Alhamdulillah, akhirnya niat ibu untuk membina masjid menggunakan wang pampasan arwah anaknya sekeluarga yang terlibat dalam tragedi MH17 menjadi kenyataan.
Masjid Al-Ghazali dibina bagi memperingati arwah kakak Sumardi Ghazalee, sekurang-kurangnya dengan terbinanya masjid ini menjadi bekalan akhirat buat arwah sekeluarga. Al-fatihah.
“Masjid Al-Ghazali di Jalan Depo di Petra Jaya, dibiayai sebahagian besarnya menggunakan semua wang pampasan enam sekeluarga menjadi mangsa tragedi pesawat MH17,” ujar Sumardi Ghazalee.
Dia adalah adik bongsu arwah Ariza Ghazalee yang terkorban bersama suami, Tambi Jiee serta empat anak mereka, Muhammad Afif, 19, Muhammad Afzal, 17, Marsha Azmeena, 15, dan Muhammad Afruz, 13.
Dalam tragedi MH17 itu, Tambi Jiee yang juga jurutera petroleum dalam perjalanan pulang menaiki pesawat itu bagi menyambut Aidilfitri selain berpindah tugas dari Astana, Kazakhstan ke Kuala Lumpur.
Menurut Sumardi, sebenarnya ibu mereka, Jamilah Noriah Abang Anuar yang mencadangkan pembinaan masjid itu menggunakan wang pampasan insiden berkenaan.
“Syukur alhamdulillah, hasrat ibu kami yang mahu menggunakan wang pampasan disalurkan kepada perkara yang memberi manfaat kepada semua arwah sudah kami tunaikan.
“Masjid berwarna kelabu itu dibina dengan kos sebanyak RM3.5 juta dengan sebahagiannya menggunakan semua wang pampasan diterima sebelum ini,” katanya.
Dia memaklumkan, mereka sekeluarga berbincang dan sebulat suara bersetuju membina masjid itu walaupun kos melebihi pampasan diterima.
Baca Juga Di Sini:
Selepas Kematian Suami Tak Perlu Meminta-Minta, PENTINGNYA Hibah Harta Buat Anak Isteri
Amalkan Sedekahkan Al Fatihah Pada Orang Tua. Antara Petua Rezeki Melimpah Ruah
Bersedekahlah Sampai Jadi Kaya, Bukan Tunggu Kaya Dulu Baru Nak Bersedekah
Untuk info lebih menarik, klik di sini.
Bagi memastikan dana mencukupi, Sumardi sekeluarga turut menerima sumbangan daripada orang awam yang berinfak dan mewakafkan serta sumbangan daripada Kerajaan Sarawak.
Selepas semuanya berjalan lancar dan pembinaannya siap mengikut jadual, Masjid Al-Ghazali telah dibuka kepada orang awam, bermula 13 Mei tahun lalu.
“Ibu gembira, kami sekeluarga pula lega kerana hasrat untuk membina masjid sebagai memperingati arwah kakak sekeluarga akhirnya terlaksana setahun yang lalu,” katanya.
Masjid serba moden yang mampu memuatkan sehingga 1,000 jemaah pada satu-satu masa itu adalah hasil reka bentuk Sumardi sendiri yang juga seorang arkitek.
Sumardi yang kini pengerusi masjid berkenaan berkata, sejak dibuka masjid yang terletak di tepi jalan yang menjadi laluan utama dari kawasan Semariang ke Jalan Tun Abdul Rahman Yakub sering menjadi persinggahan pengguna jalan raya untuk menunaikan solat.
Menurutnya, bagi mengimarahkan lagi Masjid Al-Ghazali, pihaknya berhasrat untuk membina sebuah dewan berdekatan masjid itu namun kini hasrat itu tertangguh berikutan kekurangan dana.
“Dewan yang kami rancang itu akan menjadi tempat untuk upacara akad nikah serta aktiviti lain yang bermanfaat untuk semua.
“Berikutan kekangan kewangan, kami mengharapkan agar ada pihak sudi bekerjasama menyalur sumbangan untuk kita membina dewan yang akan mengimarahkan lagi masjid ini,” katanya.
Menurutnya lagi, mereka turut bersyukur kerana hasrat untuk menjadikan masjid itu sebagai tempat untuk solat Jumaat mendapat perkenan Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais).
“Sudah lebih sebulan kebenaran itu diberi dan kini sudah empat Jumaat, Masjid Al-Ghazali digunakan untuk solat Jumaat,” katanya.
MW: Semoga dengan terbinanya Masjid Al-Ghazali menjadi bekalan akhirat buat Tambi Jiee sekeluarga. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa mereka. Amin.
Sumber: myMetro