Masalah menantu dengan mak mentua seakan tiada kesudahannya. Kalau yang baik, baiklah tapi kalau yang hubungan sentiasa sahaja ‘panas’ memang akan terus berlarutan. Ramai menantu yang mungkin tak sebulu dengan mentua atas alasan kerana suami jenis anak mak atau disebabkan mentua terlalu cerewet.
Menantu Tak ‘Ngam’ Dengan Mak Mentua
Sebenarnya ada banyak cara yang lebih manis untuk anda dekat dengan hati mentua, malah sekelip mata akan disenangi di kalangan ipar-duai. Kenapa perlu pilih jalan negatif kalau cara positif dan hasilnya semua bahagia dalam hubungan kekeluargaan.
Ini Cara Rapatkan Balik Hubungan Yang Suam-suam Kuku
Jom ikut cara ini:
1. Elak Tanggapan Buruk
Wanita selalu bersangka buruk dengan ibu mertua kerana perasaan takut tidak dapat menjadi isteri yang baik kepada anaknya. Sebab pemikiran inilah yang membawa kepada aura negatif. Cuba anda bersangka baik dengan ibu mertua anda, pasti semua akan baik-baik sahaja.
Ads
2. Belajar Kenal Ibu Mertua
Di awal perkahwinan, belajarlah untuk lebih mengenali sikap ibu mertua. Tanya kepada pasangan, apa yang disukai dan dibenci oleh ibunya. Ketahui bagaimana mertua anda sebenarnya dan kemudian barulah anda mengikut rentaknya. Namun anda juga harus lebih sopan dan tertib kala bersama dengannya.
3. Samakan Dengan Ibu Sendiri
Jalan paling mudah, letak status hormat di depan. Mesti semua perkara jadi senang. Kalau saat berdepan dengan bebelan ibu kandung sendiri, anda mampu. Pasti kes melibatkan teguran daripada mentua dapat ditelan dengan baik. Layanlah dia dengan sempurna dan hormatilah dia dengan sebaiknya. Allah sudah menjanjikan pahala dan rahmat jika kita ikhlas dalam memberikan yang terbaik untuk orang tua.
Ads
4. Bertolak Ansur
Hubungan kekeluargaan perlu dilengkapkan dengan sifat tolak ansur yang bukan sedikit. Biarpun dihimpit waktu dan kerja yang padat, cubalah memberikan ruang untuk bersama mereka. Bertolak ansur dalam apa jua permasalahan pasti buat hubungan lebih harmonis.
5. Ambil Hati Ibu
Berusahalah untuk mengambil hati mentua walau payah. Lebih senang, pulang untuk menjenguk ibu di kampung. Semakin kerap anda meluangkan masa semakin baik hubungan yang cuba dijalinkan. Mendekatkan ibu mertua dengan cucu-cucunya sudah pasti buat ibu lebih gembira.
6. Hadiah Sampingan
Tidak hanya ambil hati, anda juga harus bijak mencuri hati kecilnya. Biarkan hatinya tersentuh dengan pemberian ikhlas anda. Hadiah berupa barangan kesayangan dan kegemaran ibu mertua pasti buat hatinya gembira dan lembut. Namun ingat, hati perlu ikhlas. Jangan pula sudah memberi, anda mengungkit!
Ads
7. Pekakkan Telinga
Hati orang tua banyak ragamnya. Ada sahaja perkara yang tidak kena pada matanya. Sebagai menantu, pekakkan sahaja telinga dan usahlah disimpan dalam hati akan apa jua patah perkataan yang keluar daripadanya. Anggap sahaja segala hal positif dan anda sendiri perlu tenang saat terima arahan atau mungkin secebis nasihat. Tak perlu berdalih, sekali pun rasa salah lebih baik belajar menerima.
8. Kurangkan Lawatan
Jika anda dapat kesan emosi mentua kurang baik atau keadaan anda dan ibu mertua kurang baik, ada baiknya kurangkan sesi lawatan ke rumahnya. Cukup hanya sebulan atau dua bulan sekali. Itu pastinya lebih selamat dan pasti lebih menjaga hubungan.
9. Jadikan Kawan
Ibu mertua yang cerewet tidak kena pada gayanya memang buat sakit hati. Ubah angin dan rentak hubungan anda dengan menjadikan ibu mertua seperti kawan. Berkongsilah apa sahaja dengannya asalkan tidak melampaui batas. Cubalah berinteraksi secara baik. Ajak ibu mentua keluar membeli belah atau makan bersama tanpa suami. It’s girl time! Hebat, bukan?
10. Bercuti Bersama
Sesekali ajaklah ibu mertua untuk turut bercuti bersama anda sekeluarga. Tidak salah rasanya menggembirakan hatinya. Ada kalanya dia juga perlukan rehat sambil melihat dunia luar. Hatinya yang keras pasti mampu dilembutkan jika anda selalu bersamanya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sebagai seorang mak, dia sanggup berkorban apa saja untuk anak. Sanggup anak kenyang dahulu dan barulah dia makan. Begitu juga dengan duit, dia tak akan minta duit anak sesuka hati terutamanya bila anak sudah berjaya dan mempunyai gaji yang tinggi.
Malah, kita sebagai anak mungkin juga agak berkira-kira nak bagi duit pada mak. Bimbang duit yang ada tak cukup atau untuk diri sendiri pun hanya cukup-cukup makan, tambah-tambah lagi bila sudah berkeluarga dan mempunyai anak.
Sebenarnya, anak jangan berkira atau tetapkan jumlah tertentu untuk beri duit belanja pada anak. Walaupun mak tak minta duit anak, tapi kita anak kenalah balas jasa dan pengorbanannya.
Susah macam mana sekali pun sebagai mak ayah tak sanggup dia minta duit anak. Mungkin ada pun bila keadaan dirinya yang sudah terdesak.
Ada juga anak yang sudah bekerja dan mempunyai pendapatan tetap, mula berkira-kira nak beri berapa jumlah duit untuk mak.
Hayat Muhamad ada jawapan bagi anak-anak yang bertanyakan tentang perkara ini. Malah, anak jangan berkira sebab mak ayah ini sudah banyak berkorban dan wang ringgit yang ada tidak mampu nak membalas jasanya pada kita, anak-anak.
Pertama: Kalau ayah dah tak ada, mak hanya seorang yang tinggal. Maksudnya dia dah tak ada suami yang beri nafkah pada dia.
Kedua: Mak ada sumber pendapatan atau tak. Kalau dia ada, tengok keperluan dia adakah pendapatan tersebut cukup atau tak.
Ketiga: Mak bekerja atau tak. Adakah dia ada pencen atau tak.
Keempat: Lihat apa hutang bank yang mak masih ada. Apa komitmen dia.
4 faktor ini akan tentukan sebagai panduan.Sifat mak. Mungkin kita dah tahu. Tapi aku nak bagitau balik.
Mak tak akan pernah mintak duit dengananak. Itu kau perlu kau tahu. Kalau dia minta, itu maksudnya dia terdesak.
Mak rela susah seorang diri. Dia takkan senang- senang mengaku dia susah dan nak susahkan anak- anak.
Mak berkorban jiwa raga nak besarkan kita sehingga berjaya. Nilai duit takkan dapat tanding apa yang mak buat.
Mak selalu doa untuk kita siang dan malam. Kalau kau lukakan hati mak, mak akan maafkan walaupun kau ego tak meminta maaf.
Mak biasanya tak berkira dengan kau. Tapi kau yang selalu berkira dengan mak.
Hargailah
Kau takkan hargai mak melainkan mak pergi menghadap Ilahi.
Kau tak perasan kau selalu susahkan mak. Bila kau balik kampung, kau suruh mak masak sedap-sedap. Duit kau tak bagi. Kau nak makan je.
Hari ini, telefon mak, pertama mintak maaf atas apa yang kita buat.
Kedua tanya mak apa keperluan dia. Masukkan duit kat mak, supaya makan minum mak terjaga sepanjang PKP ini. Berapa yang kau masukkan, Insya Allah akan dapat pahala yang berpanjangan.
Berapa nak bagi duit kat mak?
Setiap kali kau teringat kat mak, biasanya mak tengah susah. Cuma dia tak cakap.
“Mak ok jangan risau. Mak cukup je.”
Sebenarnya beras dah habis. Cuma mak tak nak kita risau.
Kawan lepak, kau belanja satu meja.
Mak?
Hari ini semua call mak ok.
MW: Susah macam mana pun, mak ayah tak akan minta duit dengan anaknya. Kita sebagai anak, jangan berkira sebab duit yang kita bagi itu tidak mampu membalas jasa dan pergorbanannya dalam membesarkan kita. Hargailah selagi mak ayah masih hidup.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Pengorbanan seorang mak sewaktu melahirkan anak amatlah tidak ternilai. Berdepan dengan pelbagai risiko dan komplikasi lain sehingga nyawa yang menjadi taruhan. Tak dapat digambarkan dengan perasaan apabila terpisah dan tidak dapat langsung bertemu dengan anak sendiri selepas melahirkannya akibat masalah kesihatan yang dialami.
Akibat Komplikasi Beranak
Seorang ibu yang koma selama 138 hari akibat komplikasi semasa beranak hanya mampu mengalirkan air mata melihat anak lelaki sulungnya buat kali pertama semalam di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Perasaan Norfadilla Che Par, 28, yang gembira bercampur sebak melihat bayinya, Muhamad Syahmi Mohd. Saiful yang dilahirkannya itu kini sudah hampir memasuki usia lima bulan.
Wanita itu koma selepas menjalani pembedahan untuk bersalin dan mengalami tekanan darah rendah, degupan jantungnya turut berhenti selama 10 minit mengakibatkan oksigen tidak sampai ke otak. Bayi itu bagaimanapun selamat dilahirkan dengan berat 3.7 kilogram serta dalam keadaan sihat.
Menangis Teresak-Esak
Sepanjang dua jam pertemuan itu, Norfaidilla yang masih tidak mampu bercakap dilihat menangis teresak-esak sehingga mengeluarkan suara kerana terlalu gembira apabila anak yang dilahirkannya pada November lalu diletakkan di pangkuannya buat kali pertama.
Biarpun Norfaidilla tidak dapat bergerak, dia dilihat berusaha untuk mencium anak sulungnya itu sambil dibantu oleh suaminya Mohd Saiful Sudin, 30. Muhamad Syahmi yang pada mulanya tersenyum, turut menangis seolah-olah mengerti perasaan ibunya itu.
Beransur Pulih 80 Peratus
Mohd Saiful berkata, sebelum ini, dia sudah beberapa kali meminta kebenaran daripada pihak hospital untuk mengatur pertemuan itu, namun terpaksa ditangguhkan dengan mengambil kira keadaan isteri.
Katanya, bagaimanapun beberapa hari lalu, dia mendapat khabar gembira apabila doktor memberi kebenaran selepas isterinya beransur pulih 80 peratus.
“Pertemuan dibuat di luar wad untuk mengelakkan bayi kami terkena jangkitan di wad. Saya dan ahli keluarga lain turut sebak melihat isteri menangis teresak-esak apabila anak diletakkan di pangkuannya buat kali pertama.
“Selama tempoh dua jam itu, isteri menangis tidak berhenti-henti kerana sebelum ini saya hanya mampu menunjukkan gambar anak kepadanya sahaja.
“Semalam adalah kali pertama isteri dapat menyentuh anak selepas 138 hari koma di hospital,” katanya
Perkembangan Positif
Menurutnya, isterinya mula menunjukkan perkembangan positif sejak Januari lalu.
“Dua bulan selepas koma, doktor terpaksa membuat pembedahan memasukkan tiub di leher isteri untuk pernafasan dan selepas hampir dua minggu isteri mula memberi tindak balas.
“Apabila namanya dipanggil, dia sudah boleh memalingkan muka dan doktor pun maklum yang isteri sudah sedar daripada koma, namun masih memerlukan pemantauan rapi,” katanya.
Mohd Saiful berkata, dia bersyukur sejak berita mengenai penderitaan isterinya dipaparkan, ramai pihak tampil menghulurkan bantuan.
“Saya turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang dapat membantu meringankan beban kami sekeluarga selepas saya bercuti tanpa gaji untuk menjaga isteri.
“Terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus mendoakan kesihatan isteri, hanya tuhan yang dapat membalasnya,” katanya.
MW: Alhamdulillah, semoga kesihatan wanita ini kembali pulih dan segera sembuh seperti sedia kala serta dapat berada disamping anak dan keluarganya secepat mungkin.Buat para suami, hargailah pengorbanan isteri yang berkorban melahirkan anak sehingga nyawa menjadi taruhan.
Dalam rumahtangga amat memerlukan kerjasama diantara suami isteri, baik dalam urusan kerja rumah mahupun anak-anak. Lebih-lebih lagi jika memiliki anak yang ramai dan masih kecil-kecil.Pertolongan dan bantuan daripada suami sendiri amatlah diharapkan.Keletihan dan kepenatan tidak dapat digambarkan buat wanita yang bergelar isteri dan ibu jika terpaksa menguruskannya sendiri seorang diri.
Sesuatu yang perlu di semat dalam fikiran para suami ialah anak ramai bukanlah bukti kelakian. Mohon jangan ‘mendera’ emosi isteri, inginkan anak ramai namun tidak sedikit pun ingin membantu membuat kerja rumah apatah lagi mengupah pembantu. Isteri bukan ‘robot’, bila jiwanya sangat penat mahupun dalam keadaan tekanan dan kemurungan, boleh menyebabkan bertindak diluar batasan.
Semoga perkongsian pengakuan kisah benar ini, memberi pengajaran buat kita.
Anak Ramai Bukan Bukti Kelelakian
Aku nak buat confession mengenai sesuatu yang aku lakukan 3 tahun lepas. Aku tau aku akan dikecam, mungkin ada insan baik hati yang akan bagi kata nasihat, ada insan yang kesian akan doakan yang baik-baik. Tapi aku redha kalau dikecam. Sebab apa aku dah buat memang berdosa tapi aku terpaksa. Confession aku buat sebab viral ada seorang ustaz cakap anak ramai bukti kelakian dan kesuburan wanita. Aku tak setuju sangat.
8 Tahun Berkahwin 6 Anak
Aku buat perkenalan dulu supaya kalian dapat menghakimi aku secara keseluruhan. Aku seorang wanita berumur pertengahan 30an dan beranak 6. Aku dah masuk 8 tahun kahwin. Maksudnya aku beranak 1 tahun sekali.
Dulu aku kerja. Gaji boleh tahan la. Aku dulu sekolah asrama, belajar sampai degree. Dapat anak kedua, suami aku suruh aku berhenti kerja jaga anak. Sebab bayaran pengasuh mahal, katanya. Dia suruh duduk rumah, jaga, susukan anak, banyak dapat jimat duit. Dia mampu. Dia janji akan bagi aku nafkah, apa saja aku nak. Awal-awal memang dia tunaikan janji. Masuk anak keempat, janji mula dilupakan. Bila aku minta duit, macam peminta sedekah. Kena bebel dulu. Baru bagi. Itupun setengah daripada apa yang aku minta.
Baju baru? Baju dalam baru? Kasut baru? Dah lama aku tak bau barang baru. Kulit muka pon menggerutu sebab aku tak ingat bila terkakhir aku buat facial. Dulu masa bergaji aku selalu pergi spa dan facial. Suami aku kerja sendiri. Gaji ikut rezeki. Tak tetap. Tapi dia memang rajin cari duit. Bawak lori, tolong kawan niaga pasar malam, bazar. Tapi akibatnya keluar kerja sebelum matahari naik. Balik kerja bila dah tenggelam.
Suami Tak Tolong Urusan Kerja Rumah
Bab jaga anak, dia boleh diharap. Tapi bab tolong buat kerja rumah, dia memang tak sentuh langsung. Semua aku buat sendiri. Tapi dia tak bising kalau baju berlonggok, rumah sepah. Cuma aku yang sakit mata. Jadi aku gagahkan diri buat. Malam-malam kalau suami dah balik, dia layan anak-anak. masa tu aku ambil untuk uruskan hal rumah.
Kalau mertua dan ipar, mereka dinegeri lain. Mereka tak campur sangat urusan kami sekeluarga. Tapi mereka keluarga besar. Suami ku ada 8 adik beradik. Ibu bapa aku dan meninggal dunia masa aku ada anak 1. Sakit tua. Mula-mula ayah, lepas tu ibu. Aku ada seorang adik lelaki, dia sekarang ambil master. Belum kahwin. Kami tak rapat. Biasa-biasa je.
Mengandung Anak Ketujuh
Aku tak pakai apa-apa penghalang kehamilan. Aku mahu. Tapi suami tak izinkan. Dia suka anak ramai. Meriah, katanya. Lagipun dia rajin layan anak. Aku sungguh penat tapi aku bodoh, ikut kata suami membabi buta. Sampailah takdir, aku mengandung anak ke-7.Tepat anak ke-enam ku 1 tahun 2 bulan. Aku mengandung lagi.
Aku nangis. Aku tak sanggup. Aku letih sangat. Aku baru 30-an tapi aku nampak macam nenek orang. Aku dah beruban. Aku rayu suamiku supaya bagi aku masa untuk diri aku tapi ayat dia ’mak saya dulu boleh je. Besar elok je saya adik beradik. Takde siapa takde urut lah orang dulu-dulu’. Aku stress. Aku rindu kawan-kawan aku yang sekarang dah lost contact. Aku takde orang nak luah. Aku pernah juga luah aku penat kepada suami. Aku minta dia ingat janji-janji dia masa aku berhenti kerja. Dia tuduh aku tak bersyukur. Tak bersyukur dia masih lagi setia, balik rumah setiap malam walaupun selepas penat seharian kerja. Dia kata aku tak reti berterima kasih sebab muka aku tak pernah senyum.
Aku sedih. Aku bagitahu, aku penat. Senyum pun tak larat. Bukan aku tak bersyukur. Tapi tolong la. Aku penat. Dia diam je. Setiap kali lepas gaduh, dia akan diam. Takde penambahbaikan. Naikkan sikit duit rumah pon dia tak buat. Dia tak bagi aku uruskan duit. Barang dapur, dia beli. Yuran tadika anak, dia bayar. Pampers, dia beli. Aku tak ada duit. Aku buat sedikit online bisnes, jadi agent doorship, hasil tu aku buat main kutu, dan simpan sikit-sikit.
Aku mengandung anak ke 7. Aku menangis melihat urine test yang aku curi-curi suruh jiran ahmoi aku beli. Aku kira-kira bila last period, maksudnya baru mengandung 5 minggu. Aku tiba-tiba jadi moody sangat. Dengan anak-anak aku jadi garang sangat. Dengan suami aku dah pandai gaduh lempar barang. Aku tak bagitau aku mengandung. Aku tak bagitau sesiapa aku mengandung. Hari-hari aku lompat bintang, naik turun tangga, tak makan, supaya badan aku lemah dan tak mampu mengandungkan anak ini. Aku jadi benci dengan semua orang. Termasuk diri aku. Aku pernah menangis pukul 2 pagi diluar rumah sambil pukul-pukul perut.
Nekad Gugurkan Kandungan
Selepas 2 minggu. Aku tak tahan. Aku tengok duit simpanan aku ada 3 ribu. Aku simpan diam-diam hasil doorship, kutu. Dengan duit tu aku beli baju dalam baru, spender baru, aku jimat-jimat. Satu hari, aku tekad. Aku nak gugurkan kandungan ini. Aku ada jiran cina yang sosial. Aku panggil dia ahmoi. Aku tahu sebab dia selalu bawa laki lain-lain balik rumah. Dia je manusia yang berborak dengan aku ditaman ni. Wanita-wanita lain semua jenis membawang. Aku taknak kisah hidup aku jadi bahan bawang mereka.
Aku beranikan diri tanya dia pernah gugurkan kandungan tak. Dia tanya kenapa tanya soalan pelik. Aku terus terduduk depan dia, nangis macam orang tak siuman. Aku meraung-raung cakap aku dah taknak anak. Aku tak larat. Aku penat.. Suami aku tak faham. Tau nak anak banyak tapi semua aku yang buat. Dia pujuk aku. Dia bagi aku satu alamat. Dia kesian tengok aku menangis. Dia kata dia tolong.
Aku guna duit simpanan aku upah satu bibik harian untuk seminggu. Kebetulan suami aku ada job bawa lori ke Kelantan. Katanya tak balik 2-3 hari. Lepas tu aku dengan ahmoi pergi klinik tu. Aku berdebar, tapi aku tekad. Doktor tu scan, ada janin berusia 7 minggu, dia pon bagitau prosedur (aku tak nak cerita details) apa dia akan buat. Dan harga. Harga tu aku mampu bayar jadi aku setuju je.
gambar hiasan
Cukuplah kalian tahu aku menangis teruk sambil minta maaf semasa prosedur. Aku cakap aku tak mampu. Ayah dia tak menolong. Aku penat, aku stress. Semua selesai.
Suami aku balik, aku cakap aku period pain. Bibik tu aku pakat dengan dia tipu suami aku cakap tu bibik jiran, bercuti tak bawa bibik. Bagi pinjam seminggu. Suami aku diam je. Tapi dia tak selesa ada bibik kat rumah. Dia keluar dengan kawan pergi memancing (ni sebab dia taknak upahkan aku bibik. Dia tak selesa ada orang asing dalam rumah).
Pakai Alat Pencegah Kehamilan Senyap-Senyap
Seminggu lepas procedur tu, doktor ada suruh datang untuk check betul ke dah takde. Aku angkut semua anak-anak dan ahmoi ke klinik. Anak-anak aku bising dalam klinik, ahmoi tolong jaga sementara aku check dengan doktor. Doktor kata dah takde. Aku nangis lagi. Dia kata dia faham. Bukan kali pertama ada wanita datang kata tak ready pregnant sebab anak kecik, suami tak menolong, atau tak mampu. Aku diam je. Dia suruh aku pakai alat pencegah kehamilan. Aku kira-kira duit aku ada lagi. Aku setuju. Aku pakai alat. Doktor kata tahan 5 tahun.
Hal ni 3 tahun lepas. Sekarang anak-anak aku dah besar sikit. Aku pon boleh simpan duit lebih banyak sebab boleh buat lebih banyak kerja. aku berniaga online. Tak harap suami lagi. Dia tau aku berniaga, lagi lah dia jadi kedekut. Aku dengan suami dingin. Aku bosan dengan dia. Hubungan kami atas katil je. Aku tak risau lagi sebab dah pakai alat. Dia tak berubah langsung. Masih ditampuk lama.
Aku sampai sekarang sedih dengan apa aku buat. Rasa dosa. Tapi kalau aku tak buat, aku yang meroyan. Aku hari-hari minta ampun. Semoga Allah ampunkan aku. Aku sayang anak-anak yang aku ada. Biarlah ayah mereka macam tu. Aku nak didik mereka supaya tak jadi macam ayah mereka.
Anak Ramai Bukan Ukuran Kelakian Atau Kesuburan
Akhir kata, anak ramai bukan ukuran kelakian atau kesuburan. Tapi tanggungjawab. Tanggungjawab bukan hanya bagi sperma. Tapi membesarkan, didik, nafkah. Isteri pon manusia. Kami bukan kilang anak. Lepas tu harap semua kami buat semua. Aku kadang-kadang rasa benci dengan suami. Tapi aku sabarkan diri dengan alasan sekurang-kurangnya dia tak pukul aku dan anak-anak. Tahan je la selagi nyawa dikandung badan. Aku harap wanita diluar sana lebih bijak. suami tak izinkan pakai pencegah kehamilan tu, lantakkan. Bukan badan mereka yang penat. Pakai je senyap-senyap.
Harap kalian tolong doakan dosa aku diampunkan. Suami aku berubah. Anak-anak aku membesar jadi manusia bertanggungjawab.
– Insan Berdosa
Mingguan Wanita mengharapkan semoga para suami,mendapat pengajaran daripada perkongsian ini. Bantulah isteri yang kepenatan, sama-samalah menguruskan anak-anak dan rumahtangga. Isteri yang berada dalam keadaan sangat kepenatan dan kemurungan mampu bertindak diluar batasan dan akal fikiran. Buat wanita ini, menggugurkan kandungan tetap satu dosa.Apa pun teruslah berdoa dan meminta keampunan daripadaNya.Semoga diberi kekuatan dan ketabahan dan menguruskan keluarga dan anak-anak.