Awal Muharram atau Maal Hijrah bermulalah kiraan masuk tahun baru dalam kalendar Hijrah. Pada Hari Ashura iaitu 10 Muharram,ramai yang merebut peluang untuk berpuasa sunat kerana dijanjikan ganjaran menghapuskan dosa setahun yang lalu. Ada 3 kaedah yang perlu diketahui dalam melaksanakan puasa hari ‘Ashura ini.
Selamat berpuasa sunat bagi mereka yang sempat berpuasa hari Rabu & Khamis ini. Mari kita sama-sama berpuasa sunat (18 Ogos = Hari Tasu’a = 9 Muharram) dan ( 19 Ogos 2020 = Ashura’ = 10 Muharram). Perlu tahu, antara ibadat puasa yang menjadi keutamaan kepada Rasulullah SAW untuk kita contohi selain puasa dibulan Ramadan ialah puasa pada hari Asyura (10hb Muharam).
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ إِلَّا هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَهَذَا الشَّهْرَ يَعْنِي شَهْرَ رَمَضَانَ
Daripada Ibnu Abbas RA, beliau mengatakan: “Saya tidak pernah melihat Nabi SAW memilih satu hari untuk puasa yang lebih baginda utamakan dari pada yang lainnya kecuali puasa hari Asyura, dan puasa bulan Ramadan.” (HR Bukhari No: 1867) Status: Hadis Sahih)
Imam Syawkani & Ibnu Hajar mengatakan puasa ‘Asyura ada tiga tingkatan. Yang pertama puasa di hari ke 10 saja, tingkatan kedua puasa di hari ke 9 dan ke 10 dan tingkatan ketiga puasa di hari 9,10 dan 11.
Ganjarannya ?
Abu Qatadah al-Ansari radiallahu ‘anhu berkata:
وَسُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَاشُورَاءَ فَقَالَ ” يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ
Baginda ditanya tentang puasa hari Asyura. Baginda menjawab: Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu. (Sahih Muslim, Kitab al-Siyyam, hadis no: 2603)
‘Abdullah bin ‘Abbas radiallahu ‘anhuma berkata:
حِينَ صَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ قَالَ فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Ertinya : Apabila Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa di hari ‘Asyura dan menyuruh manusia berpuasa padanya.
Para sahabat berkata: Ya Rasulullah. Sesungguhnya ia merupakan hari yang orang Yahudi dan Kristian agungkan.
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: Pada tahun hadapan, Insya-Allah kita akan berpuasa pada hari kesembilan Muharram.Akan tetapi, pada tahun berikutnya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam telah meninggal dunia.
[Sahih Muslim, Kitab al-Siyyam, hadis no: 1916]
Bagi yang tidak berkesempatan puasa Tasu’a (9hb Muharam atau 18hb Ogos), masih lagi berpeluang melaksanakan puasa Asyura pada keesokan hari (10hb Muharam bersamaan hari Khamis 19hb Ogos.).
Ibnul Qayim dalam Zadul Ma’ad, 2/72 menjelaskan puasa yang berkait hari Asyura ada tiga Kategori:
a) Kategori paling sempurna, puasa tiga hari. Sehari sebelum Asyura, hari Asyura, dan sehari selepas Asyura (9hb, 10hb dan 11hb Muharam).
b) Kategori kedua, puasa pada 9hb dan 10hb Muharam berdasarkan banyak hadis.
c) Kategori ketiga, puasa pada10hb Muharam saja.
Rebutlah peluang melakukan puasa sunat sempena Asyura, jika berkemampuan, berpuasa tiga hari atau dua hari atau paling tidak sehari iaitu pada 10hb Muharam. Semoga ia menjadi penebus dosa-dosa kita setahun yang lalu.
Baca Lagi Di Sini:
Masuk TAHUN BARU Perbaiki Diri Dan Ibadah, USAHA Mengundang Redha Allah
MW:Semoga perkongsian ini bermanfaat. Bersama-samalah kita merebut peluang berpuasa pada hari Ashura ini, terpulang mengikut kaedah yang dikongsikan. Semoga mendapat ganjaran pahala dan menghapuskan dosa setahun yang lalu seperti yang dijanjikan Allah.
Sumber: Dr. Zaharuddin Abd Rahman , 1 Hari 1 Hadis