Maulid Nabi Lambang Cinta Warisan Sunnah, Jangan Ekploitasikannya! Dengar Penjelasan Doktor Ini

Share

Setiap tahun, tanggal 12 Rabiul Awwal merupakan satu tarikh yang istimewa khususnya bagi umat Islam. Ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW atau dinamakan sebagai Maulid Nabi disambut secara besar-besaran dengan pelbagai pengisisan.

Antaranya adalah perarakan, bacaan selawat beramai-ramai juga majlis kenduri dan ceramah agama berkaitan Baginda SAW.

Ikuti perkongsian Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Mohd. Anuar Ramli berkaitan timbulnya pelbagai penyalahgunaan terhadap sunnah yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Dari segi pensejarahan, sambutan maulid Nabi dikaitkan dengan tradisi pemerintah Islam pada zaman Fatimiyyah. Ia menjadi titik polemik antara golongan yang mengharuskan sambutan maulid dan yang melarang.

Larangan ini timbul kerana sambutan hari kelahiran tidak pernah dilakukan oleh Nabi dan juga khulafa’ al-rasyidin, sebaliknya hanya dilakukan oleh umat Islam terkemudian.

Akibat jahil dan tidak mengenal Nabi dan mendalami Sunnah Nabi SAW, mereka telah mengekploitasikan Sunnah Nabi atas nama “mengamalkan Sunnah”. Natijahnya lahir produk, perkhidmatan, amalan atau gaya yang dinisbahkan kepada Nabi SAW.

Strategi Pemasaran

Terdapat kalangan pengusaha yang menggunakan pelabelan Sunnah dalam produk dan perkhidmatan sebagai strategi pemasaran. Justeru mereka menghasilkan produk makanan Sunnah dan minuman Sunnah dengan berbagai jenama dan kandungan bahan Sunnah.

Sedangkan produk yang dihasilkan bukan berasaskan penelitian dan penyelidikan yang mendalam sama ada mengikut tatacara pengambilan oleh Nabi SAW dalam bentuk sukatan kuantiti dan kualiti makanan terbabit, juga amalan pengambilan makanan dalam latar belakang budaya Arab di samping latar belakang iklim setempat di Mekah atau Madinah.

Penelitian terhadap cara pengambilan dan latar belakang budaya masyarakat adalah signifikan bagi melihat bentuk dan kadar pengambilan dan kesesuaiannya dengan pengguna setempat di Malaysia.

Sebaliknya  mereka sekadar memetik hadis Nabi secara umum dan memasukkan unsur bahan yang disebut tersebut ke dalam produk yang dihasilkan.

Tindakan pengusaha ini biasanya melibatkan OEM (Original Equipment Manufacturer), iaitu sesuatu produk dikeluarkan oleh pihak lain kepada pengusaha di bawah jenama yang dikehendaki oleh pihak pengusaha.

Pihak pengeluar akan mengadunkan bahan-bahan yang diminta oleh pengusaha ke dalam produk yang dihasilkan hinggalah ke proses pembungkusan dan pelabelan.

Dalam rantaian penawaran produk ini, pengusaha membayar sejumlah wang kepada pengeluar dan hanya menerima produk siap yang diinginkan untuk dipasarkan kepada pengguna.

Di samping itu, produk yang dihasilkan juga disertakan dengan dakwaan melampau dan juga testimoni pengguna.

Tanpa Melalui Kajian Dan Ujian Klinikal

Produk ajaib yang mengandungi bahan Sunnah didakwa boleh merawat 1001 jenis penyakit termasuklah 20 jenis penyakit yang tidak boleh diiklankan sebagai tuntutan perubatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Antaranya seperti kanser, jantung, kencing manis dan lain-lain. Malangnya produk yang dihasilkan hanya bersandarkan khasiat makanan Sunnah tanpa melalui kajian dan ujian klinikal pasca pengeluaran untuk dibuktikan keberkesanannya, sebaliknya hanya menggunakan testimoni pengguna yang boleh dipertikaikan.

Analisis kandungan terhadap produk tertentu menunjukkan adanya bahan berbahaya seperti dexamethasone dan prednisolone iaitu bahan steroid yang dilarang di bawah Akta Makanan 1983 di sebalik pelabelan Sunnah. Sejajar dengan dakwaan khasiat yang pelbagai, produk turut dijual dengan harga yang tinggi kepada pengguna.

Selain kemelut dakwaan melampau dalam produk yang dihasilkan, terdapat juga kalangan ibu bapa yang menolak kaedah rawatan moden dengan menggunakan pendekatan alternatif, iaitu pengambilan makanan Sunnah di samping mengamalkan teknik yang dikaitkan dengan Sunnah.

Misalnya golongan antivaksin berkeras menolak suntikan vaksin kepada kanak-kanak dengan alasan untuk menjaga kesucian tubuh anak daripada najis dan hanya mengambil makanan Sunnah sebagai ganti imunisasinya.

Begitu juga dengan golongan yang mengamalkan kaedah melahirkan anak di rumah (homebirth) tanpa pemantauan anggota kesihatan terlatih, mereka menolak kaedah moden dan mengamalkan pengambilan makanan Sunnah serta mengikut amalan secara alami sepertimana dalam kisah kelahiran Nabi Isa AS.

Justeru senario ini merupakan sebahagian daripada barah dalam masyarakat yang tidak salah faham dengan Sunnah yang diwariskan oleh Nabi Muhammad SAW kepada pengikutnya.

Mencari Keuntungan

Semakin jauh dari zaman Nabi SAW, umat semakin keliru dalam memilih Sunnah untuk diamalkan, malah ada pihak mencari keuntungan di sebalik senario tersebut.

Sedangkan Nabi Muhammad SAW telah bersabda:

“Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya, (iaitulah) al-Quran dan Sunnah NabiNya.” (Riwayat Malik, no. hadis: 1594).

Jelasnya, Baginda telah mewariskan dua khazanah penting kepada umat Islam untuk dijadikan panduan dalam kehidupan.

Sehubungan dengan itu, dalam aspek pengambilan makanan dan minuman, syariat Islam tidak meletakkan makanan Sunnah sebagai keutamaan asas hingga menafikan makanan setempat yang halal lagi tayyib.

Sebaliknya dalam al-Qur’an, perintah yang diturunkan adalah arahan mengambil makanan secara umum (al-Baqarah [2]: 60) dan makanan yang halal lagi tayyib (al-Baqarah [2]: 168, 172; al-Ma’idah [5]: 88; Surah al-Nahl [16]:114).

Selain itu juga, penyalahgunaan label Sunnah turut memberi imej yang buruk terhadap Nabi SAW. Umpamanya apabila berlaku implikasi kemudaratan dan kematian akibat pengambilan produk yang dilabel dengan Sunnah, ia dapat memberi kesan negatif terhadap kesucian Sunnah Nabi SAW.

Di samping itu, menafikan rawatan dan perubatan moden yang diyakini keberkesanannya turut bersalahan dengan Sunnah Nabi SAW.

Ini kerana dalam urusan perubatan, Baginda pernah mengarahkan Sahabat untuk bertemu dengan doktor untuk mendapatkan rawatan  (Riwayat Abu Daud, no. hadis: 3875).

Selain itu, dalam urusan keduniaan, Baginda meletakkan panduan asas umpamanya sabda Baginda:  Kamu lebih mengetahui urusan duniamu. (Riwayat Muslim, no. hadis: 2363).

Kembali Hayati Sirah Dan Teladan Nabi Muhammad SAW

Panduan ini selari dengan firman Allah SWT dalam surah al-Nahl [16], 43: Maka bertanyalah para ahli (pakar), jika kamu tidak mengetahui. Jelasnya menolak kaedah rawatan dan perubatan moden dengan alasan mengutamakan Sunnah Nabi adalah suatu tindakan yang kontradiksi dengan ajaran Islam.

Sempena dengan memperingati maulid Nabi SAW, kesempatan ini perlu dimanfaatkan untuk kembali menghayati sirah dan teladan Baginda serta Sunnah yang Baginda wariskan.

Sebaliknya, jika ingin mengikuti dan menyintai Sunnah Baginda adalah bukan dengan mengeksploitasi label Sunnah untuk menghasilkan produk dengan dakwaan yang melampau, bukan juga dengan tindakan eskapisme daripada rawatan dan perubatan moden dengan motif tertentu.

Kehadiran Nabi Muhammad SAW sebagai contoh ikutan dan juga rahmah kepada ummah perlu dihargai dengan penuh kecintaan yang tulus. Marilah bersama sama berselawat kepada Baginda Rasulullah SAW.

 

Published by
Julie Roshana