Mengaji Marathon 2023 berjaya tarik ramai golongan muda cintai Al-Quran. Pernyataan ini terbukti apabila MCPLUS, pusat tuisyen dalam talian terbesar di Malaysia, berjaya menghimpunkan ramai peserta daripada pelbagai peringkat usia menyertai Program Mengaji Marathon 2023 secara maya yang kali kedua diadakan ini.
Menurut jurucakap MCPLUS, program ini diadakan bersempena dengan sambutan Nuzul Quran dan lebih menarik lagi, Mengaji Marathon ini telah berlangsung 12 jam tanpa henti bermula 6.30 pagi hingga 6.30 petang pada Sabtu, 8 April 2023 lalu.
Salah satu faktor kuat menarik perhatian golongan muda ialah apabila pihak penganjur menggunakan pendekatan lebih mesra belia dengan menjemput nama-nama besar dan popular di kalangan mereka. Antara yang terlibat ialah Mawi, Anas Tahir, Ustaz Adnin, Ustaz Mahiraja, Raqib Majid, Qawi dan Sirpuloh. Pendekatan yang tepat dan ini adalah sebahagian dari inisiatif MCPLUS memupuk sifat kecintaan terhadap al-Quran dalam kalangan muslim.
Inisiatif ini harus dipuji berikutan ia membantu muslim dan muslimin untuk khatam al – Quran pada bulan Ramadan dengan membaca 10 hingga 11 Juz awal al-Quran semasa marathon ini berlangsung.
“Kami berniat untuk beri peluang kepada mereka yang ketinggalan dalam bacaan al-Quran agar mengejar kembali dan seterusnya menghabiskan kesemua 30 Juz sempena Ramadan”
“Jujurnya kami memang teruja menganjurkan Program Mengaji Marathon 2023 ini seterusnya menjadi platform untuk semua umat Islam berkumpul dan mengaji al-Quran bersama secara maya. Acara ini bukan sekadar membaca al-Quran tetapi juga memupuk semangat kemasyarakatan dan kerohanian,” ulas Fathi Hussein, tutor MCPLUS.
Menurutnya lagi, MCPLUS ingin berkongsi inspirasi dengan melihat lebih ramai rakyat malaysia terutamanya anak muda mencintai al-Quran dengan membacanya. Ia sekali gus dapat melahirkan sebuah generasi yang baik dalam mengukuhkan hubungan mereka dengan Allah.
Kemajuan teknologi Al-Quran pada hari ini, turut menyaksikan kehebatan adik Muhammad Taufik Azman pemuda cacat penglihatan yang cekap membaca al-Quran Braille. Beliau hadir sebagai salah seorang peserta istimewa.
Pemuda berusia 22 tahun, anak kelahiran Negeri Sembilan ini mula mendapat pendedahan mempelajari teknik bacaan al- Quran Braille sejak berusia 7 tahun lagi.
Menurut Muhammad Taufik, beliau mula membaca Iqra ketika mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth di Johor Bharu. Di sini dia mempelajari teknik asas membaca al-Quran tulisan Braille.
“Bila usia semakin meningkat, rasa cinta akan al-Quran semakin menebal dalam diri ini. Sejak 10 tahun lepas saya mula mendalami bacaan al-Quran dan menyertai pelbagai pertandingan Musabaqah mewakili negeri Johor, “ kata Muhammad Taufik, yang buta sejak lahir, menanam impian ingin mewakili negara dalam pertandingan Musabaqah peringkat antarabangsa suatu hari nanti.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1441H/ 2020M merupakan idolanya. Dia membuktikan biarpun ada kekurangan namun ia bukan penghalang untuk mencapai impian menjadi qari yang baik dan bersaing dengan mereka yang lebih sempurna fizikalnya.
Untuk makluman semua, tahun lalu, Mengaji Marathon berjaya menarik lebih 100,000 tontonan di Youtube LIVE dan ternyata acara ini mengulangi sejarah dan telah memberikan pengalaman berharga sekali gus mendedahkan para peserta dengan keindahan ayat-ayat suci al-Quran serta mempraktikkan ajaran Islam untuk tujuan peningkatan refleksi diri dan rohani.
Acara ini telah dibuka kepada semua rakyat Malaysia dan peserta boleh menyertainya mengikut keselesaan diri di rumah kerana acara ini dibuat melalui penstriman langsung di saluran Youtube MCPLUS.MY. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mcplus.my.