Bila sebut bab hidup bermadu, apa yang tergambar difikiran isteri-isteri saling bercakaran, suami berat sebelah, tak adil dalam soal nafkah dan banyak persepsi ‘seram’ yang dibayangkan.
Beza dengan isteri pertama ini, Nor Ilda Amiza Ismail (Mummy) yang ditakdirkan mengandung, menjalani rutin pemeriksaan kehamilan malah bersalin bersama-sama adik madunya. Ikuti pengalaman unik yang pernah wanita ini lalui sedikit masa lalu.
19 April tarikh yang akan diingati selamanya. Lahirnya ‘kembar’ Muhammad Danish Hakeem Mohd Faizal dan Muhammad Rayyan Hadif Mohd Faisal.
Mummy hanya melahirkan seorang tapi dianugerahkan 2 orang putera dalam hari yang sama. Hanya berbeza masa. Pelik tetapi benar. Begitulah indahnya aturan Allah Al Baari.
Mummy dan adik madu disahkan mengandung pada masa yang lebih kurang sama. Maha Adilnya Allah. Masa itu masih dalam fasa awal poligami. Agaknya Allah bagi sama rata agar tiada pihak yang berjauh hati.
Kami pergi check up bersama-sama. Di hospital dan doktor yang sama. Masih terbayang wajah confused doktor dan jururawat selepas mummy selesai diperiksa.
Mummy keluar bilik, adik madu pula dipanggil masuk. Tuan Suami pula terus duduk menunggu di dalam bilik doktor sambil berkata “Ini seorang lagi.”
Kalau mengikut EDD, Danish sepatutnya lahir akhir April dan Rayyan pula sepatutnya awal Mei. Namun, siapa pun tidak dapat menidakkan kuasa Allah. Kun faya kun.
Pukul 3 pagi 19 April mummy sudah ada tanda bersalin. Kontraksi sudah kerap. Kebetulan malam itu giliran Tuan suami di rumah mummy. Selepas solat Subuh, kami bergegas ke hospital.
Doktor datang periksa pukul 6.45 pagi. Danish dalam keadaan ‘fetal distress’. Sudah buang air di dalam rahim. Maka tepat pukul 8 pagi, lahirlah Muhammad Danish Hakeem secara c-sect. Danish ditahan sementara kerana perlu bantuan oksigen. Pukul 3 petang baru mummy dapat jumpa Danish.
Sedang Tuan Suami sibuk menguruskan mummy di wad, adik madu pula pecah air ketuban di rumah. Mujur ada adik ipar dan mak madu. Adik ipar yang tolong hantar adik madu ke hospital dan mak madu pula tolong jaga anak-anak di rumah.
Servis sudah bertukar tangan. Giliran Tuan Suami menemani adik madu pula di bilik bersalin. Akhirnya pukul 11 malam 19 April, lahirlah Muhammad Rayyan Hadif.
Kami berdua ditempatkan dalam wad yang sama. Berkampunglah kami semua. Sekali lagi para jururawat dan petugas hospital berada dalam keadaan confused dan tertanya-tanya.
Pukul 3 pagi 20 April, barulah Tuan suami dapat berehat setelah selesai semua urusan bersalin kami berdua. 24 jam berjaga mengurus kami semua. Hari yang penuh pelbagai emosi dan rasa.
Tidak dapat rasakan apakah perasaan Tuan Suami ketika itu. Syukur pada Allah, beliau berjaya laksanakan tanggungjawab keluarga dengan baik walaupun berpoligami. Terima kasih banyak-banyak pada Tuan Suami. We love you so much.
Kisah mummy mengandung dan bersalin bersama-sama adik madu mungkin satu dalam seribu. Mujur tidak viral waktu tu.
Last but not least, Happy 4th Birthday Danish dan Rayyan! Kalian berdua hadiah hari lahir mummy yang paling berharga!
Mummy daddy ummi doakan anakanda berdua terus jadi anak soleh wa musleh, penyejuk mata, penawar hati kami dunia akhirat, aamiin..
Sumber/Foto : Nor Ilda Amiza Ismail