Suami Tuduh Isteri Mandul, Kahwin Janda Sebelah Rumah!

Share

Assalamualaikum Puan. Saya berusia 34 tahun dan sudah lapan tahun berkahwin. Terus terang, wanita mana yang tak nak bergelar ibu, mengandung dan melahirkan zuriat sendiri. Namun, rezeki belum memihak pada saya. Tapi saya paling sedih bila suami sendiri menuduh saya mandul!

Berusaha Untuk Dapatkan Zuriat

Pelbagai usaha dah saya buat. Pergi berurut, makan jamu itu ini, bahkan jumpa doktor pun sudah. Itu semua saya lakukan selepas dua tahun berkahwin. Mengikut perubatan moden, doktor cakap saya tak ada apa-apa masalah, bermakna saya tak mandul. Jadi, saya anggap Allah belum nak bagi rezeki pada saya.

Dalam masa yang sama, suami tak pernah ikut saya menjalani apa-apa perubatan sama ada tradisional atau moden. Katanya, saya yang patut pergi berubat kerana saya yang akan mengandung, bukan dia. Lagi pula katanya, dia yakin dirinya subur kerana adik beradiknya ramai, lapan orang. Bahkan adik beradiknya yang dah berkahwin juga anak ramai. Hanya dia yang belum ada anak. Walau pun terkilan, tapi saya tak boleh buat apa.

Tahun berganti tahun, saya semakin reda dan serahkan pada rezeki kerana saya dah buat yang termampu. Namun dalam hati terkilan masih menebal kerana suami tak nak berusaha. Ajak buat IVF pun dia tak mahu. Jadi, apa lagi yang saya patut buat? Kenalah reda.

Keluarga Mentua Pandang Serong

Masuk tahun kelima, saya makin tertekan, bukan sebab suami saja, malah keluarganya juga. Mak mentua saya terutamanya, sering menyindir. Katanya saya yang tak boleh mengandung, mandul. Bayangkan perasaan saya ketika itu. Saya dah jumpa doktor dan doktor cakap saya memang tak ada masalah. Siapa kita nak menidakkan takdir?

Saya mula kurang balik ke rumah keluarga suami kerana tak tahan asyik disindir lebih-lebih lagi kalau ada adik-beradik suami yang beranak baru.

Berubah Sikap

Saya tinggal berjiran dengan seorang ibu tunggal yang memiliki dua orang anak. Orangnya memang peramah dan sekejap saja kami rapat. Anak-anaknya juga rapat dengan saya dan suami. Kalau hari cuti, sering kali juga mereka ke rumah kami.

Saya tak tahu sebenarnya macam mana ia bermula. Tapi saya dapat rasakan perubahan pada suami. Kata orang, naluri isteri. Memang saya pun melayan anak-anak Z dengan baik tapi saya lihat suami melayan mereka teramat baik hinggakan pernah bawa budak berdua itu ke rumah ibu bapanya. Malah dia yang meminta dirinya dipanggil ‘papa’.

Mulanya saya tak kisah kerana memikirkan mungkin suami ingin rasa seperti memiliki anak sendiri. Tapi saya dapat ‘mengesan’ sesuatu di sebalik jelingan Z dan suami tiap kali bersua.

Berpindah

Hinggalah Z tiba-tiba berpindah dan saya tak tahu. Balik kerja, tengok rumahnya sudah kosong. Bila tanya pada suami, dia hanya cakap tak tahu. Hairan juga kerana hubungan saya dan Z rapat juga, takkan soal pindah pun tak diberitahu? Saya cuba telefon pun tak dijawab oleh Z.

Seminggu kemudian suami bekerja di luar kawasan dan saya tak syak apa-apa sehinggalah saya terlihat bil telefon suami. Biasanya saya tak ambil peduli tapi entah mengapa saya terlintas hati nak tengok? Banyak telefon ke satu nombor dan bila saya semak, itu nombor Z.

Berhari-hari saya tak boleh tidur memikirkan perkara itu, akhirnya saya tekad untuk berterus terang dengan suami. Walau pun pada mulanya suami menafikan, akhirnya dia mengaku yang dia sebenarnya sudah pun menikah dengan Z. Puan, Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu. Rasa marah, kecewa, tertipu, sedih – macam-macam berbaur di hati.

Kata suami, dia jatuh cinta dalam diam dan sepakat untuk berkahwin. Dia yakin akan mendapat zuriat bersama Z. Kata-kata terakhirnya mencabar ego saya sebagai wanita. Bermakna suami anggap saya mandul dan tak boleh berikan dia zuriat, sebab itu saya dimadukan dalam diam.

Minta Cerai

Puan, saya tak dapat terima dan minta cerai. Saya tak kisah orang kata saya mandul, tapi bila suami sendiri yang kata begitu, saya sangat sedih. Betul ke saya mandul atau dia yang mandul? Saya sudah pun membuat permohonan cerai dan akan naik mahkamah tak lama lagi. Suami masih memujuk saya untuk menarik balik permohonan. Puan, walau pun saya tekad cerai tapi saya masih sayangkan suami. Namun, hati saya sudah cukup terluka untuk terus bergelar isterinya. Saya juga rasa tertipu kerana suami sanggup bermain cinta dengan wanita yang saya anggap rakan di belakang saya.

Ida, KL

Jawapan:

Perkahwinan adalah alam perkongsian  suami isteri. Ada pasangan yang boleh kongsikan kesemua  aspek dalam kehidupan, seperti kewangan, minda, perasaan dan emosi, kasih sayang, saling memahami, setia, hormat, tidak menyakiti hati pasangan, menerima kekurangan pasangan, menghargai kelebihan pasangan dan sebagainya.

Onak Dan Duri

Jika ini tercapai, ia  merupakan tahap  kebahagiaan yang ideal yang didambakan oleh pasangan, khusus  buat isteri. Namun perjalanan dalam perkahwinan  tidak semudah yang diimpikan. Onak duri, ombak badai  mainan harian. Ada pasangan yang hanya  boleh berkongsi sebahagian, ada yang hanya  sedikit, ada yang sukar untuk berkongsi kerana  ego yang tinggi dan sukar menerima  pasangan seadanya.

Puan yang dirahmati Allah. Saya memahami perasaan puan tentang keinginan memiliki  anak  sendiri, namun  Allah belum kurniakan. Ada pasangan yang saya lihat, telah berkahwin hampir 15 tahun, namun tidak dikurniakan  anak. Suaminya  ada  wanita  lain yang ingin dikahwini.  Isterinya mohon untuk dilepaskan. Dia bersetuju  untuk menceraikannya.  Setelah idah, isterinya berkahwin lain dan setahun lepas itu  dia dikurniakan  anak dalam usia 35 tahun. Manakala  bekas suaminya  setelah usia kini hampir empat tahun berkahwin lain tetapi masih belum dikurniakan anak.

Perancangan Allah Yang Terbaik

Kadang-kadang perancangan Allah kita tidak tahu, yang mana  perancangannya adalah lebih baik daripada  yang kita  rancang. Memang sukar untuk puan  menerima tuduhan suami  setelah pemeriksaan dijalankan bahawa  puan adalah sempurna.

Saya kurang pasti adakah puan dan suami mahu mengambil anak angkat. Dalam keadaan  suami telah ada wanita lain untuk dikahwini, mungkinkah puan tidak berhasrat ke arah itu? Tahukah puan ramai dalam kalangan pasangan yang tidak dikurniakan zuriat mengambil anak angkat sebagai penghubung kasih antara  suami isteri.

Kini, puan telah pun mengambil keputusan untuk berpisah dengan suami. Jika  puan sudah bertekad, adakah puan telah bersedia ke arah itu? Pun begitu,  proses menunggu keputusan  perceraian di mahkamah  bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi jika suami enggan turun atau enggan melafazkan cerai di hadapan hakim.

Ego Lelaki

Apa yang suami lakukan tidak mustahil dilakukan oleh lelaki lain. Alasan itu boleh pelbagai. Keegoan suami juga  adalah sesuatu yang normal kepada seorang lelaki yang bergelar suami. Sukarnya seorang lelaki menerima kenyataan bahawa dia adalah mandul, samalah seperti wanita tidak dapat menerima hakikat berpoligami, mungkin lebih lagi kerana keegoan seorang lelaki sememangnya begitu.

Sebab itulah jarang suami yang mahu membuat pemeriksaan sama  ada  dia normal  atau tidak. Justeru, tidak perlu kita mempertikaikan siapa yang normal atau tidak. Reda dengan ketentuan Allah. Jika ditakdirkan puan berpisah dengannya, dan dia  dikurniakan zuriat dengan wanita  lain,  Alhamdulillah, doakan yang terbaik  untuk suami.

Jika ditakdirkan dia tidak mahu menceraikan puan dan dia memiliki anak dengan wanita lain, puan berdoalah agar puan juga dikurniakan anak seperti madu puan. Jika puan berjaya dalam proses tuntutan cerai, maka jalanilah kehidupan  dengan lebih bermakna. Masa bercerai mungkin masing-masing boleh memikirkan apakah masing-masing mampu untuk hidup berasingan? Dan puan pula bersendirian?

Kahwin Lain

Pada masa ini tidak dinafikan  puan mahu berpisah dengan suami kerana  dia telah ada wanita lain dan suami pula  menganggap puan yang tidak mampu melahirkan anak.  Namun  apabila bercerai belum tentu puan dapat meneruskan kehidupan tanpa  suami, melainkan puan bertemu dengan lelaki lain dan berkahwin serta mempunyai anak.

Masing-masing boleh  membina kehidupan sendiri. Yang penting bersangka baik dan positif terhadap ketentuan Tuhan. Puan tidak tahu dalam keadaan mana yang terbaik kan? Kerana  ia belum berlaku dan tidak pasti adakah ianya bakal berlaku, melainkan hasrat suami yang mahu berkahwin lagi yang jelas akan berlaku.

Pandang Hikmah

Justeru, pertama sekali, berlapang dada. Jika puan teruskan hasrat itu, puan tetap berlapang dada dan berbaik sangka dengan suami. Sama jua berbaik sangka  dengan keluarga suami.  Anak hanya anugerah Allah yang merupakan amanah, perantara hubungan  suami isteri untuk lebih bermakna. Namun, jika Allah tidak anugerah pun kita boleh mencipta keadaan itu dengan mengambil anak angkat.

Walau apapun yang bakal berlaku, sentiasalah berlapang dada, reda dan berbaik sangka. Untuk mendapatkan ini pastinya hubungan puan dengan Allah perlu rapat. Solatlah malam, berdoa, solat awal waktu, solat sunat, solat hajat agar Allah makbulkan hajat puan dan jika  Allah  tidak makbul pun, ada hikmah yang kita sendiri tidak tahu. Pelbagai aktiviti dalam kehidupan, kerana  bahagia dalam hidup bukan hanya bergantung kepada bahagia dengan seorang lelaki. Saya mendoakan agar puan diberi kekuatan menghadapi ujian ini.

** Persoalan ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis tetap ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan Wanita.

 

 

 

Published by
Nurul Azwa