Baik suami mahupun isteri, masing-masing ada hobi tersendiri. Beruntung jika suami isteri saling menyokong minat masing-masing. Andaikata hobi suami mendaki, isteri sokong dan ikut sekali mendaki.
Namun, tak semua hobi suami yang isterinya mampu sertai sekali. Bak kata, Khadijah Mohamad Nor ini, suami isteri itu perlu saling menyokong dan berkongsi hobi. Pengalaman mengikut suami mendaki, memberi momen untuk dikenang olehnya.
Penat dan mengah yang dialami, membuatkan isteri ini lebih menghargai hobi yang suami sukai.
Kata orang, suami isteri perlu saling melengkapi.
Adakala mereka juga perlu saling menyokong dan berkongsi hobi. Barulah kehidupan berumahtangga bahagia dan serasi. Betul ke betul?
Tapi kan, bila bercakap tentang hobi, teringat saya sewaktu mengikut suami pergi hiking di Bukit Melati yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan pada 12 September 2020.
Ya Allah, dah dua tahun rupanya saya simpan kisah ini. Cepat betul masa berlalu
Ketika itu kami pergi bersama sahabat Kosmo! yang memang champion menawan puncak gunung iaitu Mustapa Lakawa dan isterinya, Kak Noranita Awang serta Editor Hiburan Kosmo! yang stailo, Tengku Suzanna Raja Hamat
Ya, suami dan kawan-kawannya memang suka mendaki. Alhamdulillah, puncak Akinabalu pun sudah dua kali berjaya dijejaki.
Jadi, sebagai isteri saya mahu meraikannya dengan cara mengikutnya pergi mendaki ketika itu. Bukan selalu, tetapi sesekali. Cuma nak beritahu, ‘sesekali’ itulah yang buat rasa hampir nak mati!
Dan bermulalah pengalaman yang mencabar diri, fizikal dan emosi seorang isteri.
Ayat yang sering bermain di bibirnya waktu itu, kalau fikirkan memang geram je rasa.
“Sikit lagi, sayang. Dah nak sampai dah.”
“Kejap je lagi. Meh, pegang tangan abang.”
“Sayang jangan mengalah. Tak jauh dah.”
Itulah yang dijawabnya setiap kali saya bertanya encik suami jauh mana lagi nak sampai.
Ya Rabbi. Walau Bukit Melati hanya setinggi 350-370 meter, namun Tuhan saja yang tahu betapa lelahnya saya hendak sampai ke puncak.
Oh ya, untuk makluman kalian terdapat beberapa check point atau puncak kecil di sekitar pendakian Bukit Melati ini. Semuanya nama binatang. Hehe …
Ada Centipede Hill, Cobra Hill, Eagle Hill, Monkey Hill dan Mosquito Hill.
Bayangkan sampai termuntah dan hampir pitam ketika sampai di check point Eagle Hill.
Situasi itu menyebabkan pendakian yang sepatutnya mengambil masa kurang 1 jam, menjadi lebih lambat disebabkan kehadiran saya.
Aduh! Rasa diri tak berguna sebab terpaksa bebankan suami untuk menunggu saya yang terhegeh-hegeh menghayun kaki.
Namun, melihat kesungguhan suami memberi kekuatan dan sokongan untuk saya meneruskan pendakian buatkan diri sebak. Tapi paling best rasa diri disayangi. Haha … Terima kasih, abang
Apabila sampai ke bawah selepas hampir tiga jam pendakian, terus satu keputusan diambil.
Saya nekad biarlah saya sekadar menjadi penyokong dengan mendoakan keselamatannya saja. Kerana saya tahu kemampuan diri sendiri. Dan saya bukan orang yang sesuai dengan aktiviti ini.
Baca : Tak Restu Hobi Suami, Mesti Ada Sebab Isteri Macam Tu
Bagi saya, cinta tak semestinya kita perlu sentiasa ada di sisi pasangan. Tetapi dengan selalu mendoakannya setiap waktu dan ketika terutama bila si dia berpergian.
Itu yang lebih utama dalam menjadikan rumah tangga bahagia dan harmoni sentiasa.
Ala kullihal, pengalaman mendaki Bukit Melati akan tetap dalam ingatan kerana di situ saya melihat kasih sayang dalam hubungan suami isteri dan jalinan persahabatan yang saling menguatkan kerana Tuhan.
Terima kasih Mus, Kak Ita dan Kak Suzana yang memang pendaki sejati. Tak mampu saya nak ikuti.
Alhamdulillah, terima kasih juga Kak Suzana kerana sempat merakam aksi kami mendaki dahulu. Ada juga kenangan untuk kelak diceritakan pada anak cucu. Insya-Allah
Yang pasti, saya memang dah ‘insof’ dan tak mahu hiking lagi
#HouseWifeJourney
Mingguan Wanita : Seronok sebenarnya sesekali dapat ikut serta hobi suami atau isteri ini. Emosinya jadi lebih mesra dan erat nanti.
Sumber/Foto : Khadijah Mohamad Nor