Jodoh itu rahsia tuhan. Sebagai manusia, dalam usaha mencari jodoh tak bermakna, wanita tak boleh berusaha untuk mendapatkannya. Dan usaha mencari jodoh itu tentulah ada macam-macam caranya.
Mengulas isu ‘wanita jadi bodoh-bodoh sikit demi jodoh’ yang sedang viral ketika ini BroOhsem, Akhtar Syamir pula berpendapat, untuk mencari jodoh tidak semestinya seseorang itu (tentunya wanita) perlu meletakkan dirinya di bawah lelaki. Apatah lagi melepaskan segala impian dan cita-cita.
Kerana akhirnya nanti jodoh anda itu perlu diletakkan bersebelahan dengan anda, sama-sama melakar kejayaan rumah tangga bersama. Hadamkan seterusnya.
Nak mencari jodoh, tidak semestinya anda perlu meletakkan diri anda di bawah lelaki dan melepaskan segala impian dan cita-cita.
Jika wanita itu berjaya di atas hasil titik peluh serta usahanya sendiri, apa salahnya? Sejak bila ia seakan menjadi satu kesalahan pula?
Sejak bila pula jodoh ditentukan oleh paras testosterone apabila wanita itu buat apa yang lelaki buat? Adakah berkerjaya dan berjaya itu hanya hak milik mutlak lelaki sahaja?
Saya pasti ramai wanita yang berjaya, berkerjaya tetapi masih belum bertemu jodoh akan tersinggung dengan persepsi sebegitu.
Kenapa mesti kita letakkan isteri di belakang suami sedangkan dia boleh berada di sebelah sambil tangannya dipegang erat saat kejayaan itu dikecapi?
Sudah tiba masanya kita ubah persepsi yang menggambarkan suami dan isteri adalah dua entiti yang berbeza di dalam keluarga. Benar, ada peranan yang boleh dimainkan, tetapi ini tidak bermakna seorang mesti di hadapan dan seorang lagi mesti di belakang.
Kita kena pandang institusi kekeluargaan dan perhubungan suami isteri ini sebagai SATU entiti. Ianya satu proses simbiosis di mana suami dan isteri saling memerlukan antara satu sama lain.
Terutamanya pada zaman sekarang apabila isteri sendiri bersama-sama keluar bekerja mencari rezeki untuk keluarga. Di situasi ini, adakah anda masih rasa isteri perlu berada di belakang suami? Bukankah tempatnya di sebelah kamu, berusaha untuk keluarga, berkorban untuk keluarga?
Bagi isteri suri rumah pula, tanpa mereka, keluarga pasti tidak boleh berfungsi dengan sempurna. Persetujuan, janji dan kata sepakat yang dicapai sewaktu membuat keputusan bersama untuk hidup dengan corak keluarga sebegini amatlah penting dan perlu dihargai.
Impian dan cita-cita isteri itu perlu dipikul si suami jika mahu isteri menjadi suri rumah. Jika tidak, jangan sesekali terdetik pun untuk minta isteri menjadi suri rumah.
Kita tidak perlu jadi bodoh-bodoh untuk disayangi. Saling faham memahami, kasih sayang dan cinta bukan lahir dari kuasa atau kelebihan seseorang berbanding pasangannya.
Ia terhasil dari hati dan perasaan, dari kefahaman berkenaan apa yang pasangan perlukan, apa yang disukai, apa yang tidak disukai, layanan yang diterima, diberi dan saling hormat menghormati.
Benar, jika kita sememangnya kurang mahir berkenaan satu-satu perkara mungkin boleh jadi satu perkara yang sweet dalam perhubungan.
Sebagai contoh, seorang suami berusaha untuk melipat kain baju. Walaupun lipatannya tidak kemas, si isteri tetap hargai dan anggap usaha untuk membantu itu satu perbuatan yang sweet sangat.
Kalau si isteri pula kurang mahir memasak, tetapi cuba juga masak untuk suami, ianya satu usaha yang patut dihargai dan ianya memang sweet walaupun tak menjadi.
Inilah yang patut kita fokuskan. Menghargai usaha dan percubaan untuk membahagiakan. Bukannya fokus untuk jadi bodoh-bodoh supaya disayangi.
Jika isteri kita berjaya, kita raikan kejayaannya. Kita kongsi kebahagiaan itu bersama. Kita tidak perlu rasa tercabar pun. Sebab minda kita sudah tetapkan yang keluarga itu satu. Isteri adalah sebahagian dari keluarga, jika dia berjaya, keluarga juga akan berjaya. Jika dia gembira, keluarga juga akan gembira.
Sama juga dengan suami. Kejayaannya adalah milik bersama.
Kepada para wanita, teruskan berusaha untuk mencapai impian hidup anda. Jika di dalam perjalanan menuju kejayaan itu anda berjumpa dengan orang yang anda cintai, jadikan impian itu satu impian bersama. Dan jika tidak sekarang, mungkin nanti.
Jika belum lagi, saya doakan anda akan bertemu orang yang akan menyayangi anda, yang dapat melihat anda melepasi segala kejayaan-kejayaan yang telah anda kecapi.
Ingat, membahagiakan pasangan tidak bererti anda perlu meletakkan diri anda di bawah pasangan. Suami yang sentiasa menjadi Imam juga boleh menyayangi tanpa perlu rasa tercabar dengan kekuatan dan kejayaan isteri.
Berdirilah bersebelahan. Peganglah erat tangan pasangan anda. Hadapi ujian dan kejayaan di dalam kehidupan ini bersama-sama. Bukan untuk orang lain pun, untuk keluarga kita sendiri juga.
Sekadar meluahkan apa yang bermain di fikiran. Semoga dapat mendetikkan sesuatu.
Jodoh yang baik bukan datang dengan kelebihan, tapi tidak pergi kerana kekurangan.
Mingguan Wanita : Yang belum bertemu jodoh, tak bermakna mereka tidak bahagia.
Sumber/Foto : BroOhsem, Akhtar Syamir
Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW