Ramai menantu yang mungkin tak sebulu dengan mentua atas alasan kerana suami jenis anak mak atau disebabkan mentua terlalu cerewet. Sebenarnya ada banyak cara yang lebih manis untuk anda dekat dengan hati mentua, malah sekelip mata akan disenangi di kalangan ipar-duai.
Kenapa perlu pilih jalan negatif kalau cara positif dan hasilnya semua bahagia dalam hubungan kekeluargaan. Jom ikut cara ini…
1. Elak Tanggapan Buruk
Wanita selalu bersangka buruk dengan ibu mertua kerana perasaan takut tidak dapat menjadi isteri yang baik kepada anaknya. Sebab pemikiran inilah yang membawa kepada aura negatif. Cuba anda bersangka baik dengan ibu mertua anda, pasti semua akan baik-baik sahaja.
2. Belajar Kenal Ibu Mertua
Di awal perkahwinan, belajarlah untuk lebih mengenali sikap ibu mertua. Tanya kepada pasangan, apa yang disukai dan dibenci oleh ibunya. Ketahui bagaimana mertua anda sebenarnya dan kemudian barulah anda mengikut rentaknya. Namun anda juga harus lebih sopan dan tertib kala bersama dengannya.
Ads
3. Samakan Dengan Ibu Sendiri
Jalan paling mudah, letak status hormat di depan. Mesti semua perkara jadi senang. Kalau saat berdepan dengan bebelan ibu kandung sendiri, anda mampu. Pasti kes melibatkan teguran daripada mentua dapat ditelan dengan baik. Layanlah dia dengan sempurna dan hormatilah dia dengan sebaiknya. Allah sudah menjanjikan pahala dan rahmat jika kita ikhlas dalam memberikan yang terbaik untuk orang tua.
4. Bertolak Ansur
Hubungan kekeluargaan perlu dilengkapkan dengan sifat tolak ansur yang bukan sedikit. Biarpun dihimpit waktu dan kerja yang padat, cubalah memberikan ruang untuk bersama mereka. Bertolak ansur dalam apa jua permasalahan pasti buat hubungan lebih harmonis.
Ads
5. Ambil Hati Ibu
Berusahalah untuk mengambil hati mentua walau payah. Lebih senang, pulang untuk menjenguk ibu di kampung. Semakin kerap anda meluangkan masa semakin baik hubungan yang cuba dijalinkan. Mendekatkan ibu mertua dengan cucu-cucunya sudah pasti buat ibu lebih gembira.
6. Hadiah Sampingan
Tidak hanya ambil hati, anda juga harus bijak mencuri hati kecilnya. Biarkan hatinya tersentuh dengan pemberian ikhlas anda. Hadiah berupa barangan kesayangan dan kegemaran ibu mertua pasti buat hatinya gembira dan lembut. Namun ingat, hati perlu ikhlas. Jangan pula sudah memberi, anda mengungkit!
Ads
7. Pekakkan Telinga
Hati orang tua banyak ragamnya. Ada sahaja perkara yang tidak kena pada matanya. Sebagai menantu, pekakkan sahaja telinga dan usahlah disimpan dalam hati akan apa jua patah perkataan yang keluar daripadanya. Anggap sahaja segala hal positif dan anda sendiri perlu tenang saat terima arahan atau mungkin secebis nasihat. Tak perlu berdalih, sekali pun rasa salah lebih baik belajar menerima.
8. Kurangkan Lawatan
Jika anda dapat kesan emosi mentua kurang baik atau keadaan anda dan ibu mertua kurang baik, ada baiknya kurangkan sesi lawatan ke rumahnya. Cukup hanya sebulan atau dua bulan sekali. Itu pastinya lebih selamat dan pasti lebih menjaga hubungan.
9. Jadikan Kawan
Ibu mertua yang cerewet tidak kena pada gayanya memang buat sakit hati. Ubah angin dan rentak hubungan anda dengan menjadikan ibu mertua seperti kawan. Berkongsilah apa sahaja dengannya asalkan tidak melampaui batas. Cubalah berinteraksi secara baik. Ajak ibu mentua keluar membeli belah atau makan bersama tanpa suami. It’s girl time! Hebat, bukan?
10. Bercuti Bersama
Sesekali ajaklah ibu mertua untuk turut bercuti bersama anda sekeluarga. Tidak salah rasanya menggembirakan hatinya. Ada kalanya dia juga perlukan rehat sambil melihat dunia luar. Hatinya yang keras pasti mampu dilembutkan jika anda selalu bersamanya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Walaupun seseorang wanita itu sudah bergelar isteri kepada suaminya, macam mana manja pun dia dengan suami, dia tetap anak manja emaknya. Dulu sebelum berkahwin, emak, ayah mahupun adik-beradiklah tempatnya menumpang kasih.
Bila dah berkeluarga, kasihnya tertumpah pada suami dan anak-anaknya. Bukan semua suami boleh faham naluri dan keinginan isteri. Lagi-lagi isteri yang memang rapat dengan ahli keluarganya.
Kalau sehari tak jumpa mak ayah pun boleh rindu, inikan cuma dapat berjumpa di hari-hari tertentu. Berikan isteri REHAT, untuk dia menghilangkan rasa PENAT.
Inilah yang dilakukan oleh Akhtar Syamir yang memberi ruang ME TIME pada isterinya, Nora Azni kembali menjadi anak manja emaknya untuk sebulan.
Benarkan Isteri Jadi Anak Manja Ibu Bapanya Sendiri
Dah dua hari pandang benda ni. Kadang – kadang rasa kelakar pula bila kita yang gedabak macam ni pun dipanggil ‘Baby’. Inilah isteri saya Nora Azni yang manjakan sangat suami dia.
Tahun ni pertama kali dia berpeluang untuk pulang ke kampung selama hampir sebulan. Anak yang sulung tu nak masuk darjah 1 tahun depan. Bagi diorang enjoy puas – puas kat kampung.
Inilah salah satu cabang ME TIME buat Isteri.
Cuba bayangkan, sejak Isteri berkahwin dengan si suami, berapa lama masa yang dapat dia luangkan bersama ibu – bapa dan adik – beradik sendiri? Paling lama mungkin seminggu, mungkin masa raya atau cuti sekolah. Mungkin juga masa dalam pantang.
Tapi masih tak sama. Dia masih tak dapat jadi anak manja ibu – bapa dia sendiri. Memang betul, lepas kahwin semuanya pada suami. Tapi naluri anak kepada ibu terutamanya anak perempuan ni lain macam sikit.
Cara suami manjakan isteri kesannya tak sama dengan apabila ibu manjakan anaknya. Kategori dia lain dan tak perlu dibandingkan.
Ini ME TIME untuk Isteri
Jadi, apabila isteri saya nyatakan hasrat untuk ikut abang kandung dia yang nak pulang ke kampung baru – baru ni, saya terima dengan hati yang terbuka.
Datang lagi peluang untuk saya bagi ME TIME untuk dia. Saya yang seronok dapat bagi dia peluang duduk di kampung seperti dulu.
Macam – macam dia boleh buat kat sana, berkebun, mengail dan lain – lain lagi. Tu tak masuk dapat makan masakan mak sendiri. Mesti dia rindu sangat.
Saya berkahwin dengan isteri apabila umurnya 22 tahun. Hanya beberapa tahun sahaja selepas dia habis sekolah. Ianya seperti mengambil anak kesayangan ibu bapanya dan bawa jauh – jauh.
Walaupun kami kerap jugak balik kampung selepas kahwin, mesti perasaan tu tak sama.
Apalah Sangat Sebulan Tu..
Isteri saya seorang suri rumah sepenuh masa. Segala keperluan saya dia sediakan dari makanan, pakaian dan lain – lain. Saya memang dimanjakan dari awal perkahwinan lagi.
Boleh dikira dengan jari berapa kali saya basuh baju sendiri. Tapi ini bukanlah bermakna saya tidak membantu langsung, tetapi dia yang cekap melengkapi hidup saya.
Biarlah kali ini dia dimanjakan oleh ibu – bapa dia pula. Lagipun anak – anak dapat bermain dengan sepupu mereka. Masa kecil ni lah nak bagi diaorang rapat, nanti dah besar mesti dah lain.
Saya pula? Biar saya terus cari rezeki untuk keluarga. Apalah sangat sebulan tu kalau nak dibandingkan dengan ruang masa yang isteri saya dapat bersama keluarganya sendiri di kampung. Bagi la can sikit ye tak?
BroOhsem – Masa untuk asah kembali skill masak megi. Hehehe..
Gabungan keindahan alam, budaya yang menawan dan biodiversiti yang menakjubkan menjadikan Sabah antara tarikan utama untuk diteroka pada 2025. Apatah lagi bila tibanya musim cuti persekolahan, Sabah menjanjikan destinasi percutian yang sesuai untuk seisi keluarga.
Tidak hanya tertumpu di Kota Kinabalu, radar percutian anda boleh diperluaskan di 10 lokasi ‘hidden gems’ di Sabah.
Maliau Basin – The Lost World Of Sabah!
Foto kredit @ Dido
Terletak di tengah-tengah Sabah, Borneo Malaysia memiliki keajaiban semula jadi yang sebenar iaitu Lembangan Maliau atau dikenali Maliau Basin. Dikatakan sebagai ‘The Lost World of Sabah’, Lembangan Maliau ialah hutan hujan yang luas, terpencil dan dipenuhi panorama menghijau yang terletak di Tawau.
Lekukan unik berbentuk piring, dikelilingi oleh tebing, mewujudkan ekosistem serba lengkap dengan biodiversiti yang luar biasa. Lembangan Maliau terkenal dengan Air Terjun Maliau – 7 tingkat berwarna tannin, dan Tasik Linumunsut iaitu tasik kawah yang indah tersembunyi didalam lembangan.
Disebabkan lokasinya yang terpencil, Lembangan Maliau juga merupakan syurga hidupan liar. Hutan hujannya yang tebal
adalah rumah kepada pelbagai spesies termasuk 300 spesies hidupan burung, primat mamalia, reptilia dan amfibia, serta keajaiban botani seperti pokok Agathis yang tinggi dan kepelbagaian orkid.
2.UTAN Rainforest Lodge
Sebuah kawasan mesra alam yang baharu di Sabah, UTAN Rainforest Lodge ialah sebuah penginapan eko yang luar biasa dan terletak di tengah-tengah Rizab Rimba Dara Sungai Kapur, berhampiran Rizab Hidupan Liar Tabin yang terkenal di Lahad Datu.
Dibuka pada tahun 2023, UTAN Rainforest Lodge menawarkan peluang yang tiada tandingannya untuk menyelami keindahan dan biodiversiti hutan hujan Borneo. Dikelilingi tumbuh-tumbuhan yang lebat dan hutan bakau yang subur, Utan Rainforest Lodge menyediakan tempat percutian yang tenang dan semula jadi, dimana anda boleh menikmati pengalaman pertemuan hidupan liar dan burung yang mengasyikkan.
3. Gunung Trusmadi
Walaupun Gunung Kinabalu sering mencuri tumpuan di Sabah, satu lagi puncak megah menanti anda yangmencari pendakian yang lebih lasak dan mencabar, Gunung Trusmadi merupakan lokasi yang pernah popular sebagai tempat memburu oleh penduduk tempatan.
Memiliki ketinggian 2,642 meter dari paras laut, Gunung Trusmadi ialah gunung kedua tertinggi di Sabah dan Malaysia.
Tidak seperti Gunung Kinabalu, Gunung Trusmadi menawarkan pendakian yang lebih curam dan berbatu. Cabarannya terletak pada lereng yang curam dan rupa bumi yang sering berlumpur, menguji ketahanan fizikal dan ketabahan mental.
Denai Gunung Trusmadi meredah hutan hujan yang subur, menawarkan gambaran kepelbagaian flora dan fauna. Lerengnya adalah habitat kepada pelbagai tumbuhan dan haiwan, termasuk tumbuhan periuk kera yang unik, burung berwarna-warni dan pelbagai mamalia.
4.Pulau Sipadan
Pulau Sipadan, terkenal sebagai salah satu destinasi menyelam utama dunia dan menerima pujian oleh ahli oseanografi lagenda, Jacques Cousteau.
Pulau lautan ini merupakan syurga bagi kepelbagaian biologi marin, menarik minat penyelam dan peminat snorkelling dari seluruh dunia. Seperti kebanyakan destinasi di Sabah, pembentukan geologi unik di pulau Sipadan menyumbang kepada dunia marin yang luar biasa.
Landskap marin Sipadan menawarkan kaleidoskop warna dan tekstur yang menarik. Terumbu karang dipenuhi dengan kehidupan seterusnya menjadikan ia lokasi dan habitat kepada pelbagai spesies ikan, termasuk barakuda, ikan kakap dan jerung karang. Penyelam mungkin menemui penyu, pari manta dan juga jerung kepala tukul dan menjadikan setiap penyelaman satu pengalaman yang unik dan tidak dapat
dilupakan.
Untuk memastikan kemampanan persekitaran bawah air Sipadan, penyelam dinasihatkan untuk memiliki lesen selam Advanced Open Water sebelum memohon permit untuk melakukan aktiviti ini.
5.Sungai Kinabatangan
Sungai Kinabatangan merupakan sungai terpanjang di Sabah, Malaysia, mengalir melalui dataran banjir yang luas, mewujudkan ekosistem yang unik dan penting. Dataran banjir ini, yang dahulunya merupakan kawasan hutan hujan asli yang luas, kini menjadi mozek hutan, paya, dan tanah pertanian seterusnya menawarkan gambaran keseimbangan yang halus antara aktiviti manusia dan alam semula jadi.
Kinabatangan adalah syurga bagi biodiversiti, menyokong kehidupan pelbagai flora dan fauna yang luar biasa. Monyet proboscis, harimau dahan, gajah borneo dan orang utan adalah antara hidupan liar yang ada di Kinabatangan. Selain itu, sungai tersebut dipenuh dengan pelbagai jenis ikan, reptilia dan burung-burung.
Pelayaran di sepanjang sungai selalunya memberi anda peluang untuk melihat hidupan liar Borneo Big 5 antaranya gajah Borneo, orang utan, monyet proboscis, burung kenyalang dan buaya tembaga.
6.Kampung Budaya Borneo
Dengan lebih 35 kumpulan etnik dan kira-kira 200 kumpulan sub-etnik di Sabah, adalah mustahil untuk mempelajari gabungan warisan budaya ini dalam masa yang singkat. Perkampungan Budaya Borneo adalah perkampungan budaya terbesar di Sabah yang menawarkan pengalaman unik dan mengasyikkan dalam pelbagai budaya orang asli Borneo.
Muzium hidup ini mempamerkan rumah tradisional, adat resam dan gaya hidup enam kumpulan etnik yang berbeza di Sabah antaranya Murut, Lundayeh, Rungus, Kadazan Penampang, Bajau dan Dusun Papar.
Kampung budaya ini direka dengan teliti sama seperti persekitaran hidup asli setiap kumpulan etnik, lengkap dengan rumah panjang tradisional, peralatan buatan tangan dan hiasan yang cukup kreatif.
Selain lawatan berpandu, anda juga akan dihiburkan dengan persembahan kebudayaan yang menakjubkan dan berpeluang merasai makanan eksotik.
7. Mount Kinabalu International Climbathon
Mount Kinabalu International Climbathon ialah pertandingan pendakian tahunan yang merupakan acarautama dalam kalendar acara Sabah. Climbathon ini terkenal dengan laluan yang mencabar dan pemandangan yang menakjubkan di Gunung Kinabalu iaitu puncak tertinggi di Malaysia.
Dijadualkan pada Oktober 2025, perlumbaan Climbathon ini meliputi jarak sejauh 26 kilometer dengan sebahagian besar melibatkan pendakian dan penurunan curam di kawasan sukar. Acara ini boleh disertai oleh atlet elit dan pelari amatur dari seluruh dunia yang mencari cabaran yang unik dan tidak dapat dilupakan. Jika anda memerlukan motivasi untuk meningkatkan kecergasan anda tahun ini, boleh sahut cabaran ini!
8.Tanjung Simpang Mengayau
Kudat, yang terletak di bahagian paling utara Sabah terkenal dengan pantai berpasir putih
yang menakjubkan. Lokasi ini terletak berhampiran dengan pantai Kalampunian dan Tanjung Simpang Mengayau juga dikenali sebagai ‘Tip of Borneo’.
Ciri yang paling menarik di Tanjung Simpang Mengayau adalah lokasinya yang dramatik, dimana Laut Celebes dan Laut Sulu bertemu. Ini mencipta landskap yang unik dengan tebing berbatu, pantai yang bersih dan air yang jernih. Pada petang yang cerah, Tanjung Simpang Mengayau juga menyediakan latar belakang yang menakjubkan untuk melihat matahari terbenam. Anda boleh menikmati suasana matahari terbenam yang mewarnai langit dengan cahaya indah!
9. Tamu Besar Kota Belud
Tamu Besar Kota Belud adalah acara yang berlangsung secara tahunan. Diadakan pada bulan Oktober setiap tahun, acara ini merupakan kemuncak utama dalam kalendar acara Sabah yang mampu menarik ribuan pengunjung dari dekat dan jauh.
Tamu Besar ialah acara yang meriah dengan persembahan kebudayaan, sukan tradisional dan pasar yang pelbagai. Ia adalah masa dimana masyarakat Bajau tempatan berkumpul untuk mempamerkan kekayaan warisan mereka, daripada tarian tradisional dan muzik kepada kraftangan yang kreatif dan masakan yang lazat.
10.Regatta Lepa, Semporna
Regatta Lepa ialah pesta air meriah yang diadakan setiap tahun di pantai timur Semporna, Sabah. Ia meraikan tradisi budaya yang kaya bagi kumpulan etnik Bajau Laut, juga dikenali sebagai Sea Gypsies. Suku nomad yang unik ini mempunyai hubungan yang mendalam dengan laut, menjadi tukang bot dan nelayan yang sangat baik dan tinggal diatas air. Regatta Lepa ialah pameran warisan maritim, kesenian budaya dan semangat komuniti yang bertenaga.
Kemuncak Regatta Lepa yang paling menakjubkan ialah perarakan perahu ‘lepa’ yang direka dengan indah dan berwarna-warni. Kapal layar tradisional ini, sering dihiasi dengan ukiran yang rumit dan warna-warna terang, meluncur dengan gah di perairan, diiringi dengan tarian tradisional Bajau yang berirama dan mempesonakan yang dikenali sebagai Igal-Igal.
Sabah dikenali sebagai tanah yang kaya dengan budaya, alam semula jadi dan pengalaman pengembaraan dan menjadikannya sesuai untuk mereka yang ingin menerokai destinasi luar bandar.
Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang Sabah dan mendapatkan idea tentang perkara yang boleh anda lakukan sepanjang 2025 di saluran media sosial atau layari www.sabahtourism.com.
Nampak macam senang, hakikatnya ujian wanita yang kahwin dengan duda itu besar cabarannya. Tak mudah untuk mereka. Selain menjaga suami, dia juga perlu berbaik-baik dengan anak tirinya.
Dan anak-anak tiri ini tak boleh disogok dengan kepura-puraan dan sikap ramah yang plastik. Keikhlasan dan luhurnya hati mendorong perasaan sayang dan suka dalam hati mereka. Sebab itulah, wanita yang berkahwin dengan duda perlu faham garis panduan ini.
5 Tip BAHAGIA Untuk Wanita Yang Kahwin Dengan Duda
Satu : Belajar Menjadi Ikhlas
Benarkan, yang paling sukar diduga adalah keikhlasan. Ia perasaan suci yang hanya mampu dinilai oleh Yang Maha Esa.
Namun, hati-hati yang suci mampu melihat sejauh mana seorang itu ikhlas atau tidak terhadap mereka. Justeru, terimalah anak-anak suami anda dengan penuh rasa cinta.
Dua : Jujur Pada Diri Sendiri
Sebagaimana anda cinta dengan suami, salurkan rasa itu pada darah dagingnya. Berikan sepenuh jiwa dan layani makan minum mereka mengikut aturan yang sepatutnya.
Anda juga perlu menjadi jujur pada diri sendiri. Agar keikhlasan itu boleh terpancar dari lubuk nurani yang ikhlas.
Tiga : Dekatkan Jurang
Bagaimana mahu menjadi rapat dengan anak-anak, cinta hati suami ini? Salah satu caranya adalah merapatkan hubungan yang mula terasa hambar.
Lakukan aktiviti bersama suami dan anak-anak tiri ketika waktu lapang. Bawa mereka bersiar atau melancong ke satu destinasi yang tenang.
Empat : Pupuk Rasa Kasih
Anda boleh juga pupuk jiwa kasih anak-anak tiri melalui solat berjemaah. Pinta suami lakukan bersama biarpun cuma dapat melakukannya ketika solat maghrib sahaja.
Selesai solat, biarkan suami memberi tazkirah diikuti oleh harapan anda sebagai seorang ibu baru kepada anak-anak suami.
Lima : Bersabar Dan Bertenang
Jika duda yang anda kahwini itu kematian isteri, anda selamat kerana tidak perlu berbalah dengan bekas isterinya. Jika bercerai hidup, bertahanlah.
Apa pun kawal diri anda dan jangan sengaja mengungkit kisah silam suami anda. Ketika bersama anak-anak, jangan ‘apikan’ anak-anak agar membenci ibu mereka. Oh! itu paling bahaya sekali.
Belajar Terima Hakikat, Anda Ibu Ekspres
1. Anak-anak merupakan permata yang paling berharga. Ibarat melentur buluh dari rebungnya, begitulah halnya dengan diri anda. Lenturlah diri agar dapat mengadaptasi suasana baru itu. Status seorang isteri sekali gus ibu ekspres kadangkala memberi bebanan yang luar biasa.
2. Paling sukar apabila anak-anak tiri sudah masuk peringkat remaja.Pendekatan menawan hati mereka tidak sama dengan cara memujuk anak kecil dengan sebungkus gula-gula. Namun, kaedahnya masih sama iaitu sentuhan emosi memainkan peranan utama.
3. Perkara utama yang boleh anda praktikkan adalah jadikan diri anda buah hati pada anak-anak tiri anda. Jika mahu diri dianggap bagaikan sahabat, teman mahupun BFF, cubalah cipta diri anda jadi sebegitu. Anda perlu jadi pendengar yang baik dan bukannya pengarah yang dibenci. Anda juga perlu tahu bagaimana mahu menjadi pembantu mereka bukannya seorang yang mudah dibuli.
4. Menasihati mereka juga ibarat menarik rambut di dalam tepung. Ia tidak meninggalkan pesanan yang berbisa. Sebaliknya jika mereka mahu berubah, mereka lakukan dengan rela. Hubungan baik anda dan permata hati suami ini pasti menyenangkan hati suami.
Suami jadi lebih sayang malah suami sendiri pasti mahu tahu rahsia anda dapat berbaik dengan anak-anaknya. Justeru jadilah ibu tiri yang lembut jiwanya namun tegas dalam setiap tindak tanduk.
Perlu Kental & Sabar Melayan Emosi Seorang Duda
Berkahwin dengan seorang duda yang sudah beranak pinak membuatkan anda perlu bekerja lebih keras untuk memenangi hati mereka. Benarkah begitu? Atau ada cara lain yang lebih relaks dan tak perlu terkocoh-kocoh merebut cinta suami yang satu ini.
Bertenang, sebenarnya tak perlu bersusah payah. Biarpun mereka ada anak-anak, andai suami sudah melafazkan kata cinta bermakna andalah pilihan utama di hati. Jaga makan minumnya dan belajarlah santuni emosinya.
Layan suami dengan perasaan kasih, jadilah isteri yang mendengar kata dan bijaksana. Anda juga perlu tahu bilakah masanya perlu bertolak ansur. Yang mana suami boleh membahagikan ruang untuk anda dan juga anak-anaknya. Jangan terlalu tamak.
Ya, anda isterinya. Namun, anak-anak juga perlukan kasih seorang ayah. Dalam masa yang sama, mereka juga perlukan belaian mesra seorang ibu. Lengkapilah hidup keluarga baru anda itu dengan kasih sayang yang tidak berbelah bagi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!