‘Mengaji, Makan, Berjalan, Tengok TV Pun Berjemaah’ Rahsia Harmoni 10 Beradik

Share

Hebatnya didikan mak ayah Ustazah Asma Harun dalam membesarkan 10 orang anak-anaknya. Setiap aktiviti keluarga, mak ayahnya akan mewajibkan 10 beradik ini terlibat sama. Tak boleh beri alasan tidak.

Perkongsian hebat ini sebenarnya dicatat sendiri oleh pendakwah bebas, Ustazah Asma Harun bersempena hari lahirnya yang ke-36. Diselitkan sama kisah tentang ayahnya yang selalu bantu ibu membuat kerja rumah. Jadi, ayah-ayah di luar sana.. ini sedikit sebanyak tip yang boleh dipraktikkan.

Sebab, dengan cara didikan mak ayah ustazah inilah berjaya mengharmonikan hubungan 10 beradik Ustazah Asma. Membuatkan mereka bersatu hati dan saling ingat akan adik-beradik yang lain.

 

Gambar 10 beradik ustazah Asma Harun dan mak ayah pada 18 tahun yang lepas.

 

Kongsi Ustazah Asma,

بسم الله الرحمن الرحيم. الحمد لله رب العالمين.

36 tahun yang lepas saya lahir di kampung Batu 6, Kuala Terengganu. Ibu tercinta bernama Fikriah binti Awang, seorang guru fizik. Ayah tersayang Harun bin Ismail seorang peniaga (kedai nasi ayam bt6) dan juga pendakwah. Salasilah, Tok Guru Haji Abbas adalah moyang, Ustaz Haji Awang Abu Bakar adalah datuk saya.

Adik beradik 10 orang, Najihah, Asma’, Ibrahim, Aishah, Abdul Hadi, Asiah, Siti Khadijah, Siti Aminah, Muhammad Nasrullah dan Nabilah.

Alhamdulillah, kami membesar dengan kasih sayang, disiplin dan didikan agama yang baik. Sedikit perkongsian biasa, kami 10 beradik semuanya belajar dan khatam AlQuran dengan emak ayah. Waktunya selepas maghrib dan subuh. Alhamdulillah.

Sesibuk dan sepenat mana pun, mereka tetap disiplin mengajar semua anak-anak. Itulah juga yang selalu diingatkan oleh emak saya, supaya mengajarkan sendiri anak baca AlQuran.

Waktu Makan Mesti Berjemaah, Dilarang Makan Sendiri-sendiri

Satu lagi, waktu makan mesti berjemaah, dilarang makan sendiri-sendiri walaupun ketika itu dah lapar (pandai-pandailah sementara tu isi perut dengan biskut ke), kalau dah kenyang pun kena duduk di meja makan bersama-sama, kena buat-buat lapar.

Daripada kecil Emak Ayah istiqamah bawa anak-anak hadir kuliyah Jumaat Tok Guru Haji Hadi di Masjid Rusila, sehingga adik ke-10 pun begitulah rutinnya. Walaupun kami tak faham apa-apa lagi tapi memang suka pergi sebab boleh pergi pantai dan beli macam-macam makanan daripada gerai yang sangat banyak.

Hampir setiap hujung minggu pula Emak Ayah akan bawa ke mana-mana, taman mainan dan pantai lah selalunya, asyik berkelah aje. Memang mereka rajin bawa anak-anak berjalan walaupun tempat sama sahaja.

Kereta sedan dengan jumlah yang ramai kami duduk sambil beribakan adik-adik. Semua wajib ikut walaupun dah besar.

Ayah Ambil Peranan Memasak Setiap Hari

Kerana memahami kesibukan emak sebagai guru dan menguruskan anak-anak yang ramai, ayah ambil peranan memasak hampir setiap hari. Asalnya ayah tak pandai masak, tapi belajar melalui emak sehingga jadi chef yang terbaik bagi kami. Sikap toleransi yang tinggi di antara emak ayah menjadi inspirasi kami.

Saya boleh simpulkan, usaha Emak Ayah secara berterusan memastikan kami adik beradik sentiasa bersama dan berjemaah, sehingga waktu tengok TV pun semua wajib ada bersama. Moga kami kekal saling berkasih sayang dan menghormati. SubhanAllah, moga Allah rahmati dan ganjarkan SyurgaNya buat semua Ibu Bapa.

Pengajian saya bermula daripada PASTI, Darul Taqwa, SMU (A) Darul Anuar Pulau Melaka, SMU (A) Maahad Muhammadi Lilbanat KB, KUSZA, alAzhar Mesir dan OUM. Doakan rezeki ke PHD. InsyaAllah.

Pengalaman bekerja di JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan bermula 2008. Sebagai Pen.Pengarah Bahagian Undang-undang Keluarga Islam dan Pen.Pengarah Bahagian Halal. Meletakkan jawatan pada 2017.

Ketika Umur 22 tahun, saatnya Allah temukan saya dengan seorang lelaki, suami dan ayah yang sangat baik. Tengku Fazli bin Tengku Yahya, orang Kuala Besut, Terengganu.

Selalu beliau dipanggil ustaz sebab isterinya ustazah. Beliau seorang pensyarah dalam bidang chemical engineering.

Alhamdulillah, kami dikurniakan Allah 7 orang anak, Atikah, Luqman, Maisarah, Imran, Sofwan, Raihanah dan Fatimah.

Susah Payah Emak Ayah Didik 10 Beradik

Apa kebaikan atau kelebihan yang dilihat oleh manusia tentang saya, hakikatnya kerana susah payah didikan Emak Ayah, dan seorang suami yang sangat sabar, memahami, prihatin, pendengar setia, serta tidak jemu memberi nasihat dan semangat kepada saya.

SubhanAllah, hanya Allah sebaik-baik yang memberi ganjaran atas segala kebaikan mereka, Moga saya kuat berusaha untuk memperolehi redha daripada Emak Ayah dan redha seorang Suami.

Saya tak pernah share cerita peribadi kerana segan. Namun sempena hari lahir hari ini, sekadar mengimbau dan muhasabah akan perjalanan usia yang Allah kurniakan.

SubhanAllah, saya hanya orang biasa-biasa sahaja, yang diberi sedikit kemampuan dan amanah untuk menyampaikan, mohon doakan terus kuat untuk melangkah, mohon teguran bila saya buat salah.

Terima Kasih atas semua ucapan dan doa, mohon maaf yang tidak terbalas. kembali semua doanya kepada sahabat sekalian.

MW : Hebatnya seorang suami dan ayah dengan disokong isteri dan ibu yang taat itulah melahirkan keluarga tenang lagi membahagiakan.

Sumber/Foto : Asma Harun

Published by
Netty Ah Hiyer