Mentua Jangan Pandang Silap Menantu Saja, Kalau Salah Beri Tunjuk Ajar!

Share

Mentua mana yang tak nak menantu yang baik pada pandangan matanya. Sebagai mentua, memang kita mahukan menantu yang baik tetapi apa halnya kalau kita sendiri pun tak baik. Bagaimana hendak dikatakan baik kalau sikap kejam terhadap menantu itu bermula sejak hari pertama dia masuk ke rumah kita lagi. Hari-hari kita menilai dia, kesalahan yang sedikit sengaja kita besar-besarkan, kebaikan yang dilakukan kita pejam mata pula.

Mentua Puncanya

Seorang ibu mentua yang tidak baik sememangnya tidak layak mendapat anak menantu yang baik. Sebenarnya anak menantu itu sudah baik tetapi disebabkan mentuanya tidak baik, akhirnya dia menjadi tidak baik sama. Asalnya sangat menghormati orang tua, bersikap lembut dan taat, sekarang jadi kurang ajar pula. Dari mana datangnya sikap-sikap begitu? Kadang-kadang daripada emak mentua sendiri.

Dalam hendak menilai seseorang, jangan harapkan seratus peratus terbaik, sebab mana ada manusia yang sempurna. Sesetengah orang hanya perlukan tunjuk ajar untuk dia faham sesuatu pada permulaannya. Apabila dia faham akan kehendak dan citarasa mentua dia akan penuhi pada hari-hari seterusnya.

Mentua Ajar, Jangan Merendahkan!

Misalkan begini, hari pertama menantu tinggal di rumah mentua, sudah tentu dia tidak biasa dengan semua perkara yang menjadi kebiasaan di rumah mentuanya itu. Dia akan melakukan banyak kesalahan seandainya tidak diberitahu terlebih awal. Adalah menjadi kebiasaan mengelap dahulu pinggan mangkuk selepas dibasuh sebelum menyusunnya di para. Menantu yang tidak diberitahu terlebih dahulu akan hal ini mungkin akan menyusun sahaja pinggan mangkuk itu ke para sejurus dibasuh.

Ei, emak engkau tak ajar ke lap dulu pinggan mangkuk sebelum susun?

” Kata-kata yang begini pasti meninggalkan kesan yang tidak enak. Lain jika anak menantu itu memang jenis tebal jiwa, dikata apapun dia tetap tersengih dan sambut dengan gurau senda. Dari situ dia belajar.

Tetapi anak menantu yang sensitif akan berasa kecil hati, sedih dan juga malu, dia boleh jadi merajuk hingga takut hendak berbuat apa-apa lagi selepas itu.

Baca artikel lain di sini:

Mak Mentua Boleh Caring Tentang Anak Lelakinya, TAPI Jangan Ambil Tanggungjawab Isteri!

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Hal Kecil Boleh Jadi Besar

Di sinilah hal yang kecil-kecil menjadi permulaan barah yang kronik beberapa bulan kemudian. Salah siapakah? Mungkin menantu bersalah sebab terlalu mudah berkecil hati tetapi mentua juga bersalah kerana aspect menantu perempuan mesti serba tahu kesemuanya.

Setiap mentua sekurang-kurangnya letakkanlah tiga faktor ini dalam hendak memilih sikap terhadap menantu;

  1. Itu adalah jodoh anak. Apa yang tidak kita ketahui berada dalam pengetahuan ALLAH sentiasa. Jodoh seseorang bukankah sudah ditentukan?
  2. Dia yang berkahwin dan itu pilihannya. Hormatilah pilihan anak supaya kehidupannya harmoni selepas itu. Jika kita terlalu menampakkan rasa benci, takut-takut bukan setakat menantu yang hilang hormat, anak sendiri pun turut pergii.
  3. Hidup bukan terlalu lama. Oleh kerana tidak terlalu lama itu, bertimbang rasalah. Setiap manusia ada lebih dan kurangnya.

Kita juga serupa. Barangkali orang cukup bersabar dengan sikap-sikap buruk kita selama ini, kita saja yang tidak tahu. Oleh itu, berikan restu, ia lebih baik dari menjadikan seseorang seteru (musuh).

Oleh: HM TUAH ISKANDAR al-Haj

 

 

 

Published by
Nurul Azwa