Menantu Hamil Mengidam, Baiknya Hati Mentua Tak Berkira Masak Lauk Keinginan

Asalnya ibu mentua ini, Nani Tok Timoon sekadar berkongsi kisah menantunya yang mengidam makan bubur lambuk versi Kelantan. Itulah dulu lauk yang pernah arwah Mamanya masak sebelum sakit. Ibu mentua pula, walau berasal dari Kelantan tapi tak pernah lagi membuat bubur lambak versi Kelantan ini.

Demi nak tunaikan keinginan menantu hamil 3 bulan, ibu mentuanya ini berusaha cari resepi, bahan-bahan masakan sampai dapat penuhi hajat menantunya itu. Sweet betul ibu mentua ini.

Mentua Masak Bubur Lambuk, Teresek Pisang

“Hai semua.. Nak citer sikit kejadian 2 makanan yang saya masak hari ni. Ada cerita menarik di sebalik bubur lambuk dan teresek jantung pisang.

Alkisah..
Dari semalam menantu saya yang tengah mengandung 3 bulan, bagitahu teringin sangat nak makan bubur lambuk versi Kelantan. Katanya teringat arwah Mama selalu buat masa sebelum arwah sakit.

Sebenarnya… walaupun saya orang Kelantan, tapi dah umur 50-an ni tak pernah buat, cuma makan yang masa kenduri jaa. Apa yang saya tahu bahan nak buat ni kena ada banyak pucuk-pucuk dan daun kayu, rasanya kat bandar tempat saya ni takda benda tu.

Saya pun call mak saya, tanya resepi bubur lambuk. Katanya nak bagi sedap mesti wajib ada pucuk midin, daun kaduk, kalau takda, tak berapa jeliro, kata oghe Kelate. Dah dapat resepi buat bubur lambuk. Saya tanya Mak, masak apa hari ni. Mak kata dia baru selesai masak Teresek Jantung Pise. Haah… Saya terus teringat nostalgia zaman arwah nenek selalu masak teresek jantung pise yang sangat sedap. Saya minta resepi untuk teresek sekali.

Masak Penuhi Keinginan Menantu Dan Diri Sendiri

Kat mana la aku nak cari jantung pisang, pucuk-pucuk semua. Satu nak penuhi keinginan menantu, satu lagi nak penuhi keinginan saya. Teringat kawan kata kalau nak cari sayur yang rare , boleh gi pasaraya CS.

Saya cakap kat menantu, “Sue.. ibu nak gi CS, cari bahan nak buat bubur lambuk. Tapi ibu tak janji ada pucuk midin, daun kaduk. Sue kata, arwah Mama dia pernah buat guna daun cekur manis.”

Masa kat CS, tengok sayur yang ada, yang sesuai daun cekur manis, daun selasih, daun kesum dan keledek oren untuk bubur. Ada jantung pisang. Saya beli hati, pedal, kaki, leher ayam untuk buat teresek. Bahan lain dah ada kat rumah.

Haa.. Jadilah hari ni bubur lambuk dan teresek jantung pise. Ya Allah.. Seronok menantu makan bertambah. Anak-anak kata, walaupun bubur tu nampak tak comel, tapi sedap yakmat.

Ads

Teresek pulak, che somi kata sedap rasa macam rendang. Tak jemu makan, nak bagi cukup lawan saya goreng ayam. Perhh.. Selera bertambah nasi. Nak pulak nasi panas.

Begitulah kisah kejadian hari ni.

Waktu Masak Untuk Keluarga, Lazimkan Baca Doa..

Pesanan Kak Nani , masak dengan IKHLAS, KASIH SAYANG, NIAT nak bagi suami dan anak-anak HAPPY. Baca DOA masa tengah masak supaya makanan kita masak ni boleh bagi suami, anak-anak INGAT kat kita, makanan tu jadi manfaat kat tubuh badan. Biiznillah

Jangan lupa pulak, masuk dapur tu mulakan dengan Taawuz..
Auzubillahiminassyaitonirrojim, Bismillah, dan selawat Nabi, juga minta perlindungan Allah dari musibah masa tengah masak yer. Ini pesanan Kak Nani, kat dapur ni macam-macam boleh jadi musibah, maklum la segala benda bahaya ada kat dapur. Faham sendiri la yer.

Teringat masa sebelum nak kahwin dulu, arwah nenek Kak Nani pesan, sampai sekarang ingat. Nenek kata, orang perempuan ni kena pandai jaga 2 benda ni, ikat hati suami dengan dua perkara ni, layan perut dan layan n4fsu suami.

Haha.. Biar betul Mok (panggilan).. Habis tu tak payah jaga muka ko? Mok kata, “kalu muka cantik pun, suami cari lain kalu mu tak pandai jaga makan, jaga n4fsu dia. Kalu nak suami sayang ikat perut suami tu“.

Ads

Adoii.. Pedas telinga ni dengar. Tapi betul, apa yang Mok pesan tu yang Kak Nani buat. Syukur sampai sekarang, suami tetap makan kat rumah, orang lain masak tak sama dengan bini dia masak, katanya laa.

Dapat mak mentua baik pun rezeki, bukan semua menantu dapat rasa.

Menantu Hamil Mengidam, Baiknya Hati Mentua Tak Berkira Masak Lauk Keinginan

RESEPI BUBUR LAMBUK KAK NANI

2 cawan beras di rendam satu jam bagi kembang.
– Lepas sejam, masak dengan air 2 x ganda dari masak nasi biasa.
– Masak biar jadi bubur. Pastikan api kecil , dan kacau selalu supaya cantik dan tak berkerak.
Sementara tunggu nasi jadi bubur, sediakan bahan untuk rencah dan hiasan.

BAHAN PENYEDAP

5 biji bawang merah – ditumbuk
3 ulas bawang putih – ditumbuk
Halia sebesar ibu jari – ditumbuk
Lada hitam 2 sudu – ditumbuk
Santan 1 pek kecil – Kak Nani guna santan segar
6 ekor ikan sardin / kembung / pelaling – dibakar / kukus.. dibuang tulang, ambil isi dan tumbuk.
Budu setengah botol – Kak Nani guma budu cap Ketereh, itu je yang ada.
1 kiub ikan bilis knorr/maggi
Garam secukup rasa

BAHAN PENYERI BUBUR

Pucuk midin – Kak Nani tak bubuh sebab tak ada
Daun kaduk – hiris
Daun kesum – ambil daun saja,
Dedaun cekur manis
Daun salang – kat kampung di perak banyak daun ni. Kak Nani tak bubuh.
Daun kunyit – guna sehelai potong halus macam buat rendang
Daun selasih (basil) – yang fresh, bukan yang kering dalam botol. Optional. Kak Nani bubuh. Ada orang tak suka. Daun ni dia ada bau dan rasa, biasanya orang masak spageti taruh daun selasih, buat makan laksa johor pun sedap.
3 biji ubi keledek oren – dipotong dadu. Kalau besar 1 biji pun dah cukup.
Cili api Siam 10 biji – biarkan sebiji.

Ads

CARA BUAT

1. Bawang merah, bawang putih, halia, lada hitam, ikan yang ditumbuk, masukkan dalam bubur nasi yang dah elok kejadiannya. Masukkan semua. Kacau rata.
2. Masukkan keledek yang dipotong dadu , jangan lupa sentiasa kacau bubur supaya tidak hangit.
3. Masukkan daun-daun semua dan cili api. Kacau lagi.
4. Masukkan seketul kiub ikan bilis. Dan masukkan santan.
5. Masukkan budu. Ini rahsia sedap bubur lambuk. Budu ni banyak jenis dan brand. Kalau nak sedap budu Tempayan la, ori kelantan.
6. Sebelum masuk garam, rasa dulu ya, sebab budu tu dah masin. Kalau kurang, baru tambah garam.
5. Masak sampai keledek empok, daun dah cukup layu. Biar secukup rasa. Angkat.. Dah siap
6. Hidang dengan bawang goreng buat sendiri, sedapnya tak terkira.

Menantu Hamil Mengidam, Baiknya Hati Mentua Tak Berkira Masak Lauk Keinginan

RESEPI TERESEK JANTUNG PISANG KAK NANI

BAHAN – BAHAN

Jantung Pisang 2 biji – buang kulit yang merah keras tu, ambil yang tinggal. Kuning, dibelah dua, dan di hiris. Rendam dalam air garam nak buang rasa kelat dan getah. Rendam selama 20 minit.
Buang air rendam, dan basuh, perah jantung pisang. Ketepikan dulu.
Hati ayam, pedal ayam, kaki ayam, leher ayam
(Tips : semua basuh dan rendam dalam air dan campur cuka. Nak bagi bersih dan hilang bau hanyir. Rendam dalam 5 minit. Potong kaki, hati, pedal, leher. Bilas bersih). Nak banyak dan ramai nak makan, lebihkan. Kak Nani buat banyak, sebab anak ramai, yang kaki makan, boleh simpan dalam bekas, simpan dalam peti ais, letak bahagian beku, tahan, nak makan keluar kan, biar dia defrost, dan panaskan.
Masukkan hati, pedal, kaki, leher dalam kuali. Biarkan sekejap sementara ready bahan lain

BAHAN PENYEDAP

2 biji bawang besar – dibelah dua dan dipotong (masukkan dalam kuali biar duduk dengan ayam, gaul)
6 biji bawang merah kecik
3 ulas bawang putih
Halia sebesar ibu jari
Lengkuas sebesar ibu jari
Cili kering 10 tangkai – dibuang biji, rebus dan kisar. Nak pedas, lebihkan. Boleh juga pakai cili serbuk 3 sudu
3 sudu besar serbuk kari daging/ayam jenama apa pun tak kisah
(Tips : serbuk kari dan serbuk cili atau cili kisar di bancuh dengan sedikit air dan gaul rata. Jadikan pes. Ketepikan dalam 10 minit bagi sebati dan rempah mesra. )
3 sudu besar rempah biji ketumbar – ini rahsia bagi sedap. Goreng tanpa minyak, sampai wangi dah bangkit bau, angkat tumbuk dalam lesung. Separuh tumbuk kasar, dan separuh tumbuk halus.
Santan pekat 1 kotak – Kak Nani guna santan fresh, lebih sedap dan lemak.
3 sudu besar kerisik
Asam keping 2 keping
Nise atau gula melaka
Garam

CARA BUAT

1. Bawang merah, bawang putih halia, lengkuas dikisar halus. Masukkan dalam kuali tadi.
2. Masukkan pes kisar tadi. Gaul rata. Dengan perkakas ayam tadi. Pasang api. Masak biar keluar air ayam tadi . Tambahkan air dua gelas. Kacau rata dan tutup kuali. Biar reneh sampai agak-agak dah jadi pekat atau oghe kelate kata mati awas. Sentiasa tengok dan kacau, takut hangus.
3. Masukkan semua ketumbar dan jantung pisang. Gaul rata. Tutup balik periuk.
4. Masukkan santan, asam keping dan kerisik. Gula melaka. Garam secukup rasa.
Kacau rata. Kalau rasa kering, tambah air sikit. Supaya cepat empuk jantung pisang.
Bila semua dah empuk, dah masak, boleh la angkat dan hidang panas-panas.

Kalau ikutkan teresek ni ada orang buat kering. Bagi Kak Nani, lebih suka pekat berkuah, sebab sedap dimakan dengan nasi panas. Lawan pula ayam goreng, semua bertambah nasi.

Okay.. Rasa dan sedap bergantung kepada cara masak, jenis bahan, dan lidah.

Sumber/Foto : Nani Tok Timoon

Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI