Bayangkan bagaimana seorang ibu yang menanggung kesakitan kerana ingin bersalin telah ditolak untuk menerima rawatan di hospital. Bukan sahaja melibatkan nyawa ibu malahan nyawa anaknya di dalam kandungan.
Dan akhirnya sungguh menyayat hati wanita hamil ini meninggal bersama bayinya selepas ditolak tujuh hospital di Sulawesi Selatan, Indonesia.
Menyayat Hati Wanita Hamil Meninggal Bersama Bayi
Menyayat hati apabila seorang wanita hamil yang ditolak untuk rawatan di tujuh hospital meninggal dunia bersama bayi di dalam kandungannya dipercayai akibat gagal mendapat rawatan segera.
Portal Kompas melaporkan insiden itu berlaku ketika Hartina hampir melahirkan cahaya matanya di Sulawesi Selatan.
Tujuh hospital itu adalah Hospital Bantaeng, Hospital Jeneponto, Hospital Takalar, Hospital Labuang Baji, Hospital Kartini, Hospital Ananda dan Hospital Pelamoni.
Selepas Ditolak Tujuh Hospital
Ahli keluarganya, Haerul berkata, Hartina mulanya dibawa ke Pusat Kesihatan Masyarakat (Puskesmas) Bonto Bangun, Bulukumba.
Wanita itu kemudiannya dirujuk ke Hospital Bantaeng namun ditolak oleh hospital berkenaan.
Keluarga kemudian membawa Hartina ke Hospital Jeneponto dan Hospital Takalar tetapi perkara sama berlaku apabila tidak diterima sebagai pesakit. “Awalnya Hartina dihantar ke Puskesmas Bontobangun Bulukumba tetapi kesnya dirujuk ke Hospital Bantaeng.
“Namun, pihak Hospital Bantaeng enggan menerimanya sebaik tiba di pintu masuk.
Ads
“Selepas itu, kami membawanya ke Hospital Jeneponto dan Hospital Takalar, namun turut ditolak untuk rawatan lanjut,” katanya.
Menurut Haerul, Hartina kemudiannya dikejarkan ke Hospital Labuang Baji Makassar tetapi ditolak kerana tidak melakukan ujian saringan Covid-19.
Layanan sama turut diterima Hospital Kartini dengan alasan tiada kemudahan Unit Rawatan Rapi (ICU) begitu juga dengan Hospital Ananda.
Ads
Haerul berkata, selepas itu keluarga membawa Hartina ke Hospital Pelamoni yang akhirnya memberikan rawatan.
“Namun, dia hanya diberikan bantuan oksigen dan ubat anti kejang ketika berada di dalam ambulan.
“Hartina tidak dibawa turun sebaliknya dibawa ke Hospital Wahidin tetapi meninggal dunia sebelum sempat ditempatkan di wad bersalin,” katanya.
Meninggal Dunia Sebelum Diberi Rawatan
Menurutnya, mereka sekeluarga kesal dengan keadaan yang berlaku.
“Dari kampung hingga ke bandar kami cuba mendapatkan rawatan namun pihak hospital tidak bertimbang rasa. Bagaimana jika ahli keluarga mereka mengalami nasib yang sama?” katanya.
Ads
Sementara itu, Pengurus Perkhidmatan Perubatan Hospital Ananda, Fira berkata, pihak hospital tidak mempunyai kemudahan intensif untuk Hartina.
“Ketika tiba di hospital, doktor cuba memeriksa Hartina di dalam kenderaan dan mendapatinya dalam keadaan kejang dan mempunyai darah tinggi.
“Dalam keadaan begitu, kami berasakan dia memerlukan kelengkapan rawatan intensif yang tidak terdapat di hospital kami.
“Disebabkan itu, kami meminta ahli keluarga Hartina merujuknya ke Hospital Labuang Baji,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Khidmat Pengurusan Perubatan Hospital Bantaeng, Dr Hikmawati menafikan menerima kedatangan pesakit bernama Hartina.
“Kami ada menyemak rekod kehadiran tetapi tiada pesakit bernama Hartina yang mendaftar. Jika ada, tentunya maklumat itu ada di dalam rekod kami,” katanya.
MW: Semoga kisah ini menjadi iktibar buat kita semua. Walaupun ajal telah ditentukan Tuhan, namun apa yang berlaku tentu saja membuatkan keluarga ibu hamil ini sedih teramat sangat.
Perut jadi tabung, doktor keluarkan 187 keping siling. Adalanya perangai manusia sangat aneh. Suka mencuba sesuatu yang baru hingga tanpa sedar memudaratkan nyawa sendiri. Hal ini yang terjadi kepada seorang lelaki India yang menelan duit siling tanpa sedar.
Sepasukan doktor di India berjaya mengeluarkan 187 keping duit syiling dari perut seorang lelaki yang dibawa ke hospital kerana mengalami masalah kembung dan sakit perut, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Memetik laporan Kosmo Online, penemuan tersebut dibuat apabila lelaki yang berasal dari perbandaran Lingsugur itu dibawa oleh ahli keluarganya ke hospital kerana mengalami sakit perut dan muntah-muntah.
Selepas melakukan pemeriksaan, pegawai perubatan di Hospital Hangal Sri Kumareshwar terkejut apabila mendapati pesakit berkenaan telah menelan syiling seberat lebih 1.5 kilogram (kg).
Pesakit itu disahkan mengalami masalah psikiatri. Dia telah menelan syiling ini sejak dua hingga tiga bulan lalu. Dia datang ke hospital kerana muntah dan berasa tidak selesa di bahagian perut.
“Berdasarkan gejala yang dihadapinya, kami memutuskan untuk menjalankan imbasan X-ray dan endoskopi. Kami memutuskan untuk membedahnya setelah menemui syiling itu,” kata pakar perubatan di hospital tersebut, Dr. Eshwar Kalaburgi.
Berdasarkan gambar yang dikongsikan, sejumlah besar duit syiling diletakkan di atas meja, manakala imej imbasan X-ray memaparkan objek-objek itu berada di dalam perutnya.
Eshwar kemudian mengesahkan bahawa pesakit tersebut kini berada dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan.
“Selepas dua jam pembedahan, kami berjaya mengeluarkan semua syiling.
“Selepas pembedahan, dia dirawat kerana kekurangan air dan masalah kecil lain. Pesakit tersebut kini berada dalam keadaan stabil dan mampu bercakap,” katanya. – Agensi
Pelakon, pengacara dan penyampai radio, Siti Elizad Sharifuddin meluahkan rasa sayunya sempena ulang tahun perkahwinan yang keenam.
Personaliti yang mendirikan rumah tangga dengan Shamsul Baharin pada 11 Januari 2015, pernah menjalani rawatan kesuburan (IVF) November lalu, namun hanya selepas seminggu dilaporkan hamil, dia mendedahkan telah mengalami keguguran.
Siti Elizad Masih Menanti Kehadiran Cahaya Mata
Perkongsian Elizad menerusi laman sosialnya, ternyata menarik perhatian ramai termasuk rakan selebriti yang rata-rata mendoakan pasangan itu mendapat cahaya mata secepat mungkin.
Pada hantaran tersebut Elizad begitu sayu setelah enam tahun mendirikan rumah tangga namun dia masih belum memberikan zuriat buat suami tercinta.
Malah hasratnya untuk mendiami rumah yang dibeli pada tahun 2018 itu bersama suami dan anaknya tidak kesampaian, setelah mengalami keguguran.
“Kami beli rumah ini pada tahun 2018 dengan harapan setelah ia siap pada tahun 2021, kami ada zuriat sendiri.
“Nampaknya kita masih lagi berdua sayangku dan isteri awak ini terpaksa jadi ‘baby kecil’ untuk meriahkan keluarga kecil kita.
“Harap awak tak bosan dengan saya, memandangkan isteri awak ini belum ada rezeki nak beri awak zuriat sendiri.
“Selamat ulang tahun keenam sayangku. Terima kasih selalu layan, sabar dan lindungi saya. Insya-ALLAH kita sama-sama doa dan terus berdoa lagi,” tulisnya.
Siti Elizad Akan Teruskan Rawatan IVF
Mengimbas kembali selepas keguguran, Elizad lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupan, dengan memberi fokus pada kerjaya di konti radio dan lakonan.
Apapun, Elizad akan tetap meneruskan kaedah IVF itu sehingga impiannya untuk bergelar ibu jadi kenyataan dan dimakbulkan Allah selepas berusaha dan bertawakal.
Seluruh negara bersedih apabila bayi perempuan yang baru berusia setahun mangsa termuda Covid-19 menjadi korban hari ini. Sudah tentu kehilangan bayi ini memberi tamparan hebat buat mak dan juga ayahnya.
Di saat negara bergelut dengan pendemik Covid-19, anak kecil yang baru mengenal dunia dan belum mengerti apa-apa menjadi korban Covid-19.
Bayi Berusia Setahun Menjadi Korban
Bayi perempuan berusia setahun menjadi mangsa termuda dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19 di Malaysia hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bayi itu mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna padA 1 Oktober lalu.
“Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan memerlukan bantuan pernafasan.
“Saringan Covid-19 didapati positif pada 5 Oktober dan bayi disahkan meninggal dunia 4.25 petang hari sama,” katanya.
Selain Bayi Turut Libatkan Kematian Warga Emas
Katanya, bagi tiga lagi kematian dilaporkan hari ini membabitkan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 60 tahun.
“Kes dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan pada 25 September lalu dan saringan Covid-19 didapati positif pada 26 September.
“Keadaan mangsa didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 4 Oktober 2020 jam 6.50 pagi.
“Bagi kematian ke-139 (iaitu kes ke-12431) adalah lelaki warganegara Malaysia berumur 60 tahun dan mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 September lalu,” katanya.
Menurutnya, saringan Covid-19 didapati positif pada 30 September dan disahkan meninggal dunia pada 4 Oktober jam 5.05 pagi,” katanya.
Menurutnya, kes kematian ke-141 (iaitu kes ke-13067) adalah lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun.
“Mangsa mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit kesihatan mental.
“Mangsa ditemui tidak sedar diri pada 5 Oktober 2020, jam 7 pagi dan terus dibawa ke Hospital Pulau Pinang. Kes didapati tidak bernafas di Hospital Pulau Pinang dan disahkan meninggal dunia 5 September 2020 jam 7.50 pagi. Saringan Covid-19 dikesan positif,” katanya.
MW: Selain warga emas, bayi juga antara golongan yang berisiko tinggi dalam musim pendemik Covid-19 ini. Oleh itu, pantau dan jaga bayi sebaiknya kerana virus ini tidak mengenal siapa.
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...