KOTA TINGGI 16 Dis. – Pelumba Petronas Sprinta Yamaha CKJ Racing, Mohd. Hafiz Nor Azman, 22, meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan ketika menyertai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2018 di Dataran Bandar Penawar di sini petang tadi.
Pelumba berasal dari Perak itu disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Kota Tinggi selepas terbabit dalam kemalangan pada pusingan terakhir kejuaran, kira-kira pukul 4 petang.
Difahamkan, kemalangan berlaku ketika pelumba tengah laju dan memasuki pusingan terakhir daripada keseluruhan 15 pusingan perlumbaan itu.
Laporan berita seperti di atas yang terpampang di dada akhbar dan di laman web serta media sosial telah mengejutkan peminat sukan lumba motor dan rakyat Malaysia. Pemergian Mohd Hafiz memang tidak di sangka dan sehingga kini ahli keluarganya masih lagi bersedih dengan apa yang berlaku.
Ibu dan Bapa pelumba ini, Rohana binti Hamzah, 52, dan Nor Azman bin Mad Darus, 55, tidak mampu bercerita setiap kali ada yang bertanya mengenai kejadian yang berlaku. Keluarga pelumba motor ini menetap di Simpang Pulai, Ipoh.
Namun MW rasa berterima kasih kepada Nor Shaziela Binti Nor Azman, kakak sulung Allahyarham Mohd Hafiz yang sudi berkongsi cerita mengimbas kembali kenangan bersama adik tersayang. Berkali-kali wanita berusia 31 tahun ini memohon maaf kerana tidak dapat melayan permintaan penulis untuk ditemuramah sebelum ini.
Dua Kali Sehari Pergi Kubur Adik
Cerita Nor Shaziela tidak lama selepas adiknya meninggal dunia, dia dan ibu bapanya telah menunaikan umrah.
“ Sebenarnya setiap kali jika adik menang dan dapat berdiri di podium, dia akan belanja keluarga makan. Pada pertengahan tahun 2018, dia memang nekad setiap kali dia menang perlumbaan dia akan menyimpan duit untuk membawa ibu, ayah dan saya untuk menunaikan umrah.
” Segalanya sudah cukup. Malah sebelum dia pergi last race hari itu, memang dia ada beritahu saya yang dia akan buat bayaran ke umrah dan pergi menunaikan umrah selepas tamat perlumbaan. Tetapi impiannya itu tidak kesampaian.”
Dia dan keluarga masih bersedih dengan pemergian Mohd Hafiz, namun demi mahu menunaikan hasrat Allahyarham jugalah menyebabkan mereka meneruskan ziarah umrah tersebut.
Ads
“ Alhamdulillah, selepas kami menunaikan umrah, kami kuat sikit. Cuma kadang-kadang ini apabila teringat arwah adik, mesti kami akan sedih. Emak terutamanya, memang sedih. Sekarang ini dalam sehari dua kali kami pergi menziarah kubur adik.
” Emak sentiasa rindukan adik. Sebab itu dia masih menyimpan barang-barang lumba adik. Dia tidak bagi kami ubah sudut tempat meletak barang adik itu. Setiap kali dia rindu dia akan pergi ke sudut itu dan melihat dan memegang barang-barang lumba adik itu,” cerita Nor Shaziela dengan sayunya.
Mahu Ibu bapa Teman Ketika Berlumba
Mengimbas semula kejadian pada hari tersebut, Nor Shaziela dan adik-beradiknya yang lain menonton siaran langsung perlumbaan tersebut di rumah. Seperti biasa , ibu bapanya yang menemani Mohd Hafiz. Namun ketika kejadian, ibu bapanya duduk di lokasi lain dalam trek perlumbaan tersebut.
“ Setiap kali perlumbaan di dalam negara, adik memang mahukan ibu dan ayah pergi melihatnya berlumba. Sebab itu ibu dan ayah pergi. Kami adik-beradik melihat sahaja perlumbaan itu di televisyen.
” Pada hari Sabtu sehari sebelum kejadiaan, adik memang mencatat masa terpantas. Pada hari Ahad itu dia bermula di petak hadapan. Pada 2nd lap terakhir perlumbaan, ahli pasukannya terbabas dan melanggar papan tanda penaja.
” Adik tidak dapat mengelak dan melanggar kayu papan tanda yang telah dilanggar oleh ahli pasukannya itu.
Ads
” Setelah kemalangan adik dihantar terus ke hospital Kota Tinggi. Perjalanan dari trek ke hospital mengambil masa 1 jam. Saya dapat tahu semasa kejadian dia bernafas lagi. Tetapi tidak ada alat perubatan yang boleh diberi kepada dia.
” Jururawat yang Bersama dengan adik di dalam ambulan ada beritahu lebih kurang 20 minit lagi hendak sampai ke hospital barulah dia menghembuskan nafas terakhir.”
Nor Shaziela juga berkata ibu bapanya telah dibawa oleh pasukan adiknya menaiki kenderaan lain mengejar ambulan itu sehinggalah sampai di hospital. Namun sebaik sahaja adik sampai ke hospital doktor telah mengesahkan yang adiknya itu telah meninggal dunia.
“ Mak telah menelefon saya dalam pukul 6 petang beritahu adik sudah tidak ada. Ketika itu berada di rumah segera memberitahu saudara mara. Kami telah menguruskan apa yang perlu di rumah. Adik telah dikebumikan di tanah perkuburan Saidina Umar Al-Khatab, Simpang Pulai yang terletak berhampiran dengan rumah kami,” ujarnya sayu.
Ikut Minat Ayah Jadi Pelumba Motor
Mohd Hafiz anak ketiga dari 4 beradik. Cerita Nor Shaziela, adiknya memang minat bidang lumba motor kerana sebelum ini ayah mereka adalah pelumba cub prix era 90-an.
“ Adik bermula dengan pocket bike semasa umur 7 tahun. Selepas itu dia aktif dalam perlumbaan motocross dan seterusnya masuk dalam bidang cub prix pada tahun 2010. Kami sekeluarga memang menyokong minat dia itu. Kami juga sokong segala bidang yang dia ceburi.
” Hubungan kami memang rapat. Dia seorang adik yang baik, adik yang mengambil berat hal keluarga, dan sentiasa mahukan keluarga yang terbaik dalam apa pun.
Ads
” Kami tahu perlumbaaan motosikal ini memang berisiko tinggi. Sejak berkecimpung dalam bidang ini juga adik memang sudah banyak kali mengalami kecederaan akibat kemalangan tetapi kecederaan itu tidak teruk.
” Saya rasa walaupun dia sudah tidak ada, apa yang dibuatnya itu amat bermakna. Dia minat bidang ini. Kami sekeluarga sokong minat dia. Selain berlumba dia masih juga belajar di Politeknik Ungku Omar. Dia mengambil jurusan Kejuruteraan Mekanikal.
” Kami juga rasa kalau dia tidak minat lagi dalam bidang ini, mungkin dia akan berjaya satu hari nanti sebab pelajaran dia juga akan bagus,” ujarnya lagi.
Tiada Lagi Baju Raya Sedondon
Pada tahun sebelum keluarga ini menyambut Ramadan dan syawal dalam suasana yang meriah. Namun pada tahun ini suasara suram menyelubungi. Ini diakui sendiri oleh Nor Syaziela.
“ Sedih memang sedih pada tahun ini. Selalunya kami berenam. Pada tahun ini kami berlima. Baju raya sudah tidak sedondon lagi pada tahun ini. Tidak lengkap rasanya raya pada tahun ini.
” Bulan puasa ini, saya akan ingat saat kami bersahur. Adik suka sangat lauk ayam masak merah. Kalau ada lauk itu sudah pasti dia akan menambah nasi. Kami pasti akan gelak tengok dia berselera makan ketika bersahur.Tahun ini tidak ada lagi saat-saat begitu.”
Apa yang pasti Nor Shaziela pasti akan sentiasa merindui adiknya itu.
“ Adik seorang yang baik. Dia hormat ibu bapa dan orang tua. Dia tidak pernah tinggi suara. Dia juga suka menolong orang. Hafiz suka tengok orang lain gembira. Sibuk macam mana pun dia tidak akan tinggal solat. Itu sebab apabila dia sudah tidak ada sekarang ini kami rasa kehilangan yang amat sangat..
Saya pasti akan teringat gelak tawa dia. Ketika makan Bersama keluarga, kadan-kadang dia suka buat lawak. Saya juga rindu hendak tengok dia race,” luah Nor Shaziela mengakhiri perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
SPM 8A, 4A, tirai besi tak halang dua banduan dapat keputusan cemerlang. Menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebalik tirai besi bukanlah halangan untuk meraih keputusan yang cemerlang.
SPM 8A, 4A, Tirai Besi Tak Halang Dua Banduan Dapat Keputusan Cemerlang
Buktinya dua banduan Sekolah Intergriti Penjara Marang, meraih keputusan cemerlang dengan memperoleh 8A dan 4A. Bagi dua orang banduan iaitu Mohd Alif dan Ahmad Abdullah, mereka adalah calon yang menduduki SPM 2023 di penjara itu awal tahun ini. Mohd Arif berkata, status banduan menjadikan pemangkin semangat buatnya untuk berjaya dalam SPM.
Jelas Mohd Alif, dirinya bertekad ingin membuktikan kepada keluarga dan masyarakat yang dia juga mampu berjaya seperti pelajar lain.
“Dengan keputusan SPM ini saya hendak ubah hidup saya… halangan dalam penjara sememangnya banyak tapi saya anggap ia sebagai cabaran.
“Setiap cabaran sama ada kita boleh hadapi atau tidak dan alhamdulillah saya berjaya buktikan pada keluarga dan masyarakat bahawa banduan juga mampu meraih kejayaan,” kata anak sulung daripada enam beradik itu yang berhasrat menyambung pengajian selepas dibebaskan.
Dua pelajar dari Sekolah Intergriti Penjara Marang, menerima keputusan SPM. Kedua-dua memperoleh keputusan cemerlang, 8A dan 4A. -Foto NSTP/NAZDY HARUN
Rakannya, Ahmad berkata, dia turut berbangga dengan keputusan SPM yang diperoleh rakannya itu walaupun hanya mereka berdua saja menduduki SPM di sekolah berkenaan.
“Kejayaan yang dikecapi rakan saya itu membuatkan saya lebih bersemangat untuk menempuh cabaran hidup dan kami berdua berharapkan akan sama-sama ke menara gading selepas dibebaskan nanti.
“Sebagai rakan karib Alif, saya bangga dengan kawan saya itu namun jauh sekali untuk cemburu keputusan yang diperoleh rakan saya itu walaupun saya hanya memperoleh 4A saja,” katanya.
Menurutnya, walaupun 4A ia sudah memadai buatnya dan keputusan itu sudah mampu membanggakan keluarganya terutama ibunya.
Katanya, mereka lazimnya akan mengulangkaji pelajaran bersama-sama dan sentiasa memberikan fokus ketika guru sedang mengajar memandangkan mereka berdua tidak mempunyai kemudahan seperti rakan-rakan lain untuk dijadikan rujukan.
Sementara itu, Pengarah Penjara Marang Mohamad Jusoh Ismail berkata, dengan keputusan SPM yang diperoleh calon terbabit membuktikan tiada halangan untuk seseorang berjaya walaupun dimana mereka berada.
“Kita bangga dengan pelajar yang ada di sini walaupun belajar dengan kekangan masa terhad selain kemudahan juga terhad namun mereka boleh juga mengecapi kejayaan.
“Namun, kejayaan ini kalau tiada dorongan daripada guru mereka sendiri selain tanpa minat daripada pelajar sukar untuk mereka mengapai kejayaan seperti ini,” katanya.
Beliau berkata, guru yang mengajar dua pelajar itu banyak memberi dorongan hingga mereka beroleh kejayaan dan pihak penjara akan cuba membantu berdasarkan ketetapan yang ditetapkan oleh jabatan.
Teruslah bersyukur wahai rakyat Malaysia. Ketika negara ini diuji dengan musibah Covid-19, Malaysia masih punya pemimpin dan barisan hadapan yang bersedia menjaga kita semua. Malah, rakyat sendiri berganding bahu, bersatu hati.
Kerana ada sesetengah rakyat di negara luar, tidak seuntung kita. Pemimpin tetap prihatin dengan nasib rakyatnya. Dan mendengar akan apa isi hati rakyatnya.
Sebak dengan perkongsian Yuhanis Azam ini, betapa penting untuk rakyat terus bersyukur berada di bumi Malaysia ketika berdepan ujian hebat ini.
Contohi Malaysia Uruskan Covid-19
Semalam (ketika status dimuat naik pada 11 April 2020) saya baca di satu page berita Asia, rata-rata rakyat Singapura mendesak kerajaan mereka mencontohi kerajaan Malaysia menguruskan Covid-19.
Mereka kata jika kerajaan Singapura tidak ‘lockdown’ seperti Malaysia, tak mustahil kes Covid-19 akan naik mendadak di negara mereka mengatasi negara kita.
Saya baca beberapa komen dari rakyat Indonesia yang berkata rakyat Malaysia beruntung dapat pemimpin yang cakna kepada rakyatnya. Dapat banyak bantuan. Sedangkan di Indonesia, masing-masing perlu usaha sendiri untuk hidup. Tidak keluar bekerja, maknanya tidak dapat makan.
Begitu juga di Filiphina. Semakin hari kes semakin meningkat, dan semakin ramai yang mati. Rakyat terpaksa ‘berperang’ dengan polis demi mencari makanan.
Dan pagi ini, saya lihat gambar ini pula. Semasa Perdana Menteri Thailand berucap, ramai yang memberi emoji marah, manakala semasa Perdana Menteri kita berucap, rakyat memberi sokongan penuh kepada ‘abah’ kita.
Dengan wabak yang sedang melanda negara kita, saya tetap dapat rasakan Allah merahmati kita semua.
Kita dapat menguruskan wabak ini dengan baik hingga diiktiraf dunia. Majoriti rakyat kita mendengar kata walaupun ada sesetengahnya degil dan menjengkelkan.
Barisan Hadapan kita sentiasa bersedia setiap masa untuk rakyat. Rakyat juga tidak jemu berganding bahu membantu mereka yang lebih susah.
Para pemimpin kita juga bukan biasa-biasa, orang yang alim, berilmu agama, seorang mufti, seorang ustaz.
Saya benar-benar terasa Allah melindungi dan merahmati bumi Malaysia.
Kehidupan di negara kita masih lebih baik jika ingin dibandingkan dengan negara lain.
Walaupun kita selalu bergaduh antara satu sama lain, tapi bila ada manusia dari negara luar cuba memburukkan negara kita, kita anak Malaysia mampu bersatu untuk ‘menyerang’ mereka.
Rakyat Malaysia, bersyukurlah. Bersyukur kerana walau dalam keadaan susah sekarang ni, kita masih mampu tersenyum. Masih boleh duduk dengan keluarga dan bermain dengan anak-anak. Malah, masih dapat makan, masih dapat minum. Masih ada pemimpin dan barisan hadapan yang menjaga kita semua.
Redha dan bersyukurlah. Wabak ini akan segera berakhir. Kita mesti menang!
Cukup membimbangkan dengan laporan berita terkini, adik beradik berselisihan faham sampai sanggup bertindak kejam hingga berlaku pembunuhan. Lebih menyedihkan ia dilakukan oleh remaja yang masih usia di bangku sekolah.Berita ini bukan berlaku di luar negara, tetapi berlaku di negara kita.
Bunuh Abang Kandung Sendiri
Remaja perempuan berusia 14 tahun dan teman lelakinya ditahan polis kerana dipercayai membunuh abang kandungnya sendiri selepas mayat mangsa ditemui di belakang rumah kosong bersebelahan rumahnya di Taman Glenview, Kamunting, Taiping, semalam.
Mayat mangsa berusia 16 tahun ditemui pada 12.18 tengah hari dengan kesan kelar di leher dan kedua-dua pergelangan tangannya manakala keseluruhan tubuhnya dibalut dengan plastik.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, polis sebelum ini menerima laporan kehilangan mangsa yang juga pelajar sekolah menengah di Taiping, Jumaat lalu.
Kesan Kelar & Dibalut Plastik
Beliau berkata, laporan polis itu dibuat kakaknya selepas mangsa tidak pulang ke rumah dari sekolah pada hari berkenaan.
“Pemeriksaan dijalankan polis di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan kelar di leher serta pergelangan tangan manakala mayatnya dibalut dengan plastik, mayat disahkan keluarga sebagai remaja yang dilaporkan hilang itu.
“Hasil siasatan, polis menahan adik perempuan mangsa serta teman lelakinya berusia 15 tahun dan kedua-dua mereka mengaku membunuh mangsa,” katanya.
Pergaduhan Mengenai Telefon Bimbit
Osman berkata, siasatan awal mendapati motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada pergaduhan mangsa dengan teman lelaki adiknya selepas telefon bimbit milik suspek tertinggal di rumah mereka.
“Mangsa yang pulang dari rumah pada hari kejadian dipercayai mendapati adik perempuannya membawa rakan termasuk teman lelakinya masuk ke rumah, namun semua mereka beredar selepas melihat mangsa pulang.
“Telefon bimbit teman lelaki adiknya dipercayai tertinggal sebelum mangsa menjawab panggilan telefon dari suspek sebelum mencabarnya untuk mengambil sendiri telefonnya dan dipercayai berlaku pergaduhan antara mereka,” katanya.
Osman berkata, mengikut keterangan kedua-dua suspek, mereka dipercayai mengelar leher mangsa dan kedua-dua pergelangan tangan mangsa dengan pisau sebelum menyerkup kepala mangsa dengan plastik untuk membunuhnya.
Beliau berkata, siasatan unit forensik polis menemui pisau digunakan suspek manakala mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk bedah siasat yang dijangka dijalankan malam ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
MW: Cukup menakutkan anak remaja kini semakin berani. Lebih menyedihkan ia pertelingkahan diantara adik beradik sehingga sanggup berbunuhan. Dimanakah silap kita sebagai mak ayah dalam mendidik anak-anak, gagal menyemai rasa kasih sayang diantara mereka.
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...