Masuk Tengah Malam, Masa Itulah Ibu Mengandung Rasa Nak Makan Macam-Macam, Ini Puncanya!

Share

Aduhai! Nak masuk tengah malam saja perut jadi lapar. Doktor pula dah bagi amaran siap-siap, jaga makan kalau tak nak kena kencing manis masa mengandung. Mulalah susah hati. Kejadian lapar ni sebab nafsu ke memang betul-betul lapar sebenarnya. Ke sebab mak nak kunyah-kunyah atau ‘baby’ yang nak makan.Buntukan fikir puncanya…

Masa hamil inilah sebenarnya mak kena jaga pemakanan. Jangan jadikan ‘baby’ teringin sebagai alasan nak makan lebih. Bimbang terlebih ambil boleh sebabkan obesiti dan kehadiran penyakit yang lain.

Kena Tahu Punca Lapar Menjelang Malam

Stres

Ramai di antara mak mengandung asyik hendak makan terutama waktu malam. Ketika kepala penuh masalah, alternatif dicari untuk menimbulkan rasa gembira. Makanan akan membuatkan seseorang berasa kenyang dan puas hati. Lama kelamaan ia menjadi tabiat dan akan menyebabkan kenaikan berat badan yang banyak.

Salah Tafsir Pun Bahaya

Otak tidak dapat membezakan rasa haus dengan lapar. Jadi sebelum mencari makanan pada waktu malam, minumlah air kosong dahulu. Jika masih juga lapar, barulah mencari makanan yang sesuai pula.

Makan Ikut Suka, Tak Kena Pula Dengan Cita Rasa

Makan tidak tetap atau makanan yang diambil pada waktu siang tidak memuaskan kehendak diri. Maka timbullah rasa lapar pada waktu malam. Bagi mengatasinya baik anda sediakan makanan dari rumah atau beli makanan yang disukai dn bawa sebagai bekalan di pejabat. Aturkan juga untuk makan lima kali sehari dengan jumlah kalori sebanyak 400 kalori sahaja setiap kali makan. Dengan mengawal kekerapan jenis pemakanan, mak mengandung boleh menjaga jumlah kalori menjadi 2000 sehari. Misalnya jika suka makan nasi lemak, pastikan hidangan nasi sebesar mangkuk kecil, pilih telur rebus, bukannya telur goreng dan banyakkan timun atau kangkung sebagai bahan sampingan.

Awas! Gula Memudaratkan

Jika anda suka makanan manis pada waktu pagi, tengah hari dan petang, badan anda pasti akan ketagih gula. Akibatnya pada waktu malam, ibu hamil teringin makanan yang manis atau berkarbohidrat. Gantikan gula dalam makanan dengan buah-buhan dan mengunyah gula-gula getah ataupun mendisiplinkan diri untuk tidak makan makanan yang bergula.

Amalan Mudah Elak Lapar Sebelum Tidur

  • Makan makanan berserat tinggi.
  • Minum air kosong secukupnya.
  • Ambil susu sebelum masuk tidur, ia boleh mengenyangkan sehingga anda bangun esok hari.
  • Makan makanan jejari seperti biskut atau buah-buahan selepas menikmati makan malam.

Cara Kontrol Nafsu Makan Masa Hamil

  • Tak perlu makan secara berlebihan sebaik disahkan hamil sampailah minggu ke-26. Anda cuma perlukan kira-kira 2000 kalori sehari
  • Bermula dari minggu ke-27 sampai nak bersalin, keperluan wanita hamil akan meningkat kepada 2200 kalori sehari sahaja. Jika anda mengambil makanan sehingga jumlah kalori yang dimakan berlebihan, sudah pasti berat badan akan naik berlebihan juga.
Published by
Shahar