Sungguh tak sangka, faktor merajuk merupakan antara punca terbesar ramai warga emas memilih untuk tinggal di Rumah Kebajikan Orang-Orang Tua atau lebih dikenali Rumah Seri Kenangan bagi menghabiskan sisa-sia hari tua.
Perkara ini didedahkan oleh Puan Zaiton Muhammad,57, Pembantu Perawatan Kesihatan yang telah berkhidmat dan menabur bakti selama hampir 35 tahun disini.
“Saya percaya Setiap orang tua yang mendaftar masuk disini mempunyai masalah yang tersendiri. Tapi pandangan peribadi saya sendiri selama 35 tahun bekerja di Rumah Seri Kenangan, asasnya yang menjadi punca terbesar dan paling ramai masuk disini disebabkan akibat ‘merajuk’ dengan dengan orang sekeliling. Baik merajuk dengan anak-anak, menantu, keluarga, adik beradik dan sebagainya. Bila dah merajuk, ramai yang memilih untuk tinggal disini kerana rasa tidak diperlukan dan tidak mahu menyusahkan sesiapa.”
“Kita kena sedar orang tua mempunyai egonya yang tersendiri serta mudah berkecil hati.Sebagai anak kita perlu ikutkan ‘rentak’ mereka dan sabar melayani mereka.” ujar Zaiton ini yang lebih mesra dipanggil Ibu.
Menurut wanita cekal dan penyayang ini, bekerja di Rumah Seri Kenangan sejak berusia 19 tahan sehingga sekarang banyak mengajar beliau pengalaman hidup. Daripada cara melayani orang tua, memahami ragam mereka, saat mendepani kematian dan sebagainya.Segalanya dijadikan iktibar dan ‘pelajaran’ terindah buat beliau.
Berikut antara perkongsian tip oleh Zaiton bagi menjaga warga emas/ mak ayah yang lanjut usia.
1. Anak perlulah sentiasa bersabar dan memahami perangai / ragam orang tua.
2. Mengalahlah dalam apa juga keadaan dan situasi. Tangani dengan sebijaknya walaupun kurang bersetuju dengan pendapat mereka.
3. Sebagai anak, jangan mudah ambil hati dengan percakapan atau perbuatan mak ayah.
4. Pendam segala kemarahan dan jangan luahkan pada mak ayah.Hormati mereka dalam apa juga keadaan.
5.Bijak tangani ego mak ayah yang tak suka dibangkang pendapat mahupun suruhan mereka.
Orang tua atau mak ayah yang lanjut usia memang memiliki jiwa yang sensitif, mudah merajuk dan paling tak suka anak-anak melawan kata-kata mereka. Kita sebagai anak, kenalah bijak melayani mereka. Bercakap biarlah berlapik, atur susun kata sebaik-baiknya.Ingatlah segala jasa dan pengorbanan mereka, sewaktu kita kecil dahulu.
Memang tak mudah untuk melayani dan menjaga orang tua, apatah lagi jika yang telah berusia dan mengalami masalah kesihatan seperti nyanyuk dan sebagainya.Namun bersyukurlah masih memiliki mak ayah dikala ramai anak-anak lain mengharapkan redha, doa dan keberkatan daripada mak ayah mereka dah telah lama pergi meninggalkan dunia ini.
Semoga hanya balasan pahala yang berlipat kali ganda, diberikan buat anak-anak yang gigih, menjaga dan melayan orang tua yang telah lanjut usia dengan sebaik-baiknya.