Menteri Agama Terharu Dapat Kuih, Kad Raya, Janji Nak BALAS Balik

Share

Suatu ketika dahulu menjadi kebiasaan bagi umat Islam berkirim dan berbalas kad raya apabila tibanya syawal. Siapa sangka, sempena musim Covid-19 ini, amalan yang lama ditinggalkan hidup kembali.

Seorang kanak-kanak yang dikenali sebagai Nadzrul Zarfan Sharul Azly telah menghantar kuih-muih dan kad raya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Oleh kerana terharu dengan pemberian itu, beliau berjanji akan membalas semula kad raya yang dikirim.

“Insyallah Nanti Pak Cik Balas Kad Raya”

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zukifli Mohamad Al-Bakri terharu menerima kad raya dan hadiah kuih-muih daripada seorang kanak-kanak yang dikenali sebagai Nadzrul Zarfan Sharul Azly.

Luahan itu dikongsi di Twitter rasminya yang turut mengingati ucapan nasihat daripada kanak-kanak berusia 11 tahun itu serta mengucapkan terima kasih di atas pemberian tersebut.

“Pakcik amat terharu dgn surat anakanda. Pakcik akan ingat nasihat dan pesan anakanda. Siap ada pantun;
Pecah kaca, pecah gelas,
Lepas baca, harap balas.

“Insya-ALLAH nanti pakcik balas kad raya ni,” ciapnya pantas menarik perhatian ramai.

Ingin Berkolaborasi Hasilkan Komik

Dalam isi kandungan surat tersebut juga menyatakan keinginan Nadzrul Zarfan untuk berkolaborasi bersama Dr Zulkifli menghasilkan buku Bayyan Linnas versi komik untuk kanak-kanak.

Buku itu juga dikatakan mampu menarik kanak-kanak untuk menuntut ilmu agama kerana konsep komik lebih santai, menarik dan mudah difahami.

Terdahulu, Nadzrul Zarfan pernah tular di laman sosial selepas mengutus surat kepada pengurusan sebuah surau yang menghalangnya solat di saf pertama sehingga mendapat perhatian Dr Zulkifli yang ketika itu masih menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan.

Sumber: Sinar Harian

MW: Tahniah kepada mak, ayah adik Nadzrul Zarfan yang berjaya mendidiknya menjadi anak yang baik dan mempunyai akhlak yang mulia.

Published by
Nur Syazwani Mehat