Menyesal Terlalu Manjakan Anak-Anak, Bapa Lumpuh Disisih Terbuang

Share

Sayangkan anak biarlah berpada-pada.Anak yang dituruti segala kemahuan dan kehendak, biasanya tak tahu erti pengorbanan serta rasa susah payah yang perlu dilalui. Lebih malang, ia akan membentuk sikap pentingkan diri dan langsung tiada rasa simpati pada mak ayah yang dalam kesusahan serta perlukan perhatian bila meniti usia tua nanti.

Pilu hati seorang ayah apabila disisihkan anak sendiri sehingga terpaksa tinggal di rumah kebajikan orang tua Rumah Ehsan di sini sejak dua bulan lepas.

Anak Berubah Sikap

Bekas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mahu dikenali sebagai Awang berusia 46 tahun itu berkata, tiga anak lelaki dan seorang perempuan berubah sikap selepas dirinya lumpuh separuh badan akibat strok, dua tahun lalu.

Menurutnya, dia berhenti kerja awal selepas 10 tahun berkhidmat dalam Rejimen Artileri dan membesarkan anak dengan hasil menoreh getah di sebuah tanah rancangan Felda di Sungai Siput, Perak.

“Isteri meninggal dunia beberapa tahun lalu dan saya mula tidak berapa sihat selain ada lelah serta darah tinggi sebelum diserang strok hingga lumpuh separuh badan.

“Saya menyesal terlalu manjakan anak-anak sampaikan duit hantaran kahwin RM10,000 pun saya beri tapi bila minta tolong hantar pergi klinik, anak tak diendahkan dengan alasan isteri tak bagi.

“Kereta, motosikal dan duit pun saya beri walaupun dulu hidup tak senang mana tapi bila saya lumpuh, anak-anak dah jadi lain,” katanya ketika ditemui pada program Masih Ada Yang Sayang dan Ihya Ramadan di Rumah Ehsan, kelmarin.

Ditinggalkan Sendirian

Awang berkata, dia pernah tinggal di rumah salah seorang anak sebelum dibawa ke sebuah hospital di Kuala Lumpur untuk rawatan sakit strok.Namun tanpa Awang menyangka rupa-rupanya dia ditinggalkan sendirian hampir setahun di hospital berkenaan.

“Anak-anak tak jenguk pun, semua hospital buat hingga puasa dan raya tahun lepas pun mereka tak ada datang.

“April baru ini saya dibawa ke sini dan sekarang memang tak ada hati langsung atau sayang ke anak-anak.

“Kalau saya mati pun, tak perlu beritahu mereka kerana saya tak mahu ingat mereka lagi,”

katanya.

MW: Allahu..kasihan sungguh nasib lelaki ini, sampainya hati anak-anaknya buat sebegini.Lebih-lebih lagi hari raya tak lama sahaja lagi. Pesanan buat anak-anak, jika ingin keberkatan dalam kehidupan, hargailah kedua mak ayah dan taburlah sebanyak bakti buat mereka.Janganlah jadi anak yang derhaka. Sesungguhnya pengorbanan mereka takkan dapat terbalas sampai bila-bila.

Sumber: Sinar Harian

Published by
Suhaidah Abd Wahab