Menantu dan mak mentua sebenarnya boleh menjalinkan hubungan erat dan harmoni di antara satu sama lain kalau kena caranya. Memang ramai menantu dan mak mentua yang mengalami masalah untuk serasi antara satu sama lain.
Kebiasaannya masalah menantu dengan mak mentua ini melibatkan mak mentua dan menantu perempuan. Jarang sangat jumpa lelaki yang tidak boleh mesra dengan mak mentua mereka. Puncanya? Ada banyak punca yang mendorong ke arah ketidakharmonian hubungan itu.
Ramai sahaja menantu dan mak mentua yang mampu hidup harmoni dan aman damai, tanpa ada sengketa. Hubungan mereka cukup mesra, umpama mak dan anak kandung. Tak ada yang mustahil pun. Tapi, ia tak semudah yang disangka. Sebab itu, masih ramai menantu yang hubungannya setakat ‘okay’ saja dengan mentua.
Mereka TETAP HORMAT mentua sebagai mak kepada pasangan hidup mereka. Tapi tak sampai boleh bertepuk tampar, bergurau senda atau teman tempat berkongsi masalah. Kenapa agaknya hubungan menantu mentua itu hambar dan dingin agaknya ye?
Berikut dikongsikan tip yang boleh dijadikan panduan untuk memperbaiki hubungan menantu dengan mak mentua.
Sebagai menantu, kita seharusnya menerima mak mentua seadanya. Begitu juga dengan mentua. Kena ingat, mungkin banyak beza cara hidup dan latar belakang masing-masing. Jadi, jangan sesekali memperlekehkan cara masing-masing. Contoh mak mentua tak suka dengan masakan menantu. “ Eh, kenapa masak macam ni? Tak sedaplah. Mak kamu tak ajar ke?” Aduh! Bisanya bahasa. Siap dikaitkan dengan mak si menantu pula.
Sepatutnya mentua kena terima cara menantu walau pun mungkin tak berapa kena dengan tekaknya. Dalam masa yang sama cuba beri tunjuk ajar juga agar tak kecilkan hati menantu. Bila menantu rasa mentua dapat terima dan bertolak ansur dengan perbezaan dan kekurangan dirinya, maka dia juga akan melakukan hal yang sama pada mentua. Lama-kelamaan, hubungan ini pasti akan semakin baik juga.
Ada Menantu Takut Mentua
Dalam keadaan ini, sah takkan timbul kemesraan di antara menantu dengan mak mentua. Menantu takut nak luahkan apa yang dia rasa dan lebih suka berdiam diri daripada berbual dengan mak mentua. Silap cakap, nanti kena bebel. Baik diam. Itu tanggapannya.
Bagi menantu yang mempunyai mak mentua garang, cuba selidik kenapa sikapnya begitu, suka marah-marah. Mungkin dia mengalami stres yang menyebabkan dia bersikap begitu.
Kena Cuba Jalin Kemesraan Dan Ambil Hati
Apa jua yang dilakukan, cuba sentiasa berusaha dalam mengekalkan sesuatu hubungan agar semakin hari semakin baik. Sebagai menantu yang lebih muda harus bersikap lebih bertolak ansur untuk mengekalkan keharmonian bersama.
Mak mentua adalah insan yang membesarkan anak mereka (suami kita), jika mempunyai sebarang percanggahan idea antara anda dan mentua, sebaiknya menunjukkan persetujuan ataupun bantahan dengan cara yang betul agar mereka boleh menerimanya dengan hati yang terbuka.
Kena Ringan Tulang
Sebagai menantu yang baik, bantulah buat kerja-kerja rumah bila balik ke rumah mentua. Ingat, setiap kerja yang dilakukan, jangan hanya kerana ingin mendapatkan pujian mahupun penghargaan. Lakukan dengan hati yang ikhlas.
Ini tidak, macam mana mentua tak marah kalau balik ke rumahnya, bangun pun lewat. Ke dapur jangan haraplah nak bantu. Bila mentua siap masak, tahu pula bangun ke dapur dan terus makan. Mak ai, memang patutlah menantu begini ‘dipetir’ mentua!
Jangan Rebut Perhatian
Sama ada mak atau isteri, ada hak masing-masing ke atas si anak/suami. Jadi, tak perlu nak berebut perhatian dan kasih sayang. Nanti yang tersepit, si lelaki lah! Apa salahnya, bila balik ke rumah mentua, isteri suruh suami bawa maknya keluar ke pasar berdua. Bukan malas nak ikut, tapi nak beri peluang mak dan anak luang masa bersama.
Hubungan menantu mentua boleh jadi panas kalau masing-masing tak nak mengalah dan bertolak ansur. Alangkah ruginya kerana hubungan itu boleh terjalin harmoni dan penuh kemesraan. Kena ingat, masing-masing akan berjumpa seumur hidup kelak.
Apa pun, beruntunglah mereka yang mampu menjalinkan hubungan baik antara menantu mentua. Tahniah!
Artikel berkaitan: Mak Mentua Kalau Nak Hubungan Dengan Menantu Jadi Mesra, Jangan Lakukan Kesalahan Ini
Isteri Baru Bersalin 4 Bulan Ditalak Suami, Gara-Gara Mak Mentua Tidak Suka
Mak Mentua Ada Sikap Cemburu Dengan Menantu, Isteri Janganlah Terasa Hati Suami Lebihkan Maknya!