Masuk Hospital Selepas Rebah, Arwah Sempat Urus 19 Jenazah Covid-19 Sebelum Meninggal

Share

Sudah tersurat ajalnya. Pegawai khas Tanah Perkuburan Raudhatul Baqi’ sempat uruskan 19 jenazah pesakit Covid-19 sebelum meninggal dunia.

Pengarah Jabatan Kesihatan dan Persekitaran Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) yang juga pegawai khas yang mengendalikan Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi’, Cyberjaya 10, meninggal dunia di Hospital Putrajaya, hari ini.

Kuzaini Hamidon, 47, dimasukkan ke hospital selepas rebah di kediamannya di Puchong Perdana semalam dan disahkan meninggal dunia pada 2.45 pagi tadi ketika menerima rawatan.

Pegawai Khas Raudhatul Baqi’ Meninggal Dunia

Allahyarham yang mula bertugas di MPSepang sejak 2012 dan meninggalkan isteri, Nor Azean Ahmad, 44, dan tiga anak.

Menurut sumber, arwah meninggal dunia disebabkan kegagalan fungsi organ.

Jenazah akan dibawa ke Masjid Assalam Puchong Perdana dan dikebumikan di Tanah Perkuburan USJ 22, Subang Jaya selepas semua proses pengurusan dan dokumentasi selesai.

Sementara itu, Yang Di Pertua MPSepang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, Allahyarham seorang pegawai yang berdedikasi dan komited dengan kerjanya.

Baca Juga Di Sini :

Suami Meninggal Kerana Jangkitan Covid-19 Di Kilang, Pampasan Tidak Mampu Gantikan Nyawa Terkorban

Vaksin Covid-19 Sebabkan Hasil PCR Jadi Positif, Sebenarnya Ini Puncanya

Dikejarkan Ke HUKM, Tahap Oksigen Menurun, “Doakan Sarah, Bayi Dalam Kandungan Dipermudahkan Segalanya” Shuib

Sempat Urus 19 Jenazah Covid-19

Menurutnya, sebelum ini Allahyarham diberikan tugas khas untuk mengendalikan Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi’ membabitkan jenazah pesakit Covid-19 Hospital Kajang, Hospital Serdang dan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM).

Katanya, sejak diberikan tugas khas itu, Allahyarham sempat menguruskan 19 jenazah bermula Sabtu lalu.

“Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi’ menjadi tanah perkuburan ketiga di Selangor bagi menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19.

“Pemergian Kuzaini adalah satu kehilangan besar kepada MPSepang dan seluruh warga pihak berkuasa tempatan (PBT) ini,” katanya.

Mingguan Wanita : Pihak MW mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga allahyarham, semoga Allah menempatkannya di kalangan orang beriman. Al-Fatihah.

Sumber : myMetro

Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW

Published by
Nur Syazwani Mehat