MatNoe Jalan Kaki, Naik Bas ‘Lompat’ Akhirnya Sampai Kampung Dengan Lori

Share

Bermacam-macam halangan dilalui oleh seorang tukang masak yang berasal dari Kelantan ini. Sebenarnya menurut Muhamad Nor Ramlee (29) atau MatNoe yang dihubungi MW petang tadi memaklumkan, dia tidak mengalami masalah kewangan…tetapi dia sendiri tiada kenderaan dan bas pun tidak dibenarkan bergerak sejak musim PKP ini berkuatkuasa. MatNoe juga ingin membetulkan fakta salah berkenaan bekas majikannya seperti yang tular di media sosial.

“Saya tidak dibuang kerja…majikan saya tak buang saya. Ceritanya macam ni, saya bekerja sebagai tukang masak di sebuah kafe di UiTM Shah Alam. Kebetulan kontrak kafe saya bekerja itu dengan UiTM tamat pada 16 Mac lalu. Pada keesokkan harinya, hari terakhir saya bekerja dan saya bercadang nak balik ke kampung pada 18 Mac 2020.

“Kebetulan pada 18 Mac 2020, PKP dikuatkuasakan. Jadi plan saya nak balik ke kampung tergendala. Dalam tempoh PKP itu saya tinggal ditempat yang disediakan majikan. Tetapi setelah lama berfikir, saya nekad untuk balik ke Tanah Merah, Kelantan. Perjalanan saya bermula pada tujuh pagi 26 April 2020, dari Jalan Pualam, Seksyen 7, Shah Alam saya berjalan kaki ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

“Sebelum itu saya google dan dapati masih ada tiket dari situ ke Ipoh. Saya rancang dari Ipoh saya nak cari bas ke Grik. Bagaimanapun bas itu berhenti di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng pada jam 9.30 malam. Malam itu saya tidur di RTC Gopeng dan merancang untuk ke Terminal Amanjaya esoknya. Keesokan harinya saya berjalan kaki ke Terminal Amanjaya, Ipoh untuk mencari tiket ke Grik,”kongsinya kepada MW. Setelah MW melihat jarak dari RTC Gopeng ke Terminal Amanjaya di GoogleMaps dengan berjalan kaki, masa yang diambil oleh MatNoe untuk sampai ke destinasi itu sekitar lima jam 15 minit!

MatNoe menolak menerima bantuan kewangan , sebaliknya dia memerlukan kenderaan untuk sampai ke kampungnya

Viral video MatNoe berjalan kaki 

MatNoe pun tiba di Terminal Amanjaya setelah berjalan kaki hampir lima jam. Kasut yang dipakainya pun hampir lekang tapaknya kerana berjalan dalam tempoh yang lama. Malangnya menurut MatNoe lagi, setibanya di terminal tersebut, bas ke Grik ada…tetapi tidak dibenarkan bergerak kerana mematuhi arahan PKP.

“Saya tak tahu pun video saya jalan kaki ni viral. Walhal niat asal saya nak naik bas lompat je, tapi bas akhirnya tak dibenarkan bergerak sebab PKP. Saya kemudian dihubungi oleh pihak polis dari pasukan Grik dan meminta saya menunggu di Amanjaya. Pihak mereka kemudian menghantar saya sampai ke satu sekatan jalan raya (SJR) di Grik.

“Di situ, kebetulan sebuah lori yang mengambil barang dari Bukit Mertajam dalam perjalanan menuju ke Gong Badak, Terengganu. Saya kemudian diarahkan untuk naik lori itu dan tiba di Tanah Merah jam 11 malam (27 April 2020).

“Saya ingin berterima kasih kepada pegawai polis yang dikenali sebagai Khairul, pemandu lori serta Setiausaha Sulit Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed iaitu Ahmad Nazree Ramli,”jelasnya. Pagi tadi MatNoe telah menjalani saringan Covid-19 di Klinik Batu Gajah, Tanah Merah dan diarahkan untuk kuarantin diri selama 14 hari.

Tapak kasut yang dipakai MatNoe mulai lekang sebaik tiba disini

Cari kerja baru selepas PKP

Menurut MatNoe dia sudah biasa merantau bekerja sebagai tukang masak sebelum ini. Sesekali bila ada kelapangan, dia akan pulang ke kampung menziarahi anak-anak dan isteri serta keluarganya. Tambah MatNoe lagi dia mahu mencari kerja baru sebagai tukang masak selepas PKP ini tamat.

“Saya hanya tahu memasak dan tak pandai kemahiran lain seperti bertukang ataupun membaiki kenderaan. Cadangnya selepas PKP ni saya nak cari kerja sebagai tukang masak di luar Kelantan.Bukan apa, gaji yang ditawarkan di luar sana lebih besar berbanding di sini,”.

Ditanya sama ada, ‘kerja gila’ ni akan berlaku lagi atau sebaliknya. MatNoe menjelaskan situasi membuatkan dia terpaksa berfikir luar dari kotak. Dia tak minta pun ceritanya viral seperti ini, cuma naluri bapanya membuatkan dia nak segera balik melepaskan rindu berjumpa tiga anakn perempuannya yang berusia 12,5 dan setahun serta isteri dan keluarga.

Mungkin perkongsian MW ini boleh membantu MatNoe meneruskan kerjayanya sebagai tukang masak. Jika ada majikan yang memerlukan pekerja yang mahir dengan masakan pantai timur, anda dialu-alukan berkongsi rezeki dengan MatNoe.

Published by
Mastura Burhanuddin