Mentua juga manusia biasa, yang kadang kala alpa hingga bersikap suka membanding-bandingkan menantu sendiri. Yang berharta disayang, yang kurang dipandang sebelah mata. Bahkan suka pula membandingkan menantu kesayangannya dengan menantu orang lain pula. Boleh macam tu?
Tak semestinya menantu kaya, anak anda bahagia. Boleh jadi anak itu suka memandang hina pada isterinya. Tak semestinya menantu bijak pandai, anak anda bahagia. Boleh jadi dia suka memperbodoh-bodohkan isterinya. Tak semestinya menantu berdarjat, anak anda bahagia. Boleh jadi dia melihat isterinya sebelah mata saja. Tak semestinya menantu ada gelar sarjana agama, anak anda bahagia. Boleh jadi ilmunya cuma di akal sedangkan akhlaknya entah ke mana.
Oleh itu kepada mentua yang suka ‘tayang’ menantu siap bagi tahu apa pangkat, di mana kerja, berapa gaji, berapa buah banglo dan kereta mewahnya, cubalah beringat. Tiada siapa dapat menilai kejayaan manusia itu melainkan Penciptanya. Malangnya apabila para mentua tengah berkumpul sakan bersembang tiada isu lain yang jadi kegemaran melainkan tayang kemewahan anak menantu.
Dalam keseronokan menjadi ahli kelab pencen, banyak perkara yang seharusnya dijadikan panduan dalam berkawan. Jangan sesekali lukai perasaan orang lain dengan cuba membanding-bandingkan anak menantu kita dengan anak menantu mereka. Jika berkawan sudah seperti saudara kandung memanglah seronok sebab hati kita sentiasa suka apa yang kawan kita suka tetapi jangan sesekali lupa Nabi Yusuf juga didengki saudara kandungnya apatah lagi kita.
Baca artikel lain di sini:
Mertua Jangan Salahkan Menantu Sahaja, Selidik Dulu Perangai Anak Sendiri Selepas Berumah Tangga
Mak Mentua Kena Ikhlas Terima Menantu, Baru Aura Kasih Sayang ‘Sampai’!
Anak-anak Nabi saja mendengki adik tirinya bagaimana pula kita yang bukan anak Nabi mestilah lebih jahil dari mereka. Hati manusia susah hendak diduga, seeloknya hindarkan rasa megah diri untuk mengelakkan daripada penyakit hati.
Tiada siapa mampu menilai anak sendiri inikan lagi menantu, hanya kepada Allah kita serahkan urusan mereka. Peliknya jika jumpa menantu dua kali setahun tapi duduk sebumbung. Boleh jadi dalam ketawa anak kita sebenarnya dia sedang menutup aib suaminya. Dalam tangisannya pula boleh jadi dia sedang belajar tentang kehidupan sebenar di bawah penjagaan seorang lelaki yang sebenar.
Sebagai ibu bapa tiada hak untuk mencampuri urusan rumah tangga mereka melainkan mereka meminta kita menjadi pendamai bukan penghasut. Apa yang tersembunyi tak perlu dikorek dan apa yang mereka kongsi seharusnya diraikan. M
aka itu tak perlu tayang pada dunia apa yang kita tak nampak. Berpada-padalah dalam urusan membanggakan zuriat. Jangan melampau pujian diberi kerana ia boleh merosakkan hati.
Kalau begitu, berdosakah jika kita suka ‘tayang’ menantu? Tidak, bahkan dianjurkan jika itu merupakan suatu cara mengukuhkan hubungan persaudaraan, tak kenal maka tak cinta. Memperkenalkan menantu kepada kawan-kawan adalah ibadah kerana ia menepati sunnah Rasul s.a.w yang menggesa kita bersilaturahim. Rasulullah s.a.w bersabda: “Al-Rahim itu bergantung di Arsy. Dia berkata: Sesiapa yang menyambungku maka Allah akan menyambungnya dan sesiapa yang memutuskanku maka Allah memutuskannya.” (Hadis Muttafaq ‘alaih)
Panduan memilih menantu telah diajarkan melalui wahyu, Allah tunjuk kepada kita bagaimana ciri-ciri menantu semulia Nabi Musa AS. “Wahai bapaku ambillah dia sebagai pekerja kerana sesungguhnya orang yang paling baik adalah yang kuat lagi amanah.”
Ciri-ciri kepemimpinan seorang lelaki jelas terserlah dengan rasa belas kasihannya kepada wanita membuat dia kelihatan lebih gagah. Malangnya lelaki zaman sekarang ramai yang minta dilayan lebih dan dijaga melebihi raja-raja.
Makan pun isteri yang carikan, kerja-kerja berat semua serah kepada isteri bagaimana pula kita suka memuji menantu-menantu sebegini dengan pujian mencecah awan? Entah-entah solat pun tak buat, agama tak pakai, sibuk saja dengan urusan dunia. Bukankah yang terseksa anak kita juga?
Menantu kebanggaan yang semestinya disyukuri oleh para mertua seharusnya mementingkan kekuatan akal, fizikal dan spiritual sebagai penjaga anak kita. Nafkah zahir dan batinnya hanya boleh dipenuhi dengan tiga kekuatan tersebut.
Kemudian amat menjaga kesucian pergaulan, keikhlasan hati dari syahwat sehingga begitu ketat menundukkan pandangannya. Zaman ini masihkah ada lagi orang yang mencari menantu sebaik Musa atau agama tidak lagi menjadi syarat penting? Oleh itu tak payahlah tayang menantu jika tak cukup syarat lelaki segagah Musa.
Sumber: Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-Undang Keluarga Islam
Jangan lupa follow kami di sini: