“Menegur Itu Betul Tetapi Cara Penyampaiannya Tidak Kena” Juri Menilai Peserta, Penonton Pula Menilai Juri

Share

“Menegur itu betul tetapi cara penyampaiannya tidak kena” juri menilai peserta, penonton pula menilai juri. Baru-baru ini, penyanyi Sissy Iman menjadi bualan ramai apabila penyanyi dangdut Mas Idayu selaku juri rancangan Famili Duo memberikan kritikan pedas sejurus selepas Sissy Iman bersama Naim Daniel menghabiskan persembahan.

Persembahan mereka mendapat kritikan daripada juri kerana menganggap lagu itu tidak sesuai dengan mereka berdua.

Ramai yang meluahkan rasa kurang senang dengan kritikan yang diberi oleh Mas Idayu hingga menyebabkan Sissy Iman tersinggung.

“Menegur Itu Betul Tetapi Cara Penyampaiannya Tidak Kena”

Bukan itu sahaja, ramai yang kasihan melihat nasib Sissy yang ditengking dan dimarahi dihadapan para penonton.

Menerusi perkongsian peguam terkenal, Puan Nor Zabetha menerusi akaun Facebooknya sempat meluahkan pandangannya.

“Semalam saya baru sempat melihat ‘update’ di FB.

“Baru terbaca pasal isu Mas Idayu memarahi peserta.

“Saya cari dan tonton video tersebut, pada saya menegur itu betul tetapi cara penyampaiannya memang tidak kena. Terutama bila di tonton oleh khalayak ramai. Ramai mata yang memandang. Ramai yang menilai. Dia menilai peserta dan penonton pula menilai dia.

“DULU, SAYA RASAKAN BERANI ITU HEBAT”

“Tempoh hari, waktu perjalanan saya dengan Wafa ke Mahkamah Melaka, peguam muda di firma kami, kami banyak bersembang.

“Kadangkala saya suka berkongsi pengalaman saya yang baru setahun jagung ini. Tidak banyak berbanding mereka yang sudah lebih lama merasai rencah hidup tetapi setiap pengalaman itu saya belajar dengan merasai kesan dan akibatnya.

“Mana-mana yang saya silap sewaktu pengalaman ini, saya selalu berpesan-pesan dan berkongsi dan supaya jangan diulang kesalahan yang sama.

“Dulu, waktu saya 20-an, saya rasakan bersikap bengis, garang dan lantang bersuara itu hebat.

“Saya memandang tinggi juga orang yang berani seperti ini tetapi bila mula memasuki alam usia 30-an, saya sedar tanggapan saya salah. Sangkaan saya langsung tidak tepat. Sebenarnya perlu banyak berfikir sebelum bertindak”.

“Benar. Kalau dulu, saya rasakan berani itu hebat. Kalau konfrontasi itu juara. Memang saya tidak selalu gunakan kaedah ini tetapi sebenarnya lebih baik lagi jika saya elakkan.

“Melangkau usia 30-an, rata-rata kita mula lebih matang dan mahu tenang tetapi bukan semua begini. Masih ramai juga ingin tunjuk hebat dan dialah yang paling ‘hero’ dan lantang bersuara.

“Saya mula berfikir, apa tujuannya kita menegur atau apa tujuannya sesuatu perbincangan? Tujuannya untuk mencapai sesuatu. Ada hasil. Ada ‘result’. Kalau waktu berbincang untuk capai kata sepakat hendak tunjuk siapa paling hebat? Adakah ada hasilnya? Berjaya tidak capai kata sepakat.

“Macam dalam situasi juri, hendak menegur dan betulkan. Tujuannya untuk melihat peserta lebih baik tetapi kalau menjerit dan meninggikan suara, adakah objektifnya sampai?

“Barangkali pendapat orang berbeza. Ada orang mungkin rasa, approach yang kasar dan kasar lebih efektif. Ada orang lebih kepada mendapatkan hasil atau ‘end result’ tetapi masih memikirkan hubungan serta kesan dan akibat. Kesan jangka panjang.

“Bukan saya sahaja yang pasti, saya tidak lagi melihat mengamuk di kedai kopi sambil menjerit-menjerit itu sebagai ‘jaguh’ ataupun memarahi peserta secara menjerit-jerit itu sebagai kaedah sepatutnya.

“Saya juga tidak setuju kalau ada jenis majikan yang kaki melenting, marah atau memalukan pekerja. Dicampaknya fail pekerja atau dimaki hamun tanpa memberitahu di mana silap dan tips untuk menambahbaik hasil kerja.

“Sudahnya dalam pada kita hendak nampak lebih pandai dan lebih tahu dengan cara marah-marah begitu, akibatnya kesannya pada kita semula.

“Kita pula yang dinilai sebagai orang yang tidak rasional atau bukan ketua yang baik. Jadi saya tanya kepada diri saya semula, adakah secara marah memaki itu, mendatangkan kesan dan hasil yang kita mahukan?

Banyak Belajar Dari Kisah Buku How to Win Friends & Influence People-Dale Carnegie

“Saya kongsi satu kisah dalam buku kegemaran saya, How to Win Friends and Influence People-Dale Carnegie. Banyak perkara saya belajar dari buku ini.

“Bob Hoover seorang juruterbang terkenal sewaktu zaman perang dunia 2, telah menggunakan satu kapal terbang dan tiba-tiba enjin kapal terbang tersebut terhenti sewaktu 300 kaki di udara.

“Mujur Hoover berjaya membuat pendaratan kecemasan dengan selamat. Rupa-rupanya enjin kapal terbang terhenti kerana mekanik salah memasukkan jenis minyak. Hoover ingin berjumpa dengan mekanik kapal terbang tersebut.

“Mekanik ini, mula menangis apabila Hoover menghampirinya. Dia telah merosakkan kapal terbang yang mahal dan merisikokan 3 nyawa.

“Bayangkan kemarahan Hoover. Kalau saya pun sudah tentu marah tetapi hoover tidak marah. Hoover meletakkannya  tangannya di atas bahu mekanik ini.

“Kata Hoover, “To show you I’m sure that you’ll never do this again, I want you to service my F-51 tomorrow.”

“Satu pengajaran yang pastinya dia tidak akan lupa. Kalau dilihat kaedah Hoover ini, memang tidak ramai antara kita. Pasti kita naik marah. Cuma kaedah orang berbeza dan yang pasti hasilnya biar baik.

“Seperti menarik rambut di dalam tepung; rambut jangan putus, tepung jangan berserak,’ kongsi Nor Zabetha.

Ternyata apa yang dikongsi oleh Puan Nor Zabetha memberi banyak panduan untuk kita. Semoga anda di luar sana yang mahu menegur, biarlah secara baik dan paling penting jangan menyinggung perasaan orang lain.

Baca Disini : “Perkahwinan Tak Akan Mengugurkan Kes” Ulasan Peguam Tindakan Sivil Puteri Sarah

“Nak Tegur Boleh Tapi Jangan Sampai Memalukan” Warganet

Menerusi ruangan komen ramai yang mempunyai pandangan tersendiri tentang hal ini.

Sumber/Sumber Foto : Facebook Nor Zabetha

Follow kami di Facebook , Website , Instagram, YouTube , Twitter , Telegram MW dan TikTok Mingguan Wanita untuk mendapatkan info, berita terkini serta artikel-artikel menarik.

Edika Yusof Lelaki Kacak Yang Setia

 

Published by
Norhayati Suboh