Masuk 2 Tahun Anak Disahkan Disleksia, Ini Usaha Ibu Bebaskan Dari Sifat Pendiam

Share

Sayunya hati ibu bila anak kecilnya disahkan disleksia. Ada ibu sanggup berhenti kerja semata-mata nak bantu dan beri tumpuan pada anak.

Bila mana anak Ezatul Marini Mohd Ghazali disahkan disleksia, ibu ini tak patah semangat. Diusahakan agar anak yang tak boleh bertutur secara normal itu dapat dipulihkan celotehnya.

Apa pun mak jangan susah hati ya, kerana anak disleksia ini ada keistimewaan yang tersendiri.

Ilmu Bawaan Dia

Syakir Naeim Khaizuzafarin. Anak disleksia kami yang dahulunya payah untuk saya terima kekurangannya. Bukan payah kerana sombong tetapi payah memikirkan apalah nasibnya nanti.

Dia dilahirkan 13 tahun dahulu. Comel, sihat, tiada apa yang kurang hinggalah kami sedar dia tidak boleh bertutur secara normal. Bayangkan hingga usianya mencecah 2 tahun, perkataan yang mampu disebutnya amat terhad. Dia lebih selesa gunakan kaedah menunjukkan pada objek yang dia maksudkan.

Dia juga mencipta sistem kod sendiri. Contohnya O.I adalah kod yang digunakan tiap kali dia lapar atau haus. Lama kelamaan kami juga terbiasa dengan kod ini hinggalah kala membawa dia ke temujanji bersama pakar, saya ditegur kerana tidak biasakan dia dengan sebutan sebenar.

Proses mengajarkan dia perkataan dan komunikasi hanya berlaku secara sistematik setelah kami bawa dia ke beberapa kali perjumpaan pakar.

Itu pun setelah guru besar sekolah minta kami bawa juga dia untuk diagnosis masalah pembelajaran dek kerana hingga hampir 6 bulan di tahun 1 dia masih ketinggalan terutamanya dalam aspek bahasa.

 

Mudah Selesaikan Soalan Matematik Yang Sukar

Suatu hari kami kesan satu kebolehannya. Dia mampu selesaikan soalan matematik yang agak sukar untuk anak- anak sebaya dia. Dia juga cekap lahirkan rasa dengan lukisan. Bermain dengan komputer? Itu enteng untuk dia.

Kami bawa dia menjalani ujian diagnostik di Persatuan Disleksia Malaysia.

Keputusan mengesahkan dia mempunyai “mild dyslexia” dan disarankan hadir kelas khas selama sekurang- kurangnya enam bulan.

Berulanglah kami setiap Sabtu dari Tanjong Malim ke Titiwangsa untuk kelas beliau dari jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengahari.

Ini Yang Buat Anak Disleksia Ini Seronok Masuk Kelas Khas

√    Setiap minggu, dia seronok ke kelas. Dan kami mula mencari-cari apa faktor yang menyebabkan dia teruja.

√    Pastilah jumlah pelajar dan pengajaran lebih berfokus menjadi sebab utama.

√    Guru yang mengajar adalah guru- guru yang memang dilatih untuk uruskan anak- anak disleksia. Mereka lebih maklum keperluan dan kaedah membantu anak- anak ini.

√    Buat pertama kalinya, di pusat inilah, adik Naeim dilepaskan

untuk mengikuti aktiviti luar, bermalam di Hulu Langat.

√     Pada masa yang sama, dia sudah kami tukarkan dari kelas aliran utama ke kelas pendidikan khas. Pertukaran ini sangat membantu perkembangan positif pembelajarannya.

√     Dalam masa kurang 5 bulan, dia mampu membaca dan di penghujung tahun 1 pengajiannya, saya terkejut bila guru maklumkan, dia berjaya mendapat kedudukan pertama dalam peperiksaan.

Saya dan guru kelasnya sama- sama mengalirkan airmata merenung perjalanan dia hingga sampai ke tahap itu. Untuk anak normal itu biasa sahaja, tetapi untuk anak berkeperluan khas, itu satu lonjakan besar.

 

Anak Disleksia Ini Hadir Untuk Mengajar Ibunya Tentang..

Percaya atau tidak, saya tonton filem Taare Zameen Par untuk belajar kaedah meransang pembelajarannya. Saya cuba kaedah melukis huruf atas tangannya agar dia rasa perbezaan bentuk huruf. Alhamdulillah percubaan kami berjaya.

Dia dikirim Allah untuk kami belajar banyak perkara:

1. Syukur – Kami belajar mensyukuri setiap satu kurniaan kecil dan besar yang Allah berikan kepada kami. Jika kami rasa ujian kami ini besar, ada orang lain yang lebih hebat ujiannya

2. Terima seadanya – Pernah rakan tanyakan “kak, macamana ye kak terima keadaan Syakir yang begitu?”. Jawapannya, terimalah seadanya. Allah berikan dia sebagai amanah, biar bagaimanapun kami perlu terima dan tunaikan amanahnya

3. Sabar – Tidak hanya kami yang perlu bersabar selama melayani dia, segala sesuatu yang berlaku pada dia mengajarkan sabar kepada ramai insan lain. Abang kakaknya harus sabar, kaum keluarga juga. Selain disleksia, dia juga mempunyai sedikit masalah “psychological behaviour”. Dia memilih untuk memberi respon kepada hanya beberapa orang tertentu yang memberi dia rasa selesa. Itu juga menuntut banyak kesabaran.

4. Allah ada – Allah ada, Allah mendengar, Allah melihat dan Allah yang berkuasa mengubah jalan cerita hidup hambanya. Kini Syakir sudah 13 tahun. Banyak perkembangan positif yang telah dia capai. Itu sahaja sudah meningkatkan rasa syukur dan pergantungan kami pada kuasa Allah s.w.t

Sesungguhnya Syakir memberi kami banyak pengalaman yang penuh warna- warni. Dalam usianya kini, dia sudah boleh membaca, namun masih ada sedikit masalah menyusun perkataan dalam membina ayat.

Dari seorang yang pendiam, dia kini banyak celotehnya cuma susunan ayatnya seperti ayat dalam buku.

Melalui dia Allah kirimkan kami sekeluarga ilmu yang mahal maharnya.

Sumber/Foto : Ezatul Marini, Politeknik Sultan Azlan Shah Behrang Perak.

Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.

Published by
Netty Ah Hiyer