Membesar di kawasan kejiranan kediaman yang dikelilingi masyarakat Melayu, sedari kecil pemilik nama sebenar Sandhyalini a/p Subramaniam atau kini nama Islamnya, Nur Sandhyalini Sumayyah binti Abdullah, 26 sudah terbiasa dengan aktiviti masyarakat Islam setempat. Anak bongsu dari dua orang adik beradik ini berasal dan membesar di Ampang.
“Saya membesar di kawasan perumahan yang dipenuhi dengan masyarakat Melayu dan Cina. Keluarga saya satu-satunya berbangsa India pada ketika itu. Jadi rakan-rakan sepermainan saya orang Melayu semuanya.
“Kami membesar bersama-sama dan masih berhubung sehingga kini. Jadi saya dah biasa dengan aktiviti harian mereka terutamanya keagamaan seperti contoh saya akan berdiam diri ketika azan, baca doa sebelum makan, baca ayat Al-Qursi kalau takut, berpuasa, bersahur, berbuka puasa, cara solat dan menyambut hari raya Aidilfitri dan Aidiladha bersama-sama rakan yang beragama Islam,” bicara anggota Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang berpangkat Lans Koperal ini.
Tidak Kekok Bergelar Mualaf
Wanita yang mesra di sapa dengan panggilan Sumayyah ini juga akui tidak berasa kekok selepas memeluk Islam.
“Pergaulan dengan orang Muslim sudah sebati dengan diri saya sejak dilahirkan dan tidak kekok untuk membawa diri sebagai seorang Islam. Saya fasih berbahasa Melayu membuatkan ramai orang ingatkan saya memang keturunan Melayu atau Mamak,” sambung Sumayyah.
Berkongsi kisah bagaimana dia tertarik untuk memeluk agama Allah ini, Sumayyah meneruskan perbualan bersama penulis.
“Saya tertarik memeluk Islam ketika menonton sebuah video banjir besar di Kelantan pada tahun 2014, saya merasakan seperti mahu mengambil wudhu dan solat bagi mendoakan mangsa banjir iaitu seorang ayah yang tenggelam timbul demi menyelamatkan anaknya dan akhirnya lemas. Saya tidak tahu kenapa rasa demikian sedangkan saya tak pandai solat.
“Video seterusnya ialah video rakaman semula bagaimana Rasulullah SAW wafat, video dengan muzik yang sedih dengan ayat-ayat cinta. Selepas habis menonton video yang ditunjuk oleh rakan sebilik rumah sewa itu, saya terus menyatakan bahawa saya mahu ke pejabat agama untuk memeluk Islam.
“Sebenarnya sejak zaman sekolah lagi saya sudah pandai membaca surah al-Fatihah, doa belajar, doa makan, mengucap, istighfar, tasbih, takbir, selawat kerana sering terikut-ikut dengan perbuatan kawan-kawan Islam saya,” ujar Sumayyah.
Ads
Menangis Selepas Mengucap Dua Kalimah Syahadah
Memeluk Islam pada 29 Disember 2014 di Jabatan Agama Islam Wilayah, Sumayyah mendalami Islam melalui pelbagai buku yang dibeli. Selain itu dirinya juga sering mendengar ceramah-ceramah di youtube dan mendengar kisah-kisah para Nabi dan Rasul dari rakan-rakan.
“Perjalanan hidup saya sebelum Islam adalah sangat sosial dan berpakaian agak kurang sopan. Tetapi sejurus memeluk Islam, saya menangis selepas mengucap dua kalimah syahadah dan pada pagi sebelum ke JAWI saya sudah mulai bertudung. Saya menangis kerana merasakan aman,tenang dan selamat akhirnya. Ramai kawan-kawan yang marah dan tidak mahu berkawan dengan saya, tetapi ramai juga yang masih berkawan dengan saya kerana mereka memang sedia maklum dengan persekitaran saya membesar dahulu.
“Saya juga merasakan sangat tenang, tidur lena, aman, selamat, syukur, terharu, gembira dan bahagia. Ini kerana beberapa bulan sebelum memeluk Islam, saya mengalami jiwa kacau seperti sering bermimpi buruk, tidak boleh tidur lena, dan telah lama lupa pada cara sembahyang.
“Gaya hidup saya sebagai seorang muslimah dengan kehidupan lama jauh bezanya bagaikan langit dengan bumi, kalau dulu saya berpakaian ketat dan tidak sopan pakaian saya yang menutup aurat sekarang lebih membuatkan saya rasa selamat dan selesa untuk bergerak ke mana-mana dan tidak dipandang serong. Pergaulan lebih kepada menjaga batasan, adab dan tutur kata,” luah Sumayyah.
Ads
Kini berasa lebih tenang selepas memeluk Islam.
Di Sebalik Nama
Mahu berkongsi kisah di sebalik nama Sumayyah yang dipilih, wanita ini sebenarnya telah mencari agak lama nama Islam yang sesuai untuk dirinya.
“Pada malam sebelum saya ke JAWI untuk mengucap dua kalimah syahadah, saya telah mencari nama-nama Islam di carian internet tetapi tidak berkenan. Kemudiannya saya menutup data internet dan melelapkan mata, dalam mimpi saya ketika itu cukup gelap kedengaran satu suara lelaki yang memanggil Sumayyah lalu saya terjaga dari lena. Saya pun terus sambungkan semula data internet dan mencari maksud nama Sumayyah. Keesokkannya di JAWI apabila ustaz bertanyakan nama, lalu saya terus menyebut Nur Sandhyalini Sumayyah,” kongsi Sumayyah.
Aktif belajar Iqra.
Aktif Belajar Agama
Selepas memeluk Islam, Sumayyah mula mendalami ilmu agama di PERKIM BAHAGIAN WILAYAH pada tahun 2015 tetapi tidak dapat memberi komitmen kerana terlalu sibuk dengan kerjaya.
Ads
“Bermula pada bulan Ogos 2018, saya tertanya pada diri sendiri “sampai bila aku nak terkontang-kanting tanpa ilmu agama ni, cemburu tengok budak kecil yang sudah pandai mengaji al-Quran sedangkan aku belum”.
“Selepas itu saya mula aktif semula memberi komitmen sepenuhnya dalam pelajaran agama suci ini. Selain itu, bermula pada bulan Januari 2019 saya telah mendaftar dan mula belajar di Kompleks Darul Hidayah yang terletak di Jalan Sentul Pasar pada waktu pagi dan masih belajar di Perkim pada waktu petang. Selain itu,saya juga banyak melibatkan diri dengan menghadiri program-program agama seperti yang terbaru Ceramah Ustaz Abdul Somad dari Indonesia di Masjid Wilayah dan pada menyertai Bengkel Belia : Generasi Pelapis Pendakwah siri 1 oleh Penceramah Profesional iaitu Ustaz Mohd Fadli Yusof.
“Setelah lima tahun memeluk agama Islam dan tidak komited dalam pelajaran agama akhirnya dibuka hati untuk mula belajar dengan serius Iqra. Banyak hikmah kehidupan saya sekarang di mana jauh lebih tenang dari sebelumnya. Ini kerana saya banyak menghadirkan diri ke majlis ilmu agama, saya juga berharap dapat menjadi seorang pendakwah atau ustazah suatu hari nanti,” akurnya.
Baiki Diri
Sebagai insan biasa Sumayyah akui tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Dan kini dia masih dalam proses memperbaiki diri sebagai seorang muslimah sejati.
“Saya juga tidak tercicir dari melalukan kesilapan yang biasa dilakukan oleh orang lain dan masih lagi dalam proses untuk membaiki diri bagi menjadi seorang muslimah yang solehah. Dugaan datang dari pelbagai bentuk dan cara, soalnya tinggi mana keimanan dalam diri kita, bagaimana menjaga akhlak agar akidah tidak terpesong, semuanya atas pada diri kita sendiri. Bagi saya setiap agama ada larangan dan suruhan, cuma dalam agama Islam ni saya rasa lebih ketat peraturan yang kita perlu ikut. Contohnya dulu jika tidak sembahyang sehingga terlupa bagaimana caranya dan tiada apa-apa perasaan, kini saya akan berasa tidak tenteram dan serba salah jika meninggalkan solat disebabkan kelalaian sendiri atau kerja.
“Saya juga sangat bersyukur dengan bantuan dari buku panduan solat yang dihadiahkan oleh sahabat yang saya kenal selama 26 tahun iaitu Fitri Suraya. Alhamdulillah sy telah menghafal bacaan-bacaan dalam solat dan pernah juga mengimamkan solat bersama kawan-kawan saya beberapa kali,” akhiri Sumayyah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bila tiba bulan Ramadan, mak-mak adalah orang yang paling beria-ia terutamanya masa bersahur. Sebab memikirkan masakan apa yang boleh menaikkan selera anak-anak yang berpuasa.
Bukan apa, risau kalau anak tak makan masa bersahur, nanti siang hari tak mampu nak bertahan sehingga berbuka. Menu paling anak suka makan dah tentulah nasi goreng dan air milo.
Masa Bersahur, Kenangan Mengusik Jiwa Bulan Ramadan
Inilah yang mak-mak lakukan dan boleh dikatakan turun temurun dari mak-mak kita dulu untuk anak-anaknya. Ramadan inilah membuatkan kita teringat zaman kita masa kecil. Kenangan mengusik jiwa.
Tanpa kita sedar, kerajinan dan berkat mak-mak masak untuk anak-anak masa bersahur inillah ada keberkatannya. Perkongsian dan pengajaran yang boleh kita ambil dari ceramah Ustaz Wadi Anuar ini.
Kenangan mengusik jiwa.
Masa kita kecil-kecl dulu, sampai hari ini masih ingat.
Betapa mak ayah zaman dulu walaupun belajar tak pandai tapi bila datang Ramadan, dia akan buat makanan yang anak dia lalu untuk bersahur.
Apadia paling anak suka, nasi goreng, itulah yang dia buat, bancuh air yang anak lalu, tentulah milo. Itulah paling sedap. Minum sampai habislah.
Ada juga masa kita kecil, sedar-sedar dah ada depan nasi. Rupa-rupanya ayah yang angkat. Berkat rajin orang tua dan berkat amalan sahur yang Nabi ajar.. “Sesungguh waktu itu dan perbuatan bersahur itu ada keberkatan..”
Kalau dilihat dulu dengan sekarang, ada mak ayah berbeza dan jauh dari sunnah. Tak bangun sahur, apatah lagi anak-anak.
Sebab itu, jangan hairan dan pelik kalau ada kelaurga yang tak berkah, bergaduh setiap hari duit tak pernah cukup dan sebagainya.
Bangun sahur kerana di situ ada barakohnya.
Mingguan Wanita : Selagi belum imsak, selagi itulah mak-mak akan ingatkan anak minum air banyak-banyak supaya tak dahaga siang hari. Gitulah kan, perasaan mak-mak pada anak.
Setiap orang diberi ujian hidup yang berbeza-beza. Mungkin rezekinya, hidup senang, kaya raya dan bahagia. Ada pula diberi ujian dengan kehidupan yang susah, kais pagi makan pagi. Tak kurang juga diberi ujian dengan kesihatan yang tidak baik dan sebagainya. Semuanya berbeza dan tidak sama setiap orang.
Namun, tak perlulah menyesal atau sedih sebabnya semua ini adalah daripadaNya untuk melihat ketabahan dan ketenangan dalam menerima ujian ini. Semuanya telah diatur olehNya. Cuma, kita kena terima dengan redha.
Perkongsian daripada Imam Muda Hassan memberi panduan untuk kita dalam menerima ujian yang diberikan Olehnya. Kita kena redha dan anggap ini sebagai satu rahmat daripadaNya.
Waktu umur 20 hingga 29 tahun, waktu ini kita sibuk belajar, sibuk nak cari jodoh, kalau dah berkahwin baru merasa menimang cahaya mata. Waktu usia ni banyak yang enjoy, menikmati kehidupan. Baru nak merasa nak ada rumah, nak ada kereta sendiri.
Bila memasuki usia 30-an, ujian berat mula menerpa, anak makin dewasa macam-macam perangai, gaji semakin besar dah sibuk dengan kerjaya sampai tak ada masa dengan family.
Ada yang dibuang kerja sebab tak perform. Hidup mula tertekan sebab anak nak sekolah, nak bayar duit ansuran rumah dan macam-macam hal:
1. Kereta mula meragam
2. Rumah mula nak bocor sana sini
3. Yuran sekolah anak makin naik
4. Mula banyak orang benci kita
5. Hubungan dengan mertua
6. Isteri mula merungut tak cukup makan
7. Suami stress gaji kena potong
8. Rumah tangga mula goyang
9. Badan mula sakit sana sakit sini
10. Badan dah tak fit
11. Bawa kereta cepat mengantuk
12. Hutang keliling pinggang
13. Ah Long mula kejar
14. Hubungan adik-beradik mula renggang
Cukuplah tu, nak disenaraikan tak habis cerita.
Sebab Apa?
Kenapa sebelum umur 40 macam-macam ujian kena tempuh ya?
Sebenarnya Al-Quran dan Hadith dan menjawab soalan ni. Ini adalah fasa Tarbiah Allah pada hambaNya supaya kuat rohani untuk menempuh hidup pada usia 40 tahun. Ujian tu sebab ALLAH SAYANG, supaya kita menang untuk menempuh usia 40 tahun.
Lihat surah Al-Ahqaf ayat 15. Ayat ini menjelaskan umur 40 tahun iaitu umur yang matang. Ini kemuncak umur keIslamannya. Ini adalah umur di mana Nabi SAW diangkat menjadi Rasul.
Ibn Abbas r.a. meriwayatkan, “Sesiapa yang menjangkau usia 40 tahun, tetapi kebaikannya tidak mengalahkan kejahatannya, maka bersiap sedialah dia untuk ke neraka!”
Jadi memang sungguh ALLAH SAYANGKAN kita, Dia tak nak kita kalah dengan ujian supaya kita tak diheret ke Neraka, wal’iyazubillah min zalik.
Pandanglah ujian itu sebagai Rahmat dan Kasih Sayang Allah pada kita, sebab Dia nak bagi kita Syurga.
Bertenanglah wahai jiwa yang diuji!
MW: Redha dan tenang sebab Dia lebih tahu segalanya.
Pakai apa yang selesa bukan untuk menunjuk, kalau nak bahagia buang sikap membanding. Barulah hidup mak, ayah lebih tenang dan ketahuilah itu kebahagiaan yang sebenar.
Dalam hidup jika ada sifat suka membanding memang payah, segalanya hendak dibanding memanglah susah nak bahagia.
Ikuti perkongsian Annur Nida dan fahami apa yang cuba disampaikan:
Pakai Apa Yang Selesa
Kemas-kemas bilik belakang, terjumpa handbag saya ini.
Sedih, sebab sudah menggelupas. Padahal saya letak elok dalam beg sarung.
Handbag ni, boleh kira berapa kali je saya guna.
Tak pakai sangat mungkin sebab warna merah.
Dan saya ni tak ke mana sangat pun.
Saya sendiri yang pilih handbag ni. Ingat lagi masa itu beli di Plaza Aman Central, Alor Setar. Beg ni ada cerita dia sendiri. Masa saya beli handbag ini, saya masih belum kenal bahagia yang sebenar.
Balik rumah mak di Kuantan, saya tengok kakak ipar saya yang doktor itu pakai handbag elok. Jenama terkenal.
Nampak pulak handbag adik saya, dia cikgu, pun elok handbag dia. Saya tengok handbag saya. Mulalah saya bercakap dengan diri. Handbag aku ini tak mahal sangat macam depa (mereka).
Apalah ada pada sebuah handbag berjenama. (Kredit foto : Facebook Annur Nida).
Tak sudah tengok handbag, eh saya tengok pulak sandal depa. Pun sama jenis yang mahal.
Bila saya sudah ada perasan membanding gitu, segala benda hendak banding. Nampak pulak anak-anak sedara pakai baju semua branded, saya pun eh tak mau kalah.
Mula datang cemburu. Malah, mula datang kenapa aku tak beli yang mahal jenama terkenal. Mula datang rasa tak mampu sangat ke aku ini dan bermulalah fikir pelik-pelik.
Padahal adik-beradik dan ipar tidak ada pun kisahkan hal macam ini. Kami bergaul, bergurau senda, bercakap, beramah-tamah macam biasa saja.
Kalau Nak Bahagia
Dan masa pun berlalu. Saya membaca, saya dengar kuliah, saya melihat keadaan sekeliling, saya memerhati.
Lalu saya berfikir. Kalau nak bahagia, kena buang sikap suka membanding. Terutamanya kalau membandingkan hal keduniaan ni.
Padahal yang lebih utama hendak memiliki bahagia adalah kena mensyukuri nikmat yang sedikit mahupun nikmat yang besar.
Kalau hendak cari siapa yang paling cantik, paling banyak pakai barangan mewah, memang tak akan jumpa.
Sebabnya, bila dah jumpa yang cantik, yang mewah, eh ada lagi yang lebih cantik.
Dan bila dah jumpa yang lebih cantik, yang mewah tu, eh ada lagi yang lebih cantik dari yang lebih cantik dan mewah itu.
Buang Sikap Membanding
Justeru apa?
Saya mula paksa diri tidak membanding.
Saya beli, saya pakai, apa yang selesa untuk diri sendiri, bukan untuk menunjuk pada orang lain. Tak kisah mahal atau murah, yang penting bukan nak banding membanding.
Bila saya buang sikap membanding, maka saya mulai rasa bahagia, rasa gembira. Tak sesak dada nak tengok siapa lebih hebat.
Bahagia tu bukan pada apa yang dimiliki, tapi bagaimana kita meraikan apa yang dimiliki.
Teringat yang Nabi Yusof tenang dan bahagia di dalam penjara.
Tak lain tak bukan kerana Allah jualah yang mendatangkan bahagia itu.
*mohon baca keseluruhan konteks penulisan saya ini.
Saya tidak langsung fokus terhadap brand handbag.
Saya fokus terhadap learning proses yang saya dapat dalam hidup saya.
Sekian terima kasih
Mingguan Wanita : Bersederhanalah dalam hidup, cari kebahagiaan mengikut acuan kita sendiri tanpa perlu menyukat kehidupan orang lain. Insyallah suatu hari bahagia akan menjadi milik mak, ayah.
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...