Allahuakbar, tidak dapat membayangkan perasaan seorang isteri dan ibu yang kehilangan suami serta dua anak dalam sekelip mata.
Berat sungguh ujian dia, berat mata kita yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Semoga Allah memberi kekuatan buat ibu muda ini menerima kenyataan yang amat pahit ini.
Sebelum kemalangan berlaku, mereka sekeluarga sempat makan bersama, anak yang teruja ingin ikut ayah naik treler akhirnya sekelip mata mereka tiada. Menangis-nangis anak nak ikut ayah naik treler, rupanya petanda meninggal bersama.
“Sekelip mata sahaja dah tiada, sedangkan sebelum kejadian mereka sekeluarga sempat makan bersama,” kata Normah Khalid, 66.
Normah Khalid adalah ibu mentua kepada seorang pemandu treler yang maut bersama dua anaknya dalam kemalangan di Kilometer 10 Jalan Malim Nawar-Kota Bharu di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.20 malam itu, Hafize Nizam Ali Supian, 30, bersama dua anak lelaki, Muhammad Afeef Rafiqie, 9, dan Arrian Nuh, 6, meninggal dunia di tempat kejadian selepas treler dinaiki mereka terbabas dan terbalik.
Sebelum kejadian, arwah dan isteri, Shamshira Mohd Norizin, 31, menghabiskan masa makan tengah hari bersama tiga anak mereka di sebuah restoran di Kampar.
Normah berkata, lima beranak itu datang ke restoran dari kediaman mereka di Langkap dengan kenderaan berasingan kerana Hafize Nizam mahu meneruskan perjalanan mengambil muatan simen di Gopeng.
“Pada mulanya arwah memang tak ada niat nak bawa dua anaknya itu, tetapi entah mengapa selepas selesai makan, mereka menangis-nangis nak ikut sama.
“Budak-budak kan, mungkin mereka teruja nak naik treler, kalau ikutkan sebelum ini, mereka tak pernah pun ikut ayah mereka kerja,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kampar, di sini semalam.
Dia berkata, mereka menerima panggilan kejadian sekitar jam 10.30 malam dan bergegas ke lokasi untuk melihat sendiri keadaan kemalangan itu.
“Mak cik tak sanggup nak tengok lama-lama, anak mak cik (isteri arwah) pun dah tidak keruan, menangis dan meraung melihat keadaan treler yang remuk.
“Kami tunggu dekat tiga jam di lokasi dan tengok sendiri semua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum dibawa ke hospital,” katanya.
Baca Juga Di sini:
Luluh Hati Suami Rupanya Isteri Sendiri Kemalangan, Arwah Turut Tinggalkan Anak Tujuh Bulan
Isteri Meninggal Dalam Kemalangan, Suami Hanya Mampu Pangku Buat Kali Terakhir
Untuk info lebih menarik, klik saja di sini.
Normah berkata, anak bongsu arwah, Adeeb Hud, 2, ada bertanya di mana ayah dan dua abangnya, tetapi hanya mampu mengatakan mereka semua sedang tidur.
Katanya, kali terakhir dia bertemu arwah dan dua cucunya itu pada Sabtu lepas di kediamannya di Chenderong Balai, Teluk Intan.
“Arwah seorang menantu yang baik dan suka membantu ahli keluarga yang lain, mak cik pun memang rapat dengan cucu-cucu sebab pagi petang siang malam mereka selalu datang bermain di rumah.
Apa pun kami redha dengan pemergian mereka dan anggap ini satu ujian buat anak mak cik,” katanya.
Jenazah ketiga-tiga mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chenderong Balai, Teluk Intan. Isteri mangsa enggan ditemu bual kerana terlalu sedih dan dilihat berada dalam keadaan tidak bermaya.
Beberapa ahli keluarga terpaksa memapah dan membawanya keluar dari perkarangan unit forensik sebaik proses bedah siasat selesai.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Kota Bharu, Gopeng ke Malim Nawar selepas mengambil simen di sebuah kilang untuk dihantar ke Melaka.
Bagaimanapun katanya, tiba di tempat kejadian, treler yang dipandu mangsa terbabas di sebelah kiri jalan yang merupakan jalan selekoh sebelum melanggar tiang elektrik serta besi penghadang jalan.
“Pelanggaran itu menyebabkan kepala treler terbabit terbalik, semua mangsa tersepit di bahagian hadapan treler dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
“Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira tiga jam untuk mengeluarkan ketiga-tiga mereka dari treler tersebut dengan bantuan beberapa jentera berat,” katanya.
Tambahnya, hasil bedah siasat di Hospital Kampar pagi ini mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan teruk akibat kemalangan.
“Siasatan lanjut kini diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
MW: Pihak MW merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Semoga ibu ini dikurniakan kesabaran dan ketabahan oleh Allah SWT dalam menghadapi ujian yang berat ini. Bukan mudah menerima kehilangan orang tersayang, apatah lagi kehilangan suami serta anak sekaligus.
Sumber/ Foto: Sinar Harian