Mentua Elak Ganggu Rumah Tangga, Anak Menantu Yang Sedang Bahagia

Share

Bukan semua menantu itu direzekikan mempunyai keluarga mentua yang memahami dan boleh bertolak ansur. Ada mentua, yang tetap mahu campurtangan urusan keluarga anak menantu nya, walaupun anak-anaknya itu sedang melayari bahtera perkahwinan yang bahagia.

Ini realiti yang benar-benar terjadi dalam masyarakat. Cuma, kes sebegini segelintir saja diketahui umum. Apabila terjadinya konflik menantu-mentua, maka yang akan menanggung akibatnya siapa?

Hadamkan perkongsian daripada Peguam Syarie, Khairul Fahmi Ramli ini. Apa alasannya untuk mentua dan menantu perlu hidup dalam keadaan harmoni dan kekal bahagia.

Mentua, Anak Menantu Kena Ada Harmoni Untuk Kekal Bahagia

Semalam, ada orang tanya tentang isu tangkapan khalwat seorang wanita yang ada bersama di dalam rumah tersebut bersama anak-anak, suami dan seorang anak angkat yang saya percaya lelaki yang sudah besar. Tangkapan dibuat disebabkan suami tersebut dalam keadaan yang tidak berupaya dan boleh datangkan syak si isteri melakukan perbuatan tidak baik.

Sebagai pengamal undang-undang, kes ini tak wajar untuk saya ulas kerana belum ada dakwaan di mahkamah dan masih ada ruang bela diri bagi wanita tersebut. Cuma yang menarik perhatian adalah kesukaran hidupnya bersama dengan suami yang kurang upaya dan anak-anak ditambah dengan ketegangan dengan mertua yang katanya inginkan duit insuran suami yang mengalami kemalangan.

Kita tidak tahu sejauh mana kebenaran cuma apa yang perlu kita muhasabah adalah pentingnya hubungan yang baik antara mertua dan menantu. Selalu sangat kita dengar isu begini dan memang banyak perceraian suami isteri disebabkan hubungan tegang kedua-duanya.

Apakah punca yang sering didengari?

Biasanya isu gaduh mentua dan menantu ini adalah disebabkan kelemahan pihak suami untuk mengimbangi antara isteri dan keluarganya. Kadang-kadang suami melebihkan keluarga dia. Ada juga kadang-kadang suami lebihkan isterinya.

Begitu juga yang biasa berlaku di Mahkamah adalah berkaitan dengan perebutan harta. Sebagai contoh, jika sekiranya suami meninggal, rumah yang dibeli oleh suami tersebut akan menjadi pusaka. Maka, mertua tetap akan dapat bahagian meskipun rumah tersebut tidaklah dimiliki oleh mereka. Isu tegang ini akan lebih bertambah jika si menantu ini membuat tuntutan harta sepencarian untuk menambahkan bahagian dia yang selayaknya.

Apa kesan yang berlaku akibat hubungan tegang ini?

Perceraian

Pastinya, kalau suami isteri masih bersama, akan ada ‘possibility’ atau kebarangkalian untuk berlaku perceraian. Sangat banyak isu yang berlaku perceraian di Mahkamah adalah disebabkan mentua kacauganggu rumahtangga. Menantu tak suka mentua. Dan mentua benci menantu yang kononnya mengubah sikap anak lelakinya.

Jagaan Anak

Antara kesan lain, berlaku perebutan hak jagaan anak antara mentua dan menantu

. Biasanya perkara ini jika kematian suami. Ibu lawan mertua untuk berebut hak jagaan anak.

Tak kurang juga ketika suami masih hidup pun, mentua lebih kuah dari sudu nak ambil jagaan cucu. Sedangkan, pihak-pihak belum pun berpisah.

Nafkah Anak

Bila dah tak dapat jagaan anak, biasanya isu inilah yang akan bersangkut. Ada isu bapa mentua yang enggan tanggung nafkah cucunya selepas kematian suaminya. Sedangkan dalam syarak, menjadi tanggungjawab datuk menafkahi cucunya selepas kematian bapa kepada anak-anak.

Kadang-kadang, bila lelaki tak mati pun, tapi disebabkan bercerai, nafkah anak enggan ditanggung si bapa sebab isu bertelingkah bekas isterinya dengan mentua. Yang menjadi mangsa sebenar adalah anak-anak. Kebajikan merekalah yang perlu diutamakan kerana mereka adalah amanah Allah yang tak boleh dipisahkan.

Apakah langkah terbaik untuk rawat/elak ketegangan mentua & menantu?

Suami main peranan dengan baik

Seorang anak lelaki bertanggungjawab kepada ibu dia. Seorang suami bertanggungjawab pada isteri dan anak-anaknya. Jadi, lelaki mesti memainkan peranan penting sebagai orang tengah yang boleh mengharmonikan hubungan tersebut.

Saling bermesra

Perlu ada hubungan mesra sejak sebelum kahwin dan selepas berkahwin antara isteri dan mertua. Jika tidak ada pergaulan mesra ketika suami masih hidup, akan bertambah berat jika berlaku kematian.

Jangan libatkan anak-anak

Seteruk mana sekalipun perbalahan antara mertua dan menantu, sebolehnya jangan libatkan anak-anak. Jangan hasut menghasut perkara negatif kepada mereka dengan tujuan membenci sedangkan mereka ini adalah jambatan antara keduanya.

Bertolak ansur

Saya percaya, apa jua keadaan seseorang, sifat bertolak ansur ini penting demi rumahtangga harmoni. Kerana, manusia tidak sempurna, namun kita boleh bertolak ansur untuk menerima kekurangan masing-masing. Menantu terima kekurangan mertua, mertua juga terima kekurangan menantu.

Kesimpulan :

Kes wanita yang ditahan tersebut telah menunjukkan bagaimana isu hubungan mertua dan menantu itu menjadi tegang gara-gara duit insuran dakwanya. Saya percaya setiap orang mungkin ada isu yang sedemikian atau berbeza sedikit puncanya hubungan yang tidak harmoni.

Cuma, apa yang penting, sebagai mertua, elakkan daripada kacauganggu rumahtangga anaknya sekiranya hubungan suami isteri ini baik dan tiada apa-apa masalah. Menantu pula kenalah cuba mengambil hati dan menerangkan dengan baik apa sahaja isu yang timbul. Kena ada sefahaman, jika tidak, tempoh hayat rumahtangga itu, pastinya sekejap sahaja.

Suami atau isteri berkahwin, bukan mereka sahaja. Kahwin juga dengan keluarga masing-masing.

Sumber/Foto : Khairul Fahmi Ramli

Published by
Netty Ah Hiyer