Pertama kali ‘masuk’ dalam keluarga pasangan, perkara yang paling merisaukan dan menakutkan tentang penerimaan mentua dengan bakal menantu anak-anaknya. Mampukah dia hargai menantu dan anggap seperti anaknya sendiri.
Tak semua mentua boleh hargai menantu dan menerimanya. Tak mustahil, perpisahan antara suami isteri disebabkan oleh mentua yang merasakan dia bukanlah menantu pilihan dan tidak mempunyai apa-apa.
Inilah yang berlaku pada suami isteri ini bila mentua langsung tidak hargai menantu dan merasakan menantu hanya menyusahkan anaknya hanya kerana dia bukan menantu pilihan. Luahan hati dari seorang bekas menantu.
Ini coretan hatiku selepas anak lelakimu menjatuhkan talaknya dan sempena hari penghabisan Iddahku.
Emak,
Emak memang emak yang cukup sayangkan anak dan tidak boleh melihat kesusahan anak walaupun sekelumit pun.
Memang saya bukan menantu pilihan, berdasarkan saya tidak bekerja tetap dan emak tidak tahu yang bekas menantumu ini adalah lulusan master di UK.
Ya, saya tidak menghebohkan kepada sesiapa kerana bagi saya sijil ini tidak perlu dihebahkan dan menjadi ukuran sebagai calon menantu.
Bila kali pertama kita bertentang mata, ayat pertama emak adalah apakah pekerjaanku. Saya hanya menyatakan saya bekerja sendiri di samping menjadi guru tuisyen part time.
Belum habis mukadimah, emak terus menarik muka di hadapan saya.
Ya, anak emak itu bekerja kerajaan, sebagai pembantu perubatan. Dengan mudahnya emak luncurkan ayat, “paling tidak pun carilah jururawat” di depanku pada pertemuan pertama kita.
Minta Restu Mak
Emak, emak tahu tak selepas itu saya membawa diri jauh dari anak emak. Bukan kerana rajuk, tetapi saya tidak ingin perkahwinan yang mendapat restu terpaksa dari emak mertua.
Ads
Kerana anak emak itu masih mencari saya, menagih cinta sehingga masuk hospital akibat depresi, saya membuat solat istikarah dan dialah yang saya nampak sebagai jodoh saya.
Oleh itu saya menerima dia dengan harapan yang satu hari nanti emak akan menerima saya.
Emak, memang dia anak emak, tetapi hanya pasangan hidup yang lebih mengetahui dari hujung rambut hingga hujung kaki sang suami.
Emak mengatakan yang anak emak ini bekerja kuat dan mempersoalkan saya kenapa tidak minta kerja gomen.
Tapi emak tidak tahu, pusat tusyen yang saya katakan saya bekerja part time guru itu adalah milik saya.
Rumah yang anak emak duduk itu rumah saya, kereta yang anak emak bawa emak pergi jalan jalan itu adalah kereta saya.
Ya, saya halang dia untuk berterus terang kerana maruah suami saya perlu jaga. Lagipun pasti emak rasa janggal sekiranya emak bertandang ke rumah menantu, bukan rumah anak emak sendiri.
Saya sayangkan emak, dan saya sayangkan suami waktu itu. Setiap kali emak datang, ada sahaja tidak kena.
Emak tengking saya bila saya ingin renovate rumah kononnya tidak bersyukur rumah yang suami sediakan.
Emak buang masakan saya kerana kononnya masakan saya ini menambah penyakit anak emak.
Duhai emak, kerana mulut saya ini ringan kononnya ingin menjaga emak dek kerana sakit, saya menjadi hamba di rumah sendiri.
Ads
Dikatakan Mandul
Selama 5 bulan kami berkahwin emak sudah heboh mengatakan saya ini mandul. Habis semua ipar duai mengata saya dan bila saya enggan balik kampung, emak hamburkan kata kesat kepada saya.
Tahukah emak disaat itulah saya baru keguguran kerana terlalu stress dengan sikap keluarga mertua.
Ya silap saya kerana saya banyak pendam. Saya banyak menjaga hati semua orang, maruah suami sehingga diri saya tergadai dan depresi.
Setiap bulan emak dapat duit belanja RM700 dari suami. Emak ku sayang, emak tahu tak berapa gaji sebagai pembantu perubatan setiap bulan?
Bila suami belikan emas sebagai hadiah, emak merajuk balik kampung sampai enggan bercakap dengan anak emak.
Habis saya dimaki oleh ipar duai mengatakan saya menantu derhaka walaupun ipar ipar itu tak de sorang pun yang ingin menjaga emak.
Berpisah, Jalan Terakhir
Emak, 8 bulan usia perkahwinan kami saya memohon fasakh. Ya, kerana saya tidak sampai hati melihat air mata anak emak hari hari apabila emak enggan bercakap dengannya.
Saya tidak berdendam mahupun bergaduh dengan suami. Tapi saya enggan melihat suami tersepit di antara isteri dan seorang ibu yang melahirkannya.
Apabila kes cerrai berjalan, emak datang ke mahkamah dan paksa anak emak untuk dapatkan hak rumah itu.
Ads
Barulah terbongkar semuanya yang segala harta benda termasuk kereta adalah milik saya yang mutlak. Tiada harta sepencarian kerana semuanya saya beli sebelum kahwin.
Emak tersayang, saya kembalikan anakmu semula dan kahwinkanlah dia dengan menantu pilihan emak.
Walaupun dia masih sayangkan saya, tapi saya selalu mengatakan.. isteri boleh dicari, tapi emak hanyalah seorang didunia ini. Biarlah saya beredar kerana saya jugak ada hati yang ingin dijaga.
Masih Sayang
Buat R, 8 bulan menjadi isterimu adalah kenangan terindah sepanjang hidupku. Ketahuilah yang bekas isterimu ini redha diatas segalanya. Bahagialah dirimu dengan kunci syurgamu dan doaku takkan pernah terputus hingga akhir hayatku
Buat semua pembaca, jadilah memoriku ini sebagai pengajaran.
Sekiranya bakal mertua sudah tidak berkenan, janganlah teruskan hubungan kerana amat jarang bagi seorang ibu mentua dapat menerima menantu bukan pilihan apabila sudah berkahwin kelak.
Buat ibu ibu mertua, hargailah menantumu. Kerana hanya mereka yang mengetahui mengenai kekurangan dan kelebihan anakmu.
Harta dan pangkat bukan beerti menantumu itu akan menjaga dan menyayangimu hingga akhir usia.
Sekian nukilanku, Laila.
Mingguan Wanita : Sayang macam mana pun, kalau mentua tak suka, susah juga.
Kaum wanita terutama yang masih bujang, jangan sesekali menjadikan suami orang sebagai kaunselor. Mereka bukanlah penasihat terbaik. Silap-silap masalah sendiri pun mereka tak pandai uruskan.
Sebaiknya carilah sahabat yang sama jantina atau ahli keluarga yang boleh dipercayai. Bukannya berkongsi masalah dengan suami yang menjadi hak wanita lain. Mula-mula mungkin sekadar berkongsi masalah, lama-lama mungkin terjatuh cinta.
Kaum Wanita, Nak Mengadu Masalah Bukan Dengan Suami Orang
Bagi yang sudah berkahwin, apabila kita sudah berumah tangga janganlah sesekali kita cuba untuk suka-suka berkenalan dengan orang lain di alam maya. Bermula dengan suka-suka akhirnya boleh membuka ruang-ruang kecurangan dan sekaligus meruntuhkan sebuah rumahtangga yang sudah lama di bina.
Kepada para suami pula, janganlah cuba-cuba mengurat atau suka-suka mengusik wanita lain. Ini kerana mereka akan jadi tersuka tanpa sengaja atau memang nak cari pasangan hidup dan tidak kisah melukakan hati isteri anda. Malah ada yang sanggup bermadu.
Begitu juga bagi wanita. Jangan dilayan jika lelaki itu suami orang. Tak perlulah jadikan lelaki itu tempat meluahkan masalah atau apa-apa. Carilah sesama jantina ataupun keluarga terdekat anda.
Suami orang itu bukan kaunselor atau penasihat yang baik. Diri sendiri pun dia tak dapat urus inikan masalah orang lain. Ada juga di awal perkenalan sudah mula umpan dengan duit dan macam-macam semata-mata untuk memikat.
Tanpa bantuan isteri yang bekerja dan tidak berkira, anda sememangnya tidak mampu. Kasihan si isteri niat membantu untuk meringankan beban suaminya tidak disyukuri malah bila suaminya ada duit sikit mulalah dilaburkan untuk orang lain.
Jangan Cipta Hubungan Terlarang
Menyara bulanan orang lain dan mengabaikan isteri serta anak-anaknya. Sangat tidak bertimbang rasa dan kejam. Sesekali bila bersendirian, renunglah isteri dan anak-anak anda. Apa yang belum lagi anda lakukan untuk membuat mereka gembira.
Jangan di fikirkan untuk menambah isteri lagi kerana anda sebenarnya tidak mampu untuk menyara keluarga yang besar. Tidak malukah selama ini anda nampak senang kerana atas bantuan isteri anda? Mereka tidak berkira kerana memikirkan keluarga.
Malah isteri sanggup habiskan duit dia sendiri untuk kepentingan keluarga, sedangkan si suami habiskan duit untuk berfoya-foya. Jauhilah ber’chatting’ dengan berlainan jantina jika tidak ada urusan penting kerana selain menjadikan kita curang, ia juga merupakan satu zina kecil. Hargailah pasangan anda kerana rezeki anda ada pada mereka.
Sememangnya, bukan tindakan yang bijak menjalinkan hubungan dengan suami orang. Selalunya hubungan yang sekadar suka-suka itulah menjadi serius seterusnya meretakkan hubungan suami, isteri yang sedia ada. Jadi berfikirlah sebelum terlanjur menjalin hubungan cinta dengan suami orang.
Pernah dengar kan kes-kes semacam ini. Lelaki mendekati bakal isteri yang kerja gomen atau kerja kerajaan, sebab nak hidup senang. Dekati janda kaya, sebab tak nak susah kerja, lebih baik goyang kaki duit jatuh atas riba.
Bayangkan tertekannya hidup isteri, yang terperangkap dengan suami sebegini. Macam mana nak ambil semula haknya dari suami kejam macam ini? Peguam Syarie, Khairul Fahmi Ramli jelaskan ada caranya.
Tujuan Lelaki Kahwini Bakal Isteri Kerja Gomen
Saya ada terbaca satu berita di akhbar tentang lelaki yang mengambil kesempatan untuk berkahwin dengan wanita yang berpangkat atau kakitangan kerajaan yang mempunyai pendapatan yang bagus. Tujuannya adalah untuk ‘pow’ duit atau mintak isteri ni buat pinjaman peribadi untuk hal tertentu.
Pada saya, perkara ni bukan berlaku pada orang ‘gomen’ ja. Kadang-kadang ada juga kes suami kikis duit isteri yang ‘janda kaya’ atau wanita yang mempunyai pendapatan bagus untuk kesenangan hidupnya. Ini realiti yang berlaku.
Jadi, ada ramai wanita yang mungkin pernah lalui situasi ini tak tahu, apa yang boleh dan perlu untuk dia buat bagi mendapatkan semula haknya itu.
Dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang, seksyen 61(3)(b)(ii) dinyatakan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk mendengar dan memutuskan kes yang berkaitan dengan tuntutan harta yang berbangkit di dalam perkahwinan dan perceraian. (ringkasan bacaan seksyen).
Sama juga bagi negeri-negeri lain cuma mungkin ada beza dari segi pemakaian Enakmen seperti Kedah, perkara ini dinyatakan di dalam Enakmen Mahkamah Syariah Kedah 2008. Yang pasti, setiap negeri akan ada peruntukan tentang isu ini, tuntutan harta dalam perkahwinan & selepas cerai.
Jadi, hak disisi undang-undang itu ada untuk seorang isteri menuntut hutang yang diberi olehnya kepada suami sebagai pinjaman. Perkara tersebut ada di Mahkamah Syariah. Syaratnya mesti hutang dalam perkahwinan. Bukan hutang masa ‘couple’, tunang atau selepas cerai. Yang tu tak dikira dan perlu berlaku di Mahkamah Sivil.
Tip-tip Untuk Buat Tuntutan Hutang Dalam Perkahwinan
Perjanjian bertulis
Kalau kita beri orang pinjam duit, Al-Quran pun cakap suruh tulis dan catat hutang walaupun hutang itu kecil nilainya. Jadi, kalau hutang yang dibuat oleh suami terhadap isteri juga perlu ada hitam putih sebaiknya supaya ada bukti yang jelas dan perlu disaksikan oleh sekurang-kurangnya seorang saksi lelaki. Itu memang paling kuat la.
Dokumen pinjaman
Kalau pinjaman itu dibuat terhadap bank, mesti akan ada satu salinan dokumen pinjaman yang dibuat bagi membuktikan tentang pinjaman itu dibuat oleh pihak isteri. Cuma, masalah besar lah kalau buat pinjaman Ah Long. Mana nak ada dokumen rasmi diberi. Sebaiknya, jika isteri membuat pinjaman untuk diberi kepada suami tu, simpan baik-baik bukti bersurat tentang duit yang dibuat pinjaman tu.
Transaksi ke bank suami
Kalau buat pinjaman duit, jangan bagi cash by hand. Itu cari nahas sebabnya memang tak ada bukti la nak tunjuk kata ada serah duit pada suami. Pastikan apa-apa transaksi pemberian duit itu dibuat ke akaun suami dengan transaksi online. Tolong jangan pilih untuk bagi byhand atau cash deposit.
Kalau cash deposit, resit yang keluar tu lama-lama akan pudar. Sekarang ni dah zaman online, memang pelik kalau sesetengah orang tak ada akaun online. Boleh dikatakan setiap bank dah ada. Jangan lupa, nyatakan juga alasan untuk transfer ke akaun suami tu dengan perkataan ‘Pinjam ke suami untuk…..’
Saksi
Di dalam syarak, saksi ini merupakan pembuktian yang cukup kuat dalam apa-apa tuntutan. Sebaiknya, setiap pinjaman kepada suami itu disaksikan oleh seseorang atau lagi bagus dengan dua orang lelaki. Kalau pinjam sikit-sikit tu mungkin tak ada la saksi, tapi kalau nak buat apa salahnya.
Yang penting pastikan, saksi ini orang yang baligh, berakal, tak ada niat jahat atau apa-apa kepentingan, lelaki kalau boleh. Senang nanti nak bawak ke Mahkamah kalau melalui proses bicara.
Whatsapp/Email/Mesej
Ini pun salah satu bentuk bukti yang boleh diterima. Sebab ada orang dia maklum kata bagi pinjam itu melalui telekomunikasi. Ada perbualan tentang pinjaman yang isteri bagi kepada suami. Jadi, pastikan perbualan-perbualan berkaitan hutang ini tidak dipadamkan daripada mesej yang asal. Yang penting kena ada pembuktian jelas tentang identiti orang yang isteri mesej tersebut adalah suaminya. Mesej-mesej tu pastikan ada di dalam perbualan asal daripada handphone kerana itu yang bakal menjadi bukti primer semasa bicara. Bukan sekadar screenshot sahaja.
Ok, saya rasa setakat itu sahaja tip-tip yang mungkin boleh saya kongsikan kepada isteri-isteri khususnya untuk tahu dan faham tentang hak mereka dalam tuntutan hutang semasa perkahwinan. Kes ini jarang dituntut sebab ada yang tidak tahu dan banyak juga yang ditolak oleh Hakim sebab gagal dibuktikan.
Jadi, tak salah kalau niat isteri tu baik untuk bagi suami pinjam duit sebab nak bantu suami, cuma pastikan kita sediakan payung sebelum hujan. Kalau tidak, sia-sia sahaja menanggung hutang kalau berlaku perceraian. Ingat, langit tidak selalu cerah yer wahai wanita.
Apa kata anda? Ada dapat apa-apa tak daripada sharing ni? Kalau ada cuba bagitau FAHAM kat komen tu. Boleh ke boleh?
Hati-hati Cari Calon Suami
MW : Wanita-wanita yang kerja gomen, berduit itu.. berhati-hatilah ketika memilih untuk kahwini orang yang kamu cintai. Selain lihat kejujurannya, kajilah latar belakangnya.
Ingat tak masa anak kecil, mak ayah boleh tengok dan suka lihat gelagat anak-anak. Kadang-kadang apa yang anak buat masa kecil dibiarkan sahaja. Kononnya, dia masih kecil dan tidak tahu apa-apa.
Sedangkan masa anak kecil inilah mak ayah kena main peranan dan tunjuk contoh yang baik supaya kelakuan anak-anak tidak terbawa-bawa bila dewasa nanti.
Perkongsian daripada Fariza Nurbaya ini ada benarnya. Anak umpama kain putih dan mak ayahlah yang kena mencoraknya, sama ada kain itu cantik, contang canting dan sebagainya.
1. Kenapa seorang anak boleh memukul ibunya? Sebab semasa anaknya masih kecil, ibu hanya ketawa dan gelak-gelak sahaja apabila anak memukul-mukulnya dan tidak memberitahu anaknya bahawa perbuatan tersebut adalah salah.
2. Kenapa anak remaja sekarang begitu gemar mencarut dan menggunakan kata-kata kasar seperti babi, bodoh, bangang dan sebagainya? Sebab sewaktu kecil ibu dan bapanya hanya gelak-gelak dan ketawa sahaja semasa anak yang masih kecil itu menyebut perkataan-perkataan tersebut, malah tidak menegur kesalahan anaknya. Kata ibu bapanya, lucu dan pandai anakku!
3. Kenapa anak-anak remaja berani keluar pada waktu malam? Sebab dari kecil lagi ibu bapa tidak menghalang anak-anak mereka keluar dan tidak menetapkan peraturan bahawa anak-anak wajib berada di rumah pada waktu malam. Apabila segalanya sudah menjadi kebiasaan kepada anak-anak, maka sudah tentu sukar bagi ibu bapa untuk membetulkan kesilapan tersebut.
Kata orang tua, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Untuk anak-anak muridku yang telah bergelar ibu atau bapa, ingat pesan guru tua ini.
1. Bercakaplah dengan bahasa yang baik dan sopan dengan anak-anak. Tegur dan berikan hukuman semerta jika anak-anak mengeluarkan kata-kata kesat.
2. Jangan benarkan anak-anak kecil bermain hp. Berikan buku atau permainan yang sesuai dengan umur anak-anak.
3. Jangan dibiarkan televisyen terpasang 24 jam di rumah anda. Hadkan masa menonton, contohnya pada waktu petang sahaja. Malam ialah masa untuk anak-anak mengulang kaji dan bermesra dengan ahli keluarga. Jika anak-anak tidak dibenarkan menonton televisyen, ibu bapa juga hendaklah mengorbankan keinginan sendiri untuk tidak menonton tv juga.
4. Jangan benarkan anak-anak menunggang motosikal apatah lagi memberikan motosikal kepada anak-anak. Biarlah kita yang menghantar dan mengambil mereka jika mereka mahu ke mana-mana. Susah sikit tak apa. Alah bisa tegal biasa.
5. Tiada hp adalah lebih baik. Benarkan anak-anak memiliki hp apabila anak-anak sudah bijak, matang dan dapat memanfaatkan penggunaan hp dengan baik.
6. Solat berjamaah dengan anak-anak terutama pada waktu Subuh, Maghrib dan Isyak sama ada di rumah atau masjid.
7. Waktu antara Maghrib dan Isyak sangat sesuai untuk membimbing anak-anak mengaji al-Quran.
8. Ambil tahu perkembangan pendidikan anak-anak. Semak buku-buku latihan dan kerja rumah anak-anak.
MW: Amat bagus untuk dijadikan panduan mak ayah. Moga bermanfaat.