Masuk Usia 40 Cepat Rasa Penat Mudah Sensitif, Sebenarnya Banyak Benda Kena KURANGKAN!

Share

Masuk Usia 40 Cepat Rasa Penat Mudah Sensitif, Sebenarnya Banyak Benda Kena KURANGKAN! Seiring peningkatan usia, fasa hidup manusia selalunya berubah. Jika waktu muda usia 30-an ke bawah kita masih cergas bertenaga, namun apabila memasuki usia 40-an, tenaga mula berkurangan, mudah sensitif dan cepat sangat rasa penat.

Fasa peringkat umur ini sebenarnya banyak yang benda dan perkara yang kita perlu kurangkan supaya dapat menjalani hidup dengan lebih tenang.

Baca perkongsian daripada Puan Siti Suryani Yaakop ini sebagai panduan.

Hari tu ada borak dengan suami. Saya kata kenapa semenjak masuk 40 ni, badan saya ni macam auto habis bateri.Kawan-kawan yang nak masuk 40 pun mula kata benda yang sama. Cepat rasa penat. Kadang pula sensitif ya amat.

Memang begitu agaknya. Orang kata krisis pertengahan usia. Pemula pada usia yang nak masuk matang dan empuk macam orang selalu cerita. Untuk kekal matang dan empuk tu banyak benda kita kena KURANGKAN pada pandangan saya.

1. Kurangkan Makan

Oleh sebab badan kita ni dah menua. Begitu juga organ di dalamnya. Keperluan badan pun dah makin berbeza. Makan sekarang sekadar cukup nak bagi tenaga. Tak boleh dah lagi nak disumbat selagi ada.

2. Kurangkan Berkawan

Bukanlah semua kena tinggalkan. Mana baik kita simpan. Mana toksik kita maafkan. Lepas tu lupakan. Kemudian alihlah perhatian. Waktu begini kena cari kawan yang selalu ingat mengingatkan. Bahawa dunia ini bukanlah tempat berkekalan. Dan sering nasihat kita untuk terus sediakan bekalan.

3. Kurangkan Membeli

Saya perasan umur begini kita mula mengerti. Mungumpul barang tu dah tak perlu lagi. Semakin banyak barang semakin semak kita tengok sana sini. Lagi pula kita dah tahu barang tak pakai akan jadi beban di sana nanti. Berapa banyak rupanya dulu wang kita terbazir atas nama hobi. Dan sebab kita minat nak kumpul koleksi.

4. Kurangkan Bercakap

Benda ni senang saja untuk suami. Untuk saya memang kena berlatih lagi. Kata Ustaz kalau nak kurangkan bercakap banyakkan berzikir di mulut dan hati. Bila semakin banyak ia terisi, semakin kurang rasa nak bercakap perkara yang tak mendatangkan erti.

5. Kurangkan Komplen

Selama ni saya selalu perhati. Ada dua jenis orang saya pernah temui. Satu yang hidupnya suka sangat memuji-muji. Semua orang dan semua benda sentiasa memberi erti. Orang begini saya lihat sentiasa disayangi. Tapi ada juga yang gemar komplen tak henti-henti. Seakan semua benda tak beri kebaikan buat diri. Orang begini pula selalu orang lain hindari. Apa kita nak jadi nanti. Pandai-pandailah pilih sendiri.

6. Kurangkan Ekspektasi

Nak rasa apa ni adalah atas pilihan kita. Ikhlaskan semuanya walau balasannya kadang tak seberapa. Tak pun kadang memang langsung tak ada. Kita baik sebanyak mana pun sentiasa ada yang tak suka. Selagi banyak mengharap balas atas segala usaha, semakin sakit jadinya hati saat diuji rasa. Tapi begitulah kaedahnya. Lillahitaala tu tak semudah berkata-kata.

7. Kurangkan Kerja

Dulu kita ingat kerja ni lah yang bagi rezeki. Lagi banyak kerja lagi banyak duit kita nanti. Lalu kita kerja dan kerja tak berhenti-henti. Tak perasan satu masa anak dah besar dan pasangan dah tak sekuat dulu lagi. Tapi sekarang dah mula pandai bahagi-bahagi. Kita tahu bila nak kerja dan bila nak luang masa berkualiti. Kita nak menang dua-dua tak nak ada satu yang kita rugi.

8. Kurangkan Anxiety

Nak hilangkan anxiety boleh cuba ikut pesan Ustaz Wadi. Yang dah lepas belajar lupa apa yang jadi. Yang akan datang jangan fikir begitu teliti. Jadi manusia kita cuma usaha sepenuh hati. Apa saja yang datang kemudian nanti itulah kita punya rezeki. Baik atau buruk sentiasa jadi rahsia yang sering menguji.

Begitulah kiranya…
Buat saya,
Siti Suryani Yaakop
#kaknis

Mesti Baca: Doa WAJIB HAFAL Bila Usia 40 Tahun Untuk Jadi Orang Bersyukur Bukan Merungut
Baca Lagi Di Sini:Menginjak Usia 40an, Noryn Aziz Bertatih Sayangi Diri, Jaga Minda, Tubuh & Jiwa
Artikel Menarik:Perempuan Makin ‘Menua’, Tiada Lagi Nak ‘Bersuka Ria’, Cuma Hidup Nak Tenang-Tenang

Mingguan Wanita:Semoga perkongsian ini bermanfaat. Ada benarnya menginjak usia 40 tahun, banyak perkara yang perlu diubah dan dikurangkan supaya kita dapat menjalani hidup dengan lebih tenang.

Sumber:Siti Suryani Yaakop

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Suhaidah Abd Wahab