mawar

Ini perkongsian hati daripada Mawar tentang pengalamannya selepas tiga tahun menanti kehadiran anak, yang mungkin boleh kaum wanita yang mahukan anak jadikan inspirasi dan tak mudah terduduk tanpa sebarang usaha.

Anak adalah rezeki dan anugerah yang terindah kepada setiap pasangan suami isteri. Namun, setiap pasangan berbeza-beza ‘rezeki’ mereka. Ada yang dikurniakan cahaya mata dalam tempoh yang singkat dan ada juga yang perlu menunggu lebih lama. Itu semua adalah percaturan Allah dan sebagai manusia, perlu terus berusaha tanpa mengenal putus asa.

Itu yang terjadi kepada pasangan romantis dan sepadan, Fizo Omar dan Mawar Abdul Karim.

Status bapa bakal disandang tidak lama lagi. Fizo sudah tidak sabar menunggunya setelah lebih tiga tahun berkahwin. Tidak ada masalah dalam dirinya untuk menyediakan diri sebagai seorang bapa kerana dia memang sudah lama bersedia menjadi seorang bapa.

“Semasa saya bujang saya sudah biasa menjaga anak-anak buah sejak mereka dilahirkan sehinggalah umur mereka hampir setahun. Semua itu berlaku semasa abang dan kakak ipar saya sibuk bekerja. Disebabkan saya tinggal dengan emak, saya ambil keputusan membantu mak menjaga anak abang saya. Saya juga seorang yang sukakan budak-budak. Ditambah pula anak saudara dan cucu saudara ramai membuatkan tidak ada masalah untuk saya mempersiapkan diri untuk menjadi seorang bapa.”

Walau pun perkahwinan yang dibina itu tidak dikurniakan anak dengan segera, ia tidak pernah menjadi satu masalah bagi Fizo. “ Bagi saya, tempoh perkahwinan saya ini tidak begitu lama kerana ramai lagi pasangan suami-isteri yang lebih lama berkahwin tetapi masih tidak memiliki cahaya mata sendiri. Sebenarnya tidak ada istilah lama pada saya kerana Allah mengatur dengan cantik apa yang telah berlaku.

“Bagi saya, aturan Allah itu ada sebabnya. Pada fikiran saya jika Allah bagi saya anak awal, mungkin saya tidak dapat menguruskannya dengan baik kerana saya amat sibuk dengan komitmen bisnes dan komitmen lain seperti memberi ceramah dan menyambung pelajaran.

IKLAN

“Untuk tempoh tiga tahun perkahwinan kami, saya memang sangat sibuk. Malah saya tidak cuti dan tidak ada rehat. Saya tertanya juga kenapa Allah tidak mahu beri anak lagi? Tetapi apabila difikirkan balik, kalau Allah bagi anak pada saya dalam tempoh itu, apakah saya ada masa untuk bersama anak dan isteri? Aturan Allah itu sangat baik sebab dalam tempoh ini saya ‘struggle’ untuk bisnes yang saya usahakan dan apabila bisnes saya dalam keadaan baik, Mawar hamil.” Ujar Fizo lagi.

Tolong Bertindak, Jangan Buat Diam…

Mawar ingin berkongsi pengalamannya dan mahukan wanita yang telah mendirikan rumah tangga dan masih belum mendapat anak untuk tidak berasa sedih.

“Wanita yang baru kahwin atau telah lama kahwin jangan sedih kalau belum ada rezeki untuk hamil. Bagi saya, wanita perlu melakukan pemeriksaan untuk memastikan sama ada diri itu mengalami masalah yang tersembunyi.

“Sekarang ini memang banyak masalah kesihatan. Saya sendiri ada masalah cyst (sista) dan membuang endometriosis. Saya buat pemeriksaan semasa tahun kedua perkahwinan. Ketika itu juga saya jumpa bukan seorang tetapi beberapa orang doktor. Hanya apabila setelah berjumpa dengan Dr. Hamid barulah nampak apa masalah sebenar saya.

IKLAN

Kita sebagai wanita perlu ambil pilihan dan inisiatif untuk melakukan pemeriksaan sebelum atau selepas perkahwinan agar kita tahu apa masalah kita. Kita perlu berusaha.” Kongsi Mawar.

Mawar telah menjalani pembedahan membuang cyst lebih kurang setahun lalu. Dia bersyukur melakukannya kerana dengan cara itulah dia dapat memperoleh cahaya mata.

“Wanita yang simptom-simptom cyst ini selalunya apabila haid mereka akan mengalami sakit atau period pain. Haid mereka pun tidak teratur. Selalunya orang akan kata kalau haid tidak teratur selepas kahwin haid itu akan kembali normal. Tanggapan itu sebenarnya salah. Lebih baik buat pemeriksaan bagi mengesahkan masalah apa yang berlaku.” Tambah Mawar yang berharap agar wanita tidak rasa murung dan kecewa apabila diri masih tidak hamil lagi.

IKLAN

“Jangan sesekali salahkan diri mahupun suami. Jika kita mahu dapatkan sesuatu kita perlu ikhtiar dan usaha sesuatu. Saya harap pasangan suami-isteri yang mengalami masalah sama, jangan malu dan lakukan pemeriksaan. Ambil contoh diri saya ini, dari segi luaran, nampak sahaja sihat. Tetapi setelah melakukan pemeriksaan dan pembedahan, saya tidak sangka betapa teruknya tahap masalah kesihatan saya ini. Ambillah ini sebagai pengajaran kepada semua.” Jelas Mawar.

Dalam mendidik anak, Mawar dan Fizo sentiasa mencari ilmu yang bermanfaat. Ilmu yang mereka peroleh itu juga akan mereka kongsi kepada umum apabila mereka mengambil keputusan terlibat dalam program Timang.

Timang adalah nama program yang akan dikeluarkan di laman video You Tube oleh Dr. Hamid Arshad. Fizo dan Mawar pula akan dijadikan sebagai model dan modul untuk diikuti oleh pasangan suami-isteri dalam mendidik anak yang belum dan telah dilahirkan.

Jelas Mawar, sebaik kandungannya berusia lima bulan, dia dan Fizo akan memberi masa untuk melakukan program tersebut.

“Sekarang kandungan saya masuk empat bulan. Saya dan suami menerima pelawaan ini kerana berfikir benda yang baik perlu dikongsi bersama. Ramai boleh dapat ilmu. Tidak semua ibu bapa tahu bagaimana mahu mendidik anak.” Ujar Mawar.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI