Sungguh tak sangka, faktor merajuk merupakan antara punca terbesar ramai warga emas memilih untuk tinggal di Rumah Kebajikan Orang-Orang Tua atau lebih dikenali Rumah Seri Kenangan bagi menghabiskan sisa-sia hari tua.
Perkara ini didedahkan oleh Puan Zaiton Muhammad,57, Pembantu Perawatan Kesihatan yang telah berkhidmat dan menabur bakti selama hampir 35 tahun disini.
“Saya percaya Setiap orang tua yang mendaftar masuk disini mempunyai masalah yang tersendiri. Tapi pandangan peribadi saya sendiri selama 35 tahun bekerja di Rumah Seri Kenangan, asasnya yang menjadi punca terbesar dan paling ramai masuk disini disebabkan akibat ‘merajuk’ dengan dengan orang sekeliling. Baik merajuk dengan anak-anak, menantu, keluarga, adik beradik dan sebagainya. Bila dah merajuk, ramai yang memilih untuk tinggal disini kerana rasa tidak diperlukan dan tidak mahu menyusahkan sesiapa.”
“Kita kena sedar orang tua mempunyai egonya yang tersendiri serta mudah berkecil hati.Sebagai anak kita perlu ikutkan ‘rentak’ mereka dan sabar melayani mereka.” ujar Zaiton ini yang lebih mesra dipanggil Ibu.
Pelajaran Terindah
Menurut wanita cekal dan penyayang ini, bekerja di Rumah Seri Kenangan sejak berusia 19 tahan sehingga sekarang banyak mengajar beliau pengalaman hidup. Daripada cara melayani orang tua, memahami ragam mereka, saat mendepani kematian dan sebagainya.Segalanya dijadikan iktibar dan ‘pelajaran’ terindah buat beliau.
Berikut antara perkongsian tip oleh Zaiton bagi menjaga warga emas/ mak ayah yang lanjut usia.
1. Anak perlulah sentiasa bersabar dan memahami perangai / ragam orang tua.
2. Mengalahlah dalam apa juga keadaan dan situasi. Tangani dengan sebijaknya walaupun kurang bersetuju dengan pendapat mereka.
3. Sebagai anak, jangan mudah ambil hati dengan percakapan atau perbuatan mak ayah.
4. Pendam segala kemarahan dan jangan luahkan pada mak ayah.Hormati mereka dalam apa juga keadaan.
5.Bijak tangani ego mak ayah yang tak suka dibangkang pendapat mahupun suruhan mereka.
Orang tua atau mak ayah yang lanjut usia memang memiliki jiwa yang sensitif, mudah merajuk dan paling tak suka anak-anak melawan kata-kata mereka. Kita sebagai anak, kenalah bijak melayani mereka. Bercakap biarlah berlapik, atur susun kata sebaik-baiknya.Ingatlah segala jasa dan pengorbanan mereka, sewaktu kita kecil dahulu.
Memang tak mudah untuk melayani dan menjaga orang tua, apatah lagi jika yang telah berusia dan mengalami masalah kesihatan seperti nyanyuk dan sebagainya.Namun bersyukurlah masih memiliki mak ayah dikala ramai anak-anak lain mengharapkan redha, doa dan keberkatan daripada mak ayah mereka dah telah lama pergi meninggalkan dunia ini.
Semoga hanya balasan pahala yang berlipat kali ganda, diberikan buat anak-anak yang gigih, menjaga dan melayan orang tua yang telah lanjut usia dengan sebaik-baiknya.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sekeluarga Kemalangan Sayunya Ibu Dan Ayah ‘PERGI’ Dulu, Tinggallah 3 Beradik Yatim Piatu
Isi Kandungan
ToggleKejadian kemalangan yang berlaku penghujung Disember 2016 melibatkan lima beranak meragut nyawa ibu dan ayah. Tragedi itu juga menyebabkan tiga anak perempuan arwah cedera parah.
Allahyarham Ridzuan Abdul Rajak, 33 dan Intan Maizura Aidul Badri, 34 meninggalkan anak-anaknya, Mia Dhelisya Ridzuan, 6 Ayra Batrisya, 4 dan Rania Elysya, 2 selepas kenderaan yang dipandu kemalangan membabitkan empat buah kereta dan empat buah lori.
Ketika kejadian, mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur sebaik selesai mengadakan majlis kenduri arwah ayah Intan di Taiping, Perak.
Dalam perjalanan balik itulah, mereka berhajat singgah ke rumah dua orang adik beradik Intan di Slim River.
Sayang hajat tak kesampaian, bila mana kenderaan mereka terbabit kemalangan. Sampaikan kesesakannya berlanjutan lebih 14 kilometer. Kejadian berlaku di kilometer 371.9 berhampiran susur keluar Slim River arah Selatan sekitar 3.30 petang.
Kemalangan berpunca dari sebuah lori dari arah Selatan menghala ke Utara yang hilang kawalan. Lalu memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar kenderaan lain
Buka Facebook Nampak Nama Kakak Dan Abang Ipar Kemalangan Maut
Mingguan Wanita menghubungi, abang Intan, Khairil Izham Abdul badri, 39 untuk mendapatkan cerita di sebalik kejadian.
“Masa kejadian, saya bekerja di Slim River. Adik lelaki saya yang buka butik pengantin MySanding di Slim River pun masih bekerja di butiknya.
“Kenduri arwah ayah ini tak dirancang dan Intan buat secara tiba-tiba. Memandangkan kami bekerja, tak dapatlah kami balik. Hari yang sama juga, intan ada telefon adik lelaki yang dia nak singgah lepas selesai kenduri di Taiping.
“Mereka bertolak jam 1 ke 2 petang. Ikutkan dalam jam 4 dah sampai rumah kami. Tapi mereka tak juga sampai. Adik lelaki saya hairanlah. Kenapa lama sangat. Dia cuma fikir, mungkin sangkut dalam kesesakan di lebuh raya.”
Butik pengantin adik lelaki Intan ini berada dekat dengan lebuh raya. Kalau jenguk menerusi tingkap, memang boleh nampak pergerakan kenderaan di atas lebuh raya.
Adik lelakinya perasan ada kesesakan teruk. Agaknya tentulah ada kemalangan. Tapi dia tak tahu yang mangsa kemalangan itu adalah adik perempuannya sendiri.
“Hari itu saya ada di studio. Tak jauh dari butik pengantin itu. Berehat setelah habis bekerja.”
Bila dah jam 6 petang, adik lelakinya tutup kedai dan pulang ke rumah. Tapi dia tak sedap hati. Dia telefon kakaknya, Intan tapi tak berjawab.
“Sangka adik lelaki saya mungkin bateri telefon Intan dah habis.”
Kejutan Buat Kami
Ketika jam 7 malam, isteri adik lelakinya buka Facebook. Tiba-tiba dia terbaca berita kemalangan besar melibatkan lapan buah kenderaan.
Mulanya dia tak perasan lagi. Tapi lepas baca detail barulah dia nampak nama Intan, suaminya dan kereta Exora. Segera dia beritahu suaminya.
“Ini adik aku!” Tanpa fikir panjang, adik lelaki saya terus telefon saya. Tapi saya pula tak jawab.
Dia terus ke studio. “Saya ingat lagi dia kata, ‘Am.. Intan punya famili dah accident Am. Meninggal Am.”
“Saya terkejut. Tanya mana dia tahu berita tu. Dia kata dia nampak di Facebook. Terus dia tunjuk berita tu dekat saya.”
“Kami segera ke Hospital Slim River untuk mengesahkan betulkah itu Intan. Hospital pula tak jauh dari butik pengantin adik lelaki saya. Sebaik sampai, kami tanya kakitangan hospital. Dan mereka beritahu jenazah Intan suaminya ada di bilik mayat.”
Bateri Kong, Polis Tak Dapat Nak Maklum Segera
Waktu itu, pihak polis pun tak dapat nak maklumkan pada keluarga Intan. Memandangkan telefon Intan rosak. Mereka tak tahu nak cari siapa kecuali pergi ke alamat rumah di Taiping.
Mereka bersyukur sebab kami datang hospital. Selepas sahkan yang meninggal dunia itu adik perempuan mereka, Khairil rasa begitu berat hati mahu maklumkan pada ibunya di Taiping.
“Rupanya situasi di rumah pun sama. Emak minta adik bongsu kami, Ain telefon Intan. Nak tahu sama ada Intan dah selamat atau belum sampai ke KL.
“Ain cuba hubungi Intan tapi tak dapat. Masa yang sama, adik saya duduk depan TV. Dia nampak berita itu dan perasan nama yang disebut sama dengan nama kakak dan abang iparnya.
“Adik saya beritahu emak yang dia nampak nama Intan dan suaminya Iwan keluar dalam berita. Mereka kemalangan.
“Emak macam tak nak percaya. Dalam masa beberapa minit saya pula telefon emak. Ain yang jawab. Saya beritahu berita yang sama. Emak masih tak boleh terima.
Selepas kejadian itu, semua ahli keluarga bergegas ke Slim River. Demi memudahkan ahli keluarga untuk melawat, jenazah suami isteri itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Balun dekat Slim River.
“Slim River itu dah tengah-tengah perjalanan antara KL dan Taiping.”
Mama Datang, Pesan Jaga Diri Elok-elok
Biarpun peristiwa itu dah setahun berlaku, tiga orang anak buahnya masih tak mengerti apa yang mereka lalui. Selepas kemalangan, anak-anak ini dijaga neneknya, Tom Binti Dan, 71 dan adik perempuan bongsu, Ain Azmona dan suami di Taiping.
Kebetulan adik bongsunya itu masih belum dikurniakan cahaya mata setelah lama berkahwin. Adik bongsu dan adik iparnya sanggup menjaga ketiga-tiga anak buah mereka.
“Ini perancangan Tuhan. Kini keadaan anak-anak buah saya lebih baik selepas kemalangan itu. Saya pernah bertanya pada Mia sama ada dia sedar ketika kemalangan berlaku.
“Mia kata dia sedar dan dapat melihat mama dan papanya. Tetapi dia tak boleh buat apa-apa kerana tak larat dan penat. Baru-baru ini saya balik ke kampung. Saya tanya keadaan dia.
“Kata emak, kadang-kadang Mia menangis. Pernah emak tanya kenapa. Jawabnya, mama datang dan pesan dia jaga diri elok-elok. Selepas ini mama tidak boleh datang lagi sebab mama jauh.
“Nanti kalau ada duit simpanan itu berjimat. Bila saya tanya, kata Mia, dia bermimpi. Mungkin kerana rindukan arwah.”
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Saya Mahukan Keadilan Buat Along!” Tolonglah Ibu Sakit Kanser Ini
Isi Kandungan
ToggleKetika kisah ini ditulis, sudah lebih 70 hari anaknya meninggal dunia. Allahyarham anaknya juga telah selamat dikebumikan. Namun Wan Hasmiza Wan Ismail masih dalam keadaan tertanya-tanya. Siapakah yang melanggar anaknya pada malam 18 Oktober 2018 lalu?
Ditambah pula, sebagai penghidap kanser Limfoma tahap 2B, Wan Hasmiza berharap selagi dia masih hidup dia mahu kematian anaknya itu ada titik noktahnya. Dia mahukan keadilan buat anaknya.
Wan Hasmiza merayu agar saksi kejadian yang melihat kemalangan maut melibatkan anak sulungnya Nor Hafiz Hafizan Raja Nor Azuan, 19 tahun di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berhampiran susur keluar ke Lebuhraya Persekutuan tampil dengan segera bagi meredakan pertanyaan yang membelenggu jiwa raganya.
Ketika ditemui di kediamannya yang terletak di Mentari Court, Petaling Jaya, Selangor, ternyata ibu kepada empat orang anaknya ini masih bersedih dengan tragedi yang menimpa keluarganya.
“Sebagai ibu, saya mengharapkan keadilan buat anak saya. Perkataan pertama yang saya dengar adalah anak saya dilanggar lari. Cuma saya mahu keadilan untuk anak saya. Saksi atau si pelaku, kalau tengok atau terbaca cerita saya ini, tolonglah.
“Tolonglah letak anda di tempat saya. Kalau saya sihat seperti orang lain, mungkin saya tidak terdesak seperti ini. Hafiz tunggak keluarga kami dan jadi semangat saya. Apabila dia sudah tidak ada, saya mahukan keadilan buat dia.
“Dia banyak berjasa dekat saya. Saya mahu seandainya si pelaku atau saksi yang nampak kejadian berlaku pada malam itu, tolong tampil bagi keterangan dekat saya. Kalau takut hendak pergi ke Balai Polis, anda boleh datang bertemu saya di rumah. Boleh hubungi nombor telefon saya, 018-4675768,” katanya dengan nada cukup sedih.
Wan Hasmiza bersungguh-sungguh mahu mengetahui cerita sebenar yang berlaku pada malam Jumaat itu.
“Saya sudah beri masa yang teramat panjang. Sekarang ini tidak ada sebarang berita yang saya terima. Saya mahukan keadilan buat dia. Minta tolong sangat. Siapa sahaja. Tidak kira bangsa apa sekalipun, siapa yang rasa dia yang terlanggar, maknanya bukan saya kata dia yang langar tetapi terlanggar anak saya, tolonglah jumpa dengan saya.Kalau tidak mahu malu, boleh datang secara personal ke rumah dan jumpa saya.
“Tolong beritahu cerita sebenar sebab sekarang ini saya dalam keadaan teka-teki sama ada betul anak saya dilanggar lari atau terbabas. Saya redha dia pergi. Tetapi saya hendak betul-betul cerita itu perkara yang sebenar,” katanya bersungguh-sungguh.
Rindu Tidak Terhingga
Rindu. Hanya mereka yang bergelar ibu sahaja tahu akan perasaan Wan Hasmiza. Anaknya sudah tidak ada di hadapan mata. Sekadar gambar yang disimpan di dalam telefon bimbit jadi kenangan tatkala rindu menjelma. Sesekali jatuh juga air mata melihat senyuman manis anak sulungnya itu.
“Sebagai emak, saya amat rindu pada Hafiz. Ya Tuhan. Hanya Dia sahaja yang tahu. Di atas dunia ini, dialah semangat saya apabila saya disahkan sakit kanser. Dialah yang banyak membantu saya selain daripada anak nombor dua dan suami saya.
“Dia yang banyak membantu saya. Daripada tidak boleh masak, dia yang tolong masak. Dia tolong suapkan saya. Sekarang ini saya mengharapkan dia berada dalam syurga Firdaus di kalangan orang soleh lain. Cuma sekarang ini saya mahu keadilan.
“Saya harap sangat agar dia datang dalam mimpi saya. Namun, hanya sekali sahaja dia datang dalam mimpi sahaja. Itu pun masa saya dalam keadaan bukan betul-betul sedar. Ketika itu saya seperti hilang arah. Mungkin dia datang untuk memberi tahu bahawa dia tidak senang di ‘sana’.
“Jadi, saya ubah hidup saya. Saya ubah cara saya. Saya banyak buat solat taubat, solat tahajud dan solat hajat untuk dia. Selepas itu dia tidak datang lagi dalam mimpi saya sehingga ke hari ini,” katanya yang ingin sangat bertemu anak kesayangannya di alam mimpi.
Tidak Sempat Sambut Hari Lahir
Menurut wanita berusia 40 tahun yang terpaksa berhenti kerja Februari 2018 lalu berikutan kesihatannya semakin lemah kerana kanser, dia begitu terkilan kerana tidak sempat untuk menyambut ulang tahun ke 19 anak sulungnya itu.
“Semuanya sudah saya sediakan termasuk membeli makanan, penyediaan permainan malah pemilihan tema baju yang bakal disambut pada hari Ahad. Saya ingatkan untuk maklumkan pada anak hari Jumaat itu tetapi Allah lebih sayangkan dirinya,” ceritanya lagi.
Mengimbas semula kisah malam tersebut, kata Wan Hasmiza sekitar jam 11 lebih, pihak polis memaklumkan kepadanya bahawa anaknya kemalangan di Jalan Klang Lama dan kini berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Saya baru sahaja masuk tidur ketika itu ditambah rasa tidak sihat akibat kanser. Bila ketukan di pintu, pihak polis memaklumkan kejadian ini. Awalnya saya menyangka bahawa anak kemalangan biasa sahaja.
“Tapi selepas pihak polis pulang, saya ternampak seorang lelaki seperti mencari-cari rumah seseorang. Saya tegur dia, katanya dia mencari rumah Nor Hafiz. Bila saya kata saya emak Along, dia maklumkan anak kemalangan di Lebuhraya LDP dan mayatnya ada di lokasi kejadian.
“Mulanya saya tak percaya kerana pihak polis baru maklumkan lain tapi dia cakap dia bawa bukti iaitu kad pengenalan anak, ketika itulah saya mula rebah sehingga perlu dipapah. Kami bergegas ke lokasi kejadian dan benar Along sudah terbujur kaku,” katanay dengan nada sedih.
Jelas Wan Hasmiza lagi, dari cakap penunggang motosikal, mereka mengakui sudah mengalihkan motosikal Along dari lorong tengah ke tepi sementara mayat anak masih berada di lorong laju. Wan Hasmiza menjelaskan lagi akibat kemalangan, bahagian kepala anaknya cuma ada sedikit luka. Tak ada patah di bahagian tubuhnya.
Bantu Gelandangan Dan Wakafkan Al-Quran Untuk Keluarga
Pada hari kejadian, Wan Hasmiza terkilan kerana anaknya tidak sempat makan lauk kari makanan kesukaannya.
“Biasa lepas balik dari Politeknik Shah Alam, arwah akan makan nasi dahulu tapi pada hari itu, dia solat dulu. Makan pun tak sempat sebelum bergegas ke tempat kerja. Sebab itulah saya begitu terkilan kerana anak tak sempat jamah makanannya.
“Selepas kemalangan barulah saya dapat tahu bahawa anak saya disayangi ramai. Dia juga aktif dalam kerja dakwah dan kebajikan Islam dengan memasuki Persatuan Pelajar Islam Selangor,” katanya lagi.
Daripada kawan-kawannya juga barulah Wan Hasmiza mengetahui bahawa duit gaji kerja sambilan anaknya itu telah banyak dihabiskan membantu gelandangan dan mewakafkan Al-Quran untuk keluarganya. Sebab itulah dia selalu tidak ada duit.
“Betapa mulianya hatimu anak !” ujar Wan Hasmiza mengakhiri perbualan.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Hati isteri Mana Yang Tak Sayu Bila Suami Disayangi Tiba-Tiba Ditimpa Musibah. Kepalanya Tinggal Kulit Dengan Otak.” Wanie Hanya Sempat Bergelar Isteri 10 Bulan
Isi Kandungan
Toggle“Ya Allah rindunya pada dia, tiada kata yang mampu aku luahkan, rindu yang aku pendam, rindu nak kucup tangan itu, rindu nak berbantalkan lenganmu wahai suami. Ya Allah, kau terus berikan aku kekuatan untuk aku lalui liku-liku kehidupan ini. Tenanglah di sana wahai suamiku. Doa isterimu sentiasa mengiringmu tiap masa. Terima kasih Ya Allah kerana telah memberi peluang kepada aku untuk merasai nikmat kebahagiaan sebagai isteri bersama dia walaupun hanya sementara,” itulah antara doa yang sentiasa dititip oleh Nurzawani Mohd Ismawi, 25 (Wanie) terhadap arwah suaminya, Mohamad Arsyad Azhar, 24 yang telah kembali ke ramahtullah pada 26 September 2017 akibat kemalangan jalan raya.
Melepaskan suami kesayangan bukanlah satu perkara mudah apatah lagi baru 10 bulan menjalani kehidupan sebagai pasangan suami isteri. Namun aturan Allah tiada siapa yang dapat sangkalkan.
“Tarikh 26 September akan menjadi tarikh yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila. 26 November 2016 kami dinikahkan dan 26 September 2017 selepas 10 bulan pernikahan kami, Arsyad kembali kepada penciptaNya. Segala aturan Allah itu ada hikmahnya, saya ada terbaca mesej arwah kepada rakan-rakannya iaitu nak bercinta selepas kahwin. Padanlah baru saja kenal arwah terus ajak kahwin. Walaupun kami tak sempat bercinta sekejap saja selepas berkahwin namun saya reda dan akan sambung bercinta sampai ke jannah. Saya reda atas semua ini,” luah Wanie ketika penulis bertemu dengannya di kediaman wanita ini yang terletak di Klang.
Bagaikan tidak sampai hati untuk menemubual wanita bertubuh kecil ini untuk mengimbau kembali nahas yang menimpa arwah suaminya. Namun dek kerana tugas penulis terpaksa lontarkan persoalan kepada dirinya. Wanie yang kelihatan tabah, menceritakan segalanya termasuklah menjaga Arsyad dalam keadaan koma selama tiga bulan.
Arsyad Tak Banyak Cakap
Menurut Wanie nahas berlaku pada 13 Jun 2017 hampir dua minggu umat Islam mengerjakan ibadah puasa. Tiada kelainan yang berlaku malah Arsyad juga sewaktu keluar dari rumah melangkah ke pejabatnya seperti kebiasaan dengan menunggang motosikal miliknya.
“Beberapa hari sebelum kejadian dia tak banyak bercakap, bila ajak berbual-bual dia lari-lari. Sebenarnya kami baru saja tinggal bersama, selepas bernikah kami tinggal berasingan Arsyad tinggal di Seremban dan saya di Klang. Sebabnya dia bekerja dengan bapanya, saya pula bekerja di Selangor dan hujung minggu saya perlu hadiri kelas (menyambung pengajian separuh masa) di UiTM Shah Alam. Dia kemudiannya bertukar kerja di Petaling Jaya dek kerana tak nak duduk berjauhan dengan saya.
“Pada 13 Jun lebih kurang pukul 6 petang saya cuba hubungi telefon bimbitnya namun tak berjawab dan saya mesej pun tak berbalas. Hati saya semakin risau, sebab pada kebiasaanya dia keluar pejabat jam 5 petang. Kemudian saya dapat panggilan dari Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang (HTAR) yang menyatakan Arsyad terbabit dalam kemalangan. Dia telah terbabit kemalangan ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Kesas. Mengikut cerita dia baru keluar dari jalan motor dan terlanggar belakang lori. Kecederaan yang dialami cukup teruk kerana terkena bahagian kepala dan pendarahan berlaku di otak.
“Sewaktu di hospital saya tak perasan Arsyad padahal banyak kali lalu lalang di katil dia ditempatkan. Bila jururawat tunjuk terus saya terkedu dan langsung tak mengalirkan air mata. Kepala dia berdarah kemudian doktor lakukan pembedahan untuk membuang darah di kepalanya. Selepas pembedahan dia langsung tak ingat kerana otaknya cedera, tak boleh bercakap cuma yang memberi tindak balas hanya dari reaksi mata, kaki atau tangan. Sepanjang dia koma, saya sentiasa bercakap dengan dia. Doktor tak bagi harapan tapi Arsyad sentiasa menunjukkan respon yang positif.
“Hati isteri mana yang tak sayu bila suami yang disayangi tiba-tiba ditimpa musibah. Kepalanya tinggal kulit dengan otak. Doktor pesan kalau nak dia pulih cepat kena banyak bercakap dengan dia. Masa saya pegang kepala dia tak rasa apa-apa lama kelaamaan otak dia mula bertindak balas. Doktor pakar mata pula beritahu sebelah mata tak nampak. Saya sering berbisik pada Arsya selama ini Allah dah bagi pinjam nikmat melihat selama 24 tahun jadi bersyukurlah dengan keadaan yang ada. Doktor suruh saya beritahu semua yang berlaku agar bila dia sihat nanti, dia tak terkejut melihat keadaannya. Doktor anggarkan Arsyad boleh pulih tetapi mengambil masa yang agak lama lebih kurang tiga atau empat tahun.
“Dalam tempoh, tiga bulan menjaga Arsyad saya berasa hilang penat bila berada di sisi dia. Saya sentiasa berdoa agar Arsyad pulih seperti sedia kala. Pada ketika itu saya tak kisah susah sikit janji saya boleh beri yang terbaik buat suami saya. Jika saya bekerja abang Arsyad akan menjaga dia. Sehinggalah satu hari doktor memberitahu Arsyad kena sawan. Keadaannya bertambah kritikal dan dipindahkan dari HTAR ke Hospital Sungai Buloh. Di sini saya tak dapat jaga di sepanjang masa kerana tak dibenarkan menunggu pesakit. Saya sambut raya pertama dengan suami di hospital. Saya sentiasa berdoa agar Allah berikan kekuatan untuk Arsyad lawan kesakitan yang ditanggungnya dan permudahkan urusan pemulihannya,” ujar Wanie yang tidak membeli sebarang persiapan baju raya kerana dia dan Arsyad sebelum itu telah merancang untuk memakai baju nikah mereka.
Allah Lebih Sayangkan Arsyad
Ketika keadaan Arsyad kritikal doktor telah memberitahu Wanie, dengan tenang wanita ini menghadapinya dengan cukup tabah.
“Selepas tiga bulan menjaga suami, doktor beritahu keadaan Arsyad tidak stabil. Kemudian saya terus menggigil dan terus tunaikan sembahyang Maghrib. Selepas solat saya lihat langsir di sekeliling katilnya ditutup. Jururawat meminta maaf dan beritahu jantung Arsyad berhenti sekejap. Bila lihat keadaan dia lemah, saya cakap dengan kalau awak nak pergi tak apalah pergilah, dia tak sedar ketika itu tetapi saya tahu dia dengar apa yang saya katakan. Dan saya beritahu saya sudah maafkan dia dan halalkan makan minum dia, air mata dia terus meleleh,” ungkap Wanie sambil menahan air matanya daripada mengalir.
Wanie juga menjelaskan dia reda dengan pemergiaan arwah walaupun tidak sempat meraikan ulangtahun perkahwinan mereka yang pertama namun dia sentiasa berdoa agar arwah tenang di sana. Ungkap Wanie buat arwah Arsyad;
“Melepaskanmu walau bukan mudah bagiku untuk lalui semua ini, buat Arsyad 26/9/17 tarikh yang sayang takkan pernah lupa. 26/11/16 hingga 26/11/17 genap 10 bulan pernikahan kita. Cantik sangat aturan Allah tu. Baba tunggu sayang di pintu syurga ya. Kita sambung bercinta sampai jannah. Sayang reda atas semua ini. Sayang bangga dengan baba. Baba dah fight habis baik. You always be my superhero sayang. Kebetulan juga plat no motosikal 9392 nombor kesukaan baba. Amat bermakna buat sayang. Kebetulan nombor itu tahun lahir kita brdua. Terima kasih baba dah jadi suami yang terbaik, sanggup korban ape saja untuk sayang. Semuanya akan jadi kenangan untuk sayang. Baba rehat di sana. Senyuman baba tu akan sayang ingat, sayang akan cuba jadi macam baba. Senyuman yang tak lekang dekat di bibir.”
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI