Matematik jadi subjek paling dibenci kerana terlalu susah, Cikgu Fadli dedah 25% pelajar gagal dalam SPM. Jelas satu angka yang sangat menakutkan. Bukan saja pada masa depan negara tetapi juga dalam bidang-bidang profesional seperti jurutera, pilot, doktor, ahli fizik dan lain lagi kerana kemasukan ke universiti awam memerlukan pelajar mendapat kredit yang bagus dalam subjek ini.
Namun jika ia menjadi subjek dibenci pelajar kerana susah mempelajarinya, apa akan jadi pada bidang profesional seperti ini?
Cikgu Mohd Fadli sekali lagi berkongsi silibus aras tinggi yang dihadapi oleh anak-anak kita di alam persekolahan dan menjadi keluhan kepada pelajar kerana standartnya terlalu tinggi untuk dicapai.
Baca perkongsian di fbnya:-
Data ini perlu kita risaukan. Ibubapa perlu risau. Guru-guru perlu risau. Pelajar pun perlu risau. Nisbah kegagalan ini sangat besar. Bukan kecil anak bila seorang dari empat calon gagal ni. 25% gagal tau. Bukan tak lulus, tapi gagal.
Dulu, Matematik merupakan salah satu subjek yang paling ramai calon dapat A selepas BM. Tak kira exam apa pun. UPSR ke, PMR ke SPM ke.
Matematik menjadi favourite subjek kepada pelajar. Senang nak score A. Nak lulus lagi senang.
Sekarang, ia menjadi killer subjek. Subjek paling susah nak lulus. Lebih susah dari Sains dan English!
Bila benda ni bermula? Bila Matematik menjadi killer subjek? Menjadi subjek paling dibenci oleh pelajar? Bila ia bermula?
Ia bermula sejak silibus KSSR/KSSM diperkenalkan. Sebelum ini, semua murid guna silibus KBSR/KBSM.
KSSR/KSSM mula diperkenalkan pada tahun 2011.
Satu silibus yang tiba-tiba berubah drastik. Tiba-tiba jadi padat, banyak, dan sukar. Saat KSSR diperkenalkan banyak topik yang sebelum ini diajar di tahun 4, dimasukkan ke tahun 1 contohnya Pecahan, Bundar dan Perpuluhan.
Juga diperkenalkan pembelajaran abakus (sempoa) seawal darjah 1. KBAT juga diperkenalkan kepada murid-murid seawal darjah 1.
Silibus KSSR yang terlampau tinggi dan padat ini membuatkan ramai guru-guru meluahkan kritikan. Terlalu banyak, terlalu padat, masa mengajar tak cukup untuk memberi faham, diluar kemampuan murid nak hadam.
Namun zaman itu, mana-mana guru yang jujur berkata akan didiamkan dengan ugutan tatatertib, kena surat tunjuk sebab, kena tukar sekolah dan seumpamanya.
Akhirnya pada tahun 2016, KPM umumkan ada perubahan baru dalam silibus. KSSR hanya bertahan 6 tahun (satu kohort).
Semua guru menarik nafas lega termasuk saya. Luahan tentang silibus KSSR 2011 akhirnya didengari.
KPM keluarkan silibus baru, KSSR Semakan 2017. Legaaa.
Kami ingat silibus baru ini mereka akan buat tambah baik, kurangkan kepadatan silibus, buang topik yang tak sesuai dengan aras murid, lebih ringan dan boleh dicapai murid-murid.
Rupanya sebaliknya yang berlaku. Silibus makin dipadatkan. Makin ditinggi arasnya. Subjek Prinsip Akaun dimasukkan dalam buku teks sekolah rendah.
Subjek takaful dan insuran juga diperkenalkan. Murid-murid sekolah rendah kena pandai kira interest rate pinjaman perumahan 30 tahun, kena pandai kita kadar dividen ASB, kena kira loan kereta 9 tahun, kena tahu apa itu aset, liabiliti, cara urus akaun, debit kredit semua.
Ingat silibus KSSR Semakan 2017 makin memberi harapan, rupanya makin bertambah gelap dunia Matematik anak-anak kita.
Anak-anak mula jadi benci Matematik. Anak-anak rasa susah. Matematik jadi killer subjek dalam setiap exam. Guru-guru berpeluh nak bagi faham pada murid yang ramai, masa yang tak cukup, ilmu dan topik diluar kemampuan murid-murid.
Hasilnya kita boleh lihat pada hari ini.Inilah hasil silibus KSSR Semakan 2017.
1 daripada 4 calon SPM gagal Matematik.
Satu nisbah yang sangat besar dan perlu dirisaukan. Inilah realitinya. Punca apa semua ini terjadi?
Punca suara guru didiamkan sejak 12 tahun yang lepas. Punca luahan guru tentang sukarnya silibus KSSR 2011 tidak diendahkan. Mereka abaikan suara guru-guru yang berkubang di lapangan ini.
Mereka tong sampahkan semua kritikan membina dari guru pelaksana dasar ini. Kesannya pada siapa? Pada guru? Tidak tuan-tuan.
Kesannya pada anak-anak kita.Pada generasi kita. Silibus terlampau tinggi ini membunuh minat anak-anak kita. Dan mungkin benar ulasan sesetengah tokoh akademik, ‘Malaysia kembali ke Zaman Batu’.
Sedih bila renung mata anak-anak sendiri. Dengar luahan mereka tak faham nak buat Matematik sampai menangis-nangis.
Sedih lihat anak-anak sendiri jadi mangsa eksperimen orang atasan. Sedih melihat orang atasan yang ada kuasa terus angkuh dan sombong mendabik dada menolak semua kritikan membina dari guru-guru.
Kerana keangkuhan mereka itu, generasi dan masa depan negara menjadi taruhan.
Pendidikan ini terlalu mahal untuk diperjudikan. Ia menentukan di mana dan siapa negara kita di masa akan datang.
Tolonglah teliti dan cermat sebelum buat apa-apa keputusan, dasar dan program melibatkan anak-anak kami.Jangan buat perubahan melulu.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :- Pesan Cikgu Fadli, Mak Ayah Jangan Masuk Campur, Anak Gaduh Sekejap Tak Simpan Dendam
Cikgu Risaulah Anak Saya Gemuk, Rendahlah Markah Dia Nanti..
Kawan Anak Selalu Minta DUIT, Pesan Cikgu Mak Ayah Kena Tenang Tak Cepat Melenting!
Terbaru, PBD (PBS) pula nak dilaksanakan secara melulu. Satu sistem yang dimansuhkan pada 2013 kerana kegagalan, tapi Lembaga Peperiksaan nak kembalikan semula tanpa kaji dengan cermat, tanpa ambil kira feedback dari guru-guru dan ibubapa.
Ah, apa nak jadi dengan sistem pendidikan kita hari ini?
Suatu sinar yang aku nampak dibawah pentadbiran YBM Fadhlina Sidek sebelum ini seakannya makin malap. Makin gelap. Makin hilang keyakinan.
Apa nak jadi sebenarnya dengan pendidikan anak-anak kita? Entahlah.
– Guru Matematik sekolah rendah yang risau dengan anak bangsa –
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.