Setiap ujian dan pertemuan itu bersebab. Jika terima dengan hati sabar, tentu diberikan ganjaran yang tidak terhitung banyaknya. Sebagaimana kisah Khairunnisa Hamzah ini yang diuji kenderaan pancit betul-betul di selekoh jalan.
Biar pun awalnya sukar untuk mendapatkan bantuan. Berkat berselawat, akhirnya Allah hantarkan bantuan dari seorang pemandu kereta Viva yang baik hati.
Kebetulan, kejadian berlaku di Melaka. Dan dekat pula dengan kediaman pemandu kereta Viva itu. Maka, dibawalah Khairunnisa dan anak-anak ke rumahnya demi keselamatan.
Siapa sangka, lelaki yang membantunya itu rupanya pembuat perabot barang kayu dan besi. Manakala, Khairunnisa dan suami mengusahakan kerja-kerja menghias kediaman klien-kliennya. Bukankah itu satu kebetulan yang indah.
“Masa berborak dengan isterinya baru saya tahu mereka sedang nak cuba hidup baru. Nak pindah ke utara. Bekerja dengan sedara. Tapi sudah setup bengkel pertukangan di Melaka. Sebab nak dapat projek tu tak ada, tu nak bekerja dengan orang saja.
Subhanallah… Saya banyak kali sebut Subhanallah. Kemudian saya maklumkan kami mencari sahabat bertukang. Saya kenalkan diri kami Mommy Daddy Decor. Saya tunjuk YouTube saya.
Allah… Begitu rupanya pertemuan kami yang Allah tentukan. Doakan Ammar dan keluarga murah rezeki. Doakan banyak projek Ammar dapat. Mereka sangat baik. Kalau mereka tak tolong kami tadi, Allahuakbar, entah sampai bila kami tersadai dalam keadaan yang bahaya.” Kongsi Khairunnisa
‘Vanfire’ Pancit Di Selekoh Jalan
Nak jadi cerita.
Dekat situ tayar ‘vanfire’ pancit sepancitnya.
Betul-betul di selekoh. Tempat orang belok laju, double line dan ramai termakan belok. Mommy pujuk Daddy drive ke depan sikit sebab tak mahu tragedi berulang lagi bagi kes kereta rosak dan anak-anak berada di dalam.
Ads
Tak boleh jalan dah. Tu abang dah dirikan tikar dekat belakang sana nak bagi orang nampak” Daddy dah mula bongkar barang nak tukar tayar. Tapi…
Tapi itulah, dek kerana rim tayar canggih sangat, pakai yang emas, skrunya tak dapat dibuka dengan alat sedia ada.
Jeda!
Si kakak teringat kisah yang meragut 8 beranak tempoh hari. Terdengar si kakak arahkan adik-adiknya.
“Semuaturun. Turun. Duduk tepi sana”
Mommy bawa anak-anak ke depan sikit.
Ads
Lama juga duduk di tepi. Sambil anak-anak mula berselawat sampai dah berQasidah.
Banyak kenderaan lalu. Tapi double line dan selekoh laju. Semua berlalu pergi.
Satu demi satu Daddy mula call.
Perlu dapatkan pembuka nut yang bercorak sama.
Belum dapat bantuan.
Lori ayam besar warna merah datang laju,
Lori ayam besar warna biru pula pergi berlalu,
Terhayun badan Mommy yang mendukung Asytar yang tak mahu diletak.
Terus berselawat sambil buat signal amaran pada Arsyad yang dah mula mencuba aksi yang bukan-bukan.
Tup tup, sebuah kereta Viva hijau berhenti.
Allahuakbar,
Memang kereta Viva baik hati
Orang Melaka memang baik dengan Viva ke?
Sungguh…
Terima kasih Ammar.
Ammar bincang dengan Daddy untuk ambil anak-anak dan Mommy untuk dibawa ke rumahnya yang berdekatan saja di simpang sebelum itu.
Mulanya kami menolak. Tak nak menyusahkan. Tapi, kata Ammar…
“Divider ni baru. Bukan apa, sebab dah ada kejadianlah di sini. Sini selalu terjadi…”
Allah, lemah lutut.
Ads
Selekoh Ini Bahaya.. Dibawa Ke Rumah Ammar
Sebelum apa-apa, baiklah akur.
Kami anak beranak memangku naik Viva Ammar.
Ammar bawa ke rumah sewanya.
Isteri Ammar masakkan cekodok.
Ammar ada anak seorang.
Dan Ammar tinggalkan kami dengan isterinya.
Ammar pergi bantu Daddy pergi ke bengkel kereta.
Duduk segan, tapi akhirnya cekodok dikunyah juga. Anak-anak dah bebas tengok tv. Kami berborak.
Ya Allah,
Rupanya ada sebab kenapa Allah berhentikan kami di situ!
Kalau kami pembuat makeover,
Ammar dan isteri adalah pembuat perabot, barang kayu, besi dan sebagainya.
Ammar ada bengkel.
Kami pula ada customer.
Ammar baru rancang nak mulakan hidup baru dengan pulang ke kampung di Utara, tetapi Allah ketemukan kami tadi dan nampaknya terlalu banyak peluang dan projek untuk bekerjasama.
Ammar ada bengkel,
Kami ada idea.
Kata si kakak Aisyah,
“Semua ni Allah dah rancang”
Benar belaka.
Bantuan Yang Tak Akan Dilupakan
Menurut Khairunnisa lagi, “Terima kasih Ammar Khan atas bantuan di kala kami dalam keadaan bahaya. Terima kasih Nur Farah Adlia kerana sudi berikan kami menumpang seketika di rumah kalian dengan cekodok panas pula. Terima kasih Raisya kerana sudi kongsi mainan untuk dimain bersama. Sungguh tak akan pernah kami lupakan kalian sekeluarga. Allah Maha Mengetahui kenapa kita berjumpa. Allahuakbar.
Hari yang diingati~sampai mati.
Sungguh saya terkedu menerima bantuan Viva Hijau yang Tuannya bernama Ammar. Teringat kisah Viva dari Melaka. Sungguh mereka begini, dalam keadaan diuji dan punya kemelut hidup tersendiri, tapi mereka hidup pandang bawah. Sanggup berhenti dan hulurkan bantuan walau itu selekoh bahaya. Ada anak kecil umur setahun lebih di tinggalkan sekejap untuk turun bantu. Di pujuk kami untuk anak anak ke rumah dulu sebab dah berapa kali selekoh tu kemalangan.”
Sedih sungguh setelah dua tahun PJJ (perhubungan jarak jauh) dan menanti zuriat, suami pergi sehari selepas tahu bakal bergelar ayah. Ternyata berat sungguh ujian ini.
Setelah mendirikan rumah tangga, setiap pasangan tentu saja menantikan kehadiran cahaya mata. Namun begitu tidak semua direzekikan zuriat cepat, ada setengah pasangan perlu berusaha bertahun-tahun sebelum dikurniakan anak.
Itulah yang dialami oleh sepasang suami isteri yang terpaksa berjauhan kerana mempunyai tugas dan tanggungjawab dek kerana pekerjaan masing-masing.
Dua Tahun PJJ & Menanti Zuriat
Sebelum ini, pasangan ini hidup PJJ selama dua tahun dan baru sahaja menetap bersama selama dua bulan.
Tentu saja bila berita kehamilan diketahui, pada suamilah paling teruja si isteri ingin berkongsi. Apatah lagi zuriat ini adalah penantian dua tahun.
Namun, pedih apabila keesokan harinya suami pergi buat selamanya setelah mengetahui berita gembira ini. Kongsi Shaa Ibrahim:
Suami Pergi Sehari Selepas Tahu Bakal Bergelar Ayah
’Pagi tadi saya hantar gambar ini dekat awak sayang. Rupanya awak tak sempat tengok . Allah panggil awak balik . Dua tahun awak tunggu sayang.
Saya kuat sebab anak ini. Ini juga last Whatapps saya sempat hantar dekat awak . Lepas ini tidak akan ada lagi orang yang hendak hantar emoji lucu-lucu dekat saya.”
Bekal Tak Sempat Jamah
Manakala di posting yang lain, Shaa Ibrahim turut berkongsi tentang permintaan terakhir suaminya iaitu meminta dia menyiapkan bekal.
Tetapi malangnya, bekalan itu tidak sempat dijamah kerana terkorban dalam kemalangan jalanraya. Kini pasangan ini menetap di Sungai Lembing, Pahang. Jadi setiap hari suaminya berulang-alik dari Sungai Lembing ke Kemaman, Terengganu kerana arwah bertugas di sana.
“Bekal awak tak sempat jamah. Pagi tadi awak request hendak nasi goreng dan udang goreng kunyit.
“Saya tanya awak nak sambal belacan tak. Awak kata nak. Ceria saja suara awak sayang.
“Macam biasa breakfast roti bakar favourite awak cuma pagi tadi saya minta tolong awak sapukan butter.”
Di samping itu, jelas Shaa Ibrahim, ramai kawan-kawan arwah suaminya datang menziarah arwah untuk kali terakhir dan mereka turut mengalirkan air mata kerana sedih kehilangan seorang kawan yang baik.
Arwah suami Shaa Ibrahim telah selamat dikebumikan di kampung halamannya di Pasir Mas, Kelantan.
“Saya minta maaf tak mampu tengok awak tadi dekat tempat kejadian.”
Demi Allah awak terlalu baik. Tidak sekalipun awak marah saya. Tidak sekalipun kata-kata kasar keluar dari mulut awak. Allah sayang awak.
Respon Netizen:
Ramai kenalan serta netizen bersimpati dengan apa yang berlaku pada Shaa Ibrahim dan mendoakan dia terus kuat menempuhi hari mendatang demi anak yang dikandungnya.
Mingguan Wanita : Semoga Shaa Ibrahim tabah dan terus kuat berdepan dengan ujian berat ini. Tentu apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. MW merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga arwah Wan Muhamad Hasruldin bin Wan Mustapa. Al-Fatihah.
Manfaat Didikan Arwah Ibu Buat Kuih Raya, Buka Pintu Rezeki Gadis Lembam. Setiap manusia pasti ada kelebihan yang tersendiri. Setiap ilmu yang dipelajari, apabila dimanfaatkan mampu membuka pintu rezeki dengan cara yang tersendiri.
Meskipun dirinya tidak sempurna seperti orang lain, pintu rezeki terbentang luas buat Jaheerah Nadzri, 29, seorang gadis lembam apabila dapat memanfaatkan didikan arwah ibunya dalam bidang solekan, memasak dan membuat kuih raya.
Guna Media Sosial Untuk Jualan
Malah, kebijakannya terserlah apabila Jaheerah berupaya menggunakan media sosial sebagai platform untuk memasarkan jualan secara dalam talian selain berkomunikasi secara maya dengan orang lain.
Walaupun sudah lapan tahun berlalu tanpa arwah ibunya, dia yang lebih mesra disapa Eerah dilihat masih merindui kenangan bersama arwah yang banyak memberi didikan terutama membuat kuih raya cornflakes madu setiap kali menjelang raya.
“Rindu ibu (arwah),” katanya kepada Bernama ketika ditanya pilihannya untuk menjual kuih raya cornflakes madu, yang berjaya meraih jualan lebih 300 balang, tahun lalu.
Yang pasti cornflakes madu air tangan arwah juga adalah juadah kegemaran Eerah sejak kecil.
Followers Cecah Setengah Juta
Mula menyelami platform TikTok pada 2021 kerana suka ‘follow’ laman orang lain serta melihat pelbagai ragam di laman sosial itu, Eerah membuka laman sendiri sebagai cara untuk berkongsi cara solekan dan tanpa disangka-sangka sejak itu lamannya ‘diserbu’, dan kini sudah mencecah 500,000 followers.
Kini platform itu diperluaskan manfaatnya apabila Eerah menjual cornflakes madu viral di seluruh negara.
Eerah bercita-cita untuk mengembangkan jenama ‘Eerah’ bukan saja dalam kuih tetapi masakan lain, selain berhasrat agar suatu hari nanti memiliki kedai sendiri yang dinamakan ‘Eerah’, untuk menjual makanan.
Fokus Siapkan Kerja Dapur
Menurut bapanya, Nadzri Abdul Majid, 66, Eerah adalah anak perempuan tunggal mempunyai sifat seperti arwah isterinya iaitu pantang orang lain kacau ketika memasak dan sangat fokus menyiapkan kerja-kerja di dapur.
“Eerah ini ada sifat yang boleh dicontohi orang lain iaitu dia sangat pandai menguruskan masa dan tidak pernah meninggalkan kerja-kerja memasak begitu saja.
“Kalau dia tengah buat kuih, saya kata kejap lagi nak keluar, Eerah akan pastikan kerja siap dalam masa itu juga. Dia juga sangat kemas, teratur di dapur dan tidak mahu orang lain kacau ketika tengah memasak,” kata bapa kepada empat orang anak.
TikTok Untuk Berniaga
Nadzri mengakui pada mulanya tidak menyukai apabila melihat Eerah suka berpaut pada telefon kerana bertanggapan bahawa media sosial adalah tidak memanfaatkan dan membawa pengaruh negatif.
“Saya memang perasan Eerah suka sangat buka TikTok di telefonnya. Saya mulanya tak bagi kerana itu bukan bidang dia tetapi abang-abangnya kata boleh buat berniaga.
“Lepas itu, saya bagi Eerah cuba dan dia buka akaun TikTok pada 2021 yang mulanya dia buat video solekan. Orang ramai terpegun tengok Eerah pandai memasak dan banyak memberi galakan sehingga minat Eerah bertambah dengan menjual kuih cornflakes,” katanya.
Dia berkata, selain galakan, ramai peminat Eerah turut memberi hadiah dan sumbangan sebagai tanda menyokong semangatnya untuk meneruskan bidang yang diminatinya.
Nadzri berkata, antara personaliti yang pernah merasai kuih cornflakes Eerah adalah arwah penyanyi dan juga pelakon, Adibah Noor yang juga idolanya, Kak Lina Pom Pom serta isteri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Cinta memang mampu membutakan mata. Bila hati sudah sayang, apa pun sanggup dilakukan demi meraih cinta. Tidak kiralah nyawa sekalipun sanggup dipertaruhkan.
Demi cinta juga seorang ahli perniagaan sanggup berkorban harta, hantaran RM87,000 untuk dapatkan gadis idaman.
Demi Cinta Sanggup Berkorban Harta
Makassar: Demi mendapatkan wanita idaman hati, seorang ahli perniagaan sanggup memberikan hantaran mewah berupa wang tunai sebanyak 300.78 juta rupiah (kira-kira RM87,000), rumah mewah dan set berlian bernilai tiga bilion rupiah (kira-kira RM870,000).
Lelaki berkenaan, Ajis Kalla yang lebih dikenali sebagai Haji Ambo, 45, ahli perniagaan dari Makassar melamar kekasihnya, Nadia Margareza, 29, pada Isnin lalu di Dusun Kambisa, Desa Baku-Baku, Luwu Utara.
Saudara terdekat Haji Ambo, Hasan Basri Baso berkata, pasangan berkenaan sudah lama menjalinkan hubungan dan membuat keputusan untuk melangsungkan perkahwinan selepas mendapat persetujuan ibu bapa Nadia.
“Mereka menjalin hubungan sejak setahun lalu. Namun, acara pernikahan hanya akan berlangsung pada 17 Disember nanti,” katanya seperti dilaporkan Liputan6.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh, lelaki berkenaan adalah seorang usahawan yang memiliki beberapa kafe terkemuka di Kota Makassar.
Malah, Nadia juga seorang usahawan yang memiliki butik di daerah sama.
MW: Jika berkemampuan apa salahnya membuktikan rasa cinta yang mendalam dengan menghadiahkan hantaran dengan jumlah yang besar. Paling penting ukur baju di badan sendiri, jangan keterlaluan hingga memakan diri. Renung-renungkan.