Bayangkan bagaimana seorang ibu yang menanggung kesakitan kerana ingin bersalin telah ditolak untuk menerima rawatan di hospital. Bukan sahaja melibatkan nyawa ibu malahan nyawa anaknya di dalam kandungan.
Dan akhirnya sungguh menyayat hati wanita hamil ini meninggal bersama bayinya selepas ditolak tujuh hospital di Sulawesi Selatan, Indonesia.
Menyayat hati apabila seorang wanita hamil yang ditolak untuk rawatan di tujuh hospital meninggal dunia bersama bayi di dalam kandungannya dipercayai akibat gagal mendapat rawatan segera.
Portal Kompas melaporkan insiden itu berlaku ketika Hartina hampir melahirkan cahaya matanya di Sulawesi Selatan.
Tujuh hospital itu adalah Hospital Bantaeng, Hospital Jeneponto, Hospital Takalar, Hospital Labuang Baji, Hospital Kartini, Hospital Ananda dan Hospital Pelamoni.
Ahli keluarganya, Haerul berkata, Hartina mulanya dibawa ke Pusat Kesihatan Masyarakat (Puskesmas) Bonto Bangun, Bulukumba.
Wanita itu kemudiannya dirujuk ke Hospital Bantaeng namun ditolak oleh hospital berkenaan.
Keluarga kemudian membawa Hartina ke Hospital Jeneponto dan Hospital Takalar tetapi perkara sama berlaku apabila tidak diterima sebagai pesakit.
“Awalnya Hartina dihantar ke Puskesmas Bontobangun Bulukumba tetapi kesnya dirujuk ke Hospital Bantaeng.
“Namun, pihak Hospital Bantaeng enggan menerimanya sebaik tiba di pintu masuk.
“Selepas itu, kami membawanya ke Hospital Jeneponto dan Hospital Takalar, namun turut ditolak untuk rawatan lanjut,” katanya.
Baca Juga Di sini:
Jumpa Beg Plastik Di Kebun Ingatkan Barang Peribadi, Rupanya Bayi Tanpa Pakaian
Bayi 14 Hari Mangsa Banjir, Ada Jangkitan Mata, Ambil Keputusan Menumpang Rumah Keluarga
Menurut Haerul, Hartina kemudiannya dikejarkan ke Hospital Labuang Baji Makassar tetapi ditolak kerana tidak melakukan ujian saringan Covid-19.
Layanan sama turut diterima Hospital Kartini dengan alasan tiada kemudahan Unit Rawatan Rapi (ICU) begitu juga dengan Hospital Ananda.
Haerul berkata, selepas itu keluarga membawa Hartina ke Hospital Pelamoni yang akhirnya memberikan rawatan.
“Namun, dia hanya diberikan bantuan oksigen dan ubat anti kejang ketika berada di dalam ambulan.
“Hartina tidak dibawa turun sebaliknya dibawa ke Hospital Wahidin tetapi meninggal dunia sebelum sempat ditempatkan di wad bersalin,” katanya.
Menurutnya, mereka sekeluarga kesal dengan keadaan yang berlaku.
“Dari kampung hingga ke bandar kami cuba mendapatkan rawatan namun pihak hospital tidak bertimbang rasa. Bagaimana jika ahli keluarga mereka mengalami nasib yang sama?” katanya.
Sementara itu, Pengurus Perkhidmatan Perubatan Hospital Ananda, Fira berkata, pihak hospital tidak mempunyai kemudahan intensif untuk Hartina.
“Ketika tiba di hospital, doktor cuba memeriksa Hartina di dalam kenderaan dan mendapatinya dalam keadaan kejang dan mempunyai darah tinggi.
“Dalam keadaan begitu, kami berasakan dia memerlukan kelengkapan rawatan intensif yang tidak terdapat di hospital kami.
“Disebabkan itu, kami meminta ahli keluarga Hartina merujuknya ke Hospital Labuang Baji,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Khidmat Pengurusan Perubatan Hospital Bantaeng, Dr Hikmawati menafikan menerima kedatangan pesakit bernama Hartina.
“Kami ada menyemak rekod kehadiran tetapi tiada pesakit bernama Hartina yang mendaftar. Jika ada, tentunya maklumat itu ada di dalam rekod kami,” katanya.
MW: Semoga kisah ini menjadi iktibar buat kita semua. Walaupun ajal telah ditentukan Tuhan, namun apa yang berlaku tentu saja membuatkan keluarga ibu hamil ini sedih teramat sangat.
Sumber: myMetro
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita