Kata Ustaz, kehidupan kita dan umur kita adalah seperti SIFIR 7. Sifir ini akan berhenti di tangga ke 9. Kenapa? Perkongsian sifir 7 yang ringkas dan dekat dihati mak ayah ini bagus untuk direnungkan bersama. Lagi-lagi bila usia memasuki 40-an, jangan mak ayah masih terleka kumpul harta, sibuk dengan kerjaya. Berjaga-jagalah, jangan sampai menyesal!
Nasihat yang disampaikan semula oleh Puan Khadijah Mohamad Nor bukan sifir yang biasa-biasa. ia sifir kehidupan manusia yang perlu diambil ikhtibar oleh hambaNya yang dikurniakan akal dan fikiran.
Sifir Gandaan 7 Ini akan Terhenti Di Usia 63.. Mengapa?
7 x 1 = 7
Ketika umur disifir 7×1, kita percaya bahawa bermain merupakan perkara sangat penting. Sebab itu kita suka bermain. Pagi petang siang malam mahu bermain. Kita belum kenal dosa pahala. Kita belum fikir tentang masa depan.
7 x 2 = 14
Ketika umur kita belasan tahun pula, kita merasakan kebebasan itu lebih penting. Sebab itu kita ingin menyuarakan pendapat sendiri. Ingin suara didengari. Kita banyak memberontak dan sedikit keras kepala. Kita menjadi degil dan tidak mahu mendengar kata.
7 x 3 = 21
Beranjak kepada umur 20-an, kita berasakan pendidikan dan kerjaya pula penting. Sebab itu kita belajar bersungguh-sungguh untuk memperoleh kerjaya yang setimpal. Kadang-kadang kita berasa menyesal tidak belajar bersungguh-sungguh dahulu. Melihat kawan-kawan mendapat pekerjaan yang baik kita berasa cemburu. Alangkah ruginya kita mempersiakan hidup sebelum ini.
7 x 4 = 28
Meningkat kepada umur ini, kita semakin sedar bahawa kewangan itu pula penting. Masa inilah kita sedang membina hidup.
7 x 5 = 35
Tahap penting untuk membina keluarga. Ingin membeli kereta, rumah, tanah, aset, melancong dan sebagainya.
IKLAN
7 x 6 = 42
Namun akhirnya, kita akur tatkala memasuki fasa ini . Bahawa usia semakin meningkat. Ini bukan lagi masa untuk berehat. Saat ini saat yang genting. Kita berlumba mngumpul harta.
7 x 7 = 49
Kita sedar perkara yang paling penting dalam hidup ialah kesihatan. Kekayaaan dan lain-lain tidak bermakna dengan tahap kesihatan yang tidak memuaskan. Pada masa ini darah tinggi, kencing manis, jantung sakit dan lain-lain sedang cuba melamar. Masa inilah kita menyesal kerana sibuk dengan kerjaya sehingga lupa untuk bersenam, menjaga kesihatan ketika umur remaja dan meningkat dewasa.
7 x 8 = 56
Memasuki era 50-an, tatkala kita sudah memiliki semua impian, akhirnya kita sedar bahawa perkara yang lagi penting dalam hidup ialah kasih sayang. Kita sedikit kesunyian tatkala anak-anak sudah berkahwin dan tinggal di tempat lain.
Anak-anak yang sibuk dengan kerjaya menjadikan kita rindu saat-saat indah bersama mereka di usia kecil. Rumah banglo besar, kereta besar seakan-akan tidak lagi bermakna. Rumah besar kosong dan sunyi sepi.
IKLAN
7 x 9 = 63
Kehidupan mesti diteruskan. Tatkala memasuki usia 60-an, kita semakin sedar bahawa hanya amal ibadat perkara yang cukup bermakna sebagai bekalan menuju ke sana. Segala kemewahan dan kebendaan tidak lagi bermakna. Kubur bakal menjemput bila-bila masa. Rumah hampir setiap hari menyatakan selamat tinggal. Mujurlah Allah masih membuka pintu dan menerima taubat yang kita pohon.
Umur 63 Itu Bukan, Bukan Lagi Soal Kumpul Harta
Kenapa berhenti Di Sifir 7 x 9? Sebab, kita umat Muhammad s.a.w . Banyak yang berakhir di usia ini. Jika ada pun yang sampai ke sifir seterusnya, ia adalah bonus.
Demikianlah kitaran hidup. Kanak-kanak akan menjadi remaja. Remaja akan menjadi dewasa. Dan dewasa akan melangkah ke alam usia emas. Usia hanyalah pinjaman. Dunia hanyalah pinjaman.
Amatlah rugi jika kita mempersiakan hidup dengan perkara yang merugikan dan melalaikan. Terlibat dengan gejala dadah, berkawan dengan rakan yang melalaikan, atau terlalu sibuk dengan kebendaan.
IKLAN
Bekerja dan berusaha mencari harta dan kekayaan tidak salah, tetapi jangan pula disebabkan ini kita semakin jauh dengan Allah.
Berapa Ramai Pula Yang Tak Lepas Sifir 7
Ada yg berhenti di tangga 1 , banyak juga yang umurnya di tangga ke-3.
Hidup ini hanya sementara sahabat-sahabatku. Kejarlah akhirat sebelum tertiarap. Dunia juga penting. Kerana dengan dunialah kita akan ke akhirat.
Umur yang kita dapat hari ini adalah anugerah dari Allah.
Hargailah dengan banyak mengingati Allah. Kumpulkan bekalan yang akan kita bawa ‘ke sana’. Walau di tangga mana pun kita sekarang, jangan bertangguh kerana mati itu misteri, tidak akan cepat atau lewat walau sesaat .
Pada mulanya, anak-beranak ini berborak soal agama dan siapa sangka ia berakhir tragedi berdarah. Suami isteri warga emas ini dibunuh kejam anak sendiri.
Berborak Soal Agama Berakhir Tragedi Berdarah
Perbincangan mengenai agama dan ketuhanan akhirnya membawa tragedi berdarah apabila sepasang warga emas maut ditikam dan dikelar anak sendiri di rumah tidak bernombor di Kampung Kemahang, Benta, semalam.
Dalam kejadian 11.55 malam itu, lelaki berusia 68 tahun dan isterinya berumur 64 tahun maut ditikam dan dikelar di leher oleh anak mereka.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, hasil siasatan awal mendapati anak mangsa yang berusia 34 tahun adalah penganggur.
Suami Isteri Dibunuh
“Kejadian berlaku ketika suspek bersama ayah dan ibunya sedang berborak.
“Tidak lama kemudian, ibu suspek masuk ke bilik. Suspek berborak dengan ayahnya mengenai ilmu agama dan ketuhanan,” katanya.
Beliau berkata, suspek mendakwa ternampak mata bapanya bertukar hitam dan seakan hendak menyerangnya menyebabkan dia mengambil parang dalam bilik dan menetak mangsa.
Dibunuh Kejam Anak Sendiri
“Ibu suspek yang nampak kejadian cuba membantu tetapi suspek menyerang wanita itu dengan menetak dan menikam di leher dan kepala.
“Ibu suspek sempat melarikan diri keluar dari rumah tetapi rebah berhampiran pagar.
“Suspek keluar mencari ibunya tapi tidak nampak sebelum masuk semula ke dalam rumah. Dia seterusnya keluar dan berjalan sehingga ke tepi jalan besar,” katanya.
Suspek Ditahan Orang Kampung
Mohd Yusri berkata, suspek ditahan oleh orang kampung dalam keadaan bogel dan berlumuran darah.
Katanya, penduduk kemudian ke rumah suspek dan ternampak bapanya terbaring di lantai manakala rumah dipenuhi darah.
Beliau berkata, ibu suspek pula ditemukan terbaring di kawasan berumput dekat pagar.
Katanya, penduduk menahan suspek sehingga polis tiba dan suspek disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mingguan Wanita : Allahuakbar, sudah pasti kejadian yang berlaku ini menyentap perasaan seluruh ahli keluarga mangsa. Semoga supek mendapat pembalasan yang setimpal jika dia benar-benar bersalah.
Rupanya dengan pasakkan ‘zero dendam’ ibu anak lima ini, Dzuriasikim Dzulkefli dapat keluarkan dirinya dari belenggu tekanan kata-kata orang sekeliling yang merendah-rendahkan status ibu tunggal yang terpaksa digalas.
Kerana bukan semua ibu tunggal itu kerjanya minta simpati. Mereka berusaha demi anak-anak. Buat apa saja demi anak-anak. Dan ibu ini berkongsi tip, bagaimana dia dapat peroleh kekuatan diri. Dari wanita yang tak punya apa-apa sehingga mampu bergelar usahawan hebat.
Tulisnya,
Jangan Menangis…
Semalam saya berjanji untuk tulis sesuatu kepada para pembaca semua. Sebab saya tahu di sebalik senyuman dan status yang hebat ada banyak orang sedang melalui kegagalan dalam hidup.
Gambar berpelukan dengan suami, namun di sebaliknya mungkin tidak semua orang sedang berbahagia. Bukan buruk sangka, tapi realitinya ada suami yang membuat posting yang indah hanya untuk mengambil hati isteri kerana tahu isterinya suka begitu dan sang suami kemudian dengan terang menceritakannya kepada rakan-rakan. Ini kisah benar…
Gambar berbahagia sedangkan hati sedang remuk. Hilang pekerjaan, menghadapi masalah kewangan, lelah bekerja siang malam untuk menyara keluarga hinggakan tidur malam pun tidak tenang, penat memikirkan masalah hidup, sedang berjauh hati dengan seseorang, anak lari rumah, ditinggalkan suami gantung tak bertali, diberikan kemewahan hidup oleh suami tetapi suami jarang lekat di rumah, menganggur terlalu lama walaupun ada double degree.
Pernah Dilabel Sombong
Jika saya nak senaraikan dugaan yang datang di sepanjang kehidupan kita, sampai ke esok pun saya mungkin belum habis menulis lagi. Jika saya tanya dan minta disenaraikan masalah anda di sini, mungkin tak ada yang mahu menjawab. Kerana ramai di antara dari kita suka malu tidak bertempat.
Saya suka kongsikan kisah lampau saya. Bukan mengadu tentang kesusahan hidup, kerana sewaktu saya susah, saya tidak pernah mengadu dengan sesiapa. Sehingga ada yang anggap saya sombong pada waktu itu.
Gambar pertama hingga gambar ketiga adalah diri saya 9 tahun lalu. Waktu itu Iman baru berusia 3 tahun. Baru bergelar ibu tunggal ketika itu. Tidak mempunyai sebarang pekerjaan langsung.
Dengan anak 5 orang yang masih bersekolah. Iman masih perlu minum susu dan pakai pampers.
Antara 2 keperluan yang paling mahal untuk anak kecil (para ibu pasti tahu ini). Ke hulu ke hilir dengan mendokong anak, pakai baju mana yang ada. Handbag pemberian orang. Berselipar sahaja setiap hari. Tudung yang saya pakai RM10 sehelai, saya beli di Pasar Tani. Tak ada kereta. Tinggal di rumah sewa atas ikhsan bekas suami sehingga suatu hari kami dihalau kerana sewa tidak dibayar.
Ulang Pakai Baju Yang Sama..
Pendek kata, saya tak ada apa-apa waktu itu. Baju yang anda lihat ni adalah antara baju yang saya ada. Pakai basuh pakai lagi.
Usah kata perit, malah lebih dari itu saya sudah lalu. Itu belum masuk lagi dengan tekanan dari kata-kata sindiran orang. Orang bercakap kerana mereka tidak tahu hal yang sebenar.
Jadi jika hari ini anda rasa susah, ingatlah bahawa ada orang lain yang seribu kali lebih susah dari kita dekat luar sana. Dan dugaan seperti yang pernah saya hadapi ini bukanlah besar sangat berbanding dengan mereka.
Dugaan yang anda sedang hadapi hari ini juga hanyalah hiccups dalam hidup. Dan ubat terbaik untuk menjadikan kita redha, kuat, sabar, ceria, bertenang adalah dengan menjadi dekat kepada Allah.
Bersyukur Ketika Tak Punya Apa-apa
Percayalah bahawa kalau hari ini anda sedang kaya dan berbahagia dengan ramai orang, tapi waktu kita susah semua orang akan lari. Tetapi Allah sentiasa ada. Sebab itu bila kita cintakan manusia atau dunia, sentiasalah berpada-pada.
Pada saat saya tidak punya apa-apa, saya masih mahu bersyukur kerana masih mampu lihat anak-anak ketawa. Itu “ubat” bagi segala duka saya waktu itu.
Tak mampu bawa anak-anak bercuti, saya buat makanan yang mudah. Picnic di sungai. Ianya percuma dan murah. Anak-anak masih boleh main gelongsor macam di water theme park juga. Ada gelongsor batu, malah lebih adventures sebab boleh tangkap ikan dan dekat dengan nature.
13 Tindakan Ini Bantu Ibu Anak 5 Ubah Diri
Dari mana saya dapat kekuatan? Bagaimana?
1. Perkara pertama yang saya buat, lap air mata. Kemudian saya maafkan semua orang termasuk orang yang menghina saya berstatus janda. Hina saya miskin. Termasuk orang yang menyakiti saya. Maafkan dengan ikhlas. Zero feeling. To the level bila mereka datang peluk saya suatu hari nanti, saya akan peluk mereka kembali. Zero dendam.
2. Dan saya juga sentiasa berbahagia dengan kesenangan orang lain. Selalu baca berita gembira tentang pencapaian orang di group sekolah, group family, Facebook, rasa yakin bahawa InsyaAllah suatu hari nanti saya akan dapat rasa itu semua. Feel the blessings always. Biar dalam keadaan manapun kita sedang berada. Jika kita sentiasa ada dengki dengan kejayaan orang lain, ianya akan menjadi blockage kepada rezeki dan kebahagiaan diri.
3. Ubat sendiri hati kita yang remuk. Sebab jika bukan kita sendiri yang bahagiakan diri, tak akan ada orang lain yang akan berbuat demikian dengan ikhlas untuk kita. Melainkan jika kita masih ada ibu. Kerana kasih ibu tidak ada sempadan. Malangnya saya sudah tidak punya ibu lagi.
Umur 41 Baru Jelas Hebatnya Tahajjud
4. Bercerita dengan Allah. Menangis kepadaNya. Kerana Dia Maha Mendengar dan Mengasihi. Jika kita susah, kemudian bercerita kepada orang, ianya akan menunjukkan kita sangat lemah. Jangan…
5. Jika kita pernah buat salah, usah segan untuk cepat-cepat minta maaf. Tak rugi untuk jadi orang pertama meminta maaf. Tidak semestinya orang yang meminta maaf itu bersalah. Tetapi menjadi orang pertama untuk minta maaf itu adalah sangat menenangkan. Boleh buat kita rasa happy…bahagia.
6. Tahajjud, jangan tinggal. Itu adalah salah satu senjata terbaik untuk berdoa dan berjaya. Waktu saya tak punya apa-apa, pada usia 41 tahun, barulah saya nampak fadhilat Tahajjud dengan jelas. Sebelum itu saya hanya dengar tapi tak pernah buat. Sehingga suatu hari saya terbaca:
“Satu satu doa yang tidak lari daripada sasaran walau seinci ialah DOA pada waktu 1/3 malam. Pembuktian dalam Al-quran satu-satunya Solat Sunat yang diabadikan dalam Al-quran adalah Solat Tahajjud:- “Dan pada sebagian malam hari bersalat tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu. Mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji.” (Q.S. 17:79).”
Dan lagi…
“Doa di saat Tahajjud itu umpama anak panah yang tepat mengenai sasaran…”
(Iman Asy Syafi’i)
Jangan Lupa Doakan Untuk Diri Sendiri
7. Ketika berdoa, doa untuk diri sendiri. Doakan yang baik-baik. Usah doa untuk membalas dendam. Doakan yang 100% baik. Ingat tu.
8. Mestilah ada ikhtiar. Jangan malas. Mesti yakin bahawa ada sebab Allah hantar kepada kita sakit, sedih, jatuh, perpisahan, perceraian dan apa juga yang sedang kita hadapi. Semuanya adalah untuk menjadikan kita lebih kuat. Ingat tak waktu kita mula-mula belajar kayuh basikal dulu? Jatuh sampai berdarah lutut pun kita angkat basikal dan kayuh lagi. Dari beroda tiga, jadi roda dua. Kemudian barulah pandai. Lama-lama dah boleh kayuh dengan lepas tangan! Sebab apa? Cari balik semangat begitu.
9. Malu biar bertempat. Kalau ada masalah wang, tidak ada pekerjaan, jangan malu untuk keluar menjual. Itu lebih mulia dari meminjam-minjam atau menumpang orang. Tak apalah jual nasi lemak sekalipun. Jual air, jual goreng pisang. Asalkan tidak menumpang orang.
10. Ingatlah dengan yakin 200%. Bila Allah ingin mengangkat darjat mu, Dia mampu melakukannya dengan cara yang tidak munasabah sekalipun. Kita selalu berfikir dengan had tertentu. Kerana minda kita berfikir dengan penuh limitations. Buang rasa itu. Sebab ianya akan melemahkan semangat diri.
Biar Tak Cantik, Tapi Berilmu
11. Fokus pada diri. Upgrade diri, dari segi ilmu dan pengetahuan. Selalu membaca. Jika tidak mampu untuk beli buku di kedai, baca dari carian di internet. Sekarang ilmu dan teknologi di hujung jari. Upgrade diri penting untuk membuatkan orang selesa bercakap dengan anda. Ambil tahu serba sedikit isu semasa. Biar kita miskin, tak cantik tetapi berilmu. Jika anda sediakala cantik, jadilah seorang yang cantik dan berakal tinggi.
12. Pilih kawan yang boleh membawa kepada kebaikan. Tidak kiralah kebaikan dari segi berkongsi resepi, ilmu perniagaan, motivasi, panduan menanam pokok sekali pun, asalkan mendatangkan faedah. Jauhkan diri dari mereka yang tidak mendatangkan kebaikan dalam hidup. Menghasut anda untuk membenci orang lain contohnya.
Orang begini satu hari nanti akan buat perkara yang sama kepada kita juga. Jauhi juga segala jenis group yang boleh membuatkan anda berfikiran negatif. Contohnya group yang suka memaparkan masalah rumah tangga. Penuh dengan komen yang ditulis tanpa berfikir. Bahasa yang tidak baik. Posting yang melampau seperti isteri curang dan suka bertukar pasangan. Semua ini boleh menghasut minda unnecessarily.
13. Ini khusus untuk wanita. Mesti be realistik. Wanita selalu lemah bab ini. Wanita bila sayang seseorang, mereka akan sayang dengan sepenuh hati walaupun diri mereka tidak dihargai. Kadang ada isteri yang dipukul setiap hari, kena tinggal dengan suami tanpa nafkah berbulan malah bertahun lamanya pun masih setia lagi. Suami penagih, kaki perempuan. Malah suami dipenjarakan.
Macam-macam lagi. Ingatlah, dalam perundangan syariah, anda ada hak untuk dilindungi. Dalam Islam juga ada limitation dan hak sebagai isteri. Ambil tahu tentang itu. Usah malu dan merana seorang diri terlalu lama. Usah malu hanya kerana anda berjaya dan memegang jawatan tinggi di pejabat, jadi anda perlu pamerkan rumahtangga yang bahagia kepada orang lain. Jika tidak tahu dan tidak mampu untuk mengupah peguam, buat carian di internet dan rujuk kepada Biro Bantuan Guaman.
Jangan Niatkan Berjaya Untuk Menunjuk Kepada ‘Musuh’
Ada orang yang membaca sharing saya dengan vibes negatif. Mereka akan anggap saya menulis dan keep on writings sebab tidak boleh move on. Ada juga yang menganggap saya bodoh kerana sering menulis kisah rumahtangga saya yang lampau. Itu salah.
Gambar terakhir adalah antara gambar terbaru saya. Saya mahu semua sahabat tahu bahawa kita mampu jika kita benar-benar mahu. Malah ada banyak success stories yang anda boleh baca dari orang yang pernah tidak ada apa-apa pada suatu ketika dahulu.
Orang yang ada big why InsyaAllah akan selalu berjaya dengan syarat jangan pernah berhenti berlari. Jangan give up dalam hidup.
Big why kita, jangan pula kita letakkan yang kita nak berjaya sebab nak menunjuk kepada orang yang pernah menjatuhkan kita. Itu tidak betul. Sebaliknya akan jadi blockage nanti.
Keluar Dari Kemurungan Hidup
Saya sendiri masih belum cukup berjaya. Tetapi saya sudah mampu keluar dari kemurungan hidup. Berdiri di atas kaki sendiri. Dari tidak punya apa-apa langsung. Jalan kaki ke kedai. Duit ada sen sen sahaja. Sampailah kepada apa yang anda lihat hari ini. Punya ramai sahabat yang baik budi. Yang selalu mendoakan saya dari Mekah selalu. Dan setiap tahun ada sahaja sahabat yang mendoakan saya dari Padang Arafah. Yang sponsor saya ke Mekah. Yang sponsor percutian ke luar negara pun ada. MasyaAllah, sampai macam tu Allah beri. Nak berniaga pun, ada yang nak sponsor juga. Dan saya tidak mahu berhenti.
Jangan sedih tika diuji. Jangan bongkak tika dipuji. Ingat, segala bentuk rahmah Allah boleh berikan dan Allah juga boleh tarik semula dari kita nanti.
Ikhlaskan hati. Redha. Berbaik sangka. Allah nak berikan sesuatu yang lebih baik dan lebih hebat. Sebab itu anda diuji agar lebih kental dan kuat.
Jika mahu, nanti Kak Zue tulis lagi. Jangan menangis.
MW : Semoga kisah ini menjadi inspirasi untuk ibu-ibu yang sedang diuji.
Tidak ada isteri yang mahu suami berubah hati. Hakikat bahawa suami sudah tidak ada perasaan kepadanya adalah sangat menakutkan. Berbeza dengan lelaki yang boleh berbahagi cinta dan perasaan, hati isteri tidak begitu. Cinta mereka hanya mendapat balasan serupa daripada seorang lelaki bernama suami.
Jika suami sudah tidak mencintai, ke mana cinta itu mahu diberikan? Ada beribu-ribu ayat untuk menyatakan betapa takut dan kesalnya mereka sekiranya keadaan suami tak lagi cinta berlaku. Semua itu tidak berlaku dengan tiba-tiba.
Ada petunjuk yang boleh dibaca sebelum segala-galanya terlambat. Tahukah anda apa petunjuk itu?
4 Tanda Suami Berubah Hati, Tak Lagi Cintakan Isteri
Pertama : Suami Tak Endah Tarikh Penting Anda Berdua
Anda tahu yang ramai lelaki tidak ingat tentang tarikh-tarikh penting peristiwa penting antara anda berdua. Tarikh bertunang, tarikh perkahwinan, majlis rumah lelaki, majlis rumah perempuan dan sebagainya.
Jangan salahkan mereka kerana memang kebanyakan memang begitu sifatnya. Anda bertuah kerana sebelum ini dia sentiasa ingat tarikh-tarikh itu. Sudah berbelas tahu dan dia tidak pernah gagal.
Cuma tahun lepas dia tidak sebut dan tidak merancang apa-apa untuk meraikan tarikh yang anda anggap sangat penting itu. Tahun ini juga serupa dan tarikh itu semakin dekat.
Kali ini anda bertanya dan dia seperti kelihatan tidak endah. Memang ramai lelaki lain yang tidak ingat tarikh perkahwinan mereka tetapi perubahan yang berlaku pada suami anda itu perlu diberikan perhatian serius.
Kedua : Suami Mula Salahkan Isteri Untuk Sekecil-kecil Perkara
Sebelum ini dia begitu melindungi anda dengan mengambil semua tanggungjawab. Setiap malam tidur anda lena kerana tidak ada masalah. Sejak kebelakangan ini dia sentiasa menyalahkan anda atas semua masalah yang dia hadapi.
Masalah kewangan, masalah di pejabat bahkan tayar kereta dia pancit tengahari tadi pun dia salahkan anda. Benar, dia mungkin sedang menghadapi masalah. Cuma berdoalah semoga bukan ‘anda’ yang menjadi masalah itu.
Ketiga : Suami Tak Jawab Panggilan Anda Lebih 5 Kali
Cuba ingat semula semasa bercinta dahulu. Berapa kali dia telefon anda? Dua kali, lima kali, sepuluh atau setiap jam sekali? Sekarang bagaimana?
Adakah dia tidak pernah lagi menelefon anda semula selepas berkali-kali panggilan anda tidak berjawab? Ramai suami yang tidak kisah jika satu atau dua kali pangilan telefon daripada isterinya tidak berjawab.
Tapi jika lebih lima kali panggilan anda tidak berjawab dan dia tidak telefon anda semula, besar kemungkin perasaannya sudah tidak ada lagi pada panggilan anda itu. Lelaki tidak boleh menyimpan perasaan ‘cinta’nya di dalam peti sejuk. Ianya mesti diberikan kepada seseorang.
Keempat : Telefon Suami Sudah Ada Password Yang Dirahsiakan
Jika sebelum ini andalah orang itu tetapi sekarang anda rasa tidak lagi begitu. Jika dahulu telefon dia samalah seperti telefon anda tetapi sekarang tidak lagi. Dia cukup tidak suka anda sibuk dengan telefon dia. Telefonnya sekarang mempunyai ‘password’ yang anda tidak tahu.
Semalam apabila anda tanya apa ‘password’ telefonnya, terus dia bertukar menjadi raksasa hijau bermata merah. Kenapa dia jadi begitu, anda mungkin boleh fikirkan sendiri.
Anda Lebih Tahu Macam Mana Nak Selesaikan
Ada banyak lagi tanda-tanda kemungkinan suami sudah tidak mencintai isterinya. Jika anda merasakan tanda-tanda itu telah ada dan semakin bertambah setiap hari. Maka bertenanglah dahulu. Bukan anda seorang yang begitu. Ramai isteri dan juga suami yang menghadapi masalah serupa apabila pasangannya hilang perasaan kepada mereka.
Anda tahu apa yang perlu dilakukan, maka lakukanlah apa saja yang terbaik demi rumahtangga anda dan keluarga. Tidak ada orang lain yang boleh mengesahkan perkara itu kecuali anda tanyakan sendiri kepada suami.
Jika banyak daripada petunjuk ini telah ada maka sudah sampai masanya anda perlu berbincangan panjang dengan suami. Hanya dia yang tahu perkara sebenar dan masih belum terlambat untuk anda menyelamatkan keadaan.
Anda tentu faham apa maksud saya, bukan?
Penulis : Dr Syed Yusainee Yahaya, Kaunselor Profesional, Relationship Coach
Kolumnis Majalah Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Nahas tragedi helikopter TLDM, lelaki buat hantaran jelik didenda RM23,000. Gara-gara menghina nahas tragedi dua helikopter bertembung di udara dua hari lalu, seorang peniaga...