Tiada siapa yang menduga, hidayah itu diberikan kepada sesiapa sahaja yang mengkehendakiNya. Hanya dengan petunjuk dan hidayah dapat mengubah kehidupan dari kekufuran kepada keimanan, kezaliman kepada keadilan, kegelapan kepada cahaya kebenaran dan kegelisahan kepada ketenangan jiwa.
Beruntunglah bagi mereka yang menerima hidayah terutamanya bagi yang memeluk islam. Ini kerana seseorang itu telah mendapat kehidupan baru yang pastinya lebih baik dari sebelum ini.
Bagi Foo Siew Chin atau nama islamnya, Noor Hayati Foo Abdullah, 55 tahun, dia sememangnya telah lama mengenali Islam, sejak sekolah rendah lagi. Pada masa itu, dia sanggup tinggalkan mata pelajaran Sivik semata-mata ingin mengikuti kelas Pendidikan Agama Islam.
“Apa yang boleh saya katakan, saya rajin mengikuti kelas pendidikan agama Islam kerana topik-topik sirah nabi yang diajar oleh guru telah menarik perhatian saya,” ceritanya tentang permulaan dia mengenali islam.
Rasai Ketenangan
Walaupun sudah mengenali Islam sejak sekolah rendah, Noor Hayati hanya belajar dalam diam dan tidak sesekali pun menceritakan kepada ahli keluarga.
Sehinggalah apabila dia mendapat keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, niat untuk menyambung pelajaran ke menara gading terbantut kerana waktu itulah dia betul-betul mengambil keputusan untuk memeluk islam.
Pada tarikh 27 Februari, 1985 saat dirinya berusia 21 tahun, Noor Hayati telah menlafazkan kalimah syahadah di Melaka.
“Boleh saya katakan terlalu banyak perbezaan dengan apa yang saya anuti sebelum ini. Bagi saya, agama islam itu sangat sempurna dan banyak mendorong saya untuk menjaga perbuatan dan tutur kata,” katanya lebih lanjut.
Penerimaan Keluarga
Ulas Noor Hayati lagi, selepas memeluk islam, barulah mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Mohsin Bin Bawi yang dikenali sejak dari sekolah menengah lagi.
“Walaupun keluarga membantah dan saya teruskan niat dan ini tidak bermakna saya melupakan terus keluarga saya. Jadi, selepas berkahwin, saya melawat mereka seperti biasa.
“Lagipun, ibu dan ayah saya ada masalah kesihatan, jadi saya dan suami sentiasa bertanya khabar dan membawa mereka ke hospital untuk rawatan. Dari situlah, mereka merasakan saya tidak abaikan dan terharu dengan kebaikan suami saya, walaupun berbeza agama,” cerita Noor Hayati tentang penerimaan keluarganya pada suami.
Manakala pada pihak mentua pula, Noor Hayati cuba sedaya upaya mengambil hati. Sementelah mentua merasakan dirinya tidak mampu menjaga suami, tidak pandai memasak hidangan melayu dan sebagainya.
“Daripada perasaan tidak puas hati mentua, saya cuba perbaiki, belajar memasak sehingga pandai dan akhirnya mentua akur dengan pilihan suami saya,” katanya yang kini mempunyai bisnes makanan yg dikenali sebagai Warung Dayak di Batu Pahat dan terkenal dengan hidangan Mee Rebus dan Lontong Darat.
Bersyukur
Alhamdulillah, sudah 35 tahun Noor Hayati memeluk Islam dan dia bersyukur diberi rezeki dan hidayah.
“Walaupun sudah memasuki usia 55 tahun, saya tidak pernah putus untuk menuntut ilmu. Berkat sokongan, saya dapat menamatkan Kursus Sijil Eksekutif Dakwah di MARSAH. Saya juga diberi peluang menyempurnakan rukun Islam ke 5 pada tahun 2018 atas tajaan MAINJ,” katanya dengan terharu.
Selain daripada itu, Noor Hayati turut melakukan aktiviti yang mendekatkan dirinya dengan Islam seperti membantu mualaf lain di sekitar dengan dipilih sebagai Pendakwah Saudara Kita Batu Pahat oleh ustaz Hairul Faizal dan banyak lagi.
Cabaran
“Cabaran inilah menjadikan saya lebih kuat dan tabah untuk menghadapi segala dugaan. Melalui cabaran inilah saya berusaha untuk tunjukkan kepada mereka yang saya menjadi lebih baik selepas memeluk islam dan turut membuktikan kepada masyarakat bahawa saudara baru juga boleh mencapai kejayaan,” luah ibu kepada dua Nur Iziana, 33 tahun, Mohamed Afiq, 29 tahun dan Muhammad Aiman, 23 tahun ini.
.
.