Setiap hari pasti mak, ayah bimbangkan keselamatan anak-anak yang ke sekolah. Tidak kiralah yang sudah besar, apatah lagi yang masih kecil. Kadang-kadang hampir 10 kali pesan pada anak agar berhati-hati setiap kali pergi dan balik sekolah. Sudahnya hanya bertawakal pada Allah agar Dia mengawasi anak-anak kita biar di mana berada.
Namun jika itu takdir Allah, memang sebagai mak, ayah harus redha. Terlebih dahulu Mingguan Wanita mengucapkan takziah kepada keluarga adik Nur Aida Rafhanah Zaidi, 13, yang maut dalam kemalangan manakala rakannya, Aina Safiyah Saparin, 13, patah tangan kanan ketika dalam perjalanan ke sekolah pagi tadi.
Menjadi Rutin Melintas Jalan
Zaidi berkata, melintas jalan di lokasi kejadian adalah rutin harian dilakukan anaknya setiap kali pergi dan pulang dari sekolah.
“Seperti biasa, dia akan ke sekolah menaiki basikal dan akan tinggalkan basikal di perkarangan Klinik Desa Olak Lempit, kemudian melintas jalan untuk menaiki bas ke sekolah.
“Setiap kali berada di lampu isyarat di situ, dia akan tekan butang, bila lampu hijau untuk pejalan kaki menyala, baru dia melintas.
“Dia sekolah petang, tapi hari ini dia ke sekolah kerana menghadiri aktiviti sukan. Dia memang aktif aktiviti sebegini, lumba lari, merentas desa dan hoki,” katanya.
Luluh Hati Bila Dapat Berita
Katanya, luluh hatinya apabila mendapat tahu berita sedih itu pagi tadi.
“Arwah anak yang baik, dia pergi.. Allah lebih sayangkan dia. Saya dan isteri reda dengan pemergiannya,” katanya dalam keadaan sedih dan menitiskan air mata.
Jenazah anaknya akan disolatkan di rumah mereka dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Olak Lempit.
Selain saudara mara dan jiran tetangga, guru serta rakan sekolah turut hadir menziarahi jenazah buat kali terakhir.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.
“Siasatan mendapati mangsa memakai pakaian sekolah manakala rakannya memakai pakaian sukan menuju ke SMK Bukit Canggang.
“Ketika kejadian, kedua-dua mangsa sedang melintas jalan di lampu hijau untuk ke perhentian bas bagi menunggu bas ke sekolah sebelum dilanggar kereta yang tidak dapat dikenal pasti dan kemudian melarikan diri,” katanya.
Azman berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya patah tangan kanan.
MW: Semoga mak, ayah sentiasa menjaga keselamatan anak-anak yang ke sekolah. Memang malang tidak berbau tetapi jangan abaikan keselamatan anak-anak yang ke sekolah sendirian. Sentiasa awasi dan perhatikan pergerakan anak-anak setiap hari apabila ke sekolah. Selalu ingatkan mereka betapa pentingnya menjaga keselamatan diri.
Sumber: Harian Metro