkongsi tanggungjawab pada pasangan.
“Mereka berdualah hidup dan mati saya,” kata Maaroof Noordin, 58, mengenai isteri pertamanya, Noraini Ishak, 42, dan isteri kedua, Effa Rizam Abd Ghafar, 42.
Noraini dan Effa Rizam bukan sahaja mampu berkongsi kasih, malah setia menjaga suami yang sakit dalam keadaan kehidupan keluarga dihimpit kesusahan selepas Maaroof kehilangan kaki kiri akibat penyakit kencing manis, kira-kira tiga bulan lalu.
“Hidup kami berubah selepas kaki kiri saya terpaksa dipotong Oktober lalu, sekali gus tak mampu lagi teruskan kerja sebagai tukang rumah. Kini isteri kedua terpaksa bekerja sebagai tukang kebun di sebuah kilang di Gebeng, dengan pendapatan RM1,500 sebulan.
“Isteri pertama pula menguruskan rumah, termasuk menjaga keperluan saya,” kata Maaroof ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cherating Lama, di sini, hari ini.
Dia berkahwin dengan Noraini pada 2007 dan sudah hampir lima tahun berpoligami selepas mengahwini Effa Rizam pada 2018, namun tidak dikurniakan anak bersama kedua-dua isterinya itu.
Sementara itu, Effa Rizam berkata, dia dan madunya sudah membahagikan tanggungjawab masing-masing selepas suami mereka kehilangan kaki kiri yang terpaksa dipotong.
“Namun dengan pendapatan sekarang memang tak cukup, sewa rumah dan bil api air juga sudah dua bulan tertunggak. Untuk kos rawatan suami termasuk barang keperluan dan belanja ulang alik ke hospital sahaja sudah cecah RM600 sebulan,” katanya.
Terdahulu, nasib keluarga terbabit mendapat perhatian badan bukan kerajaan (NGO), Amal Team yang memberikan sumbangan berupa katil, kerusi roda serta barangan keperluan harian termasuk makanan.
Mengenai penyakitnya, Maaroof berkata, dia disahkan menghidap kencing manis pada 2021 dengan petanda awal apabila bahagian kaki sebelah kiri membengkak digigit semut, tetapi pulih tidak lama kemudian.
“Selepas itu, bahagian sama digigit nyamuk dan pemeriksaan lanjut mendapati saya menghidap penyakit kencing manis peringkat empat. Kemuncaknya pada Oktober lalu apabila doktor menasihatkan saya memotong kaki bagi mengelak masalah ke bahagian lain,” katanya.
Bagi membantu meringankan beban keluarga itu, Pemudah Cara Amal Team yang turut berperanan dalam Briged Asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Jamilah Salleh, berkata pihaknya sudah memanjangkan kes berkenaan kepada MUIP untuk bantuan selanjutnya.
“Daripada siasatan yang kami lakukan, keluarga ini tergolong dalam kategori asnaf dan layak menerima bantuan berkaitan. Sekarang kami sedang mengusahakan bantuan ‘one-off’ untuk keluarga ini bagi menyelesaikan tunggakan sewa dan bil. Bantuan bulanan daripada MUIP masih dalam proses,” katanya.
Mesti Baca:Tak Rela Bermadu, Tolak Dakwaan Anti Poligami “Keputusan Bercerai, Allah Gerakkan Hati Sarah”
Baca Lagi Di Sini:Ikon Poligami Ada Nasihat Untuk Sarah, Kongsi Tip KUNCI POLIGAMI Bentuk Keluarga Bahagia
Artikel Menarik:Ashraf Dedah Ramai Lelaki Minta Tip Poligami, Keharmonian Rumah Tangga Dua Pasangan
Mingguan Wanita:Beruntung suami ini dan isteri-isterinya yang hidup dalam harmoni serta saling memahami tanggungjawab masing-masing.
Sumber: Bharian
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.