Memang Penat! Itulah mungkin jawapan yang jujur dan telus, terlafaz dari bibir bila ditanya apa rasanya bila dikurniakan anak-anak yang ramai? Mana tak penat, lebih-lebih lagi kalau jarak usia antara anak itu dekat.
Pada zaman sekarang, anak lima, enam dan ke atas dikira sudah ramai. Jika tengok mak ayah kita dulu, steady je ada anak sampai berbelas orang. Tak ada masalah pun nak bela. Malah ramai mak ayah yang membuktikan anak ramai bukan penghalang untuk anak-anak itu berjaya di dunia dan di akhirat.
Tapi di zaman sekarang, anak dua tiga orang pun dah cukup kata mereka. Nak kejar kualiti katanya, bukan kuantiti. Bila anak sikit, mereka boleh berikan perhatian sepenuh katanya. Namun sudah semestinya jawapan itu tak mewakili pasangan lain ye.
Banyak faktor yang mendorong sebenarnya kenapa pasangan hari ini makin kurang yang ramai anak. Antaranya, mak-mak zaman sekarang juga keluar bekerja. Jadi tugas menjaga anak-anak bukan 100% di bahu mereka dan mereka terpaksa membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya.
Nak tak nak, terpaksa menggunakan khidmat pengasuh atau nurseri. Itu juga faktor mengapa zaman sekarang ramai pasangan memilih untuk merancang keluarga. Nak hantar anak ke pengasuh juga bukan murah ye!
Selain itu, kesibukan dengan kerjaya membuatkan ramai wanita yang memilih untuk menjarakkan kehamilan.
Ya, tak dinafikan. Di zaman ini, serba-serbi nak duit. Bayangkan, anak tiga orang boleh mencecah ribuan ringgit belanja sebulan hanya untuk pengasuh dan susu serta lampin. Belum lagi hal-hal lain. Jadi, ramai yang merancang jumlah anak mengikut kemampuan diri.
Memang masih ada mak ayah yang memilih untuk mempunyai anak ramai. Memang itu rezeki mereka kerana anak-anak adalah ‘rezeki’ yang Allah SWT kurniakan. Ada orang yang inginkan anak tapi tak berjaya memilikinya. Jadi, bersyukurlah memiliki ramai anak.
Mak ayah yang memilih untuk mempunyai anak ramai, antaranya kerana mereka ini juga sudah ‘terbiasa’ di kelilingi oleh ahli keluarga yang ramai. Misalnya memang memiliki adik beradik yang ramai dan itu yang membuatkan mereka juga cenderung untuk memiliki ramai anak.
Jadi, soal penat dalam mengasuh anak-anak itu perkara biasa. Lebih-lebih lagi pada waktu mereka sedang kecil. Tapi itulah cabaran yang perlu ibu bapa tanggung.
Kena INGAT, anak-anak kita adalah saham kita bukan saja di dunia bahkan juga di akhirat. Jadi, didiklah merreka dengan sebaik mungkin walau sesukar apa pun. Yang penting, didik mereka dengan ilmu agama agar mereka ini dapat mendoakan kita kelak.