Mengandung Bukan Bentuk Badan Jer BERUBAH, Ada Juga Berubah Warna

Share

Dikhabarkan hamil sudah tentu mengujakan setiap wanita yang menanti kehadiran cahaya mata. Kehamilan juga tidak kurang menjanjikan perjalanan yang cukup indah bagi bakal ibu. Setiap ibu hamil akan melalui beberapa transformasi hingga membuatkan mereka tidak sabar untuk bertemu cahaya mata yang dikandung.

Di samping itu, terdapat juga perubahan yang kurang selesa buat ibu lalui iaitu perubahan pada warna putting payudara. Kebiasaanya putting akan berubah sedikit gelap. Adakah proses ini normal buat ibu yang hamil?

Ternyata bukan sahaja di bahagian puting, payudara juga akan menjadi lebih kenyal, besar dan sensitif. Perubahan ini dikatakan normal sebagai tanda tubuh badan anda bersedia untuk menyambut kelahiran bayi tidak lama lagi.

Dalam proses menghitung hari fasa kelahiran, ibu mengandung turut mengalami beberapa perubahan lain di payudara antaranya:

  • Pembesaran payudara
  • Sakit di bahagian payudara
  • Urat menjadi lebih gelap di kawasan payudara kerana bekalan darah bertambah
  • Menghasilkan kolostrum
  • Puting menjadi lebih besar
  • Kelenjar kecil yang berada di permukaan isola akan membentuk benjolan

Sekiranya kegelapan kulit berlaku secara mendadak di bahagian putting, anda tidak perlu risau dan bimbang. Situasi ini sangat normal untuk ibu mengandung. Berita baik buat anda, setelah anda melahirkan cahaya mata, kesan gelap tersebut akan berkurangan tetapi tidaklah seperti anak dara kembali.

Pelbagai perubahan berlaku pada wanita, biarkan sahaja dan ketahuilah ianya petanda yang baik.

Tip Penjagaan Payudara

Sepanjang kehamilan, selain mengambil berat tentang kandungan, anda juga perlu peka dengan perubahan yang dialami termasuklah di bahagian payudara yang semakin membesar dan sensitif. Barang kali tip yang dikongsi ini dapat membantu anda:

1. Pilihlah coli khas dan selesa dalam menjaga payudara anda. Coli khas untuk ibu mengandung boleh didapati di pasaran.

2. Kain kapas adalah material terbaik untuk coli ibu mengandung di samping bertali lebar dan tidak mempunyai dawai.

3. Sekiranya payudara makin besar dan anda tidak selesa memakai bra biasa, dapatkan bra materniti pada usia kandungan empat bulan ke atas.

4. Pilihan mandian juga harus tepat dengan situasi anda yang sedang hamil. Jika anda mengalami sebarang alahan, bertukarlah kepada peralatan mandian yang memiliki ciri hypoallergenic.

5. Sebaiknya elakkan diri daripada mandi air panas kerana ia mampu membuatkan kulit anda kering terutamanya di bahagian payudara yang anda sakit.

6. Jadikan rutin harian mengeringkan payudara denhan tuala bersih sebaik sahaja anda mandi.

7. Amalkan pemakanan yang sihat dan tidur secukupnya sepanjang tempoh kehamilan.

Published by
Nur Syazwani Mehat