Maut Dalam Perjalanan Ambil Anak Di Asrama, Enam Beradik Yatim Piatu!

Share

Baru sahaja dikejutkan dengan berita kemalangan maut melibatkan suami isteri yang meninggalkan 3 orang anak Khamis lalu, terkini pasangan suami juga ‘pergi’ akibat nahas jalan raya dan menjadikan enam tujuh anak mereka yatim piatu sekelip mata.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, Kamal Hisham Mustaffa, 35, dan isterinya, Norhapisah Idris, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Dua anak mereka yang parah di kepala ialah Muhammad Danish Irfan Kamal Hisham, 11, dan seorang anak angkat pasangan itu, Muhammad Danial Abdullah, 12. Mankala, empat lagi anak pasangan itu berada di rumah ketika kejadian.

Tak Sempat Memintas

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira Aeroback dipandu Kamal Hisham dari arah Ketengah Jaya ke Felda Kerteh 2, dikatakan memintas sebuah kereta di lokasi kejadian.Bagaimanapun, Kamal Hisham tidak sempat kembali ke laluan kiri sebelum bertembung dengan kereta Perodua Alza.

Pemandu Alza, Mohd Zulkifli Ab Aziz, 39, yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Cheneh, Kemaman dan rakannya, Mohd Suhaimi Mat Hassan, 22, yang bertugas sebagai juru tol, dilaporkan patah kaki.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Keadaan kereta Perodua Alza yang remuk.

Dalam Perjalanan Ambil Anak Di Asrama

Katanya, siasatan awal mendapati pasangan suami isteri yang tinggal di Kampung Sura Hujung itu dalam perjalanan mengambil dua anak mereka yang tinggal di asrama Sekolah Rendah Kebangsaan Pasir Raja.

“Kemalangan menyebabkan pemandu dan semua penumpang kedua-dua kenderaan tersepit.

“Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka dikerahkan ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan semua mangsa,” katanya.

Baharudin berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat manakala mangsa yang parah dihantar oleh ambulans dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Ibu Sempat Masak Mee Segera

Sementara itu, menurut anak sulung mangsa Muhammad Danial, 12, ibu mereka sempat memasak mee segera dan berpesan suruh menjaga adik-adiknya.

“Ibu sempat masak mi segera untuk sarapan kepada kami adik-beradik.

“Ibu suruh saya jaga adik-adik kerana dia dan ayah nak pergi ambil dua adik yang tinggal di asrama,” kata Muhammad Danial.

Muhammad Danial berkata, dia sangat terkejut apabila diberitahu oleh bapa saudaranya bahawa kedua-dua insan kesayangannya itu terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Ibu dan ayah keluar rumah kira-kira jam 8 pagi untuk mengambil dua adik, Muhammad Danish Irfan, 11, dan Muhammad Darwish Iqbal, 9, yang tinggal di asrama Sekolah Kebangsaan Pasir Raja.

“Biasanya kalau ke mana-mana, ayah dan ibu akan bawa kami adik beradik bersama, tapi hari ini ayah tidak berbuat demikian sebaliknya minta saya jaga adik-adik di rumah,” katanya.

“Saya hanya sempat melihat Muhammad Danish dan Muhammad Darwish ketika mereka dibawa keluar bilik kecemasan untuk dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Saya hanya mampu menangis dan tidak sempat nak cakap apa-apa memandangkan Muhammad Danish kelihatan kritikal dengan memakai alat bantuan pernafasan,” katanya.

Muhammad Danial berkata, kedua-dua adiknya itu dilaporkan parah di bahagian kepala di mana Muhammad Danish paling kritikal dan masih tidak sedarkan diri.

“Saya tidak mahu kehilangan mereka dan berdoa agar mereka selamat.

“Minta Allah selamatkan adik kita,” katanya

MW: Salam takziah buat keluarga mangsa. Semoga anak-anak ini diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian kehilangan insan tersayang.
Semoga roh kedua-dua mereka ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.Al-Fatihah.

Sumber: Bharian

Published by
Suhaidah Abd Wahab