Menteri Pendidikan Sahkan Wang Sekolah Disamun Ada Pelanggaran SOP, Tiada Kompromi Jika Cuai

Share

Menteri pendidikan sahkan wang sekolah disamun ada pelanggaran SOP, tiada kompromi jika cuai. Bantuan awal persekolahan RM150 yang sepatutnya diterima oleh pelajar sekolah rendah di Beranang berakhir dengan tragedi apabila kenderaan dimiliki oleh Guru Besarnya disamun selepas berhenti membeli minuman selepas mengeluarkan wang tersebut.

Isu ini mendapat perhatian ramai termasuk dari Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek yang memaklumkan wujudnya pelanggaran pengambilan wang berkenaan.

Memetik laporan Harian Metro, Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) proses pengambilan wang tunai dari bank yang dilakukan seorang guru besar sebuah sekolah di Beranang, Kajang yang menjadi mangsa samun di Pekan Semenyih, semalam.

Menteri Pendidikan Sahkan Ada Pelanggaran SOP Wang Sekolah Disamun

BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :- Cermin Kereta Guru Besar Dipecah, Wang Bantuan Awal Sekolah RM109,000 Lesap!

Gadis Penghantar Makanan DiSamun, Tangan Kanan Tidak Dapat Diselamatkan Terpaksa Dipotong

Cubaan Samun Tak Kesampaian, Perompak Cedera Parah Dibelasah Peninju Wanita!

Bahana Sering ‘Live’ Di Facebook, Pengusaha Komestik ‘Online’ Disamun & Ditembak

Cubaan Samun, Suri Rumah Ditemui Mati Dibunuh Dengan Kesan Tikaman Di Perut Dan Dada. Takziah Buat Keluarga Mangsa

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelanggaran itu membabitkan ketiadaan pengiring bersama guru berkenaan sama ada dalam kalangan guru lain atau polis sewaktu mengeluarkan wang tunai berjumlah RM109,000 yang diperuntukkan bagi bantuan awal persekolahan.

“SOP kewangan telah dilanggar sedangkan kita ada SOP yang cukup ketat iaitu jika membawa wang lebih dari RM10,000 mestilah ada pengiring, inikan pula satu jumlah yang cukup besar (RM109,000 yang hilang),” katanya kepada pemberita sewaktu lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor, di sini hari ini.

Tiada Kompromi Jika Cuai

Menurutnya lagi, pihaknya tidak akan berkompromi dengan isu berkenaan yang dianggap serius dan bagaimanapun, laporan penuh siasatan daripada polis serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sedang ditunggu bagi menentukan tindakan susulan yang bersesuaian.

Sama ada kes berkenaan boleh dianggap sebagai kelalaian, beliau berkata ketika ini masih awal untuk disimpulkan selagi laporan penuh belum diterima pihaknya.

Berdasarkan SOP tatacara pengeluaran wang tunai KPM, pengeluaran wang tunai dari bank oleh guru besar atau pengetua di bawah jumlah RM10,000 mesti diiringi dua guru lain dan bagi jumlah melebihi itu, adalah dinasihatkan mengambil langkah keselamatan tambahan seperti mendapatkan perkhidmatan pengiring polis jika perlu.

Ditanya mengenai sama ada pelajar yang sepatutnya menerima wang bantuan berkenaan akan kekal memperolehnya apabila wang peruntukan yang hilang itu diganti semula oleh kementerian, Fadhlina sekadar memberi jaminan bahawa hak mesti dikembalikan kepada yang berhak.

“Kita jamin akan pastikan mereka (penerima bantuan) dapat hak mereka. Kita akan lihat apa prosesnya sebab untuk SOP kewangan ini kalau hilang sebab cuai dan sebagainya akan ada proses dia (yang tertentu).

“Untuk tindakan terhadap guru besar itu, kita serah kepada JPN dan polis sebagai jaminan bahawa kes ini sedag disiasat dengan teliti,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dilapor berkata, pihaknya tidak mendapat permohonan pengiring daripada guru besar berusia 50 tahun berkenaan untuk tujuan pengeluaran wang yang hilang itu malah guru besar terbabit memberi alasan sudah biasa mengambil wang bantuan awal persekolahan tanpa pengiring pihak polis sejak 10 tahun lalu.

Wang bantuan berkenaan dikatakan dilarikan oleh penjenayah, semalam apabila difahamkan ia baru saja dikeluarkan oleh guru berkenaan dan meletaknya dalam beg yang diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan kereta sebelum cermin kenderaannya itu dipecahkan ketika pergi membeli minuman dalam tempoh kira-kira 10 minit.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina mengumkan peruntukan RM150,000 kepada SK Chepor untuk penyelenggaraan dan pembaikan beberapa fasiliti sekolah seperti tandas serta tembok pagar sekolah serta RM400,000 kepada SK Seri Tanjung, Tanjung Rambutan yang dilawatinya sebelum itu juga bagi tujuan menyelenggara sekolah yang disifatkan daif itu.

Follow kami di Facebook , Website , Instagram, YouTube , Twitter , Telegram MW dan TikTok Mingguan Wanita untuk mendapatkan info, berita terkini serta artikel-artikel menarik.

Published by
Almaswa Haji Che Ros